
Pengacara Fedtri Yahya seorang bapa mithali sememangnya terkenal dengan sikapnya yang begitu suka menyebarkan ilmu dan kata-kata semangat.
Terbaru pemilik nama sebenar Ahmad Fedtri Yahya ini telah menerima Anugerah Tokoh Khas Kategori Pendakwah Kreatif (peringkat Wilyah Persekutuan) menerusi Program Ma’al Hijrah yang bertemakan Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Pengiktirafan terhadap Fedtri adalah menerusi sumbangannya yang aktif dalam menyampaikan mesej berunsur dakwah di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Malah Fedtri juga turut berkongsi ilmu ketika mengelolakan rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) dan beberapa rancangan yang dikendalikan.
Selain dikenali sebagai pengacara TV, penulis lirik dan kini berjinak-jinak dunia penyiaran radio, Ahmad Fedtri juga merupakan seorang penulis buku.
Di Sebalik Kejayaan Fedtri Yahya, Isteri & Anak-anak Sumber Inspirasi
Seperti mana yang dikongsi menerusi entri di akaun Instagramnya, Fedtri akui terkejut dengan anugerah yang diterima.
“Ya Allah terkejut sangat dan pada masa sama bersyukur atas penghargaan ini. Kejayaan ini sebenarnya atas kerjasama pasukan yang hebat di Media Prima dalam menghasilkan karya indah seperti Jejak Rasul.
“Juga buat pasukan hebat dalam menghasilkan lagu- lagu berjiwa besar. Tidak lupa pasukan yang berjuang untuk menghasilkan buku-buku bermakna. Biar kecil tetapi istiqamah insya-Allah.
“Terima kasih rakan sekerja, sahabat- sahabat sejati dan penyokong yang sentiasa memberi kata semangat.
“Istimewa buat keluarga, isteri dan anak-anak tercinta yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan inspirasi,” tulis Fedtri.
Sedekad Usia Perkahwinan Fedtri Yahya, “Hanya Allah Dapat Membalas Sebaik-Baik Ganjaran”
Ahmad Fedtri Yahya Amal Cara Tradisional Buang Toksik Sebelum Tidur
Majlis Perkahwinan Hanya Sekali, Namun Perkahwinan Dibina Itu Dambakan Masa Hingga Akhir Hayat
Kongsi Pengalaman & Mesej Yang Dapat Membimbing Insan Menjadi Lebih Baik
Ulasnya lagi ilmu yang dikongsi adalah daripada pengalaman.
“Ilmu perlu dikongsi kepada semua dan saya akan terus berkongsi pengalaman dan mesej yang dapat membimbing kita menjadi insan lebih baik.
“Ilmu ini meluas. Saya pula suka berkarya dan segala ungkapan yang ingin disampaikan akan dikongsi menerusi buku mahupun lirik lagu yang lebih mudah untuk difahami dan diingati semua,” kata Fedtri yang merupakan Duta Malaysia For Syria.
Sumber / Sumber Foto : Instagram Fedtri Yahya
Mingguan Wanita : Tahniah buat Fedtri Yahya dan jangan jemu untuk berkongsi ilmu kepada masyarakat.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangkitan Cacing Boleh Akibatkan Anemia & Ganggu Tumbesaran Anak, Mak-mak Mohon Bagi Ubat Cacing Ikut Waktu

Secara jujurnya bila kali terakhir makan ubat cacing? Jika sering rasa letih,tak sihat, sakit perut, batuk teruk berpanjangan dan sebagainya mungkin merupakan tanda, tubuh badan ada jangkitan cacing!
Bahaya sebenarnya jika cacing-cacing ini dibiarkan ‘membiak’ didalam badan kerana ia boleh mengakibatkan kesan sampingan pada kesihatan.
Berikut merupakan perkongsian nota ringkas mengenai jangkitan cacing oleh Dr Abdul Rahim Nor sebagai panduan.
ILMU KESIHATAN. Artikel 274
1. Jangkitan cacing berlaku daripada pencemaran tanah yang tercemar dengan telur cacing. Telur ni mencemarkan tanaman & tangan anda. Tangan & makanan yang tidak dibersihkan menyebabkan telur cacing dimakan & larva menetas dalam usus anda.
2.Ingat cacing hidup dalam badan semua manusia.kanak-kanak atau anda yang dewasa yang rendah immune & kebersihan tak dijaga.
3.Ubat cacing diambil setiap 6 bulan selepas anak 1 tahun 6 bulan. Ubat Albendazole/Mebendazole yang hapuskan Cacing Kerawit, Cambuk, Gelang, Kait, Pita, Trikinella & Cacing Benang. Ia halang penyerapan gula pada cacing & cacing kehilangan tenaga & mati.
4.Cacing bukan dalam usus saja. Tapi boleh merayap ke mata, hati, paru-paru, hati, gallbladder & salur darah.
5.Jangkitan cacing juga boleh berlaku melalui sentuhan pada kulit dari haiwan peliharaan anda seperti kucing /anjing & lain-lain binatang peliharaan..
Tanda-Tanda Ada Infeksi Cacing
* Keluar cacing daripada lubang najis atau nampak cacing pada najis.
* Gatal dubur.
* Sakit perut – cirit-birit, kembung, sembelit
* Anemia – kurang darah kerana ada cacing yang hisap darah anda.
* Keletihan luar biasa – lesu, kurang tumpuan, kemurungan, gelisah, demam
* Tiada selera makan, pucat
* Kurang berat badan walaupun selera makan ada
* Menggesir gigi ketika tidur malam.
* Batuk teruk berpanjangan, batuk berdarah, asthma sebab cacing di paru2.
Cara-cara Elak Jangkitan Cacing
* Amalkan kebersihan diri & rumah – cuci tangan sebelum & selepas makan.
* Cuci tangan selepas keluar tandas. Ingat basuh tangan sebelum makan.
* Cuci tangan selepas menyentuh haiwan peliharaan anda.
* Pakai kasut bila keluar rumah sebab ada cacing boleh masuk menerusi kulit anda.
* Basuh sayur-sayuran & buah-buahan dengan teliti terutama yang dimakan mentah.
* Makan ubat cacing setiap 6 bulan.
* Namun, wanita mengandung & bayi bawah 1 tahun dilarang makan ubat cacing!
Kesan Sampingan Infeksi Cacing
1. Perut tersumbat dengan cacing. Tak boleh berak. Muntah tak henti. Perut kembung.Operate buangkan cacing tu.
2. Larva cacing boleh pergi ke paru-paru & anda batuk serta lelah.
3. Cacing yang banyak pada usus besar dan rektum boleh akibat usus terkeluar dari lubang dubur.
4.Ada cacing hisap darah menyebabkan kita kekurangan darah atau anemia. Anemia ganggu tumbesaran kanak-kanak & kegagalan jantung.
Jadi jangan pandang acuh tak acuh.Bahaya jangkitan cacing ni.
Cara Nak Bunuh Cacing
1.Makan buah tomato mentah atau
Makan atau minum bawang putih samada makan mentah, atau bakar dan dicampur dalam minyak kelapa dara atau minyak zaitun.
2.Minum air kelapa.Makan lobak merah mentah atau jus carrot setiap pagi.
3.Nenas muda diparut, diperah. Tambah madu atau sirup gula batu.
Kredit: Dr Abdul Rahim Nor
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mak Ayah Gaduh Depan Anak, Mungkin Dia Tak Faham Tapi Jiwanya Memberontak

Kadang-kadang, mak ayah sudah terbiasa bergaduh mahu pun bertekak depan anak-anak. Tanpa kita sedar, anak ini mungkin akan pendam perasaan atau lebih teruk mula memberontak tanpa kita sedar.
Mungkin mak ayah anggap itu hanyalah perkara biasa dan anak tidak faham apa yang ditekakkan oleh mereka berdua. Tapi dari gerak badan dan muka sudah tentu ia boleh menggambarkan keadaan ini. Lebih teruk bila anak-anak perasan mak ayah tak bercakap. Macam mana tu?
Mengulas lanjut tentang suami isteri bergaduh, Mohd Shariman bin Che Deris.
Haru biru jadinya, suami tinggi suara isteri pula nyaring mempertahankan diri, masing-masing tidak mahu mengalah, ego meninggi mempertahankan soal hak dan membela diri, tanpa mereka sedar anak sedang memerhati, anak sedang menilai dan anak sedang meletakkan hukuman tanpa disedari oleh si suami dan isteri yang masih leka menghamburkan kata-kata tajam dan sinis.
Iye lah, angin dah penuh satu badan mana boleh nak ditahan-tahan lagi rasa marah tu, mana nak tahu anak ada berdekatan. Allahu, cukup mudah memberi alasan tanpa ada nilai keinsafan apakah yang mungkin berlaku terhadap anak yang sering melihat pergaduhan ibu dan ayahnya, yang mendengar ucap nista, serangan kata-kata pedas di antara ibu dan ayahnya, apakah yang dirasai oleh si anak ketika itu? Tidak bimbangkah anak ini akan trauma kemudiannya dan terganggu perkembangan mentalnya hanya kerana mahu dilepaskan kemarahan terhadap pasangan?
Ramai yang mengambil mudah soal ini, mereka anggap anak ini tidak faham dan tidak perlu masuk campur urusan orang tua. Benar, mereka tidak perlu masuk campur namun pergaduhan ini berlaku di depan anak dan telah menyebabkan hidup mereka juga sudah dicemari dengan peristiwa yang tidak sepatutnya dipertontonkan. Apakah tidak ada rasa bersalah terhadap anak ini?
Bayangkan saja, dalam usia bawah 12 tahun, anak ini telah dihidangkan dengan gambaran tidak baik tentang ibunya, tentang bapanya, perbalahan, pergaduhan dan pertengkaran, bermasam muka dalam rumah tangga. Sedikit demi sedikit ia akan memakan jiwa dan rasa bahagia si anak hingga memungkinkan timbulnya rasa bosan, benci terhadap kedua ibubapanya. Apatah lagi jika ibu bapa pula melibatkan si anak dalam pergaduhan mereka. Ya Allah, mereka tidak faham dan mereka tidak mahu dimengertikan apa isu pokoknya pertengkaran ini, anak ini hanya mahu bahagia bersama keluarga, anak ini hanya mahukan kehidupan yang normal bersama ibu dan ayahnya.
“Awak kan tahu keadaan saya bagaimana? Kenapa awak asyik mendesak saya je, kalau saya tidak buat kerja overtime ini mana saya nak dapat duit tambahan untuk belanja keluarga. Saya dapat duit nanti, saya akan bayar yuran anak-anak ni, awak uruskan lah dulu dengan sekolah, janganlah desak saya macam ni”
Bagaimana perasaan anak-anak jika mereka mendengar pertengaran ini? Anak ini akan kemurungan dan rasa sangat bersalah kerana mereka menjadi punca pergaduhan.
“Sudahlah abah, jangan lah marah ibu lagi, kesian ibu. Abah sudahlah bergaduh tu abah. Ibu sudahlah ibu, jangalah lagi bergaduh dengan abah” Iye anak merayu, jika tidak di depan ibu bapanya, dia akan merintih dalam hati, merayu dan mengharap agar dihentikan pergaduhan.
Suami isteri perlu tahu dan sedar bahawa pergaduhan mereka di depan anak akan hanya membawa keburukan dan menjejaskan emosi serta mental juga perkembangan tingkah laku anak-anak. Malah kajian daripada Earmon McCrory, Universiti College London membuktikan jika ibu bapa bergaduh depan anak dan si anak melihat ibunya dipukul, dimarahi kesannya anak ini akan memiliki corak pemikiran yang sama seperti tentera di medan perang.
Kesan Pada Anak
Setiap suami dan isteri perlu ambil kira sebelum mahu memulakan perang dalam keluarga di depan anak.
Anak Gagal Mengawal Emosi Dengan Baik
Anak akan menbesar dengan emosi yang tidak terkawal, mereka melihat dan merasai letusan emosi ibu dan ayahnya, perkara ini terpasak dalam fikiran anak-anak dan mereka akan semudahnya menjadi stres, kemurungan dan rasa bersalah. Mereka tidak mampu untuk mengawal emosi ini dan semudahnya dilepaskan tanpa kewarasan.
Perkembangan Otak Anak-Anak Terjejas
Anak tidak dapat lagi membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, kekasaran akan dianggap satu kebiasaan dan penindasan diterima sebagai satu budaya. Anak-anak ini akan membesar dalam keadaan punya satu sifat prejudis dan persepsi negatif yang tinggi terhadap keluarga dan orang lain.
Anak Akan Menjadi Liar Dan Mengalami Perubahan Tingkah Laku Yang Buruk
Latar belakang keluarga akan sering mempengaruhi tingkah laku anak-anak, anak yang lari daripada rumah kerana tidak tahan ibubapanya sentiasa bergaduh, menjadi liar dan rosak tingkah laku. Anak hilang keyakinan diri dan menjadi mangsa buli kerana sering melihat penindasan berlaku di rumah malah ada anak yang akan hidup hanya dalam dunianya, menyisihkan diri dan anti sosial kerana merasakan dunia ini tidak adil, mereka takut untuk berhubung rapat dan menerima kasih sayang.
Anak Memendam Perasaan Dan Menjadi Sukar Diduga
Anak yang sering dilibatkan dalam pergaduhan ibu bapa akan memilih jalan diam dan memendam rasa, mereka tidak mahu memihak dan tidak mahu dilibatkan. Anak ini akan lazimnya bercakap sendirian, mempunyai ‘kawan khalayan’ dan sering meluahkan rasa di media maya mengunakan akaun palsu. Anak ini sedang mengalami keadaan ketidaktentuan diri dengan pelbagai rasa yang dipendam dan membentuk nilai diri seakan bom jangka yang bila-bila masa saja boleh meletop dan membahayakan keluarga dan rakan sekelilingnya.
Anak Memberontak, Agresif Dan Hilang Kepercayaan
Anak ini akan hilang ketenangan dalam hidupnya, perasaan marah, kecewa, sedih akan sering menguasai diri. Anak ini akan mula bertindak agresif, menjadi biadap dan kurang ajar, anak ini protes dalam diam dan memberontak sehingga hilang kepercayaan mereka terhadap ibu bapa dan orang sekeliling. Anak ini akan membesar dalam keadaan bersangka-sangka dan berpendapat orang akan sentiasa mahu menyerangnya.
Prestasi Akademik Merosot
Perasaan bimbangkan ibu dan bapanya akan menghilangkan fokus dalam akademik, anak ini merasakan tiada maknanya lagi dan tidak ada keperluan untuk dia cemerlang dalam akademik, anak ini lebih melayan rasa dan membuai perasaan sehingga hilang minatnya dalam akademik.
Kemahiran Anak Untuk Hidup Tiada
Anak lemah dalam kemahiran meneruskan hidupnya, lemah dalam perjuangan, lemah dalam kemahiran berkawan, lemah dalam menyelesaikan masalah. Anak ini akan sering menjadi mangsa keadaan dan tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri.
Berlakon & Hipokrit
Langkah yang terbaik adalah mengelakkan pergaduhan ini di depan anak-anak, ibu bapa perlu belajar untuk berlakon dan bersikap hipokrit di depan anak agar perselisihan faham mereka ini tidak dihidu anak. Persoalan paling penting adalah bagaimana untuk mendisiplin diri agar tidak bertengkar di depan anak?
Panduan
Cuba lakukan perkara ini untuk mengelakkan berlakunya pergaduhan di depan anak.
- Apabila rasa hati mahu meletup dan kemarahan mula meluap terhadap pasangan, tarik nafas dalam-dalam dan cepat ambil wuduk untuk solat atau boleh juga mandi untuk sejukkan diri dan mengalihkan rasa marah itu kepada perkara lain. Apabila telah tenang, ajak lah suami ke bilik dan berbincanglah jauh daripada anak.
- Sekiranya ketika ini, pasangan anda telahpun meletop dan mula marah-marah. Anda perlu bertenang dulu dan ingatkan diri bahawa anak sedang melihat, anda tidak mahu anak ini menjadi mangsa keadaan. Tenangkan diri anda kerana anda sayangkan anak. Diam dan mendengar sahaja, bernafas dan bertenang.
Elakkan daripada melawan cakap dan ikut sama meninggi suara, ini akan hanya memburukan keadaan anak yang sedang melihat.
Kemarahan pasangan anda tidak akan sentiasa meninggi, apabila telah agak reda, anda minta izin untuk bawa anak ke bilik dan bertenanglah.
Apabila telah tenang, berjumpa lah dengan pasangan anda dan berbincang dengan rasa hormat dan sayangkan rumah tangga.
- Bentuk perjanjian awal dengan pasangan kita bahawa anak-anak tidak boleh melihat pergaduhan dan dilibatkan dalam pertengkaran, bahawa kita berdua tidak akan bergaduh sekiranya anak ada bersama. Setiap pertengkaran akan ada jalan penyelesaiannya dengan syarat anda berdua berbincang dengan tenang dan result oriented.
Setiap pasangan perlu tahu di mana keutamaan mereka dalam rumah tangga dan perlu sedar bahawa setiap perbuatan mereka akan mendatangkan kesan sama ada baik ataupun tidak kepada anak-anak. Anak-anak perlu membesar dengan perkembangan emosi, fikiran dan tingkahlaku yang baik, anak-anak perlu mempercayai bahaya mereka bahagia dan hidup dalam keluarga yang dipayungi rasa cinta kasih sayang sekeluarga.
Ianya bermula dengan anda, berbincanglah dengan baik dan elakkan pertembungan konflik ego dalam rumah tangga, anda berdua ada anak yang perlu dijaga dan dididik dan mereka adalah amanah yang akan ditanyakan oleh-Nya nanti.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Usia 7 Tahun Jadi Mangsa Buli Di Sekolah, Pendekatan Bijak Ibu Ini Lakukan Wajar Dicontohi

Memang sedih dan rasa terkilan bagi seorang ibu apabila anak nak dihantar ke sekolah menjadi salah seorang mangsa buli oleh rakan sebaya semuda usia 7 tahun! Antaranya anak dicekik, dikoyakkan kertas, dilempar bukunya ditendang semasa menuruni tangga sekolah semasa waktu balik, diconteng seragam sekolahnya dan sebagainya. Pelbagai perkara terlintas di fikiran, bagaimana kanak-kanak berumur 7 tahun sudah berani melakukan perkara sebegini.
Pendekatan bijak yang di lakukan oleh ibu muda beranak empat, Puan Norasikin Hussein ini terhadap pembuli anaknya, wajar dijadikan iktibar buat mak ayah yang lain jika berhadapan kes yang sama sebegini. Paling penting ia dilakukan secara berhemah, tidak emosi dan mendekati pembuli anaknya dengan rasional untuk mencari punca sebenar.
Berikut antara perkongsian kisah beliau;
Buli.
Saya beranikan diri berkongsi kisah anak sendiri dibuli secara fizikal. Semoga ada iktibar.
Bismillah.
“Minggu lepas saya jumpa pembuli anak di kantin sekolah walaupun cikgu dah ambil tindakan dengan mengasingkan mereka didalam kelas. Saya ambil keputusan begini sebab masih berlarutan dia membuli anak saya. Sepanjang 2 minggu akhir bulan lepas anak saya saban hari telah dicekik, dikoyakkan kertas, dilempar bukunya ditendang semasa menuruni tangga sekolah semasa waktu balik, diconteng seragam sekolahnya dan beberapa lagi saya taknak senaraikan. Cukuplah ini sahaja. Melibatkan budak yang sama.”
Saya sedih.
Bagaimana 2 minggu anak saya lalui semua ni. Sepatutnya dia bergembira bukan menanggung sedih seorang diri.
Saya tanya dia. “Kenapa kamu tak beritahu ibu semua ni?”
Bila dia jawab dia cuba nak selesaikan dulu sendiri masalah ni. Gugur air mata saya.
Saya sedih.
Mengapa anak berusia tujuh tahun yang lahirnya fitrah. Suci tanpa setitik dosa boleh melakukan semua ni pada rakannya. Apa sebenarnya dia sedang lalui. Saya ambil keputusan berjumpa anak ni ketika waktu rehat tanpa melibatkan pihak lain dahulu iaitu ibu bapa dia dan guru. Saya ingin kenal dia terdahulu.
Saya beri salam.
“Assalamualaikum. Boleh acik dok sebelah.”
“Waalaikumussalam acik!”
Dia menjawab salam saya. Bagus! Dia juga beri ruang untuk saya duduk.
Saya lihat baju dan tudung dipakai budak ni. Hmm.. bersih dan kemas.
Pandai dia melipat tudung dua lapis tu. Anak tudung juga terletak elok. Raut wajah nampak tak seperti rakan sebaya yang lain. Nampak matang sebelum usia.
Saya mulakan perbualan dengan bertanya nama. Benarkah nama sekian sekian. Dia angguk. “Ya betul acik”
Saya belanja 2 biji donut coklat yang saya beli dikantin tu juga. Dia ucap terima kasih. Bagus. Ada adab.
Tak Nak Kawan
Tanpa lengah saya terus buka soalan.
“Acik nak tanya betul ke kamu ada cekik anak acik setiap kali sekolah?”
Dia berhenti menguyah. Mata terhenti melihat keropok leko bersalut sos.
Saya ulang sekali lagi soalan tadi.
Tiada respon.
“….jujur dengan acik. Acik tak marah. Beritahu saja, benar ke kamu buat begitu?”
“Ya. Saya buat”..
Berani budak ni.
“Kenapa kamu cekik anak acik?”
“Saya nak dia kawan saya. Saya cekik sebab dia tak nak kawan dengan saya..”
laju je keluar dari mulut dia..Oh. Dia fikir dengan cekik dia boleh dapat kawan ke?
Saya cuba betulkan. Mesti.
“Salah tu… Kalau nak berkawan dengan baik-baik dengan orang. Kena senyum, kena tegur orang. Hai..boleh saya kita kawan ? Kalau awak cekik orang..siapa pun tak nak kawan dengan kamu. Bukan anak acik saja taknak kawan dengan kamu, nanti semua tak nak kawan dengan kamu…”
Diam.
Saya sambung.
“Kamu cekik anak acik tu kamu belajar dari mana? Mana tengok semua tu…nanti boleh mati tau kalau cekik-cekik orang ni. Nak polis tangkap ke?”
Dia menggeleng- geleng kepala.
“Tak…taknak..taknak acik…”
Hah. Tau takut!
Saya ulang tanya dari mana dia belajar cekik orang ni.
Dia hanya menggeleng.
Saya serang lagi dengan soalan.
“Acik dapat tahu dari anak acik duit dia yang dalam beg dan jam kamu ambil. Ada si xxx sebelah kamu ada nampak kamu buka beg anak acik tempohari..?”
“Tak acik. Saya tak ambil”
Beria dia menafikan bab ni.
Baik. Saya malas nak panjang cerita bab duit ni..
Saya sambung siasatan.
“Hari-hari anak acik kata kamu suka campak buku-buku anak acik dalam kelas. Benar kamu buat macam tu?”
Dia mengaku lagi.. “Ya acik. Saya buat macam tu”
“Kenapa buat macam tu. Tak kesian ke pada anak acik. Menangis bila cerita apa yang kamu buat. Jenuh dia nak mengutip buku, pensil semua tu..”
Saya tengok muka polos dia. Kenapalah harus begini. Bagaimana kamu dibesarkan wahai anak.
Tiba-tiba dia menjawab..“Sebab dia taknak ajar saya belajar.”
“Betul dia taknak ajar kamu belajar? kejap acik panggil dia. Saya bangun dan acah-acah ke tempat anak saya yang sedang makan dengan 2 rakan tadi.
Lekas pula dia jawab.”dia ajar. Saya tak faham.”
Saya kembali duduk.
“Kalau tak faham cakap dengan anak acik untuk ajar lagi..atau tanya cikgu terus. Bukan buat macam tu. Itu tak betul.”
Aku tarik nafas.
“Apa benar kamu tendang anak acik kat tangga. Lepas tu kamu lari..?”
“Ya acik. Saya buat. Saya tendang sebab dia taknak kawan saya.”
“Kamu tak puas hati dengan anak acik atau ada apa lagi yang anak acik ada buat apa-apa kat kamu sampai kamu buat macam tu?”
“Dia jauh dengan saya. Saya tak suka. Saya nak kawan dengan dia”
Allah.
“Budak ni nak menakluk. Apa yang dia saksikan hari-hari agaknya..”getus hati saya.
“Kamu tahu..kalau kamu tendang kena bucu tangga. Kena apa-apa yang bahaya. Anak acik jatuh dan berdarah boleh cedera dan boleh mati tau buat macam tu. Tahu tak boleh jadi macam tu?”
Dia tak berani menatap mata saya. Saya ulang tanya “tahu tak boleh mati? bahaya kamu buat begitu”
“Tak tahu acik”
“Lain kali boleh tak janji dengan acik jangan buat lagi semua yang kamu buat pada anak acik. Kalau buat lagi acik telefon polis. Nanti polis tangkap kamu, ibu kamu atau ayah kamu. Nak tak?”
Dia terkedu. Sangaja saya buat begitu. Saya juga takut kejadian berulang kembali nanti.
“Janji. Saya tak buat lagi cik..”
Saya buka hp dan scroll mencari sesuatu dalam whatsapp group kelas. Saya tunjuk pada dia profile pic seseorang. Saya agak saja berdasarkan perbualan dalam tu.
“Kenal siapa ni?”
Bulat mata dia. “Mama”
“Acik jangan beritau mama. Janji cik. Nanti saya kena pukul”
“Mama kamu tau tak kamu buat macam ni..?”
“Tak tau acik. Jangan beritau. Nanti saya kena tali pinggang. Rotan. Mama pukul teruk”
Dia merayu.
Sayu pula hati saya.
“Okey..kalau macam tu kamu pun kena janji dengan acik jangan buli anak acik dan orang lain juga. Kalau buat lagi acik report polis juga”
“Janji. Saya tak buat lagi. Jangan beritau mama saya cik”
“Ye. Janji jadi budak baik lepas ni. Cuba ya. Nanti semua sayang kamu.”
“Ye cik…”
Kemudian..
“ayah selalu cekik mama bila gaduh.”
Saya pula yang terkejut.
“Ayah cekik mama? Kamu selalu tengok ke?”
Tenang dia jawab. “Aah. Bukan selalu juga. Tapi bila gaduh ayah suka cekik mama sampai mama nangis cakap sakit”
Sekarang saya dah tahu mana dia belajar semua tu..
Loceng bunyi.
Tanda tamat sesi rehat. Saya panggil anak sendiri dan bersalaman dengan anak ini. Entahlah..
Saya peluk dia. Saya masih terfikir hingga sekarang betulkah tindakan saya. Saya masih menanti dan risau moga-moga selepas ni tak jadi lagi. Moga-moga acik dan kamu tak teruskan perjumpaan dibilik kaunseling selepas ini. Acik cuba percaya kamu. Moga baik-baik saja untuk kamu wahai anak..
– Norasikin Hussein | Selasa | 6.2.18
Semoga bermanfaat kongsikan juga buat mak ayah yang lain. Sungguh, anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya. Anak-anak mudah belajar daripada apa yang dilihat sekeliling, lebih-lebih apa yang mak ayah lakukan, anak mudah mencontohinya. Mohon mak ayah lebih menjaga perilaku dan menunjukkan tauladan yang baik dihadapan anak-anak.
Sumber: Norasikin Hussein
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI