Rasa cinta pada negara dan tanah air boleh dizahirkan dengan pelbagai cara. Atas sebab ini, seorang ibu di Indonesia ternyata cukup kreatif telah menamakan empat daripada enam nama anak-anaknya dengan Indo, Nesia, Tanna, Air. Lebih istimewa apabila nama-nama ini digabungkan ia menjadi “Indonesia Tanah Air”.
Demi Cinta Pada Negara
Empat adik-beradik di Indonesia mengundang perhatian netizen selepas mendedahkan mereka diberi nama Indo, Nesia, Tanna dan Air oleh ibu mereka, lapor portal berita Okezone semalam.
Berdasarkan hantaran tular di Twitter, salah seorang daripada mereka memberitahu, nama tersebut diberikan oleh si ibu demi cinta pada negara.
“Ibu yang memberikan nama-nama kami disebabkan rasa cintanya kepada negara.
“Kalau nama kami digabung, ia menjadi Indo-Nesia-Tanna-Air (Indonesia Tanah Air),” demikian menurut keterangan video tersebut.
Ads
Mempunyai Nama Lain
Namun, nama keempat-empat mereka bukan sekadar terdiri daripada satu perkataan kerana ia turut mempunyai nama lain.
Berdasarkan klip video berlainan yang disiarkan di laman TikTok, Nesia ialah anak ketiga yang memiliki nama sebenar Nesia Rosalina.
Ia diikuti dengan Tanna yang bernama Tanna Dewi Shanti, anak kelima pula dinamakan Indo Apriansyah serta si bongsu bernama Airna Fitria Bonia.
Ads
Keunikan nama empat beradik itu mendapat perhatian ramai dengan netizen memberikan pelbagai komen.
“Nama yang sangat berjiwa nasionalisme dan berkuasa,” kata seorang pengguna laman sosial.
“Jiwa nasionalis saya sudah bangkit. Nama anak saya nanti adalah Mega dan Wati (bekas presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri),” kata netizen lain.
Bergelar seorang pendidik bukanlah satu kerjaya yang mudah. Memberi ilmu kepada anak bangsa merupakan satu pengorbanan yang sangat besar. Apatah lagi bukan semua orang boleh bersabar dalam mendidik kanak-kanak. Ini kerana pelbagai kerenah yang bakal mereka hadapi sepanjang mengajar. Personaliti yang memenuhi ruangan Keranamu Guru kali ini, menjadikan kerjaya ini sebagai yang paling dihormati. Bukan kerana dipaksa malah Anis Salwa Alauddin, 31 menyatakan darah pendidik sudah seabati dalam dirinya.
“Saya tidak pernah rasa terpaksa menjadi seorang guru kerana darah pendidik mengalir dalam diri saya dan itu adalah cita-cita saya, iaitu mendidik anak bangsa menjadi modal insan yang produktif kepada masyarakat dan negara.
“Ibu bapa saya adalah pendidik. Mereka adalah pendorong terbesar saya untuk masuk ke bidang perguruan ini selain minat saya yang mendalam terhadap profesion ini. Ibu bapa saya telah meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mengikuti pengajian selama lima tahun setengah di IPG KPT, Cheras iaitu kohort pertama guru Ijazah keluaran maktab (kini dikenali sebagai Insitut Pendidikan Guru). Latihan yang secukupnya telah diberikan kepada kami graduan IPG untuk menjadikan kami seorang guru yang berdedikasi. Ibu saya seorang mantan pengetua SMK Sg Soi, Kuantan Pahang merangkap Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan pada usia emas, beliau mendapat Anugerah Tokoh Guru Daerah Kuantan. Keupayaan seorang ibu yang berkerjaya dan membesarkan 12 orang anak adalah sesuatu yang membanggakan saya. Arwah bapa saya merupakan seorang Pengurus Hal Ehwal Pelajar IKIP, Kuantan sebelum beliau bersara,” ungkap guru yang sudah lapan tahun berpengalaman mengajar ini.
Pandai Menyanyi
Dalam mengajar, Anis Salwa juga menyelitkan unsur seni dengan menyanyi, katanya, “Syukur ke hadrat Ilahi kerana diberi minat dan kebolehan menyanyi. Justeru, saya banyak menyelitkan unsur didik hibur dengan nyanyian kerana saya percaya ia serba sedikit dapat membantu murid untuk lebih tertarik dengan pembelajaran dan mudah mengingat. Sebenarnya saya memang bergiat aktif dalam bidang nyanyian juga. Tidak dinafikan, murid-murid teruja apabila saya merupakan ‘penyanyi’ dan mereka kerap menonton nyanyian saya di saluran YouTube.
“Murid menjadikan diri saya sebagai contoh ikutan mereka. Itu adalah satu pemangkin semangat saya untuk menjadi yang terbaik di mata mereka. Saya cuba bersikap proaktif dalam menjalankan tugas dan amanah. Cuba memberi dan membuka peluang kepada diri untuk mengembangkan potensi diri yang ada dalam pelbagai bidang. Saya sering mendidik mereka untuk tampil berani di hadapan orang ramai dan menepis segala ketakutan yang ada untuk berjaya,” terang Anis Salwa yang pernah menjadi Johan beberapa penglibatan seperti Johan Bintang Klasik Nasional Peringkat Kebangsaan 2007, Johan Bintang Klasik Nusantara Peringkat Nusantara 2007, Johan Kebudayaan Peringkat Negeri 2015, Johan Kebudayaan Peringkat Kebangsaan 2016 dan Undangan persembahan bersama Radio Klasik, RTM & Majlis-majlis Diraja.
Beza Mengajar Sekolah Bandar & Luar Bandar
Pernah mencurahkan bakti di SK St Francis, Sitiawan Perak (2011-2014) dan kini mengajar di SK Gulau, Sik Kedah. Ibu kepada dua orang anak ini, merupakan guru Bahasa Inggeris dan Matematik.
“Pengalaman mengajar sekolah bandar dan luar bandar. Ternyata pengalaman sungguh berbeza. SK St Francis merupakan sekolah bandar, cabaran mengajar anak murid (lelaki sahaja) pelbagai bangsa dan majoriti berbangsa India. Dapat mempelajari budaya belajar dan bekerja yang menjadikan saya seorang guru yang tegas dalam mendidik.
“Di SK Gulau di mana saya sedang berkhidmat di sini. Sekolah luar bandar. Jauh dari pekan Sik, Kedah. Majoriti Melayu dan beberapa murid Siam. Budaya belajar dan mengajar yang sangat berbeza. Murid di luar bandar bersifat introvert (malu dan pendiam). Enggan bertutur dalam Bahasa Inggeris. Selain itu, penerimaan murid terhadap guru baharu yang tidak bertutur dialek tempatan mereka adalah sangat sukar. Murid di sini juga menjadikan Bahasa Inggeris sebagai satu bahasa asing iaitu bahasa ketiga mereka. Mereka seolah-olah menolak bahasa ini. Tetapi, lama-kelamaan bahasa ini dijadikan satu budaya buat mereka supaya mereka tidak ketinggalan dengan arus perdana yang rata-rata memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris di peringkat global. Usaha membentuk budaya ini mengambil masa lebih dua tahun. Alhamdulillah, pertuturan harian (basic conversation) mereka perlahan-lahan dapat dikuasai,” ungkap Anis Salwa.
‘From Zero to Hero’
Anis Salwa juga menyatakan ibu bapa menghantar anak mereka dengan suatu harapan. Murid hadir ke sekolah dengan satu impian. Adalah menjadi satu kepuasan buat dirinya apabila dapat merealisasikan impian mereka. Dari tidak mengenal apa-apa sehingga bijak tulis dan baca.
“Saya suka membentuk sahsiah murid supaya mereka menjadi lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing. Dalam pengajaran, saya melibatkan murid dalam aktiviti berkumpulan supaya dapat meningkatkan kemahiran interpersonal dan komunikasi sesama mereka,” sambung Anis Salwa.
Hadiah Istimewa
Anis Salwa juga turut menerima pelbagai kad ucapan dan hadiah istimewa daripada anak muridnya.
“Murid sekolah rendah mempunyai daya apresiasi yang tinggi terhadap guru mereka. Oleh itu, saya kerap menerima kad-kad ucapan, hadiah-hadiah daripada murid-murid. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah menerima naskhah yang berunsur surat cinta tetapi lebih kepada apresiasi seorang murid kepada gurunya. Adalah menjadi kebiasaan apabila murid-murid menyatakan rasa sayang terhadap guru mereka.
Pada setiap Hari Guru, saya turut menjadi tumpuan murid. Banyak hadiah yang diterima. Hadiah paling bermakna ialah hadiah sekotak kurma daripada seorang murid Siam.
“Pada 2018, saya terpanggil untuk menyanyikan sebuah lagu khas buat guru-guru di Malaysia sempena Hari Guru 2018. Saya tidak menyangka video tersebut mendapat perhatian ramai dan tular di Facebook.
Cabaran Utama
Tidak dinafikan, beban tugas seorang guru adalah sangat banyak. Walau bagaimanapun, Anis Salwa menyatakan dia perlu bijak mengawal emosi dan cuba sedaya upaya menerima segala pembaharuan yang berlaku. Antara cabaran yang dihadapi pada sebagai guru masa kini antaranya, “Kehendak masyarakat terutama ibu bapa yang berkobar-kobar ingin melihat anak mereka berjaya adalah bukan semata-mata di bawah didikan seorang guru. Guru-guru perlu mengembleng tenaga bersama-sama ibu bapa untuk memastikan kejayaan anak-anak.
“Kecanggihan teknologi mempengaruhi pemikiran anak bangsa yang kadangkala lebih celik daripada gurunya. Kini dunia tanpa sempadan, semua maklumat di hujung jari. Oleh itu, guru perlu menjadi lebih progresif dan kreatif dalam menangani masalah ini. Pengajaran konvensional (cara lama – chalk and talk) bukanlah tidak relevan pada masa kini. Tetapi kanak-kanak gen Y dan Z ini lebih bersikap aktif dan suka meneroka sesuatu yang baru. Mereka perlu diajar untuk berkomunikasi dengan baik dan berupaya menyelesaikan masalah harian dengan sistematik. Oleh itu, pengajaran guru perlu pelbagai dan menerapkan unsur-unsur pembelajaran abad ke-21; iaitu pembelajaran berpusatkan murid. Arus pemodenan dan pengaruh luar serba sedikit memberi impak kepada pembentukan sahsiah murid. Guru menjadi agen bagi menepis pengaruh-pengaruh negatif daripada menular masuk ke dalam pemikiran anak-anak terutama di sekolah rendah.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebaknya catatan Ustaz MK Azman untuk bidadarinya, Allahyarham Ustazah Shadiya Abbas sebaik selesai urusan pengebumian jenazah isterinya petang semalam di Tanah Perkuburan Puncak Alam.
Beliau bersyukur kerana kubur arwah isteri kelihatan indah dan liang lahadnya cantik. Hal yang sama diakui oleh penggali kubur dan petugas pengurusan jenazah yang memaklumkan itulah kubur paling cantik yang pernah mereka lihat di tanah perkuburan itu. Rupa-rupanya, pemiliknya adalah Allahyarham Ustazah Shadiya Abbas.
Perjalanan Terakhir Seorang Bidadari
Kongsi Ustaz MK Azman, “Alhamdulillah.. Selesailah sudah urusan pengkebumian jenazah buah hati dan bidadari saya petang tadi jam 4.00petang di Tanah Perkuburan Puncak Alam. Segalanya dipermudahkan Allah.
“Urusan mandikan jenazah mu sayang dilakukan oleh ibumu, adik beradik perempuanmu, anak-anak lelakimu dan anak muridmu yang menawarkan diri untuk berkhidmat untukmu sayang. Abang ambil peluang ini untuk memandikanmu buat kali terakhir. Masih ingat lagi 2 hari sebelum sayang meninggalkan abang, sayang mandikan abang.”
“Sayang.. Abang imamkan solat untukmu. Sebelum ni sayang berada di belakang sebagai makmum,
tapi kali ini sayang di depan abang. Bukan sebagai imam tetapi sebagai jenazah.”
Allah Hadiahkan Kubur Indah, Liang Lahad Yang Cantik
“Sayang.. Sayang bertuah kerana dihadiahkan Allah kubur yang indah dan liang lahad yang cantik. Abang perasan hal itu ketika hendak memasukkan mu dalam liang lahad, dalam hati abang menyebut, “cantik sungguh liang lahad ini.”
“Abang bersembang dengan penggali kubur dan petugas pengurusan jenazah, mereka akui kubur itu paling cantik mereka lihat, kata mereka dalam kubur kalau pakai kasut bot pun terasa sejuk, seolah-olah lantainya dari mar mar.. Kata mereka, bakal kubur siapakah ini. Ternyata sayang adalah pemiliknya. Semoga sayang berada dalam rahmat Allah.”
“Sayang.. damailah engkau di sana, abang redha dengan pemergiaanmu. Sayang telah sempurna melaksanakan tugas sebagai seorang isteri, ibu, anak, guru dan sahabat.
InsyaAllah kita bertemu nanti di alam barzakh, padang mahsyar dan sama-sama masuk syurga.”
“Terima kasih kepada semua yang membantu urusan jenazah, bantu sediakan makanan, memberi sumbangan, berkongsi perasaan dan mendoakan arwah bidadari saya, jika ada dosanya, mohon ampunkan. Jika ada hutang arwah pada kalian, maklumkan pada saya.”
Jom kita sama-sama baca doa ini : اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها
Arwah meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh dan dimaklumkan suaminya kerana sesak nafas. Jenazah ditahan di hospital untuk ujian Covid-19 dan Ustaz MK Azman memaklumkan selepas dilakukan dua kali ujian, keputusan mengesahkan arwah isterinya negatif Covid-19.
MW :Al Fatihah.. salam takziah buat Ustaz MK Azman dan keluarga. Semoga roh Allahyarham Ustazah Shadiya Abbas ditempatkan di taman-taman syurga dalam kalangan orang-orang beriman.
Tak dinafikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ramai yang bermurah hati memberi sumbangan dan bantuan dalam pelbagai bentuk dan cara. Dengan tujuan golongan yang memerlukan dapat dibantu demi menampung keperluan dapur dan belanja harian mereka.
Memang terbaik dan wajar diberikan pujian atas usaha murni penduduk di Kampung Pogunon, Penampang, Sabah ini. Mereka bersikap prihatin berkongsi rezeki memberikan sayur-sayuran dan buahan-buahan secara percuma kepada individu atau keluarga setempat yang memerlukan.
Lebih-lebih lagi dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila pergerakan orang ramai yang agak terbatas untuk mendapatkan sayur-sayuran mahupun buah-buahan.
Sumbangan Diletakkan Di Hadapan Kediaman Masing-Masing
Menerusi gambar yang dimuat naik oleh laman sosial Facebook ‘Bosku Urang Kita Sabah’ menunjukkan pemilik beberapa rumah di kampung itu menggantungkan sumbangan pada pagar atau diletakkan atas meja khas di hadapan kediaman masing-masing.
Semua barangan mentah terbabit turut disertakan nota yang memaklumkan keperluan asas tersebut adalah percuma dan setiap rumah hanya boleh mengambil satu plastik bagi setiap jenis barang.
MW: Usaha murni penduduk kampung ini berkongsi rezeki ini wajar dipuji.Semoga rezeki penduduk kampung ini berlipat ganda kerana membantu mereka yang memerlukan.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...