Kisah ini telah lama berlaku, tetapi ianya sentiasa bermain di fikiran. Mujur sekarang bulan ramadan, jadi lebih berani nak bercerita tentang kisah-kisah mistik ini. Siapa sangka bersangka baik bahawa bunyi menyapu dan ternampak kelibat adalah mainan perasaan, akhirnya menjerut diri.

Setiap kali tibanya malam tahun baru, Sarah pasti terkenang kisah di zaman kecilnya 20 tahun yang lalu. Ketika itu usianya baru mencecah 11 tahun, manakala kakaknya, Nailah, berumur 16 tahun. Ketika itu, sudah masuk enam kali mereka mengikut ayah berpindah akibat tuntutan tugas.

Ibu Sarah, Azwa, memang sejak berkahwin dengan ayahnya telah berhenti kerja, jadi lebih mudah menguruskan keperluan rumah tangga dan anak-anak. Ketika Sarah mengikut ayah ke utara air, ibunya kala itu sedang mengandungkan adik bongsu mereka.

Sewa

Disebabkan kuarters yang disediakan penuh, mereka terpaksa menyewa di kawasan kampung yang berdekatan dengan hutan kecil. Terbiasa tinggal di kampung membuatkan Sarah dan keluarga tidak merasakan sesuatu yang asing. Malahan mereka sekeluarga amat merindui suasana kampung yang tenang dan mendamaikan.

Diam tak diam telah sebulan berlalu, Nailah yang bersekolah di sekolah agama di Selangor pulang ke rumah sempena cuti sekolah. Berbanding Sarah, kakaknya memang rajin membaca al-Quran setiap kerana Nailah bersekolah di sekolah agama.

Jika selama ini rumah sewa yang mereka diami tenang tanpa gangguan tiba-tiba terasa panas. Masih segar di ingatan Sarah ketika malam tahun baru, dia bersama kakaknya menonton filem larut malam. Sengaja mereka tidur agak lewat kerana esoknya cuti.

Manakala ibu dan ayahnya pula selepas menikmati hidangan makan malam, mereka masuk tidur lebih awal. Ibu meminta Sarah dan Nailah mengemas dapur dahulu sebelum menonton filem. Sarah yang agak kasar sikapnya membentak apabila disuruh ibunya melakukan kerja rumah kerana tayangan filem tersebut telah bermula.

Suara Tangisan

Sudahnya ibunya merajuk dan meninggalkan mereka. Bimbang ibunya berkecil hati mereka mula mengemas. Ketika itu, tiba-tiba Nailah berbisik pada Sarah yang dia terdengar bunyi orang menyapu lantai dengan sangat kuat seolah-olah menggunakan penyapu lidi. Sarah hanya menggeleng kepala kerana dia langsung tidak mendengar apa-apa.

Lalu mereka menuju ke ruang tamu untuk menonton televisyen. Sedang asyik menonton, tiba-tiba rumah mereka seakan bergoyang seperti terkena desiran angin yang sangat kuat. Kemudian diikuti dengan suara tangisan ibu mereka, daripada perlahan menjadi sangat kuat.

Terus Sarah diterpa rasa bersalah kerana mengecilkan hati ibunya tadi. Lalu mereka berdua meluru ke bilik ibu dan ayah. Ayahnya yang terpinga-pinga terkejut melihat isterinya yang menangis teresak-esak. Sarah dan Nailah memujuk ibu mereka kerana matanya masih tertutup. Hanya rengekan yang kedengaran.

Secara tiba-tiba ibunya memegang kuat tangan Nailah, kelihatan Nailah bergelut dengan ibunya. Nailah pula daripada perlahan membaca surah Yasin terus menguatkan bacaannya. Kemudian perlahan-lahan, ibunya membuka mata seakan tersedar dari mimpi ngeri.

Nailah meminta ayahnya mengambil segelas air, dibacakan ayat Kursi lalu dihembuskan ke dalam air. Ibunya semakin tenang selepas meneguk air tersebut. Sarah yang dari tadi berada di belakang ayahnya mula merapat dengan ibunya.

Rupa-rupanya ibu mereka bermimpi didatangi seorang wanita tua yang ingin mengambil bayi yang dikandungnya. Ketika orang tua itu ingin menarik tangannya tiba-tiba Nailah juga bergelut menarik tangannya dalam masa yang sama.

Mujur Nailah melakukan tindakan yang pantas, jika tidak, entah apa yang bakal berlaku. Sejak dari hari itu, Sarah sekeluarga sering mengaji al-Quran sebelum tidur. Bimbang kejadiannya yang sama berulang.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI