Pengorbanannya diangkat masyarakat, kisahnya menjadi sebutan dan tular setelah dia mengambil keputusan berhenti kerja dan menjaga isterinya sepenuh masa. Dia adalah salah seorang lelaki yang patut dijadikan contoh suami-suami di luar sana apabila berhadapan dalam situasi yang sama.
Sesungguhnya layanannya kepada allahyarham isterinya, Fauziah Muhamad, yang menderita penyakit saraf otak sehingga meninggal dunia pada 2 April 2013 membuatkan ramai hati wanita cair.
Abil Fikri Ahmad dan arwah isterinya, hanya sempat mengecap nikmat bahagia selama dua tahun selepas melafazkan ijab dan kabul pada 13 Mac 2009. Belum puas menikmati alam rumah tangga, isterinya mendapat serangan asma pada 22 Jun 2011 dan sejak itu dia disahkan lumpuh selain saraf otaknya tidak lagi berfungsi.
Namun siapa sangka, setelah lima selesa hidup membujang akhirnya setelah pemergian isteri, Abil Fikri Ahmad, menamatkan zaman dudanya dengan suri hati Nor Aida Mohamad pada Julai tahun lalu.
Sebagai manusia biasa, Abil amat bersyukur dengan kurniaan Allah kerana kekosongan jiwanya selepas pemergian isteri kini terisi dengan kehadiran isteri baru yang disifatkan seorang yang memahami.
Dari Pembantu Menjadi Isteri
Menurutnya, perkenalannya dengan isteri, Nor Aida, hanya bermula sebagai rakan blogger. Namun masing-masing tidak pernah meluahkan isi hati kerana saling menghormati antara satu sama lain.
Menurutnya Nor Aida adalah rakan blogger yang agak rapat dan banyak membantunya selama ini. Hubungan mereka mula rapat apabila kebanyakan blogger lain telah berkahwin, sebaliknya Aida masih bujang.
Perkara ini membuka ruang untuk mereka mengenali antara satu sama lain lebih dekat. Paling teruja apabila Nor Aida juga berasal dari Terengganu sama seperti allahyarham Fauziah.
“Tapi, kami tak pernah declare sebagai pasangan kekasih pun. Cuma, pada Disember 2017 saya mencuba nasib melamarnya dengan soalan bergurau sama ada sanggup berkahwin dengan saya. Tak sangka dia menjawab ok dan bersetuju,” katanya.
Ads
Hadiah Teristiwa Dari Allah
“Pada Julai tahun lalu, saya menemui pengganti teman hidup selepas lima tahun hidup sendiri dan tahun ini saya bergelar bapa pula. Bayangkan dalam usia begini baru dapat rasa perasaan macam mana bergelar bapa.
"Awalnya saya seperti tak percaya dan tidak terkata pabila isteri memberitahu berita kehamilannya. Termenung seketika waktu itu, lama-kelamaan baru saya rasa seronok.
“Alhamdulillah, Tuhan nak bagi kita tak tahu, dulu saya jaga arwah sakit dan apabila dia 'pergi' saya rasa 'alone' kerana tak ada orang nak ceriakan hidup saya. Rupanya Allah nak sediakan ‘hadiah’ yang cukup istimewa buat saya. Betapa besarnya nikmat yang Dia beri kepada saya.
“Saya sangat bersyukur dan gembira dengan kurniaan ini. Dapat isteri yang baik dan memahami. Kehadiran Aydan Mikail pada 19 September lalu cukup bermakna buat saya,” jelas Abil yang mengakui hubungan dengan keluarga bekas mertua tetap rapat sehingga kini.
Tidak Pernah Menyangka
Ads
Bagi Nor Aida sendiri dia sama sekali bakal menjadi suri hati buat Abil. Bermula sebagai pembantu untuk menguruskan jadual Abil yang kerap dipanggil memberi ceramah dan motivasi. Hubungan pada awalnya lebih terarah kepada tugas-tugas sebegitu. Kerja sebagai pembantu pun hanya dilakukan di waktu hujung minggu sahaja sebagai kerja “part time”.
“Kami mula rapat kiranya sejak 2013 tetapi hanya atas urusan kerja. Alhamdulillah apabila kami ambil keputusan untuk kahwin, keluarga boleh terima. Sikapnya, tanggungjawab dan kematangan fikirannya membuatkan saya jatuh hati dengan dia. Saya mengenali dia dalam tempoh yang panjang kerana bekerja bersama, jadi dari situ saya mula mengenalinya sedikit demi sedikit.
“Selama setahun bergelar isteri saya dapatkan katakan layanan yang diterima sangat baik, suami juga banyak membantu menguruskan anak kami sejak bayi lahir lagi. Dia memang tidak kekok uruskan keperluan saya dan anak.
“Sebenarnya Abil seorang yang kelakar, penyayang dan bertanggungjawab. Sepanjang berpantang memang saya tidak gusar kerana suami mampu uruskan anak. Segala tugas menjaga bayi dapat suami lakukan dengan baik, cuma memasak memang saya tak lepaskan pada dia,” ungkap Aida sambil berseloroh.
Pengalaman Mengajar
Ads
Di samping itu, menurut Abil pengalaman menjaga bekas isterinya sakit sebenarnya memberi pengalaman yang cukup berharga buatnya, malahan dapat digunapakai dalam menjaga anaknya kini. Memang pada pandangan mata kasar, orang di luar sana sedih melihat dirinya yang berkorban menjaga isteri.
Sebaliknya bagi Abil, pengalaman enam tahun lepas banyak memberi pengajaran padanya tentang erti kasih sayang dan tanggungjawab. Malahan terdapat juga pengalaman sampingan ketika itu yang dapat dirinya praktikkan hari ini. Seperti mana memandikan arwah, kini Abil dapat memandikan dan menukar lampin pakai buang anaknya tanpa kekok.
Pengalaman masa lalu dapat digunapakai Abil dalam kehidupan bersama isteri barunya, Nor Aida dan cahaya mata mereka. Kedatangan Aydan adalah pengganti kepada kesedihan yang telah dia lalui dahulu.
“Selama ini saya memang tidak pernah jangka akan berkahwin semula dan akan mempunyai anak, maklumlah saya menduda dalam usia lewat 40-an. Lagi pun ketika itu saya memang masih sayangkan arwah isteri, bahkan sehingga hari ni sayang dan cinta saya pada dia meningkat dari hari demi hari,” kata Abil lagi yang tidak pernah membandingkan arwah isterinya dan isteri barunya.
Isteri Bukan Pengganti Arwah
Malah, dia yang kini aktif sebagai penceramah bersyukur kerana Nor Aida sangat memahami dan tidak pernah cemburu.
"Saya tak pernah anggap Aida sebagai pengganti arwah kerana pada saya mereka adalah dua insan yang berbeza. Saya berkahwin bukan kerana nak cari ganti kerana arwah tiada galang gantinya.
“Tetapi saya kahwin lain kerana nak cari isteri baru. Mereka ada keistimewaan masing-masing dan saya tidak pernah terfikir untuk membandingkan mereka berdua. Kahwin kena ada rasa suka dan sayang, tapi sebab kami dah biasa buat kerja bersama memandangkan dia PA saya, jadi apa jua masalah saya ceritakan padanya.
”Ada benda yang saya tak ceritakan pada orang lain, tetapi dengan Aida mudah untuk saya luahkan. Alhamdulillah, lepas kahwin barulah saya rasa nikmat nak bercinta. Tak sangka cinta selepas nikah lebih menyeronokkan dan rasanya lain macam,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri penat mental dan emosi, jadi cepat hilang sabar, sensitif. Apabila berbicara tentang penat, tidak kira lelaki atau perempuan, masing-masing mempunyai beban dan keletihan tersendiri.
Isteri Penat Mental & Emosi, Jadi Cepat Hilang Sabar, Sensitif
Bagaimanapun perbezaan antara penat lelaki dan perempuan terletak pada punca dan cara menanganinya.
Penat Lelaki: Fizikal
Kebanyakan lelaki mengalami penat fizikal disebabkan oleh penggunaan tenaga dan anggota badan untuk melakukan kerja. Penat fizikal ini boleh dirawat dengan mendapatkan rehat yang secukupnya, mengambil suplemen, mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga pemakanan, dan tidur yang mencukupi. Aktiviti seperti bersenam dan makan makanan berkhasiat juga dapat membantu mengurangkan penat fizikal.
Penat Perempuan: Mental dan Emosi
Sebaliknya, penat yang dialami oleh perempuan lebih banyak berkaitan dengan mental dan emosi. Keletihan ini sukar dirawat jika pasangan tidak memahami keadaan mereka. Penat mental dan emosi ini melibatkan perasaan serta emosi yang mungkin tidak diluahkan untuk menjaga hati orang lain, terutamanya pasangan.
Memendam Perasaan
Memendam perasaan adalah punca utama penat mental dan emosi dalam kalangan wanita. Tanda-tanda bahawa isteri mengalami keletihan ini termasuk cepat marah atau meninggi suara atas kesalahan kecil yang dilakukan oleh anak-anak, seperti tertumpah minuman, terjatuhkan barang, atau tidak memberi respons apabila dipanggil. Isteri yang cepat hilang sabar menunjukkan bahawa bukan kesalahan anak-anak itu yang besar, tetapi mental dan emosinya yang sudah penat.
Tanda-tanda Isteri Penat Mental dan Emosi
Apabila kita mendengar isteri mula meninggi suara kepada anak-anak, ketahuilah bahawa dirinya sudah penat mental dan emosi. Ini mungkin kerana suami membiarkan isteri bertungkus-lumus dan berperang seorang diri dengan anak-anak, sementara suami hanya duduk menonton televisyen atau bermain telefon bimbit.
Menghadapi Keletihan Emosi
Isteri yang penat mental dan emosi juga akan menunjukkan tanda-tanda seperti hilang mood untuk bergurau senda, tidak mempamerkan riak wajah gembira atau sedih, menjadi kurang ramah, menjauhkan diri dari suami, mengasingkan diri di dapur atau bilik, dan menangis tanpa sebab. Isteri menjadi cepat sensitif kerana dalam hatinya bergelora, fikirannya serabut, dan banyak perasaan bercampur aduk.
Cara Merawat Penat Mental dan Emosi
Penat mental dan emosi ini hanya dapat dirawat jika suami menolong meringankan beban yang ditanggung isteri, berkomunikasi dan menyelami isi hati isteri, menghargai apa yang telah dilakukan dalam rumah tangga, serta membawa isteri keluar atau bercuti seketika untuk menjauhkan diri dari persekitaran yang sama setiap hari. Jangan biarkan isteri menghadapi keletihan ini seorang diri jika kita masih perlukan kehadiran dirinya dalam hidup kita.
Dengan memahami dan menghargai perbezaan antara penat fizikal lelaki dan penat mental serta emosi wanita, kita dapat mencipta suasana yang lebih harmoni dan menyokong antara satu sama lain dalam rumah tangga.
Bahagia…! Semua orang perkahwinan mereka bahagia namun tak semua mampu menggapainya. Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita.FB: https://www.facebook.com/Promind-Training-And-Consultation-136635193169189/
Bahagia Tak Semudah Diucap
Setiap orang mempunyai dua harapan apabila berkahwin. Pertama; mengahwini orang yang dia cintai. Kedua; bahagia hingga ke akhir nyawa. Ada orang yang sangat bertuah. Allah makbulkan kedua-dua harapan ini. Ada juga orang yang hanya dapat salah satu.
Berkahwin dengan orang yang dicintai tetapi hanya kekal selama tujuh hari. Ada pula yang berkahwin tanpa didahului cinta tetapi kekal bahagia hingga akhir hayat. Itu juga pasti yang terbaik dan hanya Allah yang mengetahui rahsia dan hikmah kejadian itu.
Pilih Bahagia
Mengikut pengalaman saya sebagai Kaunselor Keluarga, wanita lebih memilih untuk bahagia walaupun tidak kenal berbanding mengahwini pemuda cinta hati tetapi hanya kekal tujuh hari.
Namun untuk bahagia ke akhir hayat itu tidak mungkin berjaya tanpa cinta dan kasih sayang. Untuk kekal untuk mencintai pasangan pasti ada senarai cabaran yang tersendiri.
Cakap memang senang tetapi bagaimana untuk terus mempertahankan perkahwinan itu sekiranya dilanda dugaan hebat? Itulah yang akan saya kongsikan dalam nota minggu ini.
Tahap Kegembiraan
Untuk cara yang pertama ini saya kongsikan dahulu hasil kajian penyelidik daripada University of Rochester. Mereka mendapati ada empat cara pasangan menerima sesuatu berita baik.
Seronok dan teruja.
Gembira tetapi tidak ditunjukkan.
Tidak ada respons.
Meleceh dan memperkecilkan.
Penyelidik ini mendapati individu yang selalu memperkecilkan pencapaian pasangan mempunyai tahap kegembiraan yang rendah dalam perkahwinan mereka.
Contohnya “Elehh..orang lain pun beli juga kereta. Kereta baru lagi. Bukan kereta ‘second hand’ macam kereta Abang ni”.
Bahagia Tapi Tak Tunjuk
Suami mana yang tidak sakit jantung dapat isteri macam ini? Apa yang mengejutkan ialah rasa gembira tetapi tidak ditunjukkan kepada pasangan juga tidak elok untuk mencapai kebahagiaan. Maknanya kita tidak boleh hanya simpan rasa seronok itu dalam hati.
Hanya individu yang seronok dan teruja apabila pasangan mereka gembira atau mencapai kejayaan boleh menjadikan pasangan bahagia. Oleh itu selepas ini jangan malu-malu lagi. Raikan kejayaan dia. Dia gembira dan anda juga bahagia.
Bila Diri Dihargai
Tidak ada perasaan lebih berbunga selain perasaan apabila diri dihargai. Suami dan isteri mempunyai peranan saling melengkapi. Alangkah bahagia pasangan yang menghargai peranan pasangan mereka.
Dengan ucapan ‘terima kasih’, senyuman atau apa sahaja yang menunjukkan penghargaan pasti akan membuatkan pasangan rasa bahagia. Sebagai contoh suami memuji masakan isteri dan isteri mengucapkan ‘terima kasih abang’ apabila suami selesai mengemop lantai pasti mengikat pasangan itu hingga ke akhir hayat.
Sambutlah Suami
Bagaimana pula pasangan yang tinggal bersama? Pejabat mungkin berbeza tetapi setiap hari tentu masing-masing kembali ke rumah yang sama. Adakah semasa berpisah di waktu pagi isteri datang mencium tangan suami? Adakah setelah balik waktu petang suami senyum lalu mencium pipi isteri? Atau masing-masing naik kereta sendiri dan tidak kisah bila suami atau isteri mereka pulang dari pejabat hari itu?
Sebab itu dalam Islam disuruh isteri menyambut suami di muka pintu. Sediakan air atau minum petang bersama. Itu jika isteri tidak bekerja. Jika isteri bekerja pula tentu suami boleh belikan sedikit juadah minum petang dan janji sampai di rumah untuk minum petang bersama isteri.
Krisis Bermula Dari Isu Kecil
Saya selalu kata krisis rumah tangga selalu bermula daripada isu yang kecil-kecil. Saya juga kata kebahagiaan rumah tangga datangnya daripada perkara kecil-kecil yang dibuat bersama. Suami siang ikan dan isteri gorengkan. Hujung minggu keluar berjoging bersama. Atau sesekali keluar tengok wayang berdua. Perkara-perkara kecil yang dibuat bersama inilah yang menghantar mesej di dalam minda bawah sedar bahawa pasangan kita dekat di mata dan dekat di hati.
Ada yang kata perempuan sukar untuk difahami. Sikap dan perangainya sering berubah-ubah. Ragamnya payah dijangka. Selalu rumit untuk berbuat keputusan walau pada sekecil-kecil perkara. Sering ‘memeningkan’ kepala kaum lelaki dengan kerenahnya. Namun walau apa pun perempuan memang insan yang istimewa. Memberi keceriaan dan rencah dalam hubungan rumahtangga.
Perkongsian daripada Puan Farizal Radzali ini antara ragam dan kerenah orang perempuan selalu lakukan. Cuba semak!
Perempuan…
Kalau takde tudung yang match dengan baju, maknanya dia TAKDE tudung ok. Walaupun tudungnya penuh almari.
Kalau baju yang sama dia dah pakai selalu selama 3-6 bulan, maknanya dia TAKDE baju ok. Walaupun bajunya dah tak muat almari.
Keronsang yang dia beli RM10 dapat 20 biji tu, boleh habis tau walaupun dia kata dia tak makan keronsang tu. Dan dengan muka macam orang dah ambil keronsang dia, dia akan kata, tak taulah pegi mana semua keronsang tu.
Beratnya 50 kg tapi kawannya 49.5 kg, dia dah rasa dirinya gemooookkkk sangat. Esoknya dia start diet.
Dia yang buat hal, lepas tu dia yang merajuk.
Kalau orang usik tudung yang dia dah gosok cantik licin bagai telur rebus baru dikupas, dia boleh meletup bagai bom atom tersimpan beribu tahun lalu. Walhal boleh je gosok balik. Takpun ejas je baik-baik. Dah pakai kang kedut gak balik.
Dia boleh pakai tudung dengan pelbagai cara lipatan, lilit sana sini, pin sana sini kat kepala dia, siap buat tutorial lagi, takpun dia gigih ikut tutorial orang lain, tapi lipat kain dia malas.
Orang marah anak dia tak boleh, tapi dia marah anak dia sampai hujung kampung boleh dengar, takpe pulak.
Dia tahu sakit bersalin tu macam nyawa dihujung rambut, tapi seriknya sekejap je. Tak lama, dia nak mengandung lagi.
Sakit bersalin dia boleh lalui berulang kali tapi jarinya kena pisau sikit dah meraung macam apa.
Di mata lelaki, kaler ada 12, ikut kaler pensil anak kat sekolah. Yakni hijau is hijau, biru is biru dan seterusnya. Tapi di mata perempuan, kaler ada 36++ macam kaler stabilo yang kotak besar tu, itupun tak cukup tau. Hijau je ada 6-8 warna, hijau lumut, hijau pucuk pisang, hijau mint, hijau tua, hijau muda, hijau tua sikit, hijau bla bla bla… Itu baru hijau ok. Itu belum lagi ungu biji kundang, ungu ros, ungu kuat, ungu pelan, arggghhhh macam² la… so, jangan silap kaler ok.
Mulutnya kata lain sedangkan hatinya nak lain. Lepas tu bila orang tak paham, dia sedih. Huhuhu….
Dia tahu sakitnya dianiaya orang yang dia sayang, tapi dia tak pernah serik bagi peluang lagi dan lagi walaupun dia tahu dia akan disakiti lagi dan lagi. Sedangkan tak semua yang mengerti.
Dia boleh jadi dragon fly yang comel, boleh jadi dragon fire yang menakutkan, tapi dia adalah dragon ball yang susah nak dapat walaupun dah banyak episod. Dah dapat pun boleh terlepas balik ok.
Itulah perempuan, penghibur terbaik yang Allah kirimkan buat semua kita di dunia. Selagi dia tak minta diluar kemampuan kamu, turutilah. Andai tak mampu, betulkanlah dia secara berhemah. Dia bidadari kamu di syurga nanti. Kat sana nanti, walau hodoh mana dia di dunia, dia akan jadi paling cantik, In Shaa Allah.
Nukilan Farizal Radzali
MW: Memang ada benarnya. Kalau dah namanya perempuan, lumrahnya sikapnya dan perangainya sebegitu. Terimalah segala baik buruknya seadanya.
Mas Idayu bersyukur bekas suami lepaskan secara baik. Tiada pasangan berkahwin yang inginkan perpisahan namun jika ditakdirkan jodoh tidak panjang pastinya kena reda dengan...