Grup WhatsApp Tempat Bersilaturahim, Bukan Saling Berbalah Dan Menunjuk!

Grup WhatsApp diadakan untuk memudahkan berhubung di antara satu lain. Contohnya grup whatsApp keluarga, grup whatsApp rakan sepejabat, grup whatsApp jiran setaman dan sebagainya lagi. Bila semua berkumpul di situ, senang nak sampaikan berita, berkongsi maklumat atau sekadar bertanya khabar antara satu sama lain.

Walau bagaimana pun, ada juga yang menyalahgunakan grup whatsApp. Asyik mencari salah orang lain hingga menimbulkan perbalahan dalam grup. Bercakap ikut sedap mulut. Hanya dia saja yang betul dan paling hebat kononnya. Sering kali juga menunjukkan kemewahan diri seolah-olah hanya dia yang paling kaya. Aduh, ramai ke manusia macam tu?

Susah Nak Jaga HATI Dalam Grup WhatsApp

Yang paling susah hendak dijaga ialah hati. Kalau hati dah sakit, memang tak ada apa lagi yang boleh dibawa berunding. Sepatah kata kita, sepuluh patah akan datang balik.

Hari ini mungkin susah sikit kita hendak melihat orang mengamuk marah, sebab rata-rata hari ini orang berpendidikan tinggi. Kebanyakan mereka bermotivasi serta dapat mengawal emosi. Berbeza pada tahun-tahun 60-70-an dahulu, dengan jiran pun boleh berparang-parang.

Lagi artikel menarik di sini:

JAUHI Media Sosial Ketika Marah, Sekali Keluar Status NEGATIF! Orang Terus Menilai

Isteri Suka Tayang Bahagia Di Media Sosial, Suami Suka Atau Rimas?

Tak Semua Dikongsi Di Media Sosial, Bahagia Tidak Semestinya Perlu Tayang SEMUA

Ingat Di Media Sosial Tak Boleh Marah?

Hari ini orang marah juga tetapi hanya dalam laman sosial. Dalam grup-grup whatsApp, berlaku pertengkaran, apabila sudah tidak tahan masing-masing left. Itu menunjukkan sifat amarah manusia semakin terkawal lantaran cara mereka menanganinya sudah berbeza.

IKLAN

Begitu juga cara mereka melampiaskannya tidak sama seperti dahulu. Paling tidak mereka left sebagai tanda protes tertinggi, selepas itu masing-masing terus terbakar dengan rasa tidak puas hati.

Grup WhatsApp Tempat Bersilaturahim, Bukan Berbalah Dan Menunjuk!
Foto: Pexels

Gaduh Dalam Grup WhatsApp Lagi Bahaya 

Sebenarnya keadaan ini lebih berbahaya berbanding orang bertengkar berdepan-depan. Orang yang sedang bergaduh secara berdepan akan saling memandang muka, saling memekik dan mengherdik, apa yang dia cakap jam-jam itu juga dia mendapat hujah baliknya.

Apabila penat, masing-masing akan diam. Selalunya pertengkaran begini dapat diselesaikan dengan kedua-duanya saling bermaafan. Mereka pergi dengan hati yang puas. Esok apabila bertemu lagi, fail baru telah terbuka, mereka kembali menjadi kawan.

Tinggalkan Grup Dengan Hati Marah

Berbeza orang yang bergaduh dalam laman sosial. Apabila seseorang left dia membawa hatinya yang parah bersama-sama. Dia bukan setakat merajuk tetapi boleh marah dan boleh jadi juga dendam. Tetapi apa yang boleh dilakukannya?

Dia tidak dapat berbuat apa-apa bukan? Sementelah orang yang menyebabkannya marah itu mungkin juga tidak begitu dikenalinya, mungkin tinggal jauh, mungkin juga kawan lama yang sekarang ini masing-masing berkedudukan hingga dia tidak dapat berbuat apa-apa, ini semua sangat mengguris perasaan. Emosi akan terganggu dan ini sudah tentu tidak baik untuk kesihatan.

Macam Mana Nak Hadap?

Bagaimanakah kita hendak menangani orang yang sedang bergaduh di laman sosial terutama grup-grup whatsApp? Apabila dalam grup sudah berpuak-puak, maka susahlah hendak memulihkannya kembali. Namun, tetap ada jalannya supaya grup terus berfungsi sebagai medan pengerat silaturrahim.

IKLAN

Dalam hal begini, ingatlah, tatkala orang tengah marah, tiada hujah yang dapat menenangkannya. Kadang-kadang semakin disuruh bersabar semakin menyirap api kemarahannya. “Apa sabar-sabar? Kau tak kena tak payah cakap! Elok tak payah campur je!” Itu yang kita dapat apabila ikhlas hendak menjadi orang tengah.

Biarkan Saja Dia Lepaskan Perasaan

Sebetulnya, biarkan sahaja dia melepaskan kemarahannya. Dengar atau baca sahaja, sebab pada saat orang sedang marah betul pun apa yang kita katakan akan tetap salah pada pendengarannya.

Pada orang yang sedang marah, dia adalah betul segalanya. Walaupun dia membuat isyarat-isyarat lucah baginya itu adalah patut. Walaupun dia berpekik sehabis tinggi suaranya, baginya itu betul belaka. Baginya dia berhak menulis apa saja. Jadi, apakah orang dalam keadaan begini boleh menerima hujah balas lebih-lebih yang berbentuk nasihat? Selalunya tidak, meskipun ternyata dia bersalah, hatinya tetap meluap-luap untuk mempetikai apa saja.

Ingat, Tunggu Emosinya Kembali Stabil

Tatkala semuanya telah dilepaskan dia akan tenang dengan sendirinya. Biarkan sebentar dia begitu, usah diasak dengan kata-kata nasihat. Nanti, setelah dia benar-benar stabil barulah kita berhujah balik tetapi dengan nada yang amat perlahan, sambil memberi gambaran bahawa kita berpihak kepadanya.

Itu seandainya dia tidak left (keluar grup). Seandainya terus left dan kita telah save nombornya, kita masih boleh berhubung dengannya untuk memberikan kata-kata yang disukainya untuk mempengaruhinya.

IKLAN

Ingat Tujuan Asal Grup

Ingatkan kepadanya bahawa tujuan kita melibatkan diri dalam grup-grup whatsApp adalah untuk silaturrahim. Biasalah bertentangan pendapat tetapi usah sampai menyingkir diri dengan menjadikan orang lain musuh. Itu sama sekali tidak melambangkan ciri-ciri orang yang berpendidikan tinggi yang hidup dalam sistem komunikasi yang penuh canggih ini.

Anggap sahaja kata-kata yang agak pedas sebagai gurauan. Sebagaimana kita makan nasi kadang-kadang adanya pedas-pedas akan menambah sedap, begitu juga dalam perhubungan dengan manusia. Moga grup whatsApp bukan medan persengketaan tetapi adalah lubuk kebaikan.

Oleh: HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI