cover januari 2019

2018 baru sahaja melabuhkan tirai beberapa hari yang lalu. Tentunya pelbagai kenangan suka dan duka pernah berlaku pada tahun lalu akan tersemat sebagai ingatan. Baik untuk dijadikan kenangan terindah ataupun sebuah panduan untuk kehidupan yang lebih baik pada tahun-tahun mendatang.

Menjadi kelaziman setiap orang apabila tibanya tahun baru, azam dibuat untuk menyemarakkan lagi kehidupan di tahun baru yang pastinya penuh dengan cabaran dan dugaan baru.

Istimewa untuk menghiasi muka depan MW bagi tahun baru 2019, gandingan dua ikon wanita yang aktif berdakwah dengan cara mereka yang tersendiri tentunya sesuatu yang mengujakan. Datuk Prof. Dr. Muhaya Muhamad dan juga Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman, dua nama yang cukup dikenali dengan aura mereka yang tersendiri.

Datuk Prof. Dr. Muhaya & Sharifah Khasif Pesona Ikon Dakwah

Hidup Dengan Kesedaran – Prof Muhaya

Datuk Prof. Dr. Muhaya, 60, satu nama yang cukup dikenali di kalangan rakyat Malaysia dengan bait-bait ayat yang dapat memberikan inspirasi kepada sesiapa sahaja yang mendengarkannya. Ketokohan dan pengaruhnya lebih dari 24 tahun begitu besar dalam landskap motivasi diri mahupun kerjaya profesional dalam bidang kedoktoran, hingga dapat mengubah minda masyarakat untuk berubah menjadi lebih baik, menerusi inspirasi yang diberikan.

Selaras dengan dunia digital pada hari ini, Prof Muhaya juga tidak ketinggalan untuk memilih pendekatan global seperti laman media sosial untuk menyebarkan dakwah. Ternyata pendekatan penceramah kegemaran ramai ini semakin diterima baik dengan peningkatan jumlah pengikut dari masa ke semasa untuk mendapatkan kata-kata yang boleh dijadikan inspirasi untuk sebuah kehidupan yang lebih bahagia.

Tak Perlu Tunggu Tahun Baru

Cukup ramah dan mudah didekati, MW sempat bertanyakan tentang azam tahun baru yang sering menjadi buah mulut orang ramai setiap kali tibanya tahun baru. Namun pendapat Prof Muhaya sedikit berbeza. Menurut pakar Oftalmologi ini, tidak perlu menunggu tahun baru jika ingin berubah, mulakan dengan kesedaran kerana itu yang lebih baik bagi memulakan tahun baru 2019.

“Bagi saya tak perlu azam baru setiap tahun sebab bila ada azam kita kena tunggu tahun lain barulah nak berubah, sedangkan kita perlu jadi orang baru setiap saat. Kita hidup bukan dengan azam tapi hidup dengan kesedaran.

“Misalnya kita tengah marah, tapi kita tak sedar pun kita tengah marah. Dalam kehidupan kita, kita suka tengok atau perhatikan orang lain tapi kita tak tengok diri kita sendiri. Itu yang buatkan kita kurang kesedaran tentang diri kita dan asyik memikirkan orang lain. Apa yang sepatutnya kita buat untuk kehidupan yang lebih baik adalah tanggungjawab kepada diri kita sendiri. Buatlah pilihan yang lebih baik dalam hidup untuk mencapai kehidupan yang lebih bahagia. Paling penting hati kena bersih kerana bila hati kita bersih, fikiran, pilihan, tindakan, emosi dan sebagainya akan menjadi positif. Semuanya bagaikan kitaran, jika ia bermula dengan sesuatu yang baik maka pengakhirannya juga akan baik dan ini semua bermula dari hati,” ujar Prof Muhaya memulakan bicara.

IKLAN

Umpama Cermin

Tambahnya lagi kehidupan kita ini umpama diri yang kita lihat di dalam cermin. Yang akan berubah adalah fizikal mengikut perubahan usia dan kematangan diri. Namun ramai yang tidak sedar semua itu dan mahu mengubah apa yang dilihat di dalam cermin menjadi sesuatu yang dipanggil topeng dalam kehidupan sendiri.

“Dalam mencari kesedaran diri, maksud kesedaran itu perlu kita rungkai terlebih dahulu. Persoalan utama adakah kita ingin membina topeng dalam kehidupan atau membina hati dan jiwa. Kesedaran ada dua jenis, iaitu kesedaran keegoan dan kesedaran ketuhanan.

“Kesedaran keegoan biasanya dialami oleh kebanyakan orang yang tertekan dan mengalami masalah jiwa. Ciri-cirinya termasuklah suka nak bersaing, saya yang terbaik, kalau bercakap dia sahaja yang betul, terlalu memikirkan pandangan orang lain dan banyak lagi yang menjurus kepada sifat negatif. Orang sebegini merasakan nilai yang ada pada dirinya adalah bergantung kepada topeng, iaitu pangkat, rupa paras, materialistik dan sebagainya.

“Dalam dakwah saya, itu yang saya tekankan, bukan sahaja untuk orang lain malah saya aplikasikan untuk diri saya sendiri. Penting untuk kita sedar. Jika ini terjadi dan kita sedar bahawa kita sedang mengalami kesedaran keegoan, maka kita boleh reset minda kita dan ubah kepada kesedaran ketuhanan,” tambah Prof Muhaya.

Datuk Prof. Dr. Muhaya & Sharifah Khasif Pesona Ikon Dakwah

Ujar beliau lagi, ciri yang ada pada orang yang memiliki kesedaran ketuhanan antaranya adalah amat sukakan kerjasama, suka mudahkan urusan orang, pentingkan silaturahim dan hubungan yang baik dan lain-lain sifat yang mulia.

IKLAN

“Kedua kesedaran ini adalah teras dalam kehidupan kita. Jadi kalau nak kata azam rasanya tak perlu azam baru. Kita perlu jadi orang yang baru setiap saat dengan membuat pilihan dan pilihan tersebut bergantung kepada hati. Menjadi tugas kita setiap hari untuk membersihkan jiwa dan mengenal Allah. Sebab kalau kita tak kenal Allah, tak cintakan Allah kita malas (susah) nak beribadat,” ujarnya tentang kesedaran yang perlu ada dalam diri setiap insan.

Sharifah Khasif Sudah Miliki Akademi Al-Quran

Alunan suaranya tatkala melantunkan ayat-ayat suci Al Quranul Karem cukup merdu di halwa telinga yang mendengar. Dengan taranum sesuai maksud setiap ayat al-Quran yang diperdengarkan, qariah terkenal Malaysia, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman ingin memulakan tahun baru 2019 dengan azam untuk memperbanyakkan amal soleh dan ingin mendapatkan Husnul Khatimah.

Baginya setiap orang mempunyai cara yang berlainan apabila melangkah ke tahun baru setiap tahun.

“Lain orang lain caranya. Ada orang kena ada azam baru ada semangat. Pada saya biarlah kita ada azam dan semangat baru setiap tahun untuk kita capai matlamat supaya menjadi lebih baik dari tahun yang sebelumnya.

“Hidup perlu ada keseimbangan. Dunia kita ada akhirat jangan dilupakan. Dengan amalan doa harian yang bermaksud :Ya Allah, berikanlah kepada Kami kebaikan di dunia, berikan pula kebaikan di akhirat dan lindungilah Kami dari seksa neraka.” (QS. al-Baqarah : 201). Insya-Allah hidup akan seimbang. Tahu batasan, jaga akhlak, sedar diri kita adalah hamba dan pastinya keuntungan yang kita inginkan di dunia ini adalah ladang yang perlu kita semai dengan sifat ihsan untuk kehidupan yang kekal di akhirat kelak,” ujar Johan Tilawah Al-Quran 2009 memulakan bicara.

Datuk Prof. Dr. Muhaya & Sharifah Khasif Pesona Ikon Dakwah

IKLAN

Tahu Batas Berhibur

Turut ditanya tentang pandangan beliau mengenai sambutan tahun baru yang sering diadakan setiap tahun yang penuh dengan unsur hiburan, menurut Sharifah Khasif, berhibur itu boleh asalkan tahu batasan dan nilai-nilai peradaban dalam agama.

“Lumrah manusia suka berhibur dan kadangkala suka dihiburkan. Berhibur boleh asalkan tahu batasan dan nilai-nilai peradaban dalam agama . Memilih hiburan yang mendidik jiwa adalah suatu keperluan. Kalau hiburan yang tidak mendidik, tidak berguna dan ianya hanya sia-sia, itu semua perlu dielakkan.”

Bercerita tentang perkembangan terkini beliau, menurutnya kini dirinya sedang sibuk menguruskan Akademi Seni Al-Quran yang baru sahaja ditubuhkan. Pusat dakwah yang terbuka kepada semua peringkat umur ini bertujuan melahirkan generasi al-Quran yang mempunyai bacaan bermutu, berkualiti dan mampu membaca seperti qari dan qariah antarabangsa.

“Alhamdulillah kini saya sedang sibuk menguruskan akademi Seni Al-Quran (Akademi of Sharifatuna Quranic Arts, (ASQA) sebagai pusat dakwah. Syukur akhirnya tercapai hasrat saya ingin mendirikan akademi al-Quran sendiri. ASQA terbuka kepada semua peringkat umur yang berminat. Kami banyak adakan kerjasama dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara. Setakat ini sudah ada lebih 70 pelajar dan dibuka kepada pelajar lelaki dan perempuan yang berumur dari lapan hingga 80 tahun. ASQA juga turut menyediakan asrama untuk pelajar yang mengikuti kursus di sini.

******

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh dua ikon dakwah, Datuk Prof. Dr. Muhaya & Sharifah Khasif ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru edisi pembuka tirai 2019, isu Januari, Volume 1 ini. Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!

Datuk Prof. Dr. Muhaya & Sharifah Khasif Pesona Ikon Dakwah

Teks & Penyelaras: Shahrina Azlin Abdullah
Konsep: Musnida Abu Abidah
Foto: Ahmad Shahir Osman
Solekan & Dandanan: Kelrina & Anne Karim

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI