
Usah menambahkan kesedihan kepada ahli keluarga mangsa nahas konvoi RXZ, mereka sedang melalui ujian yang sangat berat. Tragedi ini telah meragut nyawa dan meninggalkan luka yang mendalam kepada banyak keluarga.
Sebaiknya, tidak perlu kita menambah penderitaan mereka dengan menyebarkan maklumat yang belum pasti atau menjatuhkan hukuman sebelum kebenaran benar-benar jelas.
Anak Mangsa Nahas Konvoi RXZ Kongsi Pesanan Terakhir Ayahnya

Bercerita soal nahas kemalangan RXZ, salah seorang penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan melibatkan 13 kenderaan di KM 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Kuantan hari ini sempat berpesan kepada anaknya supaya rajin belajar ketika menghantarnya ke asrama sekolah pada minggu lepas.
Muhammad Aqiff Amsyar Che Mohd Sufian, 13, yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu berkata bapanya, Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, turut berpesan agar dia tekun menjalani latihan hoki demi merealisasikan cita-citanya menjadi pemain hoki yang berjaya pada masa depan.
“Ayah bersungguh-sungguh mengingatkan saya tentang perkara itu sepanjang perjalanan menghantar saya ke asrama SMK Padang Midin.
“Saya tidak menyangka kata-kata ayah saya itu menjadi pesanan terakhir sebelum meninggal dunia dalam kemalangan di LPT malam tadi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Merah Paka.
Beliau berkata, pesanan terakhir bapanya itu akan sentiasa dikenang dan dijadikan pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh serta mencapai cita-citanya pada masa hadapan.
Che Mohd Sufian


Dalam pada itu, anak sulung daripada empat beradik itu berkata bapanya membeli motosikal Yamaha RXZ terpakai tersebut pada 2024 sebelum membaik pulihnya secara berperingkat sehingga berada dalam keadaan baik untuk digunakan.
“Sebelum ini ayah juga beberapa kali membawa saya menyertai konvoi motosikal RXZ bersama rakan-rakannya ke beberapa lokasi, sekali gus menjadikan kenangan itu antara saat paling bermakna yang akan saya kenang sepanjang hayat,” katanya.

Untuk info, empat penunggang motosikal maut manakala beberapa lagi cedera dalam kemalangan melibatkan 13 kenderaan di KM 246.4 LPT berhampiran Kuantan awal pagi tadi.
Anda mungkin berminat dengan
Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan dan Mohd Aizat Husni masing-masing berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ meninggal dunia di tempat kejadian.
Kemudian seorang lagi mangsa Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan 12 motosikal itu.
Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa yang terkorban. Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa mereka, melimpahkan rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

