Kucing itu haiwan kesayangan Rasulullah S.A.W, sifatnya yang manja, lincah dan comel membuatkan sesiapa pun boleh terpaut sayang. Tetapi bukan semua orang gemarkan kucing. Ada juga yang melihat kucing, seperti sedang menyaksikan seekor harimau! Seorang teman pernah terbalikkan meja di kedai makan, di mana di atas meja itu baru sahaja pelayan kedai meletakkan tomyam campur dalam bekas yang ada api di bawahnya dan beberapa lauk panas lain.

Hanya kerana seekor kucing liar yang terlajak manja dan melompat naik ke atas ribanya, ditambah pula dengan rasa fobia dengan kucing… tak semena-mena seperti ada satu kuasa yang luar biasa, meja makan itu terbalik dalam sekelip mata. Malu dan marah yang teramat sangat dengan insiden yang membuatkan satu kedai jadi saksi, mereka sekeluarga kemudian membayar hidangan tersebut dan keluar dari situ selekasnya.

Kisah yang ingin diceritakan ini pula, menyentuh perihal manusia yang keterlaluan membenci kucing. Sehingga sengaja mencederakan kucing dan ada juga yang sanggup meracuni kucing itu kerana benci yang teramat sangat. Kejadian ini benar-benar berlaku…dan siapa sangka, hobinya yang puas menganiaya kucing ini mendapat pembalasan yang mengejutkan ketika hari kematiannya.

Benci yang amat sangat

Sejak kecil lagi, Manan tinggal bersama neneknya sebaik kedua ibu bapanya berpisah. Satu hal mengenai Manan dia mempunyai satu habit kejam; mengkudungkan ekor kucing dengan sengaja! Kejam bukan. Kebetulan kucing-kucing peliharaann neneknya yang hampir tujuh ekor manja betul. Satu hari kerana marah dengan kucing-kucing neneknya yang melepaskan hajat di beg sekolahnya…Manan mengambil parang yang digunakan untuk membelah buah kelapa ke belakang rumah.

Kebetulan Hitam kucing peliharaan neneknya mengekori langkah Manan.Tanpa sedikit pun rasa kasihan, Manan kemudian menghayunkan parang yang tajam itu ke bahagian ekor Hitam dan putus menggeletik. Hitam mengiau kesakitan dan bertempiaran lari sambil darah menjejes turun membasahi bahagian ekor yang kudung. Manan rasa puas dan ‘hobi’ peliknya itu berlaku untuk beberapa kali dan beberapa ekor kucing yang tidak berdosa, didapati kudung ekornya menjadi mangsa Manan.

IKLAN

Bencinya Manan pada kucing membuatkan dia kadang-kadang sengaja menyepak sekuat hatinya kucing yang kebetulan lalu di depannya. Tanpa sebab yang kukuh, Manan rasa puas bila dapat melepaskan amarah pada makhluk itu. Bukan setakat memotong ekor kucing, menyepak sahaja bentuk kekejaman yang dilakukan Manan. Malah Manan pernah tergamak mengambil anak kucing yang baru lahir, dan membuang ibunya jauh. Anak kucing yang baru berusia beberapa hari itu kemudian mati akibat tidak mendapat susu dari ibunya.

Manan juga pernah dengan sengaja meracun kucing dengan menggaul sebekas nasi bersama racun tikus. Perbuatannya itu membuatkan kucing jirannya, mati dek termakan nasi beracun itu. Semuanya dilakukan atas nama kepuasan dan perasaan benci yang meluap-luap. Sikit pun dia tak sedih bila neneknya, menegur perbuatannya dan menerangkan dosa menganiaya haiwan.

Meninggal dunia akibat kemalangan

IKLAN

Ketika pulang dari melawat kawannya yang ditimpa kemalangan, Manan pula ditimpa kemalangan. Motosikal yang ditunggangnya tidak mengalami kerosakan serius, sebaliknya Manan meninggal dunia akibat tercampak kebahagian jalan bertentangan dan dilanggar pula oleh kereta pacuan empat roda yang tak sempat mengelak. Manan meninggal dunia di tempat kejadian.

 Selesai proses bedah siasat, jenazah Manan dimandikan dan dibersihkan. Apa yang peliknya, jenazah Manan dipenuhi banyak kesan calar yang memanjang seperti kesan kuku kucing. Bukan sedikit ya, tetapi hampir keseluruhan badannya. Ditambah pula dengan bauan najis kucing yang entah mana datangnya, cepat-cepat jenazahnya dikafankan dan dibawa masuk ke dalam van jenazah.

Satu perisitiwa yang menggejutkan dikongsikan oleh pemandu van jenazah dan pembantunya berkenaan jenazah Manan. Perjalanan dari hospital ke rumah nenek Manan mengambil masa kira-kira 45 minit. Tetapi perjalanan itu dirasakan terlalu lama dan seksa apabila berlaku kekalutan yang pelik di dalam van itu. Bauan najis kucing yang terlampau busuk diikuti bunyi kucing yang seolah-olah bergaduh datang dari dalam keranda jenazah Manan.

IKLAN

Menurut pemandu van itu lagi, dia yakin benar tidak ada hatta seekor kucing pun yang ada di dalam van ini ketika proses mengangkat masuk jenazah Manan. Perjalanan diteruskan sambil tingkap disisi sengaja dibuka luas bagi membolehkan bau najis kucing itu  hilang. Tak lama kemudian, hujan pula turut selebatnya menyebabkan tingkap terpaksa ditutup rapat. Bertambah pening kepala dibuatnya menahan nafas.

Sebaik tiba di rumah neneknya, kelihatan banyak sungguh kucing yang berkeliaran di halaman rumah. Jenazah kemudian dibawa ke kawasan tanah perkuburan berhampiran. Anehnya kawasan kiri kanan kuburan kelihatan rapi terjaga. Tetapi bauan hancing kencing kucing dan najis kucing sungguh tak tertahan datang dari liang lahad yang bakal menempatkan jenazah Manan.

Menurut penggali kubur itu lagi, setahunya memang belum pernah ada hatta seekor kucing pun berkeliaran di kawasan perkuburan. Hari ini ada pula bau najis kucing kuat sungguh, sehingga merimaskannya. Seminggu selepas Manan dikebumikan, najis kucing masih ada di atas kuburannya. Adakah kerana kucing menjadi musuh arwah Manan selama hayatnya, sehingga dia terus menerima imbuhan sebegini? Hanya Allah S.W.T yang lebih mengetahuinya.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI