
Akaun fleksibel KSWP, 5.5 Juta ahli keluarkan RM19.87 bilion setakat Mei 2026.
Seramai 5.5 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan sebanyak RM19.87 bilion daripada Akaun Fleksibel KWSP setakat 31 Mei lalu dengan majoriti menggunakan kemudahan itu bagi menampung keperluan hidup harian.
Kementerian Kewangan memaklumkan, baki simpanan dalam Akaun Fleksibel sehingga tempoh sama adalah sebanyak RM14.36 bilion.
Akaun Fleksibel KWSP Bantu Ahli Tampung Keperluan Harian
Berdasarkan laporan penyelidikan Enduring Today, Shaping Tomorrow: Akaun Fleksibel as a Financial Lifeline for Wellbeing yang diterbitkan pada April lalu, kira-kira 37 peratus atau lima juta ahli membuat sekurang-kurangnya satu pengeluaran daripada Akaun Fleksibel bagi tempoh Mei 2024 hingga Oktober 2025.
Sebaliknya, 63 peratus atau 8.4 juta ahli tidak membuat sebarang pengeluaran.
Daripada kumpulan itu, 44 peratus mempunyai baki simpanan yang mencukupi tetapi memilih untuk mengekalkan wang mereka sebagai simpanan persaraan.
Manakala 56 peratus lagi tidak membuat pengeluaran kerana baki Akaun Fleksibel mereka sifar atau kurang daripada amaun minimum RM50, sekali gus tidak memenuhi syarat minimum untuk membuat pengeluaran.
Laporan sama turut menunjukkan Akaun Fleksibel dimanfaatkan oleh ahli terutamanya bagi memenuhi keperluan harian, diikuti perbelanjaan rawatan kesihatan dan pembayaran hutang.

Corak Pengeluaran Semakin Stabil
Kementerian Kewangan menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai langkah kerajaan memastikan daya tahan dana persaraan KWSP serta kelestarian simpanan ahli selepas pelaksanaan Akaun Fleksibel.
Menurut kementerian, analisis KWSP mendapati corak pengeluaran Akaun Fleksibel yang diperkenalkan pada 11 Mei 2024 semakin stabil selepas fasa awal pelaksanaannya.
Jumlah pengeluaran bulanan dilaporkan menurun secara beransur-ansur kepada purata sekitar RM440 juta sebulan sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2025, sekali gus menunjukkan penggunaan kemudahan itu semakin seimbang berbanding ketika ia mula diperkenalkan.
Anda mungkin berminat dengan

Kerajaan Terus Lindungi Simpanan Persaraan Ahli
Bagi memastikan dana persaraan kekal mampan, kerajaan bersama KWSP akan terus mengekalkan struktur simpanan teras selain memantau trend pengeluaran Akaun Fleksibel secara berterusan.
Langkah lain termasuk memperkukuh literasi kewangan, menggalakkan caruman tambahan dan sukarela, mengamalkan pengurusan pelaburan yang berhemat serta melaksanakan penilaian dasar secara berkala.
Menurut Kementerian Kewangan, langkah berkenaan penting bagi memastikan keseimbangan antara keperluan kewangan jangka pendek ahli dan kecukupan simpanan persaraan jangka panjang terus terpelihara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

