Kata penulis, Khadijah Mohamad Nor, kisah yang dikongsikan ini didedikasikan untuk arwah kakaknya yang berjuang melawan kanser sebaik disahkan hamil tiga bulan.
Hebatnya arwah kakak, dalam disahkan kanser bertekad meneruskan kandungan hingga selamat bayinya dilahirkan. Malah kakaknya yang sentiasa menjaga solat dalam apa jua keadaan dihadiahkan kesempatan olehNya menunaikan umrah biarpun baru dua minggu usai menjalani pembedahan.
Tulisnya,
Hari ini (ketika status ini dimuatnaik) umat Islam di Malaysia dan yang seangkatan dengannya meraikan Hari Raya Aidiladha yang sinonim dengan ibadah korban.
Perayaan ini disambut sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sanggup menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS kerana menurut perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
“Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (Keredhaan) Allah, tetapi Ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.
Berkat keikhlasan Nabi Ibrahim melaksanakan suruhan Penciptanya, maka Allah Yang Maha Baik telah menukarkan seekor kibas yang besar sebagai ganti korban Ismail.
Subhanallah, banyak sebenarnya ibrah yang boleh kita dapati melalui kisah Nabi Ibrahim yang sanggup berkorban apa sahaja demi Tuhan yang dicintai.
Ini termasuklah meninggalkan isteri tersayang, Siti Hajar di padang pasir yang tandus bersendirian bersama anak mereka, Ismail.
Kakak Hamil Tiga Bulan Dan Disahkan Kanser
Berbicara tentang aspek ini, hatiku terpanggil untuk berkongsi kisah pengorbanan arwah kakak, Siti Annisah Mohamad Nor ketika diuji dengan masalah kesihatan.
Aku dan arwah hanya berbeza jarak setahun. Dia anak kelapan, manakala aku anak kesembilan daripada 14 beradik (7 lelaki dan 7 perempuan).
Allahyarhamah disahkan menghidap penyakit paling digeruni kaum Hawa, kanser payudara pada usia 31 tahun.
Lebih menyedihkan berita itu diterima ketika arwah sedang hamil anak keempatnya pada usia kandungan hampir tiga bulan.
Masih kekal dalam ingatanku pada tarikh 13 Disember 2013 bila mana arwah kakak memaklumkan perkara tersebut kepada kami semua melalui group WhatsApp keluarga.
Allahuakbar, aku yang ketika itu berada di sebuah sekolah di Ampang untuk mendaftarkan persekolahan anak terkedu membaca mesej tersebut.
Secara tiba-tiba air mata mengalir keluar tanpa dipinta.
“Abang, kak Nisah confirm kanser payudara stage 3. Ya Allah, kesiannya dia,” tuturku pada suami di sisi.
Demam On Off Dekat Sebulan Lamanya
Suasana tiba-tiba sepi seketika. Kegembiraan kami untuk mendaftarkan anak terbantut dek berita yang tidak diduga.
Kerana apabila menyebut tentang kanser, sudah terbayang di mataku ia pasti berakhir dengan kematian. Cuma persoalannya cepat atau lambat.
“Ya Allah kepadaMu kami berserah. Kurniakanlah kekuatan pada kakakku menghadapi ujian hidupnya. Selamatkanlah kandungannya,” tulus doa yang kupanjatkan buat kak Nisah dalam hati.
Sebelum arwah membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dia telah menghidap demam yang on off hampir sebulan.
Ia diikuti dengan rasa lemah-lemah badan selain mempunyai ketulan di bahagian pangkal lengan.
Seminggu selepas keputusan diagnosis diperoleh, kak Nisah memberitahu kami sekeluarga bahawa dia enggan meneruskan rawatan kemoterapi sebaliknya mahu mencuba rawatan alternatif terlebih dahulu.
Tujuannya cuma satu kerana ingin menyelamatkan bayi dalam kandungan.
“Akak bukan tak sayangkan nyawa, tapi siapa tahu baby ini anak perempuan. Lepas ni mesti akak dah tak boleh mengandung lagi,” katanya menjelaskan hasrat hati yang begitu mahukan anak perempuan selepas dikurniakan tiga anak lelaki.
Ads
Kami hanya akur mendengar penjelasannya walaupun dalam hati bimbang bagaimana dia akan meneruskan kehamilan di saat berdepan penyakit yang mengancam nyawa itu.
Apa yang pasti, kakak sangat kuat dan tidak pernah berputus asa mencuba pelbagai rawatan alternatif dalam usaha melawan kanser payudara.
Malah, dia dan suaminya, Azwan Abdullah sanggup mengeluarkan wang sehingga RM30,000 semata-mata untuk membeli ubat daripada seorang pakar yang dikatakan mampu menjadi penawar kanser yang dihidapi.
Besar Jumlah Wang Ringgit, Tenaga Dilaburkan Untuk Rawatan
Ketika menziarahinya di rumah mertua, aku melihat deretan ubat yang dibeli itu memenuhi ruang meja makan bersaiz besar.
Daripada ubat jenis tablet, serbuk hinggalah cecair, semuanya ada.
“MasyaAllah..macam mana kak Nisah nak makan ubat ni. Banyaknya,” bisikku sendirian.
Dalam proses ikhtiar untuk pulih, arwah sentiasa berusaha mencari rawatan yang dirasakan sesuai.
Habis wang ringgit, tenaga dan masanya digunakan bagi tujuan tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan, sewaktu dimasukkan ke hospital akibat komplikasi kehamilan, kakak begitu tegar untuk tidak memberitahu doktor bahawa dia merupakan pesakit kanser payudara.
“Lecehlah kalau beritahu doktor, nanti macam-macam prosedur pula nak dibuat. Allah ada,” ucap kak Nisah tanpa sebarang riak kebimbangan di wajahnya.
Dengan tubuhnya yang kurus, kami rasa sayu dan hiba melihat keadaannya tetapi kesedihan itu tidak dipamerkan ketika melawatnya.
“Kita semua kena kuat, jangan tunjukkan perasaan sedih depan Nisah. Dia perlukan sokongan kita semua,” nasihat kakakku, Siti Hanim, 45, pada kami adik-beradik.
Berkat doa semua dan kuasa Allah, arwah kakak akhirnya selamat melahirkan bayi perempuan secara normal pada 24 Mac 2014 ketika usia kandungannya tujuh bulan.
Bayi pramatang seberat 1.3 kilogram itu diberi nama Fatimah As-Syifa dan dia menjadi simbol kekuatan kakak sebagai pesakit kanser.
Menurut seorang lagi kakakku, Siti Mariam, 40, dia tidak dapat melupakan saat mendengar perbualan seorang jururawat dengan arwah.
“Payudara sebelah kanan puan dah keras sangat. Bengkak susu ni. Nanti puan tuam dengan tuala panas ye untuk kurangkan bengkak tu,” ucap jururawat tersebut sambil menekan-nekan bahagian payudara arwah yang membengkak.
Pada waktu yang sama arwah membuat mimik muka seolah-olah meminta kak Siti jangan memberitahu perkara sebenar kepadanya.
“Disebabkan tak tahan melihat situasi itu, akak terus lari keluar dari wad dan menangis semahunya,” imbau kak Siti mengenai peristiwa lalu.
Usai tempoh berpantang, kak Nisah tetap enggan mendapatkan rawatan kemoterapi di hospital.
Ads
Akhirnya Kakak Mengalah, Lakukan Rawatan Di Hospital
Dia masih setia dengan rawatan alternatif hasil sokongan kumpulan rakan-rakan survivor kanser.
Pernah satu ketika, arwah mengajak abang ipar, Mohd Fauzie dan kakak, Siti Hanim menemaninya ke Kelantan untuk menjalani rawatan alternatif disebabkan suaminya tidak dapat turut serta atas kekangan tugas.
Memandangkan mahu bermusafir jauh, suamiku menawarkan kereta Viosnya untuk digunakan semata-mata mahu kak Nisah berasa selesa.
Bagaimanapun selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, kakak akhirnya bersetuju dibawa ke hospital.
Itupun selepas dipujuk mak dan abah.
Sejak itu sekitar Mac 2015, HUKM mula menjadi rumah keduanya.
Kakak berjaya menjalani lapan cycle kemoterapi selain beberapa rawatan radioterapi.
Sentiasa Jaga Solat Walau Diuji Sakit Tenat
Apa yang sangat kami kagumi, walaupun dalam keadaan menahan sakit dan kurang bermaya, arwah kakak tidak pernah meninggalkan solatnya.
“Dia akan minta bantuan untuk berwuduk dengan cara semburan air.
“Waktu den ratakan air wuduknya, kelihatan wajahnya tenang sekali. Allahurabbi…kuatnya kak Nisah,” jelas adik perempuan bongsu kami, Siti Salbiah, 27, yang sering menemani kakak di hospital termasuk ketika menginap selama tiga minggu di sebuah homestay di Melaka bagi tujuan berubat.
Sepanjang kakak dirawat di hospital, saya akan cuba melawatnya sekerap yang mungkin kerana ia terletak berdekatan dengan pejabat Kosmo di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
“Ijah, nanti tolong belikan akak milo ye kalau datang. Milo dah habis,” antara mesejnya melalui WhatsApp yang masih ku simpan hingga kini.
Pada awal Januari 2016, kakak menjalani pembedahan mastektomi untuk membuang sebelah payudaranya.
Ironinya pembedahan itu dilakukan hanya dua minggu sebelum tarikh arwah dijadualkan menunaikan umrah bersama suaminya.
Dalam keterujaannya untuk ke Tanah Suci, kami sekeluarga yang risau tentang keadaan kesihatannya.
Namun, Subhanallah… kakak berjaya melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna.
Berseri-seri Kakak Tunaikan Umrah
Wajahnya penuh berseri ketika menghantar gambar berlatarkan Kaabah di group WhatsApp keluarga.
Ads
Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan pada Ilahi atas nikmat yang dikurniakan padanya.
Bagaimanapun, sebagai manusia yang telah ditentukan ajalnya, tiada yang mampu menghalang takdir Allah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 145 yang bermaksud:
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.”
Selepas mengharungi tiga tahun yang penuh dugaan sebagai pesakit kanser payudara, kakak akhirnya dijemput pulang bertemu Ilahi pada hening pagi 15 Oktober 2016, dua hari selepas hari lahirku.
Kali terakhir melawatnya pada 13 Oktober bersama hari Khamis malam Jumaat, arwah sudah tidak mampu berbicara.
Bening matanya seolah-olah mahu berkata sesuatu, namun tidak terluah.
Selesai membacakan surah Yassin buatnya, aku memegang tangan kakak dan mengucup dahinya lama sambil berkata: “Malam esok den datang lagi ye kak Nisah. Den minta maaf atas segala salah silap.”
Entah mengapa, selepas habis kerja keesokan harinya, badan terasa lemah membuatkan niat untuk pulang ke kampung menziarahi kakak seperti yang dijanjikan kepadanya tidak kupenuhi.
“Takpelah abang, esok pagi-pagi la kita balik. Nanti terus lawat kak Nisah. Macam tak larat pula nak balik malam ni,” syorku kepada suami yang kemudian menurut sahaja keputusan itu.
Kakak Sudah Pergi Untuk Selamanya
Bagaimanapun, deringan telefon kira-kira pukul 4.30 pagi mengejutkanku dari lena.
“Kak ijah, kak nisah dah takde. Dia meninggal pukul 4 tadi. Abang Azwan baru bagitau,” sayup-sayup suara seorang lagi adikku, Khamsiah mengkhabarkan berita sedih itu.
Ya, ternoktah juga penderitaan kak Nisah di dunia. Apa yang pasti, semangat juang dan ketabahannya berdepan ujian hidup sangat kami kagumi.
Bak kata pepatah, kasih ibu membawa ke Syurga, itulah makna pengorbanan seorang ibu yang sukar dicari ganti.
Begitu juga dengan pengorbanan suami arwah, abang Azwan yang telah melaksanakan tanggungjawab menjaga kakak dan anak-anaknya dengan baik.
Apa tidaknya, sepanjang arwah sakit abang Azwan yang merupakan cinta hati kak Nisah sejak mereka berusia 14 tahun, menguruskan makan pakai dan persekolahan anak-anak.
Kini, walaupun telah berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak lelaki bersama isteri barunya, dia tetap akan meluangkan masa membawa anak-anak arwah kakak ke rumah mak dan abah.
Ahmad Atoillah, 12, Mahmud Said Mamduh, 11, Ahmad Zahid, 8, dan Fatimah As-Syifa, 5, kini membesar dengan sempurna.
Dan pastinya Syifa yang mewarisi wajah persis arwah uminya akan sentiasa menjadi lambang ketabahan dan kekuatan seorang wanita bergelar ibu dalam perjuangan melahirkan anak itu ke dunia.
Mohon hadiahkan Al Fatihah buat arwah kakak, Siti Annisah Binti Habibah sebagai bekal buatnya di alam barzakh.
Semoga rohnya berbahagia di sisi Tuhan dan dikurniakan ganjaran syurga tertinggi, Syurga Firdaus asbab pengorbanan yang telah dilakukan. InsyaAllah Amin…
Selamat Hari Raya Aidil Adha 1440H buat semua. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada batasan sentiasa memayungi kita hendaknya.
Macam mana boleh sampai muntah darah lepas buang tonsil? Ngeri bila baca part anaknya menelan darah. Haa… ikuti pengalaman seorang ibu, Nurul Shazalina Zainudin yang mana anaknya Alexander Akil, 5 tahun, menjalani satu prosedur membuang tonsilnya. Dan nasib tidak begitu baik, dia mendapat komplikasi selepas pembedahan tersebut.
Anak saya Alexander Akil (5 tahun) menjalani satu prosedur membuang tonsilnya. Dan nasib tidak begitu baik, dia mendapat komplikasi selepas pembedahan tersebut.
Akil dah lama ada tonsil.. Dari kecil. Dalam umur 2-3 tahun dulu dah direfer ke pakar ent, tapi dr pakar kata tunggu dia besar sikit.
Semenjak dua menjak ni, hampir setiap bulan dia demam. Dan demamnya sangat tinggi. Selalunya melebihi 39°C. Dan kebanyakan masa memang disebabkan tonsilnya dijangkiti, membengkak dan merah. Rawatan antibiotik perlu diambil.
Nasib baik selalu dapatkan rawatan di klinik yang sama, jadi doktor bertugas perasan rekod akil yang sentiasa demam dan masalah tonsil. Jadi, beliau memberi surat refer ke pakar ent.
Bawa Anak Jumpa Pakar
Saya pun bawa Akil ke Hospital Pakar An Nur, Bangi. Memang perlu dibuang. Tapi dr minta tunggu lagi dua minggu sebab nak betul-betul clear dari demam dan sakit.
Sampai tarikhnya, seawal 7 pagi admit ke wad, akil menunggu masa untuk masuk dibedah.
Pukul 1045 mula, tamat dalam 1130 pagi. Alhamdulillah semua selamat.
Oh ya, dr juga buang adenoid di belakang hidung akil. Masa pembedahan tu dr dapati ada adenoid, dr pun buang sekali.
Anak Muntah Darah
Lepas bedah, akil tidur je,tapi akil tidur lama sangat. Dari lepas bedah sampai pukul 4. Tu pun puas kejutkan. Kejap2 je dia bangun merengek, pegang tekak, kata batuk-batuk.. Maknanya dia tak selesa di tekak
Saya ingatkan perkara biasa lepas operate. Rupanya tak. Dia asyik menelan darah rupanya.
Bila dia bangun, kejap tu, dia muntah darah.. Penuh sekatil.. Memang banyak.. Bukan darah sikit-sikit.. Seperti dicurahkan darahnya..
Saya masih ingat, ini kesan bius. Dan darah tu yang dia telan masa operate tadi.
Bagi dia kumur dengan air ais, minum air sejuk. Lepas tu bagi makan jelly sikit. Dia tak nak aiskrim lagi. Kejap tu dia muntah lagi. Lagi banyak. Dan semuanya darah. Kebetulan nurse ada masa tu. Ok takpe. Mungkin kesan bius lagi.
Kali ketiga, akil muntah darah lagi. Bukan sikit, tetap juga banyak. Saya tahu ada tak kena. Sebab akil dah mula sangat lemah, buka mata pun tak larat, bibirnya pucat lesi.
Tak lama tu kebetulan dr datang, nurse pun maklumkan perkara ni.. Dr check. Memang sangat pucat dah masa tu akil. Dr terus kata, ok siap, kita masuk bilik bedah semula. Sekarang juga.
Saya berdebar dah. Ni kan prosedur buang tonsil je. Kenapa jadi macam ni.
Sementara mereka siapkan bilik bedah, dr menerangkan, jarang sangat komplikasi seleas surgery ni berlaku. Sejak dia di sini, akil ni kes kedua yang ada komplikasi macam ni.
Dr perlu siasat punca pendarahan dan hentikan sebelum keadaan lagi teruk. Kebetulan, di luar bilik bedah, akil muntah darah lagi sekali. Depan dr sendiri. Jadi dr dapat tengok darahnya macam mana. Next time kena ambil gambar darah muntah akil tu supaya senang nak explain dr. Sebab dr nak tahu warna darah fresh arau kehitaman.
Sebabkan akil asyik muntah darah, dr pakar bius tak boleh bagi bius melalui gas, kena melalui iv kali ni.. Katanya sakit sikit
Tapi akil memang tak larat sungguh.. Kena panggil berkali kali untuk dia buka mata.. Saya dah risau sangat.
Alhamdulillah tak lama lepas tu, dr dah jumpa punca pendarahan di mana.. Dan berjaya hentikan.
Sampai sekarang akil dah ok. Bangun keesokannya, terus mintak makan minum sebab sangat lapar. Saya risau nak bagi makan terus, tapi akil kata tak sakit. Alhamdulillah.
Kumur dengan air ais, dengan ubat kumur (difflam) , antara cara terbaik untuk cepat sembuhkan luka pembedahan.
Sekarang dia makin sembuh, tapi agak lemah sebab banyak hilang darah. Masih di wad untuk pantauan.. Insyaallah harini discaj.
Jangan takut pula untuk bedah buang tonsil, selalunya takde masalah. Nasib akil je kurang baik.komplikasi bleeding. Tapi sangat cepat sembuh lukanya tu..so sepatutnya memang ok.
Nak Cerita Sikit Tentang Tonsil
Tonsil ni sebenarnya bagus untuk badan kita. Dialah barisan pertahanan pertama untuk melindungi badan kita dari jangkitan. Tapi kdg2 dia sendiri boleh dijangkiti dan menyebabkan kita sakit.
Antara tanda-tandanya ialah:
-demam panas (melebihi 39°C selalunya)
-tonsil membengkak, merah dan kadang2 ada putih2 atau nanah
-sakit telinga
-sakit tekak
-susah menelan
-sukar tidur sebab tonsil menghalang laluan pernafasan
-nafas berbau
Kalau selalu sangat dapat tonsilitis, tonsil tersebut berkemungkinan tidak akan mengecil. Akan statik besarnya walaupun dalam keadaan normal. Bila sakit, bertambah besar dan merah.
Tonsil Berjangkit
Dan rupanya penyakit ni boleh berjangkit. Ramai tak tahu. Dan saya pun baru tahu. Selama ni saya fikir, maybe ada kena mengena dengan keturunan. Sebab kalau kita ada tonsil, biasanya anak, adik beradik, mak ayah ada jugak tonsil.
Rupanya sebab kita dekat, tak elak diri dari terjangkit dan menjangkiti, sebab tu kena.
Sepatutnya, siapa yang tengah kena jangkitan dan tonsilnya sedang sakit, kena mc. Kalau tak pun, kena tutup mulut bila bersin atau batuk. Jangan berkongsi makanan atau minuman. Cuci tangan. Jangan cium anak. Semua ni punca jangkitan. Sekarang dah tahu, siapa tengah sakit tonsil, elakkan jumpa orang lain. Sampai tonsil tu sembuh. Sekarang saya rasa, sayalah punca akil dapat tonsil dari kecil sebab sampai sekarang saya masih ada masalah ni. Saya pun patut remove nanti.
Ini serius. Orang pandang remeh je penyakit tonsil ni, tapi sebenarnya senang sangat berjangkit kalau tak jaga diri. Dan sakit kalau kena. Lagi-lagi kalau kes berulang, hampir setiap bulan kena. Seksa sangat
Ok, kalau siapa yang selalu ada masalah tonsil tu, anak ada tonsil, boleh pantau. Kalau kerap sangat, maklumkan dr. Jika perlu, jumpa pakar. Jangan sampai melarat.
Nota:
Saya sertakan gambar tonsil akil yang dibuang. Besar ya.. Lebih besar dari guli. Kesian dia.
Dan terima kasih kepada Doktor Halim (pakar ent hosp An Nur), dr pakar bius (lupa nak tanya nama), staff nurse dan semua yang mendoakan akil.
Kos Pembedahan Tonsil
Ramai yang bertanya semalam kos pembedahan tonsil akil.
Total kosnya rm9532.18
Ini kos di private hospital pakar.
Tonsillectomy (buang tonsil) tu rm1000 je kos dia Adenoidectomy (buang adenoid) rm405
Ubat bius total semua rm1000++
Yang mahalnya kos masuk bilik bedah.
Dan dua kali masuk operation theatre (baru tahu, caj masuk operation theatre dia kira ikut masa. Di sini dia caj rm500 per 15 minutes, lepas tu untuk emergency masuk ot tu dia caj rm780 per 15 minit) lagi lama, lagi mahal la bilnya.. So lepas ni dah tau nak agak-agak kos yang perlu disediakan.
Jika di hospital kerajaan mungkin berapa ratus je. Cuma nak dapat giliran tu sangat lama dan sebelum dapat giliran tu memang banyak kali follow up.
Kalau tak urgent, boleh ke gov. Siapa yang mampu, boleh ke private. Yang di hospital kerajaan, kita bagi laluan pada yang betul-betul memerlukan. Di private pun alhamdulillah saya tak keluarkan duit. Ditanggung panel suami.
Pesanan Ibu Muda Ini
Antara pesanan paling bermakna Puan Nurul Shazalina Zainudin kepada pembaca Mingguan Wanita adalah lebih baik mengambil perlindungan insurans kesihatan untuk saat kecemasan. Sekurang-kurangnya dalam keadaan kecemasan, ada yang cover untuk kesihatan kita. Nak guna duit simpanan, memang tak mampulah.
Semoga pengalaman ibu ini bermanfaat buat mak-mak di luar sana yang anaknya ada masalah tonsil!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Masalah keputihan boleh membuatkan diri wanita rasa tidak selesa.Apatah lagi ia mampu mengakibatkan kegatalan, kemerahan dan meninggalkan bau yang tidak menyenangkan pada bahagian intim ni.Jika tidak dirawat ia memang boleh menjejaskan keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang sekeliling apatah lagi bersama suami tersayang.
Sebenarnya, selain melakukan rawatan tradisonal masalah keputihan ini juga boleh dirawat dengan ubat-ubatan tertentu. Menurut perkongsian oleh Pegawai Farmasi, Faiz Akmal Mfa penggunaan Ubat Pessary (ubat antikulat) ini adalah khusus untuk kaum wanita mengatasi masalah keputihan dan kegatalan pada bahagian intim.
UBAT PESSARY VAGINA
Ini adalah ubat antifungal atau anti-kulat. Khas untuk kaum WANITA sahaja. Perlu dimasukkan ke dalam VAGINA dan ia akan cair dalam suhu badan lalu membebaskan bahan ubat secara perlahan-lahan.
Ubat ini berfungsi untuk merawat masalah keputihan oleh sebab jangkitan kulat pada kawasan vagina.Keputihan akan menyebabkan rasa gatal dan kemaluan akan membengkak dan menjadi merah.
Ubat ini bertindak untuk mengurangkan rasa kegatalan pada kawasan vagina, bertindak untuk mengurangkan pertumbuhan kulat, sekaligus mengelakkan risiko jangkitan.
CARA GUNA: (BOLEH RUJUK PADA GAMBAR)
1.Guna pada waktu malam sebelum tidur
2.Pastikan tangan dan vagina bersih sebersih-bersihnya
3.Keluarkan batang plastik berwarna putih dan biji ubat dari bungkusan kotak.
4.Perlahan-lahan, tarik plunger (A) sampai habis.
5.Koyakkan bungkusan aluminium ubat itu.
6.Masukkan biji ubat itu ke dalam aplikator (B)
7.Baring atau sandar pada dinding dengan membuka kedua-dua belah kaki secara luas (dalam posisi ingin bersalin)
8.Masukkan aplikator (B) yang sudah pun berisi ubat itu ke dalam vagina sedalam yang boleh
9.Tekan plunger (A) sampai habis supaya ubat itu dalam masuk ke dalam vagina dengan sedalam-dalamnya.
10.Keluarkan batang plastik berwarna putih itu dari vagina
11.Basuh tangan sekali lagi dengan sebersih-bersihnya.
12.Basuh batang plastik berwarna putih itu dengan menggunakan air suam jika berniat untuk menyimpannya semula.
BAGITAHU PADA DOKTOR ATAU FARMASI JIKA:
Ada alahan pada ubat / bahan ubat tersebut.
Ambik ubat yang sama, tetapi dengan kaedah ambik ubat yang berbeza
Ada datang bulan (period).
Mengandung.
SIMPAN DI TEMPAT YANG SELAMAT DAN JAUH DARI BUDAK-BUDAK, TEMPAT KENA REDUP DAN JAUH DARI CAHAYA DAN BAHANG
TIPS: (BOLEH RUJUK PADA GAMBAR)
Jangan guna ubat yang dah luput.
Jangan pegang biji ubat terlalu lama kat tangan, kerana ubat senang cair apabila dipegang dengan tangan.
Anda mungkin tak selesa selepas gunakan ubat itu, tetapi kesan itu akan beransur reda selepas beberapa minit
Anda dinasihatkan gunakan PANTY LINER.
Kalau anda mengandung, GUNAKAN JARI anda sahaja untuk masukkan ubat itu ke dalam vagina, TAK PAYAH guna batang plastik berwarna putih itu
Elakkan dari ‘bersama’ dengan pasangan sepanjang rawatan berlangsung
Elakkan juga dari guna TAMPON sepanjang rawatan berlangsung
Ubat ini TIDAK BOLEH DIMAKAN.
Semoga dengan perkongsian ini, sedikit sebanyak dapat membantu orang di luar sana untuk lebih mengenali ubat yang sinonim dengan kaum hawa ini.
Sekian,
Faiz Akmal Mfa,
Pegawai Farmasi,
Klinik Kesihatan Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor
‘Framed’ drama rantaian terbaharu yang memaparkan misteri konspirasi jenayah yang membabitkan takdir dan beberapa kejadian di luar kawalan. Merupakan sebuah siri premium Astro Originals terbitan Astro Shaw bersama rakan produksi Independent Pictures Sdn Bhd. Drama rantaian ini juga telah memulakan siaran menerusi Astro Premier (saluran 410) setiap Jumaat, jam 9 malam. Selain Astro Premier peminat drama Melayu juga boleh menonton di Astro Go dan sooka. Menerusi pelbagai platform yang tersedia, anda juga tidak akan terlepas untuk menyaksikan setiap episod menarik ‘Framed’ setiap minggu.
‘Framed’ merupakan sebuah naskhah arahan Sein Qudsi yang juga pengarah, penerbit dan penulis berpengalaman, manakala cerita asal dan skrip pula dihasilkan oleh Kyle Ezra Goonting. Dibintangi pelakon terkenal tanahair, Mimi Lana sebagai Lia dan Meerqeen sebagai Edi. Aksi hebat kedua watak ini turut membawa penonton menerokai kisah perjalanan penuh misteri dah konspirasi. Drama premium lapan episod ini turut menampilkan barisan pelakon hebat Vanidah Imran (Sarah), Sangeetha (Rita), Ram RAAGA (Navin), Riz Amin (Gibran), Zamarul Hisyam (Mansur), Khir Rahman (Hassan), Namron (Aziz) dan Ka Hoe (Ka Hong).
‘Framed’ Aksi Hebat Gandingan Mimi Lana & Meerqeen
Menerusi perkongsian di media, Mimi Lana menyatakan watak Lia bukanlah karakter mudah, iaitu wartawan yang berhadapan dengan pelbagai tekanan hidup. Selain bimbingan jurulatih lakonan, bantuan daripada pengarah, penulis skrip dan rakan gandingan seperti Vanidah Imran yang memegang watak ibu serta Rusdi Ramli sebagai bapa, banyak membantu.
“Daripada segi karakter, Lia menghadapi depresi dan perlu bergantung kepada ubat. Lia kehilangan ibu sejak usia 10 tahun dan membesar dengan menjaga ayah yang tidak sihat. Jadi, tidak mudah menjiwai karakter ini, saya perlu mendalami perasaan sedih. Saya tidak nafikan, watak ini membuatkan saya tertekan, tapi tidaklah sampai murung.
“Ditambah penggambaran dijalankan pada waktu malam dan suasana set yang ‘gloomy’, menambahkan rasa ‘intense’. Ia banyak mengambil tenaga saya. Jadi, saya juga banyak meluangkan masa bersama penulis skrip dan pengarah untuk memahami karakter. Alhamdulillah, dengan bantuan mereka, saya dapat bawa watak Lia dengan baik,” ungkap Mimi Lana.
Fahami Kehendak Penonton
Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, juga merangkap Penerbit Eksekutif ‘Framed’ akui drama rantaian ini mengetengahkan naskhah yang segar dan berkualiti selain memahami kehendak penonton.
“Kami memahami penonton mahukan naskhah segar dan berkualiti. Kali ini kami mengambil inisiatif untuk ketengahkan kisah buat pertama kali yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar yang memaparkan isu sosial yang amat dekat dengan masyarakat dengan memfokuskan konspirasi alam sekitar.
“‘Framed’ membawa jalan cerita yang merungkai petunjuk daripada sebuah kamera polaroid dan akan meninggalkan pelbagai persoalan kepada penonton. Selain itu, penonton dapat melihat gandingan mantap pertama kali oleh pelakon-pelakon berbakat tanah air dalam satu skrin. Kami harap penonton dapat menerima Framed dan sekali gus mengangkat naskhah tempatan setanding karya luar negara,” terang Raja Jastina.
Kekalkan Kualiti
Sutradara terhebat Sein Qudsi turut akui ‘Framed’ merupakan satu naskhah berbeza dan sangat jujur.
“Drama ini adalah sebuah naskhah berbeza dengan karya-karya yang pernah saya hasilkan sebelum ini. Saya memegang niat untuk bersikap jujur dalam perlaksanaan dan lakukan sebaik mungkin keatas semua tuntutan yang ada pada siri premium ini.
“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar, meskipun berdepan dengan cabaran dalam mengekalkan kualiti dan konsisten perlaksanaan penggambaran sepanjang tempoh yang diberikan. Saya harap penonton dapat menerima Framed dan teruja mengikuti jalan cerita yang dipersembahkan, seperti mana saya dan semua yang terlibat teruja sepanjang menjayakan drama siri premium ini,” luahnya.
Untuk pengetahuan ‘Framed’ mengisahkan tentang perjalanan Lia, seorang wartawan yang menemui sebuah kamera polaroid lama, di mana kamera tersebut mampu mencetak momen-momen tragedi yang akan berlaku pada masa hadapan. Berbekalkan petunjuk daripada gambar-gambar yang dicetak, Lia dengan secara tidak sengaja telah membuka penyiasatan untuk mengetahui kisah kehilangan ibunya. Ketika penyiasatan ini, Lia bertemu Edi, seorang aktivis alam sekitar, mereka juga mendapat petunjuk tentang konspirasi pencemaran persekitaran yang berlaku di bandar Krung Merah pada 10 tahun lalu, dikaitkan dengan kehilangan ahli keluarganya.
Selain merungkai isu jenayah kehilangan ahli keluarga, siri premium ‘Framed’ turut menyingkap penyiasatan konspirasi persekitaran dengan memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepentingan serta tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap individu dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.
‘Framed’ turut memperkenalkan Nadeera Zaini selaku penyanyi runut bunyi yang bertajuk ‘Udara’, dihasilkan oleh Iqie Hugh, Shazeriq Azeman dan Omar K. Para pelanggan Astro juga boleh merasai Framed Experiental Journey yang bakal disediakan di Astro Experience Store, IOI City Mall, Putrajaya pada 22 Jun ini serta berpeluang untuk berjumpa dengan para pelakon Framed.
Jangan lupa saksikan FRAMED, setiap Jumaat, di Astro dan sooka.
Dapatkan Pek Astro sekarang dengan pemasangan PERCUMA dari hanya RM41.99/bulan. Raikan saat-saat bersama dengan #AstroBaharu – Hiburan kini lebih mantap untuk seisi keluarga. Layari www.astro.com.my sekarang!
ATAU
Strim kesemuanya bila-bila masa, di mana-mana sahaja dengan hanya RM13.90/bulan. Yang pasti, kontrak TAKDE! #sookaGotAll, strim semuanya sekarang: www.sooka.my
Ibu ayah risau keselamatan di sekolah. Susulan kejadian pagi tadi tiada siapa menyangka hari persekolahan biasa itu akan berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa...