Tahukah anda berapa banyak kuantiti protein yang boleh diambil tanpa bahayakan kesihatan badan? Jangan makan sebarangan kerana kesannya pasti memudaratkan.

Ramai yang mencuba untuk mengamalkan diet makanan berprotein dengan tujuan untuk mengurangkan berat badan agar kesihatan mereka lebih baik.

Namun begitu ramai yang kurang faham berapa banyak kuantiti protein yang selamat untuk diambil oleh badan setiap hari.

Penjelasan Dietitian, Pantai Hospital Sungai Petani, Norhayati Binti Samsuddin ini boleh dijadikan panduan.

 Dietitian Ini Syorkan Kuantiti Protein Boleh Diambil Tanpa Bahayakan Kesihatan Badan
Dietitian, Pantai Hospital Sungai Petani, Norhayati Binti Samsuddin

Berapakah Kuantiti Protein Yang Selamat Untuk Diambil?

Diet seharian sepatutnya membekalkan protein (berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien – RNI Malaysia) sebanyak 10% hingga 15% daripada jumlah kalori yang diperlukan dari tubuh badan atau 0.8 hingga 1.0 gram per kilogram berat badan.

Bagi individu yang tidak mempunyai sebarang komplikasi penyakit terutamanya penyakit buah pinggang, jumlah pengambilan makanan berprotein yang disyorkan menerusi Piramid Makanan Malaysia 2010 adalah ½ hingga 2 sajian/hari untuk ayam, daging dan telur.

IKLAN

Atau 1 sajian ikan serta 1 hingga 2 sajian susu dan produk tenusu.

Sebagai contoh:

  • 1 sajian ikan bersamaan 1 ekor ikan kembung bersamaan 14g Protein
  • 1 sajian ayam bersamaan 1 ketul paha ayam bersamaan 14g Protein
  • 1 sajian daging bersamaan 2 ketul daging tanpa lemak bersamaan 14g Protein
  • 1 sajian telur bersamaan 2 biji telur bersamaan 14g Protein
  • 1 sajian susu dan produk tenusu bersamaan 1 gelas susu (250ml)/1 keping keju/4 sudu makan (membumbung) susu tepung bersamaan 7g Protein

Manakala, bagi protein tumbuhan pula, jumlah pengambilan yang disarankan adalah ½ hingga 1 sajian kekacang.

Sebagai contoh:

  • 1 sajian kekacang bersamaan 2 keping tempeh

Artikel berkaitan:
Ada Sebab Orang Perempuan Tak Boleh Minum Kopi Lebih 2 Cawan Sehari
TIGA Jenis Buah Tembikai Ini Khasiatnya TERBAIK, Sedap Tidak Terkata!

Tip Elak Makan Makanan Berprotein Secara Berlebihan
  • Amalkan diet yang seimbang dalam seharian dengan hanya mengambil jumlah kalori dan nutrisi yang diperlukan oleh tubuh badan anda
  • Disarankan untuk sentiasa mengamalkan diet yang seimbang menerusi konsep Suku-Suku-Separuh bagi individu yang ingin menurunkan berat badan
  • Rujuk kepada piramid makanan Malaysia dalam penyediaan diet yang seimbang
  • Diet harian perlu ada gabungan makanan seperti nasi, roti atau bijirin bersama-sama dengan sumber protein, sayur-sayuran dan buah-buahan.
  • Pilihlah makanan berprotein yang kurang berlemak mengikut jumlah yang disarankan.
  • Elakkan makanan terproses seperti sosej, nugget dan daging burger
  • Senaman dan riadah juga perlulah dilakukan bagi individu yang inginkan gaya hidup yang sihat
  • Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan bagi menentukan jumlah sumber protein yang diperlukan oleh tubuh badan.

Sumber: Artikel ini disumbang oleh Dietitian, Pantai Hospital Sungai Petani, Norhayati Binti Samsuddin

Baca sini lagi:
Sebab Inilah Kos IVF Telan Belanja Tinggi, Walau Jaminan Berjaya Tidak 100 %