Biasanya setiap kali ada majlis harijadi, anak-anak lah yang paling seronok dan teruja nak tiup lilin yang ada pada kek. Baru-baru ini, viral video menunjukkan dua beradik di Brazil yang bergaduh sampai tarik rambut ketika majlis hari jadi kerana berebut mahu meniup sebatang lilin yang ada pada kek tersebut. Momen tersebut sempat dirakam dan mendapat perhatian dunia.
Video berkenaan menunjukkan kakak, Maria Antonia, meniup lilin pada kek hari jadi adiknya, Angered, hingga mencetuskan perbalahan sesama mereka.
Selepas video mereka menjadi viral, mereka telah dijemput oleh sebuah program televisyen, dimana pihak produksi telah menyediakan 500 batang lilin pada kek untuk ditiup dua beradik itu sepuas hati.
Ibu dan bapa kepada dua beradik itu bagaimanapun menyatakan bahawa ia adalah satu perkara normal untuk adik beradik bergaduh sesama sendiri, sambil dikongsikan foto mereka sedang berpelukkan.
MW: Adik beradik bergaduh lumrah semasa anak masih kecil. Menjadi tanggungjawab mak ayah, menyemai rasa sayang dalam diri mereka, agar hubungan menjadi rapat bila dah besar nanti.
Wanita sangat cepat berasa sedih dan hatinya mudah rapuh terutamanya bila berkaitan tentang suami dan anak-anak. Apatah lagi bila suami dan beberapa ahli keluarga disahkan positif Covid-19 dan nasib dirinya dan anak-anak masih samar.
Begitulah yang dirasai oleh isteri kepada penyanyi Alif Satar, Sha Dila Hadid semalam dimana hatinya bercampur baur dan sedih sebelum mengetahui keputusan ujian saringan yang dilakukan pada dirinya dan tiga anak kecil adalah negatif.
Menerusi perkongsian, di laman Instagram miliknya, isteri Alif bertambah sedih apabila dua anak kecilnya Ariana dan Ali menangis ketika swab test dilakukan.
Ibu kepada tiga orang anak ini tidak sanggup menahan sedih dan sebak apabila melihat tiga anaknya Alisha Anugerah, 5 Ariana Mecca, 3 dan Muhammad ‘Ali, 1 sewaktu menjalani ujian saringan Covid-19 di kediamannya.
“Selepas Alif disahkan positif, semua ahli keluarga pergi buat ujian saringan di klinik dan hospital, tapi saya di rumah bersama tiga anak yang masih kecil.
“Saya juga tak boleh nak pandu kereta kerana Alif orang terakhir yang memandu kereta itu. Jadi, saya lakukan ujian saringan di rumah dan doktor datang jam 9.30 pagi.
“Ketika ujian dilakukan, kesiannya tengok anak-anak kerana saya sendiri rasa tak selesa, inikan pula mereka.
“Mereka mula menangis terutama Ariana dan Ali. Jadi, sedih sangat tengok mereka. Tapi, ini tanggungjawab yang mana memang kena buat juga,” tulis Sha Dila.
Isteri Alif juga menerangkan mereka sekeluarga tidak menunjukkan sebarang gejala.
“Kami tidak ada sebarang gejala dan saya berasa keputusannya negatif. Tapi apabila dapat tahu mentua dan adik Alif positif, saya menjadi risau. Alif juga tidak ada gejala, tapi positif.
“Disebabkan belum tahu keputusan, jadi semalam saya kemaskan baju dan keperluan anak-anak dalam beg. Jika keputusan positif, jadi semuanya sudah tersedia, sekiranya ambulans datang mengambil kami” luahnya yang mengakui tidak dapat menahan air mata ketika itu kerana terlalu sedih.
Wanita kesayangan Alif ini juga menyatakan dia tidak boleh tidur semalaman memikirkan pelbagai kemungkinan yang mendatang.
“Macam-macam saya fikirkan. Paling menakutkan bagaimana jika saya positif tapi anak-anak negatif atau seorang anak negatif dan dua lagi positif?
“Saya fikir macamana keadaan ketika itu. Adakah diasingkan atau kuarantin bersama? Kalau diasingkan anak-anak duduk dengan siapa? Siapa nak menjaga mereka? Kiranya semalam memang tak boleh tidur jika terjadi keadaan seperti ini.
“Alhamdulillah, ketika dimaklumkan ujian saringan negatif, tak tahu nak gambarkan perasaan macam mana.
“Dalam masa sama lega, tapi saya tahu perkara ini belum berakhir apatah lagi Alif dan keluarga lain sedang dirawat di hospital dan melawan virus ini. Jadi, perasaan bercampur baur. Saya nak semua orang akan kembali sihat selepas ini.
“Tahun ini memang tahun mencabar buat semua orang. Jadi, saya berharap semua boleh menyokong pesakit dan sesiapa saja sebab semua terkesan dengan penularan wabak ini.
“Walaupun orang itu tak kena Covid-19, tapi dari segi ekonomi, kerja, keluarga dan macam-macam lagi mereka terkesan. Jadi, kita perlu bersama-sama. Terima kasih pada semua yang mendoakan dan sudi membantu,” kongsinya yang cukup memberi kesan kepada setiap yang membaca.
“Kasihan Bila Pakwan Kena” – Sha Dila
Terbaru Alif Satar telah berkongsi entri di Instagram di mana datuknya yang kini berusia 91 tahun turut disahkan positif Covid-19, Sabtu lalu.
Datuknya, Mohamad Che Noh atau dipanggil Pakwan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh. Turut dirawat di sana ialah ibu, bapa dan adik bongsu Alif yang juga dijangkiti Covid-19.
“Pakwan (datuk) saya, 91 tahun juga pesakit Covid-19. Saya minta tolong semua untuk doakan agar Pakwan saya terus kuat dan dikurniakan kesihatan seperti biasa. Semoga Allah merahmati kalian semua.
“Terima kasih warga barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh kerana menjaga keluarga saya dan semua pesakit Covid-19. Anda semua sudah jalankan tugas dengan baik,” tulisnya.
Seperti mana dipetik menerusi Harian Metro Sha Dila berasa simpati dengan Pakwan.
“Pakwan pun disahkan positif pada Sabtu lalu. Dia tidak ada apa-apa sakit kronik, cuma jalan saja kena pimpin atau pakai tongkat.
“Mungkin Pakwan terkena jangkitan sebab semua bergilir-gilir menjaga dia. Kasihan juga apabila dia kena,” üjar Sha Dila.
Sumber: Harian Metro
Sumber/Sumber Foto: Instagram Sha Dila dan Instagram Alif Satar
Covid-19 masih mengancam nyawa sesiapa sahaja apatah di kalangan orang berisiko terutamanya kanak-kanak, warga emas dan pesakit yang imunnya rendah.
Oleh sebab itu, mak ayah perlu sentiasa memastikan kehidupan harian sentiasa mengikuti norma baharu dan mematuhi arahan pihak berkuasa kerana virus jahat ini tidak mengenal siapa pun.
Begitulah yang terjadi pada allahyarham Ahmad Mohamad Talib yang meninggal dunia setelah dijangkiti Covid-19. Tentu sedih dia “pergi’ seorang diri di hospital kerana terikat dengan SOP.
Namun menurut anaknya, “Abah sempat minta maaf, minta semua jaga diri. Sebagai anak tentu sedih baca pesanan terakhir sebelum ayahnya pergi meninggalkan mereka sekeluarga. Al-Fatihah.
“Tolong doa dan terus solat hajat. Abah minta maaf. Jaga diri semua”
Itu kata-kata terakhir Ahmad Mohamad Talib, 58 kepada isteri dan anak-anaknya sebelum meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, pada Rabu lalu.
Gambar pesanan bapanya yang ditulis di atas dua helai kertas viral di media sosial selepas dikongsi anaknya Syafiqa Humairak, 32, di laman Facebook miliknya.
Syafiqa Humairak berkata, mereka sekeluarga tidak dibenarkan menyimpan kertas yang mengandungi pesanan bapa kerana dikhuatiri mengandungi virus Covid-19.
Menurutnya, bapanya yang menghidap penyakit buah pinggang disahkan positif Covid-19 Khamis minggu lalu, sebelum dihantar ke HRPB untuk dikuarantin dan mendapat rawatan lanjut.
“Abah tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif (selepas dimasukkan ke hospital). Keadaannya juga bertambah teruk dan doktor memutuskan supaya abah dikomakan, Isnin lalu.
“Abah menulis nota itu sebelum dikomakan. Dia juga tidak mampu bercakap. Namun, kami sempat berhubung dengan panggilan video sebelum abah dikomakan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Syafiqa Humairak berkata, semua ahli keluarga termasuk anak saudaranya yang berusia sebulan turut disahkan positif Covid-19, dan tidak berpeluang menghadiri majlis pengebumian bapanya.
Bagaimanapun, Syafiqa Humairak tidak dijangkiti virus berkenaan kerana dia tinggal di Pulau Pinang.
“Hanya saya yang dibenarkan hadir ke majlis pengebumian. Saya sangat sedih kerana tidak dapat mencium abah buat kali terakhir.
“Saya juga hanya dapat melihat jenazah arwah abah dari jauh. Covid-19 sangat bahaya, hanya dalam tempoh beberapa minggu ia ‘membunuh’ abah,” katanya. Sehubungan itu, katanya, masyarakat diminta sentiasa mengambil berat mengenai langkah keselamatan yang sudah ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, arwah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bendahara di sini.
MW: Sedih sungguh bila ahli keluarga terdekat meninggal dunia di musim Covid-19 kerana kita tidak berpeluang menghadiri majlis pengebumian dan terikat dengan beberapa SOP. Oleh itu jagalah diri, jagalah keluarga agar kita semua dalam keadaan selamat dan terhindar daripada Covid-19.
Baru-baru ini, ter dapat aplikasi terkenal antarabangsa dengan jumlah hampir 100 juta pengguna, Muslim Pro dikatakan telah menjual data lokasi kepada tentera Amerika Syarikat.Berita tersebut sungguh mengejutkan dan menimbulkan perasaan marah, kecewa dan kesal buat umat Islam.
Rata-rata ramai yang telah memadam aplikasi tersebut dari telefon masing-masing, walaupun aplikasi tersebut sangat bermanfaat terutama dari segi memberi peringatan waktu solat, penunjuk arah kiblat dari Kota Makkah, menyediakan bacaan al-Quran secara dalam talian dan audio bacaan bagi memudahkan pengguna.
Terkesan dengan situasi tersebut dan bertanggungjawab pada ummah, inisiatif Pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa bakal melancarkan sebuah aplikasi Islamik yang dikenali sebagai The Noor tidak lama lagi.
Neelofa, 31, berkongsi berita tersebut menerusi laman Instagramnya hari ini dengan memberi gambaran awal berkenaan aplikasi berkenaan.
“My New baby! Mudahkanlah ya ALLAH. Moga ramai yang akan dapat manfaat darinya,”ujar Neelofa menerusi Instastories.
Menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik di @thenoor.app, kandungan aplikasi tersebut berkaitan gaya hidup Muslim.Aplikasi tersebut disediakan dengan lima pilihan bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Cina dan Indonesia.
Bagaimanapun, buat masa ini belum ada maklumat terperinci berkenaan kandungan yang bakal dimuatkan dalam aplikasi tersebut.
Perkongsian Neelofa itu mendapat perhatian ramai dan rata-ratanya mengharapkan agar aplikasi tersebut dapat memberikan manfaat kepada semua.
Tidak kurang juga yang menganggap ia bakal menjadi pengganti atau alternatif kepada aplikasi Muslim Pro yang baru-baru ini berdepan kontroversi apabila dikatakan telah menjual data pengguna kepada pihak ketiga.