![RKS](https://cdn.mingguanwanita.my/2019/06/rks-10_41_126689-696x365.png)
Lumrah kasih mak ayah sayangkan anak, sepenuh jiwa.Ditatang bagai minyak yang penuh dan tak mahu anak hidup susah.Mungkin atas faktor mak ayah pernah hidup susah dan mengalami kesempitan hidup ketika kecil, maka segala keinginan anak dipenuhi, hidup terlampau selesa agar tidak mengalami nasib yang sama.
Namun tanpa sedar, kemewahan dan keselesaan yang diberikan buat anak ini kelak boleh mengakibatkan mereka mengalami Rich Kid Syndrome!
Untuk ketahui lebih lanjut, jemput baca perkongsian ilmu oleh Dr Taufiq Razif ini sebagai rujukan;
Hati-hati dengan Rich Kid Syndrome!
Hati-hati bila anak kita terlalu sukakan barang barang branded, selalu mendesak nak makan tempat mewah dan mahal, jijik dengan tempat tempat yang murah dan jadikan mak ayahnya ATM berjalan.
Jangan jangan anak kita dah kena Rich Kid Syndrome ( RKS )!
Sindrom ni bukan kena pada anak anak orang kaya je tetapi anak anak orang biasa biasa pun boleh kena. Kadang-kadang kita dulu pernah jatuh miskin, jadi bila dah berduit sikit kita pun hamburkanlah pada anak anak kita.
Ye, kita taknak anak kita susah macam kita dulu dulu. Kita anggap inilah ‘act of love’ kita pada mereka tapi limpahan kemewahan tanpa kawalan ni hanya akan merosakkan identiti dan ‘self-control’ anak kita.
Akhirnya mereka akan jijik dengan kesusahan dan memandang hina semua yang berkaitan dengan kesusahan dan kemiskinan. Jinakkan kembali RKS ini dengan selalu menceritakan pengalaman-pengalaman kemiskinan dan kesusahan diri kita suatu ketika dulu.
” Nak, hidup kamu dah senang sangat sekarang. Sini ayah nak ceritakan pengalaman ayah tinggal di rumah buruk nenek dulu”.
” Nak, kamu sekarang ni dah mewah sangat. Sini mak cerita betapa peritnya hidup mak dulu”.
Turunkanlah ego anak RKS ini dengan menceritakan kedaifan dan kemiskinan anak anak pelarian dan fakir miskin di sekelilingnya.
Bagitahu anak mereka bahawa anak anak yang susah itu WUJUD di dunia ini.
Bagitahu anak RKS ini bahawa ada anak di luar sana yang tiap hari hanya makan roti dan sayur! Bagitahu juga anak RKS ini bahawa ada anak di luar yang seumur hidupnya tak mampu pun nak menjamah KFC mahupun McD!
Bagitahu juga anak RKS ini bahawa di luar sana ada berjuta kanak kanak yang tak ada makanan pun untuk dimakan hari ini!
p/s : Anak yang mengalami Rich Kid Syndrome ni akan sangat susah berpuas hati dengan kebaikan & budi daripada mak ayahnya sendiri! Jadi, ubahlah cara didikan kita sebelum terlambat.
p/s : Nak belajar lebih banyak lagi ilmu mendidik anak, boleh klik link ni ? t.me/NotaTaufiqRazif
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, berpada-padalah dalam memanjakan anak-anak dengan memberi segala kemewahan. Ajarkan mereka erti kesusahan dan kesempitan hidup yang dialami anak-anak lain diseluruh dunia agar dapat dijadikan pengajaran hidup buat mereka.
Sumber: Dr Taufiq Razif
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mainan Anak, Bukan Tak Boleh Belikan Langsung Tapi Biarlah Kena Gayanya
![Mainan Anak, Bukan Tak Boleh Belikan Langsung Tapi Biarlah Kena Gayanya](https://cdn.mingguanwanita.my/2017/10/MAINAN.jpg)
Ada sesetengah mak ayah cukup trauma nak belikan mainan anak, bukan sebab kedekut duit tetapi risau kalau anak terbiasa dan waktu tak dapat dia buat perangai depan orang ramai.
Haaa… ini boleh naikkan kemarahan. Untuk elak berlaku situasi yang buruk, mungkin mak ayah boleh ikut cara saudara Mohd Fadhli ini…
Hari ini pergi pasar minggu Temerloh. Anak saya suka berjalan dan tidak suka di dukung. Sepanjang perjalanan dalam pasar besar yang mengambil masa 1 jam itu, banyak kedai mainan yang saya lintas. Tapi tidak satu pun anak saya minta untuk di belikan.
Namun akhirnya, saya sendiri belikan set robocar poly yang menjadi trending budak budak sekarang. Saya tahu anak saya sangat menyukainya.
Ini adalah cara saya, pengalaman saya. Mungkin sahabat diluar boleh tiru atau boleh beri sumbang saran. Setiap anak mempunyai kaedah yang berbeza.
Budak kecil memang tidak lepas dari mainan. Ke mana sahaja dia pergi, jika nampak mainan pasti hendak memilikinya. Bagaimana cara nak dapat ? Itu mengikut kreativiti mereka. Ada yang menangis, ada yang tantrum dan ada yang minta tanpa tangisan.
Anak saya tidak terlepas dari itu. Bila mengenali mainan, dia kerap meminta bila pergi ke mana. Kali pertama atau kedua boleh lagi kita ikut permintaan mereka. Namun bila kali ketiga kita perlu merasionalkan mereka.
Antara langkah langkah yang saya akan buat ialah;
1. Bual bual dengan anak, kaitkan permainan dengan kehidupan.
Permainan ini kita bermain untuk gembira bukan untuk selamanya. Ada ketika kita happy happy. Tak semua waktu kita perlu happy2. Perlu cakap. Dia mengerti atau tidak itu bukan alasan.
Anak anak ini cukup kuat installnya. Setiap apa yang diperkatakan akan di simpan dalam otak. Penzahirannya tidak di ketahui. Oleh itu ibu bapa mainkan peranan yang penting menyampaikan mesej-mesej yang bermanfaat sepanjang masa.
2. Tekankan pada anak konsep bersyukur.
Barang mainan di rumah masih elok dan boleh digunakan. Di sini ibu ayah boleh berikan mesej agar menghargai setiap pemberian agar mainan tersebut tahan lama.
Penekanan bersyukur juga boleh dipupuk dengan mendidik anak anak melalui konsep menabung. Duit yang sepatutnya kita beli mainan adalah lebih baik kita menabung.
Saya selalu beritahu dan instalkan dalam diri anak saya, duit yang ada kita masuk tabung untuk tengok kaabah. Akhirnya setiap duit yang dia dapat dari mak tok…tok abah dan wan akan diberi pada saya sambil cakap.
“Duit ni Khaulah nak tengok KAABAH “
3. Tegas pada anak.
Sebelum pergi mall atau pasar malam. Saya akan cakap dengan anak , ” tengok jer, jangan macam2 “.
Hasilnya sampai di mall atau pasar anak anak ini tidak akan meminta. Walaupun kita lalu di hadapan penjualan mainan, dia akan ajuk balik “tengok je, jangan macam2 “. Hehehe
Saya pernah singgah di tempat jual mainan. Anak saya akan tengok jer. Dia tak minta pun, apatah lagi nak merengek menangis. Sampai penjual mainan pelik, kenapa lah budak ni tak minta mainan.
4. Ugut anak dengan mainan.
Ugutan ini berbentuk ganjaran. Anak anak ini mudah akan patuh pada arahan kita bila tiba tiba mereka di suprise kan oleh ibu ayah.
Saya selalu cakap dengan anak.
“Abi dah beli mainan, pasni kakak mesti solat tau. Ingat tu”
Dia nak ikut atau tidak terpulang pada dia. Ketika nak solat kita tegaskan kembali mengenai ugutan tadi.
“Khaulah, cepat solat ngan abi. Tadikan abi dah belikan mainan khaulah. Kalo x, nanti abi x belikan lagi tak pun abi bagi kat orang lain nak?”
Ugutan sebegini biasanya dia akan ikut. Tapi jangan sampai terlalu memaksa. Cara kita sebagai ibu ayah berkomunikasi sebenarnya mampu mempengaruhi minda anak.
Ibu ayah perlu BIJAK
Bukan nak kata saya bijak. Tapi jom kita jadi bijak sama sama. Hari ini ramai ibu ayah suka ikut permintaan anak anak mereka sejak dari kecil. Apa mereka nak semua diberi tanpa ada sanggahan dan merasionalkan setiap tindakan. Bila budak tu menangis di marah dan di rotan.
Lumrah anak anak memang dekat dengan mainan. Maka kita perlu raikan mereka dengan mainan. Tetapi jangan pula terlalu manja dan berikan anak dengan mainan sahaja. Belajarlah tarik tali dengan anak.
Biasanya anak anak yang telah dibiasakan dengan pemberian tanpa ada sanggahan, anak anak ini akan cepat memberontak kerana kemahuan mereka tidak dapat ditunaikan. Maka berlakulah pertengkaran dan sesuatu yang tidak baik apabila dewasa. Akhirnya mereka mencari kawan kawan yang boleh memuaskan kemahuan mereka.
Zaman kini, ibu ayah perlu cakna trending, dan budaya anak muda. Jangan hanya mahu ikut cara lama. Benar cara lama sangat membantu tetapi pelbagaikan method kerana anak-anak kita telah banyak pendedahan tanpa sempadan.
MOHD FADHLI BIN OTHMAN
FOUNDER & SPEAKER MODUL GOODBYE PORNOGRAPHY
AKTIVIS MALAYSIANS AGAINST PORNOGRAPHY
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Menyayat Hati, Budak Lelaki 5 Tahun Luah Hasrat Mahu Wajah Baru Hadiah Sempena Krismas!
![Menyayat Hati, Budak Lelaki 5 Tahun Luah Hasrat Mahu Wajah Baru Hadiah Sempena Krismas!](https://cdn.mingguanwanita.my/2018/12/Untitled-design-60.jpg)
Sungguh menyayat hati, tragedi kebakaran yang hampir meragut nyawa meninggalkan kesan mendalam dan memberi kecacatan kekal pada wajah budak lelaki berusia 5 tahun dari Kazakhstan ini.
Seorang budak lelaki berusia lima tahun yang ‘kehilangan’ wajahnya akibat kebakaran ketika masih bayi, menulis kepada Santa Claus meminta diberikan muka baru sebagai hadiah Krismas.
Bakhtiyer Sindrov masih bayi ketika rumah keluarganya musnah dalam kebakaran, lima tahun lalu.Ketika kejadian, Bakhtiyer sedang tidur di atas katilnya di sebelah unggun api di dalam rumah.
“Kejadian berlaku ketika dia masih terlalu kecil. Wajah, kepala, leher dan tengkuknya semua terbakar. Memang dia seolah-olah cair hidup-hidup,” kata rakan keluarganya, Olga Ryabeva.
Minta Wajah Baru
Sempena Krismas tahun ini, Bakhtiyer yang kini tinggal di Talgar, Kazakhstan, meminta ioi kebakarankepada Santa wajah baharu agar dia boleh ke sekolah sama seperti kanak-kanak lain.
Bakhtiyer yang masih belum boleh menulis, meminta ayahnya menulis hasrat tersebut. Surat tersebut telah dihantar ke “Ya Ryadom” yang merupakan sebuah organisasi kebajikan di bandar Almaty, Kazakhstan yang sedang menjalankan kempen kebajikan “Surat Kepada Santa”.
Berikut antara kandungan surat tersebut;
“Helo Santa Claus! Saya terbakar ketika masih kecil. Muka saya hilang akibat kebakaran, dan sejak itu saya terpaksa menyorok daripada orang lain kerana mereka takut pada saya.
“Saya sendiri pun takut melihat diri sendiri dalam cermin. Saya tiada hidung, telinga atau rambut.
“Mak saya cakap, saya tak boleh pergi ke sekolah. Saya selalu rasa sakit, tapi saya tak nangis.Mak saya yang menangis.
“Wahai Santa, tolong berikan saya wajah yang baru, saya takkan rasa sedih dan menangis dalam hidup lagi. Saya cuma mahu jadi seperti kanak-kanak yang lain,” luah Bakhtiyer dalam surat yang ditulis oleh ayahnya.
Selama beberapa tahun, Bakhtiyer tidak boleh membuka mulut dan diberikan makanan menerusi tiub dan menyebabkan giginya rosak. Pada tahun lepas, Bakhtiyer telah menerima rawatan di MedIndia clinic di India. Pembedahan membentuk wajahnya telah memberikan Bakhtiyer bibir, gigi dan kelopak mata yang baru.
Pada Julai tahun ini, para doktor telah memasukkan implan pada lehernya untuk merengangkan kulit pada wajahnya. Kulit pada lehernya akan digunakan untuk menggantikan kulit pada wajah Bakhtiyer yang telah terbakar. Bakhtiyer juga akan melalui pembedahan pada akhir Disember ini.
MW: Didoakan semoga Bakhtiyer cepat sembuh dan impian untuk mempunyai wajah baru terlaksana.Pesanan juga buat mak ayah, jangan sesekali terleka dengan keselamatan anak-anak, deritanya anak-anak yang menanggungnya nanti.
Sumber: The Sun
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lalui 5 Pembedahan Dan 26 Kali Suntikan Rawatan IVF, Akhirnya Isteri Ini Redha Impian Konvo Dengan ‘Baby’ Allah Belum Tunaikan
![Lalui 5 Pembedahan Dan 26 Kali Suntikan Rawatan IVF, Akhirnya Isteri Ini Redha Impian Konvo Dengan ‘Baby’ Allah Belum Tunaikan](https://www.mingguanwanita.my/wp-content/uploads/2017/11/24133768_10155847756208149_137378199_n-1.jpg)
Ada isteri diuji dengan kehamilan yang mudah namun menempuh alahan yang sukar. Tak kurang juga isteri yang begitu inginkan cahaya mata, tapi sukar mengandung sehingga perlu melalui pelbagai prosedur rawatan.
Biar apa pun ujian tuhan, redha, sabar dan ikhlas itulah kekuatan sebenar pasangan suami isteri. Ahamad Emran Bin Anwarruddin, 37 dan Fadzilah Hj Ahmad Marzuki, 35 lalui prosedur rawatan IVF untuk mendapatkan cahaya mata. Dan akhirnya terpaksa akur, rezeki ‘baby’ belum lagi memihak pada mereka.
Perjalanan Rawatan IVF Kami
Perkenalan yang singkat membawa kami ke jinjang pelamin. Minat yang sama, aktif dalam dunia ‘charity’ buatkan kami serasi bersama. Suami bekerja di sektor swasta manakala saya di sektor awam.
Pada 20 Februari 2016 kami mendirikan rumahtangga. Kiranya #BercintaSelepasNikah.
Memikirkan usia sudah pun melalui fasa 30-an, kami berusaha untuk mendapatkan cahaya mata. Waktu itu, kami fikir mungkin sukar atau lewat sebab saya bekerja di Melaka, suami pula di Kuala Lumpur.
Bermulanya Ujian Buat Kami Suami Isteri
Jun 2016
Saya mengalami pendarahan luar biasa tidak sama seperti ketika period. Disusuli dengan rasa sakit yang teramat di bahagian peranakan. Sangka saya keguguran.
Satu sikap saya ‘suka tahan sakit’. Sampailah hari ke-4 baru beritahu suami. Secepat mungkin, suami dan mertua ambil saya di Melaka dan bawa pulang ke Kuala Lumpur.
Mertua rujukkan saya ke Klinik Dr. Hamid Arshat. Keputusannya, kedudukan rahim saya terjatuh ke belakang sampai terkena tulang belakang. Itu rupanya punca sakit yang teramat.
Doktor cadangkan buat pembedahan segera. Sebab waktu itu, saya tak boleh berdiri tegak. Tahan sakit dan bleeding teruk
Selesai pembedahan, saya dimaklumkan kedudukan rahim telah diperbetulkan (doktor menjahit rahim di dinding perut). Agar tidak jatuh ke belakang lagi. Tiub fallopio kiri-kanan yang tersumbat, doktor potong dan sambung semula.
Julai 2016
Saya alami sakit perut yang teramat dan dirujuk ke hospital semula. Rupanya tiub fallopio sebelah kiri membengkak (ada jangkitan kuman. Doktor tak dapat lakukan pembedahan kerana jarak yang terlalu dekat dengan pembedahan terdahulu.
Seminggu saya di hospital. Tiada jalan lain, doktor masukkan 6 botol antibiotik dan 4 botol air dan beberapa suntikan. SAKIT, hanya Allah saja yang tahu.
Selepas seminggu bengkak berkurang, demam pun tiada. Doktor benarkan saya pulang ke rumah.
* Waktu ini, saya diwadkan di Hospital Pantai bangsar kerana ketika ini Dr Hamid Arshad sedang menunaikan umrah.
Januari – Disember 2016
Adalah 2 semester terakhir saya. Ini impian saya, mahu sambung belajar sampai universiti. Dengan kesihatan yang kurang baik, perlu hadir ke kelas pada hujung minggu, siapkan assignment ikut waktunya.. Semua itu buat saya KUAT.
Masa Berlalu
April 2017
Saya demam on off. Alami sakit perut yang teramat. Kami ke klinik Dr Hamid Arshat. Tapi tunggu giliran yang terlalu lama, buatkan suami bawa saya ke Pakar Sakit Puan Bangsar. Doktor tak dapat kesan punca sakit.
Saya disarankan buat HSG di Hospital Pantai semula. Hasil keputusan, tiub fallopio saya tersumbat sekali lagi.
Allahuakhbar.. sedih tak terkata.
Saya terus dirujuk ke Sunfert Fertility Bangsar. Dari ujian tahulah saya yang tiub fallopio sebelah kiri bengkak semula. Doktor pakar minta saya maklumkan segera kes saya pada Dr Hamid. Secepat mungkin saya call klinik Dr dan dapat berjumpa beliau.
Hasil pemeriksaan saya disarankan membuat pembedahan membuang tiub fallopio sebelah kiri. Bimbang ia pecah di dalam. Kalau dibiarkan pun akan ganggu proses IVF. Dr Hamid sarankan saya lakukan pembedahan dan rawatan IVF di Pusat Perubatan Universiti Malaya
Ogos 2017
Saya jalani pembedahan buang tiub fallopio sebelah kiri. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah jua tiub sebelah kanan tak lagi tersumbat. Untuk semua itu, saya telah mengambil risiko pembedahan kali ke-5 dalam hidup saya. 3 kaitan dengan organ wanita dan 2 lagi organ lain (pendiks dan buang hempedu).
Sebaik mana pun kita menjaga kesihatan dengan bersenam serta kawal pemakanan, namun kuasa ALLAH “Kun Faya Kun”…maka saya REDHA. Sehari selepas pembedahan buang tiub fallopio kiri, Doktor Pakar iaitu bawah jagaan Dr Mukhri.
Beliau telah berjumpa dengan saya dan suami serta perlu buat keputusan SEGERA. Katanya, hasil pembedahan, doktor terjumpa sedikit cyst. Doktor dah buang dan sarankan kami terus ke fasa IVF. Kalau terlewat, cyst akan tumbuh semula.
Sakit pembedahan belum hilang, saya terpaksa tanggung sakitnya suntikan bagi tidurkan telur selama 2 bulan.
Rawatan IVF Pun Bermula
11 Oktober 2017
Bermula hari pertama suntikan IVF dan perlu ulang pada setiap hari.
– 10 pagi (Buserelin, 0.5 mls)
– 10 malam (Follitropim Beta 250 iu)
Tempat cucuk di sekitar perut, tidak kurang 3 jari dari pusat. Jika waktu kerja Cc Asmah dan aziah yang tolong cucukkan. Sebab saya sendiri takut dengan jarum. Baikkan officemate saya. Syukur dapat sahabat sebaik mereka.
Check up. Result telur tak produktif lagi. Down sekejap. Doktor tambah dos untuk malam naik kepada 275 iu. Tiap kali lepas injection 10 malam, suami mesti tolong picit-picitkan isteri dia. Sayang juga dia dekat saya. Sakit ok! rasa macam cecair panas mengalir dalam badan. Syukur dapat suami sebaik dia. “Siapa berani kacau kami, aku debik!”
19 Oktober 2017
Check up lagi. Doktor tambah dos untuk malam jadi 300 iu. Walaupun telur nampak perkembangan yang sangat baik. Semakin banyak bilangan dan besar. Dari 7 biji meningkat kepada 15 biji.
Terima kasih Nurul, kawan fb yang tak lokek ilmu. Dia ajar saya makan telur ayam kampung (separuh masak) dan buat jus avocado.
Mulalah misi mencari telur ayam kampung. Time ni lah telur habis stok. Cari dan terus mencari. Akhirnya jumpa juga. Syukur Alhamdullillah. Syukur sangat dapat kawan fb sebaik Nurul walau kami tidak pernah berjumpa.
23 Oktober 2017
Check up lagi. Syukur Alhamdullillah. Malam ni last injection. Sebab doktor dah berpuas hati dengan bilangan telur serta saiz. Malam inject ubat Choriogonadotropin 250 mcg. Istilah Overdrill untuk pecahkan telur.
24 Oktober 2017
Relax. No more injection. 12 malam start puasa.
25 Oktober 2017
Opu + collect sperm. Istilah mudah “kutip telur”. 8.45 pagi mesti dah sampai PPUM. Dalam bilik OT, doktor akan bius separa sedar. Prosedur lebih kurang 1 jam, campur waktu sedar dari bius.
Tiba waktu maghrib, mungkin bius pun telah hilang, rasa sakit yang teramat. Nasib baik Doktor bagi MC 3 hari. Jadi rehat di rumah sahaja. Dalam tempoh ini, berlaku pembengkakkan di kedua ovari kesan dari “kutip telur”.
27 Oktober 2017
Hari yang dinanti. Embrio Transfer. Dari 5 embrio, doktor masukkan 2 sahaja. Bila doktor tunjuk embrio yang telah terbentuk. Subhanallah, rasa nak menitis air mata. Deep sangat ok!
Sebelum bermula ET, perlu minum sebanyak mungkin air kosong. Part ni, Fuhhh berpeluh seksa tahan kencing. Cara ET seperti HSG.
Siapa pernah lalui mungkin tak nak lalui lagi. Sakit! Tanpa bius ok!. Selesai ET, doktor minta pesakit baring di tempat Et selama 15 minit. Prosedur lebih kurang 1 jam lebih campur rehat sementara di wad. Temujanji seterusnya pada 8 Nov. Namun, pada 3 November 2017 saya dah mula sakit perut. Cuba untuk relax, Doa banyak-banyak.
7 November 2017
Saya start bleeding. Masa tu di ofis. Takut, terdiam, sampailah cikgu Ayeesa tegur. Maka berderailah airmata. Blank sekejap. Call PPUM, minta saya ke kecemasan. Tapi saya tidak pergi. Saya tunggu temujanji 8 Nov juga.
8 November 2017
Seawal 8 pagi sudah berada di PPUM. Jumpa sahaja nurse, terus saya cakap “saya dah bleeding, tak mungkin ia jadi”. Nurse pujuk minta bersabar dan berpesan meminta kami suami isteri tidak menyalahkan sesama sendiri.
Hadapi ujian ini dengan sabar dan tabah. Jika gagal, cuba lagi dan lagi. Jangan putus asa. Jam 12 tengah hari result keluar. Seperti yang dijangka dan saya terima dengan Redha. Sedih sangat impian nak konvo 22 November ni dengan baby tak tercapai.
Bertambah sedih bila baki 3 embrio tidak dapat survive. Bermakna, untuk IVF semula perlu lalui injection yang banyak tu… Allahu berat rasa sarat kat hati ni ditambah dengan bleeding yang agak teruk.
Jumlah hari menangis (4hari) Jumlah injection di perut 26 Jumlah prosedur IVF RM 5,500.00 Jumlah ubat RM 3,756.80 (boleh claim semula bagi staf gov)
Doakan Saya Kuat Untuk Buat IVF Lagi
Sekali lagi saya mohon MAAF pada saudara mara dan rakan yang call, tidak berjawab. Whats app tidak saya balas atau lambat. Bukan mudah sebenarnya untuk memujuk hati agar Redha.
Lah Tahzan, Innallah Ma’anna. “Jangan bersedih, sesungguhnya Allah ada bersama-sama kita“.
Perkongsian pengalaman ini adalah menjawab pertanyaan dari kawan-kawan saya. Tika lalui prosedur ini saya lebih suka menyendiri muhasabah diri kerana melalui semua ini dengan kepayahan dan kesakitan.
Apa yang dikongsi ini adalah melalui pengalaman saya lalui prosedur IVF di PPUM. Mungkin cara tiap hospital berbeza. Ubat pun berbeza apatah lagi bayaran.
Suami Sangat Positif, Dia Kekuatan Saya
Kekuatan saya terletak pada suami yang sangat positif. Dengan nada yang lembut, suami pujuk saya jangan bersedih dan kami cuba sekali lagi.
Suami sempat bergurau, katanya “kalau dapat baby sekarang tak cukup prop”. Sebab kami telah merancang jika dapat baby kami ingin ambil gambar baby kami bersama prop yang terdiri dari jarum suntikan, botol ubat dan kotak ubat.
Kami juga sentiasa mendidik hati untuk bersangka baik dengan setiap perancangan ALLAH. Bila hati REDHA, hati kami lebih tenang dan kembali ceria seperti sediakala.
Kami yakin ALLAH sentiasa beri yang terbaik pada setiap hambaNya cuma lambat atau cepat sahaja.
Terkini. Saya baru sahaja dapat panggilan dari Doktor Pakar IVF PPUM untuk berjumpa bagi membincangkan kegagalan IVF yang lalu dan akan membuat IVF yang ke-2 pada tahun 2018 nanti.
MW doakan semoga Fadzilah Hj Ahmad Marzuki dapat menjalani prosedur rawatan IVF kali kedua dengan jayanya dan dipermudahkan perjalanan IVF untuk tahun depan. Amin.
Sumber/Foto : Zila FadZilah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI