Kata Ustaz, kehidupan kita dan umur kita adalah seperti SIFIR 7. Sifir ini akan berhenti di tangga ke 9. Kenapa? Perkongsian sifir 7 yang ringkas dan dekat dihati mak ayah ini bagus untuk direnungkan bersama. Lagi-lagi bila usia memasuki 40-an, jangan mak ayah masih terleka kumpul harta, sibuk dengan kerjaya. Berjaga-jagalah, jangan sampai menyesal!
Nasihat yang disampaikan semula oleh Puan Khadijah Mohamad Nor bukan sifir yang biasa-biasa. ia sifir kehidupan manusia yang perlu diambil ikhtibar oleh hambaNya yang dikurniakan akal dan fikiran.
Sifir Gandaan 7 Ini akan Terhenti Di Usia 63.. Mengapa?
7 x 1 = 7
Ketika umur disifir 7×1, kita percaya bahawa bermain merupakan perkara sangat penting. Sebab itu kita suka bermain. Pagi petang siang malam mahu bermain. Kita belum kenal dosa pahala. Kita belum fikir tentang masa depan.
7 x 2 = 14
Ketika umur kita belasan tahun pula, kita merasakan kebebasan itu lebih penting. Sebab itu kita ingin menyuarakan pendapat sendiri. Ingin suara didengari. Kita banyak memberontak dan sedikit keras kepala. Kita menjadi degil dan tidak mahu mendengar kata.
7 x 3 = 21
Beranjak kepada umur 20-an, kita berasakan pendidikan dan kerjaya pula penting. Sebab itu kita belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh kerjaya yang setimpal. Kadang-kadang kita berasa menyesal tidak belajar bersungguh-sungguh dahulu. Melihat kawan-kawan mendapat pekerjaan yang baik kita berasa cemburu. Alangkah ruginya kita mempersiakan hidup sebelum ini.
7 x 4 = 28
Meningkat kepada umur ini, kita semakin sedar bahawa kewangan itu pula penting. Masa inilah kita sedang membina hidup.
Ads
7 x 5 = 35
Tahap penting untuk membina keluarga. Ingin membeli kereta, rumah, tanah, aset, melancong dan sebagainya.
7 x 6 = 42
Namun akhirnya, kita akur tatkala memasuki fasa ini . Bahawa usia semakin meningkat. Ini bukan lagi masa untuk berehat. Saat ini saat yang genting. Kita berlumba mngumpul harta.
7 x 7 = 49
Kita sedar perkara yang paling penting dalam hidup ialah kesihatan. Kekayaaan dan lain-lain tidak bermakna dengan tahap kesihatan yang tidak memuaskan. Pada masa ini darah tinggi, kencing manis, jantung sakit dan lain-lain sedang cuba melamar. Masa inilah kita menyesal kerana sibuk dengan kerjaya sehingga lupa untuk bersenam, menjaga kesihatan ketika umur remaja dan meningkat dewasa.
7 x 8 = 56
Memasuki era 50-an, tatkala kita sudah memiliki semua impian, akhirnya kita sedar bahawa perkara yang lagi penting dalam hidup ialah kasih sayang. Kita sedikit kesunyian tatkala anak-anak sudah berkahwin dan tinggal di tempat lain.
Anak-anak yang sibuk dengan kerjaya menjadikan kita rindu saat-saat indah bersama mereka di usia kecil. Rumah banglo besar, kereta besar seakan-akan tidak lagi bermakna. Rumah besar kosong dan sunyi sepi.
Ads
7 x 9 = 63
Kehidupan mesti diteruskan. Tatkala memasuki usia 60-an, kita semakin sedar bahawa hanya amal ibadat perkara yang cukup bermakna sebagai bekalan menuju ke sana. Segala kemewahan dan kebendaan tidak lagi bermakna. Kubur bakal menjemput bila-bila masa. Rumah hampir setiap hari menyatakan selamat tinggal. Mujurlah Allah masih membuka pintu dan menerima taubat yang kita pohon.
Umur 63 Itu Bukan, Bukan Lagi Soal Kumpul Harta
Kenapa berhenti Di Sifir 7 x 9? Sebab, kita umat Muhammad s.a.w . Banyak yang berakhir di usia ini. Jika ada pun yang sampai ke sifir seterusnya, ia adalah bonus.
Demikianlah kitaran hidup. Kanak-kanak akan menjadi remaja. Remaja akan menjadi dewasa. Dan dewasa akan melangkah ke alam usia emas. Usia hanyalah pinjaman. Dunia hanyalah pinjaman.
Amatlah rugi jika kita mempersiakan hidup dengan perkara yang merugikan dan melalaikan. Terlibat dengan gejala dadah, berkawan dengan rakan yang melalaikan, atau terlalu sibuk dengan kebendaan.
Ads
Bekerja dan berusaha mencari harta dan kekayaan tidak salah, tetapi jangan pula disebabkan ini kita semakin jauh dengan Allah.
Berapa Ramai Pula Yang Tak Lepas Sifir 7
Ada yg berhenti di tangga 1 , banyak juga yang umurnya di tangga ke-3.
Hidup ini hanya sementara sahabat-sahabatku. Kejarlah akhirat sebelum tertiarap. Dunia juga penting. Kerana dengan dunialah kita akan ke akhirat.
Umur yang kita dapat hari ini adalah anugerah dari Allah.
Hargailah dengan banyak mengingati Allah. Kumpulkan bekalan yang akan kita bawa ‘ke sana’. Walau di tangga mana pun kita sekarang, jangan bertangguh kerana mati itu misteri, tidak akan cepat atau lewat walau sesaat .
Suami lebihkan adik perempuan, sedih bila keperluan isteri dan anak-anak terabai. Bagi seorang isteri, apabila keperluan diri dan anak-anak terabai kerana suami terlalu memprioritikan adik perempuannya, ia boleh menimbulkan rasa sedih, kecewa, dan tidak dihargai.
Suami Lebihkan Adik Perempuan
Keadaan ini memerlukan komunikasi yang baik dan pendekatan yang bijak untuk menyelesaikannya. Kadangkala suami tidak sedar bahawa keutamaan terhadap adik perempuannya menyebabkan isteri dan anak-anak merasa diabaikan.
Suami lebihkan adik perempuan, isteri dan anak-anak tak cukup keperluan.
Menjadi seorang lelaki ini sebenarnya bukan mudah. Mungkin lelaki tak perlu mengandung, nak kahwin pun tak perlu wali, harta pusaka pun dapat lebih tapi menjadi lelaki perlu ada mentaliti ‘bertanggungjawab’.
Apatah lagi kalau bergelar suami. Dalam masa yang sama menjadi kepala keluarga selepas kematian bapa. Tambah-tambah bila bapa meninggalkan adik-adik yang masih kecil.
Sedih Bila Keperluan Isteri & Anak-anak Terabai
Ada satu kisah yang saya nak kongsikan. Seorang wanita mengadu kepada saya sebelum ini tentang sikap dan tanggungjawab suaminya yang jarang bagi nafkah kepada dia dan anak-anak.
Tapi untuk adik perempuannya, apa saja yang diminta, mesti bagi. Adik perempuan itu adik bongsu katanya. Bukannya tak ada abang-abang yang lain, tapi suaminya sebagai Abang Ngah ini yang paling rapat.
Dia tak kisah kalau kata suaminya ni seorang yang nak pikul tanggungjawab selepas kematian bapanya. Tapi, suaminya ini bukanlah orang yang berkemampuan sangat.
Makan minum, pakaian, sewa rumah, bil-bil semuanya wanita ini yang tanggung. Bahkan, perbelanjaan anak-anak mereka pun, wanita ini yang banyak bayarkan.
Yuran tusyen, bagi duit belanja sekolah anak-anak, upah pengasuh, semua berkaitan anak-anak ditanggung oleh wanita itu.
Tahulah wanita ini kerja dan gajinya bagus. Seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta. Tapi, kadangkala dia rasakan suaminya ini seperti melepaskan tanggungjawab rumahtangga mereka kepada dia seorang.
Suaminya pula, dalam keadaan tak berduit sangat pun setiap bulan, masih cuba untuk belikan hadiah birthday adik perempuannya yang baru 15 tahun.
Hadiah birthday kalau biasa-biasa macam buku ke ok lagi. Tapi, suaminya siap belikan Iphone model terbaru ketika itu kerana itu yang adiknya inginkan.
Marah wanita itu masa dia ceritakan kepada saya. Jadi dia tertanya-tanya, siapa lebih penting untuk seorang lelaki galas tanggungjawab.
✅ Isteri atau adik perempuan yang lebih penting?
Dalam kes nafkah, seorang lelaki yang telah berkahwin, tanggungjawab menyediakan nafkah adalah kepada isterinya terlebih dahulu. Isteri adalah prioriti utama selepas sahaja dia menerima akad nikah.
Selagi mana isteri tersebut tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah Syariah, selagi itulah suami wajib berikan nafkah. Suami wajib sediakan makan minum, pakaian, tempat tinggal dan perubatan kepada isteri.
✅ Antara adik perempuan atau anak sendiri, mana lebih penting?
Jawapannya, anak lebih wajib diutamakan. Nafkah anak adalah satu kewajipan yang mesti ditanggung oleh seorang bapa. Nafkah yang perlu disediakan kepada anak adalah nafkah makan minum, pakaian, tempat tinggal, perubatan dan pendidikan.
Selagimana anak tersebut masih belum bekerja, atau masih lagi menyambung pelajaran hingga peringkat sarjana muda, selagi itulah, si bapa perlu menyediakan keperluan nafkah kepada anaknya.
✅ Antara adik perempuan dengan ibu bapa, mana lebih penting?
Jawapannya, ibu bapa perlu lebih diutamakan. Ini kerana ibu atau bapa yang tak berkemampuan, sedangkan anaknya mungkin orang yang kaya, ibu atau bapa itu boleh pohon nafkah furu’ kepada usul.
Jadi, ibu atau bapa perlu diutamakan berbanding adik beradik sendiri.
✅ Jadi, adik perempuan tak penting?
Adik perempuan yang masih kecil dan dalam keadaan ibu mungkin tak berkemampuan, anak lelaki perlu ambil tanggungjawab untuk pikul tanggungjawab arwah bapa.
Cuma, perlu tengok pada keutamaan. Isteri dan anak perlu diutamakan kerana mereka adalah prioriti selepas berkahwin. Kalau ada adik beradik yang lain, mereka juga bertanggungjawab untuk bantu sediakan nafkah kepada adik perempuan yang masih kecil dan bersekolah.
Kesimpulan, menjadi lelaki, perlu ada kesedaran untuk pentingkan usaha mencari dan memberi nafkah. Andai seorang lelaki yang bergelar suami atau bapa gagal menyediakan nafkah yang secukupnya kepada isteri dan anak-anak, bimbang dia berlaku zalim.
Memang ada pihak yang banyak tanggungjawab, tapi berusahalah sekuatnya untuk pikul tanggungjawab tersebut.
Masalah seperti ini memerlukan pendekatan yang penuh kasih sayang, empati, dan komunikasi yang baik. Sebagai pasangan, suami isteri perlu saling menyokong dan memahami keperluan masing-masing.
Dengan usaha bersama, situasi ini boleh diselesaikan tanpa menjejaskan keharmonian keluarga. Jika kesukaran berterusan, jangan ragu untuk mendapatkan bantuan profesional bagi memperkukuhkan hubungan suami isteri.
Sumber: Tuan Fahmi Ramli Official, Peguam Syarie yang beramal di Negeri Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak & Selangor.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Izin atau tak? Suami memang berhak berpoligami. Namun, poligami adalah sesuatu yang sangat mendukakan hati isteri walau pun ia dibenarkan dalam agama. Ikuti pengakuan seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Saya seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Tak pernah ada yang kurang pun. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemani keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Hidu Perubahan Suami
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja.
Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
WhatsApp Misteri
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Pengakuan Suami
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya.
Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak. Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami. Suami juga terus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja.
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Tak Kaya Tak Apa...
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Namun, “ku sangka anas hingga ke petang , rupanya hujan di tengah hari”. Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Mampukah Suami?
Kita pernah mendengar satu frasa yang menyebut “ wanita banyak sembilan nafsu tetapi hanya ada satu akal, manakala lelaki hanya ada satu nafsu tetapi ada sembilan akal. Dan nafsu lelaki yang satu itu hanyalah wanita. Maka Allah izin lelaki berkahwin hingga empat orang jika dia benar-benar boleh berlaku adil. Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua.
Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Tiga Pendekatan
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lai, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih. Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya.
Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami.
Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka. Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, senantiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Bersemuka Dan Terus Terang
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Alih Fokus
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Puan perlu ada sebuah kereta sendiri yang dinamakan atas nama puan. Puan aktifkan diri dengan perniagaan. Pada masa yang sama puan aktifkan diri dengan aktiviti kebajikan membantu masyarakat sekeliling yang susah dengan memberi pertolongan. Dengan kata lain, tiga perempat daripada tumpuan puan kepada suami dialihkan kepada aktiviti puan di luar daripada lingkungan rumah.
Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang. Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat.
Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan. Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Status janda sering dipandang serong dalam masyarakat. Dianggap sebagai perampas kebahagiaan dan perosak rumahtangga orang lain. Meskipun bukan semua wanita bergelar janda bersikap begini, namun realiti selalu terjadi dalam kehidupan, ada isteri yang terpaksa mengundur diri demi ‘kebahagiaan’ wanita lain. Para isteri dijandakan oleh suami demi ‘mengejar’ janda yang lain. Malah lebih perit, bila suami ‘angaukan’ janda dan wanita lain, segala pengorbanan dan apa yang isteri buat semuanya serba tak kena.
Hadam perkongsian daripada Firdaus Shakirin ini, memang ada benarnya.
“Isteri mengundur diri demi seorang janda…”
Berat nak tulis, tapi bila dah berlaku depan mata, rasanya perkara ni banyak yang terjadi dalam masyarakat kita. Bila suami angau dengan janda, maka apa yang isteri buat semuanya tak kena. Kebaikan isteri, pengorbanan isteri, dilupa sekelip mata.
“Awak tak faham saya, dia lebih faham saya”
Kata-kata yang keluar dari mulut seorang suami kepada seorang isteri yang telah melahirkan 5 orang anak.
Ya, dalam tidak faham dia tu, 5 kali isteri berjuang melahirkan zuriat dia. Selang 2 tahun, isteri akan membawa perut untuk tempoh 9 bulan 10 hari.Selang 2 tahun, isteri akan masuk labour room, menjerit, bergadai nyawa untuk melahirkan zuriat suaminya.
Setiap 3 tahun, isteri akan melalui proses pantang selama 44 hari. Pulih diri luar dan dalam, tak sempat pulih sepenuhnya, dah kembali melayan suami dan mengandung semula.
Kini, seorang janda lebih memahami suaminya.
Isteri sibuk dengan anak-anak, isteri sibuk menguruskan rumahtangga, isteri sibuk dengan kerja-kerja rumah…mana suami?
Suami sedang bermesra, berkasih, bercinta dengan janda. Suami sedang kemaruk perasaan dengan janda.
Cuba Pertahankan Suami
Isteri cuba mempertahankan suami, hubungan dan perkahwinannya, isteri cuba berbincang dengan janda tersebut untuk menjauhi suaminya atas alasan suaminya tak baik seperti yang disangka janda tersebut, suami tak mampu, anak-anak ramai, isteri yang banyak tolong suami dan sebagainya.
Janda mengadu pada suami orang tu. Janda kata isterinya memperburukkan suami orang tu. Lalu suami orang marah isteri sendiri demi mempertahankan janda yang baru dikenali. Isteri yang dah 15 tahun dengannya dituduh macam-macam, dihina, dimaki dengan mudahnya. Yang haram dibela, yang halal dicerca.
Isteri cuba untuk redha, cuba untuk terima atas alasan tak nak suami buat dosa, buat maksiat. Lalu bernikahlah si suami dengan si janda tersebut.
Hari demi hari, suami dah jarang balik rumah. Minggu demi minggu, suami dah tak beli apa-apa keperluan rumah. Bulan demi bulan, isteri yang keluarkan duit sendiri untuk kelangsungan hidup diri dan anak-anak.
Isteri dah mula pasrah untuk kehilangan suami yang sebegini, lalu isteri buat keputusan untuk pergi.
“Silakan…aku dah lama takde perasaan dengan kau. Kau ada ke tak dalam hidup aku, sama je” kata si suami.
Pulanglah si isteri dan anak-anak ke pangkuan orang tuanya. Bermulalah hari si isteri, kehidupan si isteri untuk anak-anak. Mengundur diri kerana tak ingin lagi sengsara. Mengundur diri kerana tak ingin lagi terseksa, jiwa dan raga dan cukup-cukup terluka.
Bukan tak sayang hubungan, bukan tak nak pertahankan, tapi dah penat melakukannya sorang diri. Inilah hakikat, inilah kisah benar yang terjadi dalam kehidupan isteri yang dijandakan suami untuk janda lain. Perit, pedih, pahit, tapi realitinya memang inilah yang selalunya terjadi.
Inilah cerita tentang lelaki yang PALING TAK GUNA dan janda yang PALING RENDAH AKHLAKNYA yang wujud dalam masyarakat.
Wanita Paling Tabah
Saya nampak kehidupan seorang isteri yang berubah status disebabkan suami macam ni, nampak lebih hebat, lebih baik, lebih bahagia. Dia lagi bersyukur dengan pilihan yang dia buat. Di permulaan saja dia goyah, sekarang dialah yang paling tabah.
Anyway, saya mendoakan hidup ibu tunggal di luar sana sentiasa dimurahkan rezeki, dipermudahkan urusan dan berpeganglah pada pesanan ini,
“Awak perempuan, harap awak faham perasaan perempuan lain. Kalau awak tak faham, maka tak payah lah jadi perempuan”
Adakalanya, isteri tak tolak poligami, bahkan cuba jugak menyesuaikan diri dengan apa yang terjadi. Tapi bila si suami tu tak mampu, kemampuan tu sekadar sembang biawak pun boleh terbang, maka terjadilah penganiayaan dalam rumahtangga atas ketidakmampuan suami untuk beristeri lebih dari satu. Yang baru nak undur diri? Tunggu biawak terbang tu sampai darat balik la jawabnya. Dia ambik buat harta dia la.
Mingguan Wanita: Memang ada benarnya perkongsian ini. Renung-renungkanlah. Jadilah wanita yang bermaruah dan tidak merampas kebahagiaan orang lain. Apabila diri tidak lagi dihargai, kebanyakan isteri lebih rela mengundurkan diri dalam perkahwinan demi janda yang lain.
Ibu hilang ingatan akibat komplikasi bersalin anak ke-18, "semua benda tak ingat kecuali Qurannya...". Insiden seorang lelaki kurang upaya dibelasah di Terengganu cukup mendatangkan...