
Isi Kandungan
ToggleMemang nampak comel bila anak-anak masih kecil dipakaikan dengan barangan kemas baik gelang, rantai, cincin mahupun anting-anting. Namun, jika mak ayah ada berhasrat untuk tindikkan anak yang masih kecil terutamanya bayi yang bawah usia 6 bulan, elok tangguhkan dulu keinginan ini.Ini kerana mungkin ramai mak ayah yang tak tahu bahawa luka tindikan tersebut berbahaya pada bayi usia begini.
Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Hj Ahmad berkata jika tidak dirawat atau dibiarkan, luka tindikan tersebut menyebabkan jangkitan kuman tetanus, sekali gus boleh menyebabkan bayi mengalami kekejangan dan sawan.
Berikut Perkongsian Panduan Tindik Telinga Bayi oleh beliau :
1.Prosedur Yang Bersih & Selamat
Prosedur menindik telinga anak seharusnya dilakukan dengan cara yang bersih supaya tidak berlaku jangkitan kuman pada cuping telinga. Menindik sebaiknya dilakukan di klinik kerana doktor menggunakan jarum pakai buang yang telah disterilkan. Doktor juga akan membius cuping telinga sebelum menindiknya.
2. Telah Mendapat Suntikan (DTap)
Pastikan anak telah disuntik dengan vaksin diphtheria-tetanus-pertussis (DTap) yang melindunginya daripada kuman tetanus.Banyak kes jangkitan kuman yang lebih bahaya menyebabkan kejang dan sawan akibat jangkitan kuman tetanus berpunca dari luka tindikan.
3.Bayi Berusia 6 Bulan Ke Atas
Bayi secara umumnya mempunyai daya tahan yang lemah berbanding orang dewasa.Justeru ibu bapa yang mahu menindik telinga bayi, disarankan agar menunggu sehingga anak mereka berusia enam bulan ke atas.
4.Pilihan Material Anting-Anting
Selain itu pastikan anting-anting untuk bayi dibuat daripada bahan berkualiti dan tidak menyebabkan alahan seperti emas, platinum dan titanium. Anting-anting yang dibuat daripada kromium (bahan logam disadur dan mudah berkarat) selalunya menyebabkan radang dan alahan pada cuping telinga.

5.Kepentingan 6 Minggu Pertama
Mak ayah juga disarankan supaya memberi perhatian terhadap luka tindikan dalam masa enam minggu pertama dengan membasuh bahagian ditindik itu menggunakan air bersih bagi mengelak jangkitan kuman dan alahan.
Sebenarnya, tak salah mak ayah nak menindik telinga anak-anak yang masih kecil. Namun pastikan penuhi panduan dan syarat tertentu sebelum menindik telinga bayi seperti yang dijelaskan oleh Doktor Zubaidi ini iya.
Sumber: Dr Zubaidi HJ Ahmad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebab Inilah Kos IVF Telan Belanja Tinggi, Walau Jaminan Berjaya Tidak 100 %

Isi Kandungan
TogglePasangan yang sudah lama berkahwin dan masih tidak memiliki anak pasti akan mencuba melakukan rawatan IVF atau persenyawaan in vitro sebagai jalan terakhir untuk mendapatkan zuriat. Umum sedia maklum, tidak ramai mampu melakukan rawatan IVF kerana perbelanjaan kos rawatan IVF menelan perbelanjaan tinggi.
Apa yang menyebabkan kos perbelanjaan rawatan IVF ini mahal? Mengapa terdapat perbezaan kos IVF? Perkongsian Dr Salleha Khalid, Pakar Fertiliti dan Sakit Puan ini boleh dijadikan sebagai panduan.
Kos semestinya merupakan faktor utama yang akan menentukan di manakah pasangan akan menjalani rawatan IVF. Satu kitaran rawatan IVF sememangnya menelan belanja yang tinggi.
Di Malaysia kos satu kitaran rawatan IVF adalah sekitar 9,000 sehingga 50,000. Malah ada yang lebih mahal dari ini. Ramai yang ketahui walau sejauh mana mahal pun rawatan IVF ini, ianya bukan tentu akan memberi 100 peratus jaminan yang rawatan akan berjaya.
Namun mengapakah terdapat perbezaan yang ketara antara satu pakej IVF dengan pakej IVF yang lain. Setiap pasangan perlu mengetahui apakah yang akan mereka terima sekiranya membiayai dengan jumlah tertentu. Dan ke mana kah wang tersebut digunakan dalam rawatan yang diterima.
1-Ubat Suntikan
Hampir separuh (atau lebih) kos rawatan ini digunakan untuk membiayai ubat suntikan hormon. Lebih banyak jenis hormon yang digunakan lebih mahal harganya. Begitu juga lebih tinggi dos yang digunakan lebih tinggi kos ubat tersebut.
Seperti yang kita ketahui, setiap wanita adalah berbeza. Ada yang hanya memerlukan dos yang rendah dan ada yang memerlukan dos yang tinggi.
Dan ada yang hanya memerlukan 10 hari suntikan, dan ada juga yang memerlukan lebih lama sehingga 15 hari suntikan untuk merangsang telur tersebut. Ada yang memerlukan ubat suntikan lain sebelum mula menggunakan ubat merangsang ovari.
Lain jenis ubat lain harganya. Sesetengah wanita memberi respon yang lebih baik dengan sesejenis ubat hormon. Ada yang memerlukan hanya satu jenis hormon. Ada yang memerlukan sehingga tiga jenis suntikan hormon pada masa yang sama.
Maka berbezalah kos antara satu kitaran rawatan IVF dengan kitaran yang lain. Sepanjang waktu rangsangan ini, respon setiap wanita akan diperiksa dengan menggunakan alat imbasan atau lebih dikenali sebagai ultrasound.
Dianggarkan paling kurang tiga kali ultrasound scan akan dibuat sepanjang tempoh rangsangan ubat diberikan.
2-Penggunaan Jarum ICSI (Intracytoplasmic Sperm Injection)
Perbezaan ICSI dan IVF adalah apa yang berlaku di dalam makmal. Rangsangan ovari yang berbentuk suntikan adalah sama bagi pasangan yang menjalani rawatan samada IVF atau ICSI. Tetapi apa yang berlaku di dalam makmal yang membezakan antara IVF dengan ICSI.
ICSI berlaku apabila sperma disuntik ke dalam telur. IVF pula berlaku apabila sperma dibenarkan bersenyawa dengan telur sendiri. Sperma yang kuat akan mampu bersenyawa dengan telur.Manakala sperma yang kurang memuaskan akan memerlukan teknik ICSI.
ICSI adalah satu teknik yang digunakan bagi mengatasi sperma yang tidak mampu bersenyawa dengan telur. Untuk ICSI berlaku ia akan memerlukan penggunaan jarum yang khas bagi membolehkan sperma disuntik ke dalam telur.
Seperti alat perkakas yang lain, jarum ini akan dipakai buang. Ianya tidak digunakan semula. Penggunaan jarum ini juga akan menambah kos kepada jumlah rawatan.
3-Penggunaan Alat Time Lapse
Inkubator Time Lapse adalah salah satu inkubator yang digunakan untuk memantau perkembangan embrio. Embrio terbentuk apabila telur berjaya disenyawakan oleh sperma. Apabila bersenyawa embrio akan membahagi dari dua sel ke empat sel, ke lapan sel dan seterusnya.
Perkembangan embrio memerlukan keadaan persekitaran yang kondusif dan optimum. Ini termasuklah keadaan suhu, kandungan gas dan juga kepekatan dan jenis nutrisi yang digunakan di dalam inkubator (rahim tiruan).

Bagi memantau perkembangan embrio, saintis (embryologist) di makmal akan mengeluarkan embrio tersebut dari inkubator dan memantau perkembangan embrio di bawah mikroskop. Apabila ia dilakukan, akan terdapat perubahan persekitaran di sekeliling embrio tersebut.
Ini termasuklah perubahan suhu, gas dan nutrisi. Walaupun waktu yang digunakan untuk proses pemantauan ini singkat namun terdapat perubahan persekitaran yang boleh menjejaskan perkembangan embrio ini.
Penggunaan inkubator Time Lapse untuk memantau perkembangan embrio tidak memerlukan embrio itu dikeluarkan untuk dipantau. Inkubator Time Lapse ini menggunakan kamera yang berkuasa tinggi untuk memantau perkembangan embrio secara berterusan tanpa memerlukan embrio dikeluarkan dari tempat persekitaran yang kondusif dan optimum.
Memberi Informasi Perkembangan Embrio Secara Berterusan
Dengan penggunaan Time Lapse ini, ianya mengurangkan perubahan persekitaran berlaku bagi pembesaran embrio akibat pemantauan di bawah mikroskop yang perlu dilakukan setiap hari atau selang sehari bergantung dengan kualiti embrio yang terbentuk.
Perkembangan embrio ini boleh diumpamakan dengan apabila kita masak kek di dalam oven. Sekiranya kita kerap buka oven untuk memastikan kek sudah masak atau tidak, kek tersebut akan terbantut sekiranya ia kerap dikeluarkan.
Selain itu Time Lapse juga memberi informasi perkembangan embrio secara berterusan. Perkembangan ini dirakam di dalam video yang boleh diulang semula. Pegawai embryologist dapat melihat semula perkembangan setiap embrio dan memantau dengan lebih dekat lagi bagi memilih embrio yang mana terbaik untuk diletakkan semula ke dalam rahim.
Sesetengah embrio membahagi dengan cara yang tidak normal. Perkembangan embrio yang tidak normal ini disesetengah kes tidak dapat dikesan sekiranya pemantauan embrio berlaku hanya pada waktu tertentu.
Dengan penggunaan Artifical Intelligence (AI), Time Lapse mampu memberikan gred tertentu kepada setiap embrio. Gred embrio ini memberi maklumat tambahan kepada embryologist embrio.
Ramai pasangan apabila diberitahu mengenai perkembangan embrio ingin melihat bagaimana embrio mereka membahagi dan berkembangan. Dengan adanya rakaman video di dalam Time Lapse ini, segala perkembangan embrio dapat ditunjukkan kepada pasangan.
4-Ujian Genetik Embrio
Sesetengah pasangan mungkin adalah pembawa penyakit genetik tertentu. Sebagai contoh penyakit Talasemia. Talasemia adalah sejenis penyakit genetik darah merah yang menyebabkan sel darah merah tidak terbentuk dengan normal.

Seorang anak boleh menerima gen dari ibubapanya. Oleh itu salah satu caranya ialah memeriksa genetik embrio yang terbentuk hasil daripada rawatan IVF. Jika embrio yang diperiksa kandungan genetiknya tidak mempunyai gen Talasemia, maka embrio tersebut adalah embrio yang sihat dan akan diletakkan semula ke dalam rahim.
Embrio yang mempunyai gen Talasemia tidak diletakkan ke dalam rahim. Dengan cara ini, anak yang bakal dikandung dan dilahirkan tidak mempunyai penyakit Talasemia. Kaedah memeriksa embrio ini dikenali sebagai Pre-Implantation Genetic Diagnosis (PGD).
Terdapat juga ujian Pre-implantation Genetic Diagosis (PGS) yang mana PGS ini digunakan untuk memeriksa sekiranya terdapat jumlah kromosom yang normal pada embrio tersebut. Sebagai contoh, PGS digunakan sebagai saringan memastikan embrio tidak mempunyai penyakit Syndrome Down. Teknik PGD dan PGS ini boleh meningkatkan kos IVF lebih tinggi dari pakej yang lain.
5-Perkhidmatan Kaunseling
Oleh kerana rawatan kesuburan ini memerlukan komitmen yang tinggi, ramai pasangan yang tertekan ketika melalui rawatan. Oleh itu sebagai inisiatif bagi mengurangkan tekanan bagi pasangan, sesetengah pusat kesuburan menawarkan perkhidmatan kaunseling sebagai salah satu rawatan yang termasuk dalam pakej kesuburan.
Walaupun ramai pasangan yang pada awalnya merasakan kaunseling mungkin tidak perlu, namun sekiranya rawatan yang diambil tidak berjaya dan mengambil masa yang lebih lama dari yang dianggarkan ianya sememangnya boleh memberikan tekanan yang amat bagi setiap pasangan suami isteri. Kajian juga menunjukkan kaunseling membantu pasangan mengharungi perjalanan rawatan kesuburan ini.
6-Pengiktirafan Sesebuah Pusat Kesuburan
Memperolehi pengiktirafan oleh badan atau organisasi tertentu adalah penting bagi memastikan standard, mutu dan kualiti perkhidmatan yang diberikan mengikuta piawaian yang ditetapkan. Ini termasuklah mendapatkan pengiktirafan dari badan antarabangsa. Dengan pengiktirafan ini, rawatan yang diberikan dapat dijamin bermutu tinggi dan berperingkat antarabangsa.
Oleh itu setiap pasangan perlu mengetahui apakah perkhidmatan yang termasuk dalam pakej IVF mereka. Terutamanya apa yang berlaku di dalam makmal selepas telur diambil dan disenyawakan.
Begitu juga, pasangan perlu mengetahui adakah terdapat apa- apa bayaran tambahan yang mungkin perlu dibuat selain daripada yang termasuk dalam pakej yang dipilih.
Semoga dengan pencerahan kos dan rawatan yang diterima dapat menjadikan perjalanan ke arah mencapai impian menimang cahaya mata menjadi lebih telus dan seperti yang diharapkan.
Dr Salleha Khalid merupakan Pakar Fertiliti dan Sakit Puan dan pada masa yang sama turut menulis berkenaan isu kesuburan di www.kernamu.com
Baca ini juga:
usah-salahkan-sesiapa-suami-isteri-tidak-subur-masih-ada-harapan-dengan-rawatan-ivf
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
8 Tanda Wanita Sedang Subur, Penting Untuk Rancang Kehamilan Mahupun Jarakkan Anak

Isi Kandungan
ToggleSebenarnya ada 8 tanda yang boleh dirasai oleh wanita secara fizikal bila tibanya waktu subur.Waktu subur atau tempoh ovulasi merupakan proses ketika sel telur (ovum) dikeluarkan dari folikel yang sudah matang ke tiub falopio untuk disenyawakan. Berbanding sperma yang dapat bertahan selama 7 hari dalam vagina, sel telur hanya dapat bertahan paling lama 24 jam setelah dikeluarkan.
Seorang wanita dikatakan memiliki masa subur sekitar 6 hari dalam 1 bulan. Dalam 6 hari ini, terdapat 1-2 hari yang dikatakan waktu yang ‘paling subur’.
Pada waktu ini, jika wanita merancang untuk hamil ia adalah masa yang tepat untuk melakukan hubungan intim bersama suami. Sebaliknya, elakkan ‘bersama’ suami pada waktu subur ini jika berhasrat untuk menjarakkan kehamilan secara semulajadi.
Biasanya, wanita dalam keadaan subur apabila mengalami tanda-tanda berikut;
1. Suhu Tubuh Meningkat
Proses ovulasi dapat meningkatkan suhu basal tubuh.
Jadi,perlu tahu suhu tubuh badan pada hari-hari biasa supaya dapat membandingkannya pada hari subur. Gunakan carta untuk mencatat suhu badan setiap hari.
Oleh kerana perbezaannya tidak begitu banyak, pastikan menggunakan termometer yang tepat & stabil bacaannya.Setelah 2-3 hari tubuh mengalami proses ovulasi, hormon akan meningkatkan suhu tubuh kira-kira 0.1-0.3 darjah Celcius.
2. Keputihan
Tanda subur wanita juga boleh dilihat apabila berlakunya keputihan berupa lendir pada serviks (pangkal rahim).Tekstur dan warna keputihan yang hadir sebagai tanda subur wanita adalah berbeza daripada keputihan yang berlaku pada hari-hari biasa.
Ini kerana, menjelang ovulasi lendir akan menjadi lebih cair dan kelihatan agak jernih.
3. Merasa Lebih Ghairah
Salah satu tanda subur wanita juga dapat dirasakan melalui peningkatan nafsu syahwat atau ‘libido’.Secara semula jadi, wanita juga akan merasa lebih menarik dan terlihat lebih menarik bagi pasangan anda.
4. ‘Cramp’ Perut
Rasa sakit seperti kejang atau ‘cramp’ pada bahagian perut bukan saja berlaku ketika datang haid.Pada waktu subur juga wanita boleh mengalaminya.
5. Posisi Serviks (Pangkal Rahim) Tinggi & Lembut
Tanda subur wanita atau masa ovulasi dapat dikenalpasti dengan mengamati perubahan pada bahagian serviks.
Semasa dalam tempoh kurang subur, serviks berada dalam keadaan tertutup, kering, terasa agak kesat, dan berada pada posisi rendah (senang dirasa).
Apabila menghampiri waktu ovulasi, serviks akan terasa lembut, sedikit terbuka, lembap dan pada posisi tinggi (sulit dijangkau).
Waktu terbaik untuk memeriksa serviks ini adalah di malam hari. Pastikan tangan anda bersih sebelum memeriksa serviks.
6. Payudara Bengkak & Ngilu
Akibat peningkatan hormon, payudara anda akan terasa sedikit bengkak dan ngilu ketika ovulasi.Namun terdapat juga wanita yang bukan hanya merasakan bengkak pada payudara, tetapi juga pada bahagian lain tubuh.

7. Deria Rasa & Bau Lebih Tajam
Selain tanda-tanda di atas, ada juga wanita yang mendakwa mereka biasanya akan dapat menghidu dan merasa makanan dengan lebih baik pada waktu subur. Oleh itu, wanita juga kebiasaannya akan menjadi lebih berselera ketika proses ovulasi.
8. Tompokan Darah
Berbeza daripada haid, timbulnya tompokan darah yang sedikit ini adalah akibat kadar penurunan estrogen yang mendadak sebelum berlakunya ovulasi.
Oleh itu, paras progesteron akan turut menurun dan berlaku luruhan endometrium secara tiba-tiba yang menyebabkan adanya tompokan darah tersebut.
Dengan mengetahui beberapa tanda di atas, diharap ia dapat membantu ibu bapa yang sedang dalam proses mencuba untuk mendapatkan cahaya mata serta menjarakkan kehamilan dengan lebih tepat
Sebagai tambahan, kemungkinan untuk terjadinya ovulasi adalah sangat rendah dalam 6 minggu pertama selepas bersalin.Namun, ia masih boleh berlaku bergantung kepada kesediaan tubuh badan anda.
Semoga bermanfaat!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Normal Anak Bercinta, Tapi Mak Ayah Kena Pastikan Pergaulan Patuh Syariah!

Isi Kandungan
ToggleNormal sekiranya terbit rasa cinta di hati antara pasangan dara dan teruna. Anak-anak remaja zaman sekarang, susah nak halang mereka daripada bercinta sebelum nikah. Mereka ingin memilih sendiri pasangan hidup mereka dan tidak mahu mak ayah yang carikan.
Normal Jika Jatuh Cinta
Jika begini keadaannya, mak ayah wajib pantau siapakah jejaka/gadis pilihan hati anak agar hubungan yang terjalin itu patuh syariah.
Namun, ada juga mak ayah yang sangat tegas dalam soal ini. Anak-anak terutamanya anak gadis tak dibenarkan bercinta sebelum nikah dan mereka berhasrat untuk mencarikan jodoh untuk anak gadis mereka kelak. Normal bagi mak ayah yang takut anak-anak terjerumus dalam perkara yang tak elok jika diizinkan bercinta.
Normal Bila Nak Sembunyikan Aib Diri
Berpasangan sebagai kekasih sebelum kahwin itu haram! Bercinta selepas nikah itu sunnah! Betulkah pandangan sebegini?
Bagaimana jika proses berkenalan itu belum sempurna, terburu-buru, tidak selidik betul-betul bakal suami atau isteri? Biasanya disebabkan sangka baik yang terlalu baik akhirnya kecundang jua. Tudung labuh serban besar bukan jaminan yang memakainya memiliki iman sempurna dan akhlak mulia. Tiada siapa tahu rahsia yang disembunyi, aib yang sengaja ditutupi dan kemunafikan yang dihias indah!
Malang sungguh, disebabkan mahu menjaga diri dari berpacaran yang tidak patuh syariah maka seorang anak dara patuh suruhan ayahnya untuk menerima pinangan lelaki yang tidak dikenal. Tak sampai setahun bercerai walaupun lelaki itu berkelulusan agama dan warak kononnya tapi rupa-rupanya menyimpan syaitan dalam jubahnya. Kaki pukul, tak bagi nafkah batin, seorang gay yang sengaja mahu menyembunyikan seksualitinya yang sebenar.
Suami Rupanya Bukan Lelaki Normal
Demi mengaburi mata masyarakat ramai lelaki gay yang sengaja kahwin untuk menutupi identiti asli mereka. Akhirnya yang merana adalah wanita-wanita yang masih dara lagi harus menjadi janda.
Lagi teruk kisah isteri yang terpaksa bersaing dengan lelaki yang ‘diminati’ suami, suami biseksual yang tak nampak kepondanannya tapi mempunyai kelaian seks yang teruk, kenapakah mereka tidak mencium kelainan suami sebelum bernikah lagi? Apakah ini bahana cinta sebelum nikah?
Kita tidak nafikan dalil-dalil dalam al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w tentang haramnya bergaul bebas tetapi ia bukan bermakna langsung tiada pergaulan dalam urusan proses sebelum kahwin. Sehinggakan menutup mata terhadap segala kelemahan dan aib manusia yang mungkin disembunyikan bakal pengantin.
Ikhtiar Tak Salah….
Sangka baik itu dituntut dalam agama tapi selepas ikhtiar meneliti asal usul dan keperibadian sebenar sebagaimana yang diketahui orang-orang rapat kepada bakal pengantin. Bukankah Ummul Mukminin khadijah RA mengutuskan sahabatnya, Nafisah binti Muniyyah untuk menjadi ‘mata dan hatinya’ mencari maklumat yang cukup sempurna tentang Muhammad s.a.w.
Bercinta selepas nikah kadang dicampuri unsur riak, mahu menunjuk suci walaupun ia perbuatan hati yang tiada seorang boleh menilainya selain Allah tetapi perlu diteliti apa niat sebenar orang yang mengabaikan asal usul bakal suami atau isterinya itu. Padahal agama menyuruh seorang lelaki melihat wanita yang akan dinikahinya .
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:“Jika salah seorang di antara kalian melamar seorang wanita, maka jika kamu mampu untuk melihat apa yang bisa membuat tertarik untuk menikahinya maka hendaknya dia lakukan”. Jabir berkata, “Maka sayapun melamar seorang wanita lalu saya melihatnya dengan sembunyi-sembunyi (tanpa sepengetahuannya) sampai akhirnya saya melihat darinya apa yang membuat saya tertarik untuk menikahinya maka sayapun menikahinya”. (Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan)
Pergaulan Patuh Syariah
Tidak bermakna bercinta selepas nikah itu tidak mengikut syariat bahkan jika kedua bakal pengantin telah meneliti latar belakang dan akhlak kemudian menjalani proses pergaulan patuh syariah sebenarnya ia lebih menepati keadaan masyarakat sekarang.
Kita hidup dalam sistem maklumat dan komunikasi paling canggih yang memudahkan pergaulan yang halal ini dilakukan secara tanggungjawab. Selagia tidak berdua-duaan, tidak menyentuh, tidak merayu dengan suara yang memikat, tidak memandang dengan syahwat maka pergaulan cara Islam ini dihalalkan.
Jangan Abaikan Latar Belakang Bakal Pasangan
Pada pokok pangkalnya jangan abaikan latar belakang bakal pasangan, minat dan sikap, sumber pendapatan dan harta bendanya, latar belakang keluarga dan pendidikanya, kawan-kawan karib dan hobinya, sifat dan tabiat negatifnya, semua ini kerja besar yang perlukan pertolongan spy profesional.

Malang jika rasa cinta yang membuak-buak boleh menutupi segala kejahatan yang sudah pun nampak di mata. Hati kata sayang maka mata jadi buta, cinta buat mabuk kepayang! Namun beitu jangan pula terlalu cerewet memilih dan menyusah-nyusahkan proses perkahwinan kerana terlalu fobia, bukankah dalam setiap ikhtiar itu ada satu kewajipan untuk tawakkal kepada Allah SWT?
Mesti Dengan Niat Nak Bernikah
Mengapa gerakan cinta selepas nikah ini menjadi trending? Apakah disebabkan masyarakat sudah marah melihat kemaksiatan yang mengotori pergaulan lelaki dan wanita sehingga mereka yang menyokongnya bersungguh-sungguh mengamalkan proses pernikahan sebegini.
Pergaulan sebelum menikah itu halal, jangan haramkan apa yang tidak diharamkan Allah, ia sama seperti merosakkan kuasa veto Tuhan. Jangan pula mengambil kesempatan dengan melambat-lambatkan proses pernikahan padahal sebenarnya tidak berniat mahu menikah. Pergaulan yang disyariatkan adalah pergaulan yang berakhir dengan matlamat pernikahan bukan untuk main-main cinta.
Tak Semudah Dilafazkan
Cinta selepas nikah memang indah dilafaz tapi terlalu berat dipikul. Bukan mudah untuk memahami orang yang tidak pernah bercakap dan melihat satu sama lain. Apatah lagi jika mereka ada masalah komunikasi, masalah moral yang sebelumnya tidak diketahui, masalah kewangan seperti isteri terpaksa membayar hutang suami sewaktu bujang, masalah penyakit, masalah keluarga mentua dan pelbagai cabaran lainnya.
Wahai wanita, perkahwinan adalah ujian maka eloklah bersedia melihat kejutan yang tak dijangka!
Artikel ini telah dikongsikan oleh Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam dan juga penulis jemputan di dalam majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/juanda.jaya.9
https://www.mingguanwanita.my/genggam-erat-tangan-anak-tak-kira-saat-mereka-berjaya-atau-gagal/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI