Pernah tak dalam rumahtangga ada ketika serba tak kena, tiba-tiba rasa benci, kadang rasa nak marah tak tentu pasal, kerap prasangka buruk pada pasangan, isu kecil pun boleh jadi isu besar. Ia berlarutan berhari-hari. Malah hubungan pun mula lah jadi dingin. Tengok muka pasangan pun rasa meluat, tapi dalam hati rasa sayang dan bila berjauhan rasa rindu! Hah, bila keadaan ini berlaku, salah satunya adalah berpunca daripada jin/ syaitan penghasut yang bernama “Dasim”.

Selain itu, ia juga boleh jadi berpunca daripada gangguan sihir pemisah. Mungkin ada yang rasa cemburu, hasad dengki dengan kebahagiaan rumahtangga yang dimiliki.

Menurut Ustaz Norazri Medzlan dari Pusat Rawatan syifa An-Nur Cawangan Jengka, dalam perubatan Islam ada ayat tertentu yang boleh diamalkan untuk ‘membatalkan’sihir ini. Baca berulang kali selepas solat agar terhindar daripada sihir ini.

Berikut perkongsian daripada Ustaz Norazri Medzlan sebagai panduan.

“Suami isteri kalau tiba-tiba tanpa sebab rasa benci di antara satu sama lain, hubungan menjadi dingin, ada sahaja yang tidak kena didalam rumahtangga. Berlarutan sehingga berhari-hari. Bacalah surah Al-Baqarah Ayat 102 berulang kali setiap kali selepas solat.”

IKLAN

“Didalam perubatan islam ayat ni adalah sebagai ayat pembatal sihir iaitu sihir pemisah. Jika anda membaca ayat ni anda merasa sesuatu pada tubuh seperti pening, panas, bedebar-debar, loya atau muntah. Kemungkinan tubuh anda mempunyai gangguan makhluk halus (jin). Segera ke pusat rawatan islam untuk mendapatkan rawatan.”

Maksudnya:

“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”.

“Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.”

MW: Semoga perkongsian doa ini bermanfaat dan dijadikan amalan. Semoga rumahtangga kita terhindar daripada hasad dengki dan cemburu manusia, kerana bahayanya sihir pemisah ini yang boleh meruntuhkan rumahtangga yang dibina.

Sumber:Norazri Medzlan