
Dipatuk ular tedung cobra ketika tidur, Ridzwan 10 tahun terlantar lebih sebulan & kini berjuang untuk sembuh.
Tidur malam seorang kanak-kanak lelaki bertukar menjadi permulaan kepada satu perjalanan panjang yang tidak pernah dibayangkan keluarganya apabila dia dipatuk seekor anak ular tedung (cobra) pada bahagian muka ketika sedang lena tidur.
Sejak kejadian pada 12 Mei lalu, Ridzwan bukan sahaja berdepan kesan bisa ular, malah melalui pelbagai komplikasi sepanjang menerima rawatan di hospital. Lebih sebulan berlalu, kanak-kanak itu masih meneruskan proses pemulihan selepas melalui beberapa episod kritikal yang mengundang kebimbangan keluarga.
Di tengah-tengah perjuangan tersebut, Ridzwan turut menyambut ulang tahun kelahirannya di hospital. Pada usia yang sepatutnya diraikan bersama keluarga dan rakan-rakan, kanak-kanak itu menghabiskan hari istimewanya di wad sambil terus menjalani rawatan.
Perjalanan yang dilalui Ridzwan dikongsikan oleh ibu saudaranya, Ellyza Halim menerusi satu kronologi yang disusun berdasarkan maklumat daripada keluarga.
Menurut kronologi tersebut, segalanya bermula apabila Ridzwan dipatuk anak ular cobra pada bahagian muka ketika sedang tidur. Dia kemudian terjaga dan mengadu sakit pada muka yang semakin membengkak selain mengalami muntah sebelum bapanya terus membawanya ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan.
Sekitar jam 3 pagi keesokan harinya, pihak Hospital Gerik memberikan rawatan awal dan suntikan ubat bagi mengawal kesan racun daripada merebak sebelum Ridzwan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
Pada 14 Mei, doktor memaklumkan keadaan racun ular semakin terkawal dan Ridzwan dipindahkan ke wad separa kritikal.
Bagaimanapun, pada malam yang sama, jururawat memberi susu kepada Ridzwan melalui tiub sekitar jam 8 malam. Ridzwan sempat berbual dengan bapanya sehingga tertidur kira-kira sejam kemudian.
Ketika bapanya keluar ke lobi untuk berehat dan minum, beliau kemudiannya mendapati doktor dan jururawat sedang bertungkus-lumus menyelamatkan Ridzwan serta memberikan bantuan CPR.
Menurut kronologi yang dikongsikan keluarga, MRI mendapati otak dan paru-paru Ridzwan dipenuhi susu.
Dalam kejadian tersebut, jantung Ridzwan berhenti selama 15 minit (cardiac arrest), risikonya sangat tinggi kerana seluruh badan terutama otak tidak menerima bekalan oksigen yang mencukupi.
Risiko kerosakan otak (brain injury), harap-harap tidak jadi pada Ridzwan.
Selepas kejadian itu, pihak hospital mengambil keputusan untuk menidurkan Ridzwan serta memasang bantuan pernafasan (intubated) bagi memberi peluang kepada otaknya berehat dan pulih.
Pada 15 Mei, hasil CT Brain mendapati otak Ridzwan ada bengkak sikit, tak tegang atau pendarahan. Pemeriksaan CT Brain kedua dilakukan pada keesokan harinya untuk rujukan pakar kanak-kanak pula.
Menjelang 17 Mei, racun venom dalam darah Ridzwan dilaporkan semakin berkurangan. Namun pada masa sama, paru-parunya masih mempunyai sedikit masalah kerana dia tersedak susu sebelum itu.
Doktor mula memberikan susu sedikit demi sedikit, namun usus Ridzwan hanya boleh menerima sekitar 10 hingga 20 peratus kerana tahap oksigen dalam badannya masih belum stabil.
Dalam perkembangan sama, mata kiri Ridzwan tiba-tiba bengkak semula dan suhu badannya meningkat kepada 37.4 darjah Celsius.
Petang itu, doktor pakar mata datang membuat pemeriksaan di katilnya. Menurut perkongsian keluarga, bacaan IOP pupil mata kiri adalah 21. Bengkak tersebut dipercayai berpunca daripada soft tissue swelling disebabkan radang bisa ular. Bacaan mata kanan pula dilaporkan lebih tinggi iaitu 25, manakala bacaan normal adalah sekitar 20.
Keadaan Ridzwan kembali mencemaskan pada 18 Mei apabila darah dilaporkan keluar melalui tiub pernafasannya pada waktu malam.
Doktor segera menyedut darah tersebut sebelum Ridzwan mengalami tarik atau kejang yang teruk melibatkan seluruh badan termasuk kaki, tangan dan mata yang memandang ke atas.
Susulan keadaan itu, Ridzwan dipindahkan ke bilik i-so isolation untuk pemantauan rapi.
Pada 20 Mei, pihak hospital membuka bantuan pernafasan melalui tiub kerana dipercayai mahu melatih Ridzwan bernafas sendiri sebelum dia dipindahkan semula ke PICU.
Sehari kemudian, pihak hospital memasang ‘guard’ pada kaki Ridzwan kerana ototnya kerap mengalami kekejangan dan tarikan.
Walaupun berjaya melepasi beberapa fasa kritikal, perjalanan pemulihan Ridzwan masih panjang.
Pada 4 Jun, keluarganya memaklumkan bahawa Ridzwan masih tidak mengenali bapanya sendiri. Dia juga kerap mengalami tarik dan kejang serta hanya mampu mengerang menahan kesakitan.
Namun ujian buat kanak-kanak itu tidak berakhir di situ.
Pada 12 Jun, bapanya mendapati terdapat kesan lecur pada bahagian muka Ridzwan. Doktor kemudian memaklumkan bahawa Ridzwan allergic ubat sawan.
Keesokan harinya, kesan melecur pada wajahnya semakin teruk dan merebak ke bahagian leher serta bahu sehingga menyebabkan dia dipindahkan ke bilik isolasi khas atau dikenali keluarga sebagai ‘bilik kebal’ untuk rawatan dan pemantauan yang lebih rapi.
Dalam satu perkongsian, Ellyza turut menulis bahawa sepanjang berada di hospital, beliau melihat sendiri usaha petugas kesihatan yang merawat anak saudaranya itu.
“Sepanjang saya berada di sana, saya melihat doktor, jururawat dan petugas kesihatan benar-benar mengambil berat tentang keadaan Ridzwan. Mereka bertungkus-lumus memberi rawatan dan sentiasa memantau keadaannya. Saya tidak nampak usaha untuk mengabaikan atau mencederakan Ridzwan. Apa yang saya nampak hanyalah sekumpulan manusia yang sedang cuba menyelamatkan seorang anak kecil dengan ilmu dan kemampuan yang mereka ada.
Saya juga memahami keadaan bapa Ridzwan. Apabila anak berada dalam keadaan kritikal, emosi menjadi terlalu rapuh. Ketakutan, keletihan dan tekanan boleh menyebabkan salah faham berlaku. Ada perkara yang dirasakan tidak kena, lalu ditafsirkan dengan penuh kebimbangan. Saya sendiri beberapa kali cuba menerangkan semula apa yang dimaksudkan oleh pihak hospital apabila timbul kekeliruan. Selepas dijelaskan, keadaan kembali tenang. Namun apabila tekanan datang semula, salah faham itu boleh berulang.
Apa yang sedang dilalui keluarga ini bukan mudah. Saya tidak menyalahkan sesiapa. Tetapi saya berharap orang ramai juga tidak terburu-buru menghukum pihak hospital sebagai ‘mahu memisahkan anak daripada ibu bapa’, ‘mahu membunuh’, atau sengaja menganiaya. Tuduhan yang berat seperti itu memerlukan bukti dan siasatan yang adil.
Dalam dunia perubatan, ada perkara yang tidak dapat dijangka. Ada pesakit yang mengalami komplikasi atau tindak balas alahan terhadap ubat walaupun rawatan diberikan dengan niat untuk membantu. Kesilapan yang tidak disengajakan atau komplikasi rawatan bukanlah bukti bahawa seseorang berniat jahat.
Buat masa ini, marilah kita hentikan spekulasi dan kecaman. Doakan Ridzwan. Doakan juga bapanya diberikan ketenangan untuk menghadapi ujian ini, dan doakan para petugas kesihatan terus diberikan kekuatan menjalankan amanah mereka.
Semoga kebenaran dapat dilihat dengan hati yang tenang, penuh ihsan dan keadilan.”
Nota: Kronologi ini disediakan berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh Lyza dan bapa Ridzwan. Terdapat beberapa perkara yang masih memerlukan penjelasan rasmi daripada pihak hospital bagi memastikan fakta perubatan adalah tepat dan lengkap. Keluarga turut menyatakan mereka percaya pihak hospital mengetahui apa yang terbaik untuk Ridzwan.