Covid-19, ramai yang terkesan dengan serangan Covid 19; ekonomi dunia merudum, kadar pengangguran meningkat, berjuta dibuang kerja, kehilangan orang yang tersayang, terpaksa menanggung hutang, mencari pinjaman ke sana ke sini, bahkan manusia terpaksa menahan lapar, yang menjadi mangsa pula menanggung pilu menanti hujung nyawa keseorangan.
Ujian Allah
Seluruh dunia menghadapi musibah yang sama, yang insaf kembali kepada Tuhan dan yang berputus asa pula merungut tak henti-henti cuba menyalahkan kanan dan kiri. Sebagai hamba Allah SWT yang menerima takdir-Nya apakah kita merasa diuji atau diazab dengan datangnya Covid-19?
Ujian biasanya diberi kepada manusia dalam dua bentuk iaitu, ujian keburukan seperti dijangkiti penyakit, kehilangan harta benda, hilang nyawa dan ujian kebaikan seperti dikurniakan zuriat, dilimpahi rezeki, dan kesenangan dunia yang menipu.
Selagi kita belum menghadap Allah SWT selagi itu kita akan berhadapan dengan ujian yang baik dan buruk sebagaimana firman Allah SWT:“Setiap yang bernyawa akan mati dan kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan dan kamu akan dikembalikan hanya kepada kami.” – (Al-anbiya: 35)
Oleh itu janganlah terlalu sedih kerana bukan kita sahaja yang mengalami keperitan, setiap makhluk sama diuji. Walaupun ramai yang ketakutan, risau berlebihan dengan kekurangan harta janganlah sampai menjejaskan iman kita kepada Allah SWT dengan mengeji takdir-Nya.
Masa-masa sebegini amat sesuai untuk bermuhasabah diri mencari kesilapan, mungkin adakalanya cara kita berkeluarga dan bermasyarakat menyebabkan Allah SWT murka. Bukankah setiap musibah yang dialami oleh suatu kaum pasti disebabkan oleh perbuatan tangan mereka sendiri, sebagaimana firmanNya: “Kebaikan apapun yang kamu perolehi adalah dari sisi Allah dan keburukan yang menimpamu adalah dari dirimu sendiri.” – (Surah Al-Nisa ayat: 79)
Mungkin maksiat zina telah terang-terangan dilakukan, dirakam, disebarkan. LGBT dibela, arak dihalalkan, tempat ibadah dikotori syirik, keluarga kita pula apakah dosa mereka? Kelalaian menimpa, dunia bertahta akhirat dilupa, hiburan dirai sedangkan ajaran agama diperli.
Ads
Tetap Tak Berubah Lepas Diuji Covid-19
Kita mengaku sedang diuji Allah SWT tapi selama hampir setahun dalam ujian covid-19 ini apakah kita justeru mula berjinak-jinak dengannya dan akhirnya ‘kebal’ tak sedar dan insaf lagi? Ramai yang telah belajar norma baru, sekurang-kurangnya dua tahun lagi kita diajar untuk membiasakan diri bersahabat dengan wabak ini.
Tapi janganlah kita merasa aman dan selesa padahal bila-bila masa saja Allah SWT boleh timpakan ujian yang lebih teruk lagi.
Semasa PKP dahulu tak tinggal solat bersama keluarga tapi bila PKP telah ditamatkan masing-masing sibuk dengan hiburan yang melalaikan. Berbulan-bulan terpaksa duduk rumah, kita boleh paksa seluruh ahli keluarga khatamkan al-Quran, tapi kini nak sentuhpun tak sempat. Mungkin setiap malam kita bertahajud sewaktu covid menggila, takut dan risau mohon pertolongan Allah SWT tapi kini apakah ia masih dijadikan amalan sepenuh jiwa?
Apakah Kita Sedang Diazab?
Kemudian timbul persoalan apakah kita sedang diazab? Bonda Aisyah Binti Abu Bakar al-Shiddiq pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang wabak penyakit yang menimpa umatnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang Thaun baginda s.a.w memberitahukanku bahawa thaun adalah azab yang dikirim Allah kepada sesiapapun yang Dia kehendaki. Dan Allah menetapkannya sebagai rahmat bagi orang-orang beriman. Dan tidaklah orang yang apabila wabak itu menjangkiti sedang dia tetap berada di negerinya dengan sabar dan reda dan dia meyakini bahawa tidak ada yang menimpanya melainkan sudah ditetapkan Allah baginya melainkan baginya pahala syahid.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Ads
Beza Orang Beriman Bila Berdepan Covid-19
Orang beriman menerima takdir dengan reda, oleh itu mereka tidak dikategorikan sebagai penerima azab sebagaimana si kafir. Justeru mereka dirahmati dengan datangnya ujian tersebut, betapa kita amat menikmati solat dan rasa amat dekat dengan Allah sewaktu covid bermaharajalela tapi setelah reda apakah kita masih memiliki hubungan yang rapat dengan Yang Maha Pencipta?
Orang beriman tak kira susah ataupun senang keadaannya sentiasa baik di sisi Tuhannya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Amat menakjubkan urusan orang mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada siapapun kecuali orang mukmin (yang sempurna imannya). Jika mendapat kegembiraan dia bersyukur, itu adalah kebaikan baginya dan jika ditimpa kesusahan dia bersabar maka itu adalah kebaikan baginya. (Hadis riwayat Muslim)
Cari Reda Allah
Jangan pernah berubah cinta dan ketundukan kita kepada Allah SWT, teruskanlah menuntut ilmu demi mencari keredaan-Nya dan lazimkan beramal saleh tak kira susah dan senang, tak kira covid-19 datang dan pergi biarlah iman sentiasa berakar di hati. Ingatlah, Covid bukan azab tapi rahmat!
“Allah tidak akan menyiksamu jika kamu bersyukur dan beriman dan Allah Maha mensyukuri dan Maha Mengetahui.” (Surah Al-Nisa 147)
Sumber: Dato’ dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam dan penulis jemputan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Di era moden serba mencabar ini, ramai ibu bapa sering berdepan dilema apabila anak-anak meminta gajet baharu. Namun bagi Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, permintaan anak bukan sekadar soal memenuhi kehendak material.
Sebaliknya, ia menjadi ruang mendidik dan menyemai cinta Al-Quran dalam jiwa mereka.
Baru-baru ini, beliau sekali lagi mencuri perhatian warga maya apabila berkongsi momen manis bersama puteri tersayang, Affaf, yang meminta telefon bimbit baharu setelah telefon lamanya rosak.
Namun, jawapan si ayah tidak seperti yang dijangka. Dr Asyraf tidak terus mengangguk tanda setuju, sebaliknya meletakkan syarat:
“Boleh. Dengan syarat Abi nak tasmik (tebuk) dulu Hafazan Kakak ya. Ambil surah senang saja, Al-Baqarah. Jadi pastikan murajaah (mengulang kaji) balik. Hari Ahad lulus, Abi terus belikan!”
Mengutamakan Al-Quran Sebelum Segalanya
Menurut Dr Asyraf, sejak kecil lagi anak-anaknya telah dibiasakan dengan satu didikan Al-Quran mesti diutamakan sebelum mendapat apa sahaja yang diinginkan.
Bukan hanya sekadar janji manis, terbukti hasilnya cukup mengagumkan. Affaf kini sudah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran sejak di bangku sekolah menengah.
Walaupun hafazan itu telah sempurna, Dr Asyraf tetap menekankan kepentingan murajaah agar ayat-ayat Allah sentiasa segar dalam ingatan. Malah, selepas memenuhi janjinya membeli telefon baharu, beliau terus menetapkan cabaran baru:
“Ok, lepas ini terus murajaah hafazan. Lepas Subuh esok Abi nak mula tasmi’ Surah Ali Imran pula ya.”
Murajaah (مراجعة) berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud mengulang kaji, mengingat kembali atau menyemak semula.
👉 Dalam konteks Al-Quran, murajaah ialah proses mengulang hafazan ayat-ayat yang sudah dihafal supaya tidak terlupa.
Orang yang menghafaz (hafiz/hafizah) perlu sentiasa murajaah setiap hari kerana hafazan boleh hilang jika tidak dipelihara.
Ia juga termasuk menyemak bacaan dengan guru (tasmi’), agar sebutan, tajwid dan hafazan sentiasa tepat.
Momen Syukur & Kasih Sayang
Apa yang lebih menyentuh hati ialah reaksi Affaf. Dalam kegembiraan menerima telefon baharu, dia beberapa kali memeluk ayahnya dengan perasaan terharu dan syukur. Momen itu bukan sekadar tanda kasih seorang anak, tetapi bukti bahawa didikan berasaskan hikmah mampu mengikat hati keluarga dengan cara yang lebih bermakna.
Di ruangan komen, ramai netizen kagum dengan cara Dr Asyraf mendidik. Baginya, kemahuan anak tetap boleh dipenuhi, tetapi harus disandarkan dengan keberkatan Al-Quran agar mereka sentiasa membesar dalam lingkungan iman.
Inspirasi Untuk Ibu Bapa Zaman Kini
Dalam dunia yang penuh cabaran material, kisah ini hadir sebagai inspirasi bahawa membesarkan anak bukan hanya tentang menyediakan keperluan duniawi. Apa gunanya gajet canggih jika hati kosong daripada cahaya Ilahi?
Datuk Dr Asyraf menegaskan, keberkatan Al-Quran itu sendiri menjadi benteng utama anak-anak menghadapi dugaan moden. Dengan cara ini, mereka bukan sahaja memiliki ilmu dunia, tetapi juga senjata rohani untuk kekal kuat di jalan yang benar.
Hidayah itu milik Allah, namun ia perlu dicari dan bukan dinanti. Malah hidayah juga datang dalam pelbagai cara seperti yang dilalui oleh Nur Amira Ann Lee Abdullah, 32 tahun. Bermula dengan rasa ingin tahu yang mendalam tentang Islam membuatkan anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan mulai mendekati agama Islam.
Di fikiran Nur Amira adalah lebih baik dia mencari ustaz atau orang yang lebih arif untuk mengetahui tentang agama Islam. Oleh itu, dirinya mengambil keputusan untuk ke Pusat Islam. Rezekinya barangkali, dia diajak untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Islam kepada saudara baru dalam tempoh lima hari.
“Walaupun pada awalnya saya kurang percaya untuk ikuti kursus tersebut kerana ketika itu masih belum bergelar muslim, tetapi segalanya ada hikmahnya. Selepas tiga hari menjalani kursus tersebut, saya telah mengetahui pelbagai perkara tentang Islam. Saya banyak bertanya itu dan ini tentang apa yang sangsi tentang Islam.
“Segala kekeliruan saya mulai terjawab, sepatutnya pada hari keempat saya perlu bekerja keranasaya hanya mengambil cuti selama tiga hari sahaja. Oleh kerana rasa ingin tahu dan keseronokan dengan ilmu baru saya dapat, saya habiskan kursus selama lima hari itu.
“Selepas seminggu, saya ambil keputusan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah. Memang terlalu cepat, tetapi apa yang saya takut ketika itu jika saya berlengah lagi, saya tak sempat peluk Islam bagaimana pula nasib saya,” ungkapnya yang memeluk Islam pada 18 November 2009 ketika berusia 22 tahun.
Respon Keluarga
Sesungguhnya bukan mudah buat Amira untuk menerangkan tentang niatnya untuk memeluk agama Islam kepada ahli keluarga terutamanya ibu tercinta. Apatah lagi Amira merupakan anak “mak” dan dia sangat rapat dengan ibunya. Segala-galanya dia berkongsi dengan ibu, jadi apabila ibunya tidak merestui keputusan membuatkan Amira jadi pilu.
Menurutnya, seumur hidup dia tidak pernah mengingkari perintah atau arahan ibunya tetapi saat memeluk agama Islam, dia terpaksa melukakan hati ibunya yang sangat dia sayangi.
“Saya memang sendirian ke pejabat agama Islam untuk mengucap syahadah. Sebelum saya keluar rumah, saya beritahu perkara sebenar dan ibu saya terus menangis. Saya juga sedih kecilkan hati mak ketika itu tetapi saya terpaksa juga lakukan tindakan ini kerana percaya tindakan saya betul.
“Saya juga terangkan kepada mak bahawa Islam bukanlah apa yang kami fikirkan selama ini. Saya janji dengan mak yang saya memang tidak akan berubah, saya tetap anaknya. Cuma agama sahaja yang berubah.
“Tidak dinafikan pada peringkat permulaan, muncul beberapa masalah seperti isu makan, tempat solat dan mengenakan hijab. Ia memakan masa lapan tahun untuk saya terangkan agar mak faham dan tidak memandang serong tentang Islam. Ia bukan satu hal yang mudah buat saya,” jelasnya lagi.
Tambah Amira dugaan terbesar buatnya setelah bergelar seorang Muslimah adalah dalam mengenakan hijab. Kakaknya sendiri menyoal itu dan ini apabila dia perasan ada sahaja muslim yang tidak mengenakan hijab dan mengapa pula perlu berhijab padahal baru menganut Islam.
Dalam masa yang sama, Amira tahu betapa berdosanya dia jika tidak mengenakan hijab, akhirnya Amira tekad mengenakan hijab setelah menerangkan bahawa apa yang Amira lakukan adalah menurut ajaran Islam dan bukannya mengikut orang.
Belajar Agama
Menurut Pensyarah di Admal Aviation College ini lagi, setelah mengucapkan syahadah, dirinya telah mengikuti pelbagai kelas untuk mendalami ilmu agama antaranya kelas fardhu ain, bengkel solat, bengkel menguruskan jenazah yang dianjurkan untuk saudara baru oleh Majlis Agama Islam, Negeri Sembilan.
“Masa awal-awal dahulu, saya memang banyak ikuti kelas yang dianjurkan, maklumlah banyak perkara yang masih saya jahil serta tidak tahu. Alhamdulillah kini hanya sesekali saya mengikuti majlis agama kerana semua kelas asas telah saya ikuti.
“Sudah tentu, menjadi harapan terbesar saya untuk melihat salah seorang ahli keluarga saya mengikut jejak langkah saya menganut agama Islam terutamanya mak saya. Setiap hari saya pasti berdoa dan saya juga harapkan semua pembaca Mingguan Wanita mendoakan ibu saya mendapat hidayah.
“Selain itu, harapan untuk diri saya untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik. Saya juga tanam niat untuk menjadi lebih baik dari semalam. Dalam masa yang sama, saya memasang impian untuk melahirkan pendakwah satu hari nanti yang mampu berbahasa mandarin bagi memudahkan kefahaman di kalangan bangsa Cina tentang Islam.
“Oleh sebab itu saya dengan bantuan rakan baik saya membuka tadika Islam Mindacerah Mandarin untuk melatih khalifah kecil dalam berbahasa Mandarin dan suatu hari mereka mampu berdakwah dalam bahasa Mandarin,” ungkapnya Amira satu-persatu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebagai manusia biasa, kita semua tak pernah sempurna. Malahan ada masa kita menjadi baik dan adakalanya tersalah langkag dan percaturan.
Oleh itu, bila jadi baik, tak perlu sibuk burukkan orang sebaliknya bersyukur Allah bagi hidayah pada mak ayah sebelum terlambat.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam sebaiknya:
Ada orang yang sekarang dah jadi baik, tapi dia sibuk pula burukkan orang lain. Padahal dia dulu pun sama lebih kurang macam orang yang dia sebut.
Ada yang sekarang direzekikan rumah tangga elok, mengata pula ke rumah tangga orang lain.
Bila Jadi Baik, Tak Perlu Sibuk Burukkan Orang
Padahal dia dulu pun bercinta sebelum kahwin. Siap kemalangan kereta sama dengan awek sebelum bernikah.
Ada yang Allah lembutkan hati anak-anak mudah solat dan tutup aurat daripada kecil.
Yang lelaki dipakaikan kopiah, comel dan kemas walau baru umur tadika. Dia mengata ke anak orang lain pula.
Sedangkan dia dulu pun sama tak pandai juga pakai kopiah. Rambut sikat fesyen macam-macam juga. Sekarang lah baru pandai nak bergaya beli koleksi kopiah banyak-banyak.
Ada yang sekarang dapat hidayah, rasa banyak kebaikan boleh buat. Rasa dekat sangat dengan mati. Berhenti kerja konon nak tumpu ke kerja Islam. Terus rasa diri baik. Pergi pula kutuk orang lain sana sini.
Sepatutnya bersyukurlah. Kita diberi peluang dapat hidayah dan panduan dalam hidup. Diberi rezeki pula rasa kemanisan ada iman dan kesedaran.
Hal orang lain masih dalam takuk kehidupan lama tu kau doakan. Kalau dah tegur tak mahu ikut juga, teruskanlah doa kebaikan. Tak payah mengata itu ini, sebab kau dulu pun sama macam tu.
Tentang ada kawan yang kau nampak dulu baik dan elok, sekarang sudah rugged sikit. Dan macam kecundang pada mata kau tu, pun kau tetaplah doakan kebaikan. Sebab hidup ini penuh ujian.
Bila Sudah Baik
Kalau kawan kau dulu baik, sekarang Allah uji dengan dunia. Kau pun sama boleh lalui ujian begitu.
Dulu kau hidup bebas juga, sekarang dah jadi baik. Boleh jadi nanti kau kembali ke hidup lama kau. Bahkan lagi ngeri boleh jadi lagi teruk daripada sebelum ini.
Dan waktu itu, kawan yang kau dok mengata tadi bertaubat. Dia jadi baik terus sampai dia mati.
Kawan-kawan,
Kita tak ada kemampuan untuk tengok masa depan kita dan orang lain. Jadi untuk apa yang akan berlaku di depan, berbaik sangka sahaja.
Kalau hari ini kita diberi satu kedudukan yang elok, bersyukurlah. Melihat orang lain yang dibawah, tenang dan doakan.
Itu lebih baik daripada kau merasa diri dah sempurna dan selamat. Ingat, nasib kita belum tahu.
Begitulah. Firdaus Mokhtar, Banyak juga nak kena baiki diri.
MW: Sebelum menuding jari ke arah orang lain, mak ayah perbaiki dulu diri sendiri. Cermin dahulu cacat cela di mana, bimbang bila terbiasa melihat kesilapan orang lain hingga kabur kesalahan sendiri. Renung-renungkan.
Zizi Kirana Tak Tersinggung. Penyanyi kecil molek yang juga aktivis kemanusiaan Zizi Kirana akui dirinya tidak berasa tersinggung apabila ada yang mengkritik penyertaannya dalam...