Ketika menghadiri majlis keraian seperti majlis rumah terbuka, majlis harijadi dan sebagainya pelbagai hidangan enak terhidang di atas meja. Si kecil pasti teruja melihat aneka hidangan manis yang menjadi dambaan mereka. Sebagai ibu anda perlu peka dan pantau dengan makanan yang si kecil ambil bagi memastikan mereka tidak mengambil makanan yang tidak baik secara berlebihan.  Anda mungkin tak punya banyak masa dan mata untuk memerhatikan gerak langkah si kecil namun apa yang boleh anda buat adalah:

  1. Seimbangkan makanan

Hal ini dapat dilakukan dengan mengajar anak-anak untuk makan secara bersederhana bagi semua jenis kumpulan makanan seperti karbohidrat, protein dan lemak. Bagi buah-buahan dan sayur-sayuran pula, ia perlu diambil dalam jumlah yang banyak tetapi tetap perlu diseimbangkan dengan jenis kumpulan makanan yang lain juga.

Apa yang berlaku pada masa kini ialah si anak dibiarkan makan secara berlebihan. Lemak yang terlalu banyak daripada makanan yang diambil akhirnya disimpan di dalam tubuh lalu menjadi penyebab obesiti terjadi.

  1. Minimumkan makanan ringan

Makanan ringan mengandungi perisa dan pewarna yang dapat memikat selera si dia untuk memakannya secara berlebihan. Pengambilan makanan ringan seperti snek, gula-gula dan seumpama dengannya boleh menyebabkan anak enggan mengambil makanan yang lebih berkhasiat. Ketahuilah, bahan tambahan yang terdapat dalam makanan sebegini juga boleh menjejaskan kesihatan anak anda apabila meningkat dewasa.

IKLAN
  1. Sekat minum berkarbonat

Ada sesetengah rumah yang anda kunjungi menyediakan air minuman berkarbonat di musim perayaan. Minuman berkarbonat tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana kandungan gulanya yang tinggi. Gula yang tinggi boleh menyebabkan anak menjadi hiperaktif dan tidak dapat memberi tumpuan dengan sebaik mungkin. Selain daripada itu minuman berkarbonat turut mengandungi bahan tambahan, pewarna dan perisa yang boleh menyukarkan proses perkumuhan buah pinggang. Jika meminum air berkarbonat menjadi amalan biasa, kegagalan buah pinggang boleh berlaku di usia muda.

  1. Banyakkan minum air

Selepas makan pelbagai makanan di hari raya sebaiknya anda menyuruh si kecil minum air kosong. Anak perlu dididik minum air antara enam hingga lapan gelas sehari. Ia penting untuk fungsi fisiologi tubuh, mengawal suhu badan dan mengeluarkan toksik.

IKLAN
  1. Hadkan gula tambahan

Gula tambahan sering dirujuk sebagai kalori kosong. Pengambilannya secara berlebihan meningkatkan risiko obesiti. Tindakan mengehadkan jumlah gula tambahan dalam diet kanak-kanak memang disyorkan. Anda perlu sedar hakikat ini apabila membuat keputusan mengenai jenis makanan dan minuman yang disediakan untuk anak. Hal ini kerana wujud gula tambahan dalam pelbagai makanan dan minuman yang diproses.

IKLAN

Disebabkan nama ramuan yang kurang dikenali digunakan seperti sukrosa, maltose, dekstrin, sirap jagung dan sirap glukosa, ramai tidak menyedari bahawa mereka memberikan anak terlalu banyak gula.

Info:

Ketahuilah bahawa kanak-kanak perlukan makanan yang segar. Makanan ini pula tidak perlu ditambah dengan garam ataupun gula. Pengambilan garam yang berlebihan dikhuatiri boleh merosakkan buah pinggang mereka manakala gula pula boleh menyebabkan masalah kerosakan gigi.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI