“Dapat Jenguk Atap Rumah Pun Jadi..” Sayu Luahan Hati Anak Yang Rindukan Restu Ayah Ibu Dalam Pernikahannya

Perkahwinan tanpa restu ayah ibu sememangnya perit. Lebih seksa bila sudah ada anak pun ibu dan ayah masih tak mahu lagi memberi restu. Sudahnya, cucu sampai ke besar tak kenal atuk dan nenek.

Takkan hendak dikongsi cerita perkahwinan yang tak direstui dengan anak-anak. Mereka pun takkan faham. Akhirnya suami isteri memendam rasa. Walau bahagia, tetap ada kudisnya. Yang parutnya susah hendak ditutup.

Inilah yang berlaku pada pengirim kisah peribadi S.W dari Pasir Mas, Kelantan. Beliau mahu meringankan beban perasaan yang bersarang di hatinya selama ini.

Assalamualaikum Puan,

Saya berusia 23 tahun dan telah berkahwin. Kini mempunyai anak berusia setahun. Selepas berkahwin saya menjadi suri rumah tangga. Suami pula membantu menguruskan kedai runcit milik keluarganya
di kampung.

Tak pernah sekali saya menyesal bertemu jodoh dengan suami pada usia yang masih muda. Bahkan,
bergelar ibu pada usia muda jugalah yang membuatkan saya lebih matang.

Sayangnya, jauh di sudut hati, saya terbeban dengan permasalahan keluarga. Apabila perkahwinan saya dan suami tak direstui keluarga saya.

Perkahwinan kami dijalankan di Selatan Thai. Ia tidak begitu sukar kerana kami tinggal di Kelantan. Majlis perkahwinan itu dilangsungkan di rumah pakcik saya iaitu abang kepada emak saya yang sememangnya tinggal di sana.

Keluarga suami turut hadir kerana perkahwinan kami direstui sebelah suami.

Beza Fahaman Politik Jadi Punca Hilang Restu

Saya dan suami sebaya dan kami mula bercinta sejak di bangku sekolah.

Kami sekampung, malangnya keluarga saya menentang keras hubungan kami sejak awal lagi. Ini kerana keluarga kami berbeza fahaman politik.

IKLAN

Ayah dan mama tidak mahu menantu daripada parti politik yang berbeza. Ditambah pula keluarga saya yang berketurunan ‘syarifah’ dan ‘syed’ ingin menjodohkan saya dengan lelaki yang berketurunan sama.

Bukan niat saya hendak menjadi anak derhaka tapi saya rasakan alasan keluarga membantah
hubungan cinta saya tidak logik.

Lebih-lebih lagi pada zaman serba maju ini. Apakah saya tidak mampu bahagia jika memilih suami bukan daripada keturunan yang sama? Soal politik juga hal yang remeh bagi saya. Lainlah jika saya ingin berkahwin dengan lelaki berlainan agama.

Akhirnya saya tekad bernikah di Selatan Thai.

Selepas kahwin, keluarga tidak membenarkan saya dan suami menjejakkan kaki ke rumah. Sejak
itu saya tinggal bersama keluarga suami. Hampir setiap hari saya sengaja lalu di depan rumah
mama dan ayah saya.

Dapat jenguk atap rumah pun jadi. Sering kali juga saya menelefon ayah dan mama. Kiriman
whatsapp tetap saya berikan pada mereka walau pun tak pernah dibalas.

IKLAN

Sayang saya pada mama dan ayah tak pernah berkurang. Sepanjang tempoh kejauhan inilah, adik saya sering berkongsi cerita dan maklumkan apa yang berlaku dalam keluarga dengan saya.

Kami hanya dua beradik sahaja dan sebab itu hubungan kami rapat. Dalam diam, adik merestui hubungan saya dan suami.

Syarat Mama Dan Ayah Buat Saya Terkedu

Syukur, beberapa bulan selepas kahwin, saya disahkan hamil. Saya menghantar whatsapp pada
ayah dan mama untuk berkongsi kegembiraan. Siapa sangka, tiba-tiba mendapat balasan daripada ayah.

Kata ayah, baliklah jumpa mereka.

Hari itu juga suami hantar saya balik ke rumah ayah dan mama. Tapi saya disuruh masuk seorang
diri. Katanya, tengok dahulu penerimaan ayah dan mama.

Ya, mereka dapat menerima saya semula tapi bukan suami! Saya dibenarkan pulang bila-bila masa tapi suami tak boleh ikut.

IKLAN

Saya menangis, sedih kerana suami masih tidak diterima keluarga saya.

Mulianya hati suami kerana mengizinkan saya pulang bertemu keluarga. Jika ada kenduri dan
sebagainya, saya akan bermalam di sana. Pergi dan pulang saya akan dijemput suami.

Kata suami, suatu hari nanti pasti keluarga saya akan terima kehadiran dirinya. Itulah doa saya sepanjang masa.

Selepas melahirkan anak, saya memilih untuk berpantang di rumah mentua kerana tidak mahu
berpisah dengan suami. Saya beruntung kerana suami menjaga saya dan anak dengan baik.

Tidak sia-sia pengorbanan saya memilihnya. Mungkin Allah ingin menduga kesabaran kami menerusi keluarga saya.

Hingga kini, saya dan anak sering pulang ke rumah ayah dan mama tapi suami tak boleh ikut. Puan, saya sedih kerana sampai bila keadaan ini berterusan?

Bukan tak pernah saya bawa suami, tapi ayah dan mama terus masuk bilik atau keluar dari rumah. Bersalam pun mereka tak sudi.

Saya kasihkan suami yang banyak mengalah. Suami saya terlalu baik dan saya tidak tahu bagaimana cara untuk memujuk ayah dan mama menerima kehadirannya.

Saya yakin dia akan menjadi menantu yang baik.

S.W, Pasir Mas, Kelantan

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI