Amalan berpantang tradisional selepas bersalin sering menjadi isu yang selalu diperdebatkan. Bagi yang ‘berfikiran’ moden dan terbuka menganggap, amalan berpantang yang diperturunkan oleh nenek moyang, seperti sengkak, tangas, bertungku, berbengkung dan sebagainya dianggap tidak penting dan tidak diperlukan oleh wanita selepas bersalin. Tidak kurang ada yang ‘menentang’ amalan berpantang ini kerana dianggap tidak mempunyai asas kajian saintifik yang dipelajari oleh ilmu perubatan moden.
Semoga perkongsian oleh Dr.Abdul Ghani Hussain ini yang berpenglaman selama 40 tahun dalam ilmu perubatan moden dan perubatan Melayu, membuka mata kita kelebihan amalan berpantang ini secara saintifik.
Jemput baca perkongsian beliau;
BERPANTANG – ADAKAH IA ADA ASAS SAINTIFIK PERUBATAN MODEN – suatu catitan ringkas
Suatu ketika dahulu saya amat cemuih dengan mereka yang mengagung-agungkan amalan nenek-moyang kita selepas bersalin. Mungkin kerana saya tidak faham kenapa mereka amalkan apa yang diamalkan. Maka keluarlah hujah-hujah karut, tiada asas saintifik, apa yang sejuk hingga nak pijak lantai pun tak boleh .. dan sebagai lagi.
Setelah mendekati ilmu perubatan Melayu maka barulah saya faham semuanya dan memang ada asas saintifik disebalik amalan-amalan itu yang saya sebagai seorang doktor moden terlepas pandang.
Satu contoh:
Amalan Sengkak
Amalan mengurut sengkak. Saya pelajari prinsip sengkak dari tok guru saya yang saya hormati dan sanjungi Tuan Syed Mahdi Barakbah. Sungguh pun tidak habis belajar lagi, setiap apa yang disebut tentang sengkak saya boleh menghayati dari pandangan perubatan modern. Saya bukanlah pakar perbidanan dan sakit puan atau pun seorang pakar surgeri (walau pun saya telah terima latihan dalam bidang surgeri selama 4 tahun). Tetapi sebagai seorang doktor modern yang berpengalaman lebih 40 tahun rasa saya tidak salah saya menghuraikannya berasaskan pengalaman saya yang tidak seberapa ini.
Sengkak ialah satu-satu kaedah urutan orang Melayu khusus untuk memperbetulkan kedudukan rahim terutama sekali selepas bersalin. Ia selalunya dibuat dipenghujung waktu pantang iaitu 44 hari.
Kenapa ya? Ini pandangan dari sudut sains moden di mana perubatan moden tidak kesampaian dalam memahaminya. Semasa mengandung, urat-urat yang menyokong rahim ditarik cekang apabila rahim membesar. Ini menyebabkan urat-urat ini menjadi kendur selepas melahirkan anak. Apabila urat kendur, rahim yang kini berat akan beralih kedudukannya. Ini diakui ramai pakar perbidanan, walau bagaimanapun mereka tidak ada kaedah untuk membetulkannya dan selalu membiarkannya begitu sahaja.
Saya sering mendapat pesakit yang datang dengan aduan kencing tidak lawas, kerap kencing, kencing tidak sejat dan berbagai masalah dengan kencing. Suatu ketika dahulu saya selalu anggapkan ia hanya UTI (jangkitan kuman dalam pundi/saluran kencing). Tetapi yang hairannya selepas habis antibiotik, selang beberapa minggu pesakit datang lagi dengan aduan yang sama. Suatu hari saya hantar seorang pesakit saya pergi berjumpa dengan sepupu saya, seorang bidan kampung. Beliau kata, “peranakan dia beralih”, dan beliau telah memperbetulkan kedudukan rahim pesakit saya. Alhamdulillah selepas itu masalah kencing pesakit saya selesai.
Bidan Kampung, Pakar Perbidanan
Bidan kampung seperti pakar perbidanan, amat kenal dengan masalah yang mungkin dihadapi seorang ibu selepas bersalin, sebab itu mereka amalkan kaedah berpantang dan “ritual” berkaitan dengannya untuk memastikan ibu itu tidak menghadapi sebarang masalah. “Ritual” berpantang yang dijalankan dengan tertib, merangkumi adab pemakanan dan pantang-larang, mengurut, berbengkung, bertangas dan pelbagai lagi semuanya menjamin ibu selepas bersalin akan kembali normal supaya dapat menjalankan tugas menjaga anak dengan sempurna disamping melayan suaminya.
Inilah “wisdom” dalam amalan berpantang yang telah berpucuk beribu tahun lamanya. Mereka tidak salah dalam apa yang diamalkan kerana ada asas fikiran sains moden di dalam amalan ini yang boleh dihuraikan dan diperincikan oleh mereka yang ada ilmu dan kefahaman sains kuno dan modern.
-Dr.Abdul Ghani Hussain-
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Sumber: Rumah Ubat Dr.Ghani
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI