Suami bila berfikir memang takkan sama dengan cara isterinya fikir. Sebab itu bila isteri minta lain, lainlah nanti yang suami sediakan. Bila isteri marah-marah, suami bingung.. tak faham kenapa isteri marah-marah,
Sudahnya, terjadilah perbalahan kecil. Yang lama-lama kalau tak dibendung boleh jadi besar. Sebab masing-masing saling menyalahkan. Pengalaman berdepan situasi cara fikir yang tak sama inilah dilalui Puan Rohamiah Muda.
Kisahnya cuma minta suami pasangkan plug dalam rumah saja. Rupanya ada banyak pengajaran yang isteri boleh ambil positif dari kisah ini.
Minta Suami Baiki Plug, Dah 3 Bulan Masih Juga Belum Bertindak
“Abang, plug di dapur dah rosak. Pasang je, satu rumah black out,” adu saya kepada suami lebih kurang tiga bulan lepas.
“Erm… .”
Itu sahaja jawapan suami.
Kegunaan utama plug di dapur adalah untuk menghidupkan oven.
Saya menunggu juga, kalau-kalau suami memanggil seseorang untuk membaiki plug di dapur.
Tiada. Sehinggalah Ramadan tiba.
Nak Tak Nak, Isteri Kena Fikir Sesuatu
Jadi, solusinya, saya terpaksa menyambung dua extension ke plug lain untuk panaskan lauk. Wayar itu bersambung-sambung.
Agak leceh juga kerana wayar extension mengganggu ketika saya ingin membuka pintu peti ais.
Itulah tugas saya sepanjang Ramadan. Dini hari, terpaksa sambung dua extension. Kemudian, kemas semula extension yang telah dipasang. Ia memakan masa sebenarnya.
Nak tak nak, terpaksa buat.
Sekali lagi saya mengadu kepada suami, “Abang, susah la plug dapur ni rosak. Nak panaskan lauk pun leceh.”
Ads
“Ya, nanti baiki,” jawab suami.
Hati sudah rasa gembira dengan jawapan itu.
Saya masih menanti bilakah masanya plug akan dibaiki. Dalam fikiran saya, mungkin esok atau lusa plug itu akan dibaiki.
Tunggu.
Tunggu.
Tunggu.
Ramadan sudah ke penghujung.
Bila Biasa Susah, Lama-lama Jadi Mudah
“Abang, bila nak baiki plug?” Saolan saya sudah berubah.
Suami diam. Soalan saya tiada jawapan.
Saya pasrah. Tunggu sahaja. Sampai masa suami pasti akan memanggil tukang baiki.
Saya mengambil tindakan untuk bersabar. Lagipun, saya tidak suka bangkitkan isu yang remeh. Biarlah masa yang menentukan.
Ads
Jika ingin menggunakan oven, saya akan menyambung dua extension ke plug lain.
Rupanya, apabila kita biasa dengan kesusahan, ia menjadi mudah.
Soalan saya kepada suami untuk baiki plug seolah sudah dilupakan.
Dan…
Rupanya, apabila kita lupa perkara itu, ketika itulah masalah itu akan berakhir.
Akhirnya, semalam plug dibaiki.
Masya-Allah.
Saya suka sangat!
Sebab plug di bahagian tengah, suami meminta tukang baiki memasang plug dua pin.
Sebelumnya, semua plug tiga pin.
Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah.
Ads
Cara Fikir Suami Isteri Itu Tak Sama
Sebenarnya kan, inilah perbezaan antara suami dan isteri. Kadang isteri inginkan tindakan yang segera daripada suami.
Tapi, suami berfikir lain. Sampai masa dia akan ambil tindakan. Tapi, mungkin tindakan itu agak lambat.
Rupanya, suami mencari masa yang sesuai untuk baiki semua kerosakan yang ada di rumah. Semalam, setel semua masalah.
Jika isteri tidak bersabar dengan sikap suami, peluang inilah yang akan digunakan oleh syaitan untuk menghasut isteri supaya marah atau menjadi punca pertelingkahan.
Jika kita lihat pergaduhan dalam rumah tangga, ia berpunca daripada isu yang sangat kecil. Contohnya, isu ubat gigi, isu kain baju yang dibiarkan di atas lantai, isu stokin dan sebagainya.
Isu-isu inilah kadang membawa kepada perbalahan antara pasangan.
Inilah pentingnya kesabaran dalam melayari hidup berumahtangga.
Raikan perbezaan antara pasangan. Memang suami dan isteri sangat berbeza dari segi tindakan dan perasaan.
Moga semua yang membaca nukilan ini bahagia hingga jannah bersama pasangan masing-masing. Aamiin.
Sumber/Foto : Rohamiah Muda, Bercita-cita untuk bercinta hingga ke syurga. Penulis buku Diakah Jodohku.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kalau selalu bawa anak-anak pergi bercuti dalam negara, sesekali teringin juga gembirakan hati mereka dengan membawa bercuti ke luar negara. Namun jika tidak pernah mempunyai pengalaman ini dan pertama kali ingin membawa anak-anak bercuti ke luar negara pastinya timbul rasa gusar dihati.Tertanya-tanya bagaimana cara dan perkara yang perlu dilakukan untuk realisasikan hasrat ini.
Ikut perkongsian tips ini;
1.Destinasi
Jika pertama kali ke luar negara, seeloknya pilih destinasi yang berhampiran dahulu, seperti negara Asia Indonesia, Singapura, Thailand. Bukan apa, ia bagi mengumpul pengalaman dahulu, jika sudah mahir selok belok ke luar negara baru ke destinasi yang jauh-jauh seperti Eropah.
2.Tempah Tiket Penerbangan & Hotel
Seeloknya tempah awal untuk tiket penerbangan, 6 bulan awal dari tarikh cadangan pada masa itu harga lebih jauh lebih rendah. Banyakkan survey dan bandingkan tiket penerbangan di website yang menawarkan harga lebih murah seperti Expedia, skyscanner, Kayak.com, Cheapflights dan sebagainya.Beli tiket pesawat ketika promosi untuk mendapatkan tambang penerbangan yang murah bagi menjimatkan lagi perbelanjaan.
Penginapan hotel seeloknya sebulan atau 2 minggu sebelum. Pilih hotel yang berhampiran dengan city center supaya anda mudah untuk akses kemudahan bandar. boleh buat pemilihan penginapan melalui website seperti Trivago, Traveloka, Airbnb dan sebagainya.
Fahamkan terma dan syarat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tempahan hotel. Paling penting tarikh dan tempat yang hendak di tuju untuk mengelakkan kerugian dan ada charge tersembunyi.
3.Perbaharui Passport
Pastikan sebelum ingin ke luar negara anda dan anak-anak mempunyai PASSPORT yang masih sah tempoh dan sah 6 bulan dari tarikh perjalanan.Tanpa ‘alat kuasa’ ini anda tak akan dapat memulakan perjalanan ke luar negara.Jika tiada, terus ke pejabat Imigresen proses menyiapkan passport hanya ambil tempoh satu jam sahaja!
Buat beberapa salinan paspot, dan tinggalkan satu salinan paspot dan itinerary perjalanan anda pada waris terdekat sebagai persediaan jika berlaku kes kecemasan ketika berada di luar negara.
4.Periksa Negara yang Anda Lawati Perlu Visa atau Tidak
Perkara ini sangat penting kerana ada sesetengah negara memerlukan visa bagi rakyat Malaysia. Antara negara yang memerlukan visa ialah China,Australia, Arab Saudi, Amerika, India, Mesir dan banyak lagi. Pastikan anda tahu proses permohonan visa dari setiap negara berbeza dan kadangkala mengambil dua hari atau seminggu.Buat permohonan secara online sahaja dan hantar dokumen berkenaan ke kedutaan yang terlibat.
5.Sediakan Bajet Kewangan yang Secukupnya
Senaraikan bajet untuk bayaran penginapan, tiket masuk tempat lawatan, makan, pengangkutan, urusan kecemasan dan sebagainya. Juga pastikan duit didalam akaun bank tersedia sekiranya anda kehilangan wang cash ditangan.
6.Sediakan Pakaian yang Sesuai Dengan Cuaca Destinasi
Jika bercuti di musim sejuk pastikan mesti ada sekurang-kurangnya sepasang baju thermal, sepasang sarung tangan, sepasang stokin bulu kambing, sehelai muffler, sehelai baju sejuk atau sweater, sehelai winter coat dan sehelai baju hujan.Namun jika bercuti dinegara Asia sahaja, memadai membawa baju biasa yang mencukupi.
7.Suntikan Vaksin
Sesetengah negara perlu suntikan vaksin seperti Hepatitis A, Hepatitis B dan Typhoid seperti Arab Saudi. Sebelum berlepas pergi, buat semakan terlebih dahulu di negara tersebut sama ada perlu suntikan vaksin ataupun tidak.
8.Tukar Duit atau Matawang Asing Sebelum Berlepas
Adalah dinasihatkan tukar duit seminggu sebelum berlepas dan jangan tukar duit di lapangan terbang kerana tukaran mata wang disitu lebih mahal.Selalu check harga matawang negara yang ingin pergi, kalau rasa berpatutan dan murah, baik cepat-cepat pergi ke pengurup wang berlesen.
9.Aktifkan Kad Debit atau Kad Kredit
Hubungi pihak bank untuk mengaktifkan penggunaan kad kredit atau kad debit di luar negara.Kad ATM boleh juga digunakan untuk mengeluarkan wang tunai ketika berada diluar negara. Tetapi sila semak dahulu dengan pihak bank anda samada Kad ATM anda boleh atau tidak untuk mengeluarkan wang tunai ketika berada diluar negara.
10.Beli Travel Insurans
Beli insurans kembara (Travel Insurans), jangan berkira untuk melabur RM80 untuk insurans kembara, ini sangat penting dan berguna terutamanya jika berlaku kes kecemasan seperti kemalangan jalan raya ketika berada di luar negara.
11.Install Apps Yang Sesuai
Sediakan buku panduan travel ataupun muat turun aplikasi panduan travel yang mengandungi semua maklumat destinasi yang ingin dituju.
Kamus Online, komunikasi asas di tempat yang dituju.Ia penting terutamanya negara yang tidak mahir menggunakan Bahasa Inggeris.
12.Travel Adapter
Bawa travel adapter, kerana plug yang terdapat di lain-lain negara kebanyakkannya tidak sama dengan Malaysia, jadi amat penting untuk membawa travel adapter bersama.
13.Bawa Bekalan Alas Perut
Bawa sedikit makanan ringan seperti roti, biskut dan snack. Sesetengah destinasi jarak antara lapangan terbang ke pusat bandar sangat jauh, paling tidak sebelum tiba ke tempat penginapan anda ada bekalan makanan untuk buat alas perut.Sediakan sepasang pakaian untuk di bawa dalam hand luggage.
14. Cetak Semua e-Tiket Jika Beli Secara Online
Kebanyakan servis penerbangan, hotel, pengangkutan atau tiket lawatan sekarang memudahkan pelanggan untuk menyimpan e-tiket didalam telefon bimbit. Jangan ambil mudah, apa akan terjadi tiba-tiba sahaja telefon anda rosak atau hilang ? Ambil inisiatif untuk mencetak sahaja e-tiket anda bagi penerbangan pergi dan balik, dan simpan.
Malah untuk elak dari beratur panjang, beli tiket masuk awal secara online juga dapat membantu menjimatkan masa semasa travel nanti.
15.Simpan Nombor Telefon Kedutaan Malaysia Di Negara Yang Anda Kunjungi
Sangat berguna sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti kehilangan passport atau kemalangan. Pihak kedutaan boleh membantu anda sekeluarga.
16.Semak Status Perjalanan Dengan Imigresen
Apa-apa pun sebelum melakukan proses diatas, Jangan lupa semak dahulu STATUS PERJALANAN. Walaupun sudah mempunyai passport tapi boleh terjadi bila sampai di kaunter pemeriksaan imigresen anda ditahan gara-gara tanggungan pinjaman bank mahupun PTPTN. Jadi lebih baik anda semak status diri terlebih dahulu.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Wanista & zaid traveler
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hujung minggu waktu yang ditunggu-tunggu untuk habiskan masa bersama keluarga. Setiap orang ada cara tersendiri untuk luangkan masa berkualiti bersama orang-orang yang disayangi. Ada yang pergi bercuti, ada yang piknik di pantai dan sebagainya. Ada juga yang lebih suka lepak dekat rumah sahaja. Sebenarnya ‘percutian’ di rumah juga bakal memberi kesan yang menyeronokkan kepada anda dan keluarga kalau kena gayanya.Aktiviti kat bawah ni kalau buat bersama dengan ahli keluarga yang lain pasti hari minggu anda tak bosan dan terisi. Tak payah keluar rumah, dapat jimat duit paling penting dapat eratkan hubungan yang ada.
1. Deko bilik anak-anak
Kadang-kadang anak-anak bosan tengok deko yang sama dalam bilik atau bilik permainan mereka. Jom susun semula perabot dan dekorasi yang ada untuk berikan nafas baru bagi ruangan tersebut. aktiviti macam ni bukan sahaja menjadikan bilik yang kecil kelihatan lebih teratur dan selesa, dengan melibatkan anak-anak tentang pemilihan warna bilik dan kedudukan barang dalam bilik mereka sedikit sebanyak dapat buatkan mereka rasa teruja dan tak kisah walaupun hanya berada di rumah pada hujung minggu.
2. Masak menu kegemaran keluarga
Memasak dengan keluarga adalah alternatif yang pastinya menyeronokkan untuk mengisi ‘percutian’di rumah. Pilih beberapa menu makanan yang disukai oleh kebanyakan ahli keluarga. Sebagai contoh, nasi ayam, spaghetti, kek keju atau hanya cucur bilis, itu sudah cukup buat anak-anak rasa seronok. Bahagikan tugas untuk anak-anak buat supaya mereka tak bosan atau sekadar memerhati. Bagi mak-mak yang ada anak kecil, jangan lupa awasi si kecil pula ya. Dengan cara ini juga anda secara tidak langsung mengajar mereka untuk lebih berdikari dan punya rasa tanggungjawab.
3.Kelas seni di rumah
Kanak-kanak memang suka buat aktiviti seni, melukis, mewarna, mereka gelang tangan sendiri, membuat slime dan sebagainya adalah salah satu aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh mereka. Persiapkan dengan barangan yang diperlukan bagi melancarkan aktiviti seni anda di rumah. Aktiviti sebegini memang bagus untuk penerokaan kreativiti si kecil di rumah.
4. Berkebun
Bagi rumah yang mempunyai laman yang luas dan besar, anda boleh menghias laman anda dengan tanaman hijau. Selain tanaman untuk mencantikkan lamantanaman herba juga boleh ditanam untuk kegunaan sendiri. Jangan lupa untuk menjemput anak turut serta dalam aktiviti anda kerana secara tidak langsung, mak dan ayah boleh mengajar si kecil bagaimana untuk menanam tumbuh-tumbuhan dan bunga hiasan pada mereka. Aktiviti ini sangat berguna untuk kanak-kanak, salah satunya adalah untuk mengajar kanak-kanak tentang tumbuhan hijau yang baik untuk kesejahteraan bumi. Antara trik yang boleh anda buat bagi menarik minat si kecil adalah dengan mengajak mereka untuk mengira bilangan bunga atau meneka warna bunga yang ada di laman, mereka tentu seronok!
5.Berkhemah
Puas dengan melihat halaman rumah lebih cantik dan bersih. Satu idea kreatif lain untuk menghabiskan sisa cuti dengan keluarga adalah dengan berkhemah di laman rumah. Sediakan khemah, bantal, mainan kegemaran dan peralatan bbq. Susun jadual seakan-akan perkhemahan sebenar di luar, waktu malam pula buat bbq bersama sambil menyanyi dan bercerita. Jangan lupa ubat nyamuk ya, barulah si kecil tak serik nak berkhemah lagi di luar tanpa gigitan nyamuk.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tip Jadi Menantu ‘Favourite,’ Bijak Ambil Hati Mak Mentua Tapi Bukan Guna Cara ‘Bodek’
Ramai ibu mentua dan menantu perempuan sukar untuk serasi. Hubungan ibu mentua dengan menantu perempuan sering dikatakan rumit. Pendek kata ada-ada sahaja yang tidak kena.
Alangkah bertuah menantu dan mentua yang hubungannya sentiasa wangi dan mesra. Dan betapa pedihnya bagi mereka yang hubungannya sentiasa panas dan tegang. Pantang bersua muka dan berbicara, saling menyakiti antara satu sama lain. Allahu, sedih sangat!
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya, terutama anak dan juga cucu-cucu yang ada. Tentu tidak menyenangkan apabila cucu-cucu atau anak-anak melihat nenek dan orang tua mereka bermasam muka serta tidak bertegur sapa.
Ada beberapa perkara penting yang perlu kita pahat di kepala dan juga jiwa:
Bagi mentua, ingatlah bahawa menantu itu pilihan anak kita. Tentu ada yang menarik dan baik tentangnya yang membuatkan anak kita tertarik. Pada menantu pula, walau macam mana jahat pun mentua di mata kita, cuba fikirkan bahawa pasti ada kualiti baik dalam dirinya kerana merekalah orang yang bersusah payah membesarkan individu yang kita pilih menjadi pasangan hidup kita.
Jangan sesekali memburukkan mentua@menantu pada pasangan@anak kita. Mungkin dia sedar atau tahu tentang perangai keluarga@pasangannya, tetapi rasa kasih atau menyebabkan mereka tetap mempertahankan apa yang dilakukan oleh orang tua atau pasangan mereka itu.
Sentiasalah bersikap positif terhadap menantu@mentua kita. Ini membuatkan kita dapat melihat mereka daripada perspektif berbeza. Ia akan secara perlahan-lahan dapat meleraikan segala kekusutan.
Jangan terlalu sensitif. Sebagai mentua, ada kalanya kita cepat sangat tersentuh atau kecil hati dengan menantu. Ini mungkin sebab kita bimbang kehilangan kasih sayang anak yang kini sudah menjadi milik orang. Sepatutnya perasaan seperti ini tidak timbul dan kita patut berlapang dada menerima kehadiran seorang `anak’ lagi dalam keluarga. Sementara menantu pula kadang-kadang cepat terasa hati dengan mentua lantaran masih tidak dapat menyesuaikan diri dengannya. Sepatutnya menantu juga mengambil inisiatif untuk mendekati mentua dan cuba menyayanginya sama seperti menyayangi orang tua sendiri.
Bagaimana Menghapus ‘Duri’
Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menghapuskan racun dalam hubungan menantu-mentua ini
Bagaikan panglima perang, baik menantu mahupun mentua sepatutnya bijak dalam mengatur ‘strategi’ untuk memenangi hati pihak yang satu lagi. Kalau anda menunjukkan sikap bermusuhan, pasangan atau anak anda pasti memandang serong pada anda biarpun anda di pihak yang betul. Lantaran itu sikap dan keperibadian anda perlu dijaga agar anda di pihak yang `menang’.
Jangan sekali-kali bersikap kurang ajar. Ia hanya akan memalukan diri sendiri. Juga tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada menantu mahupun mentua. Namun jika hubungan anda berdua sangat `buruk’ elok juga perkara ini dibincangkan dengan pasangan mahupun seseorang yang anda percayai boleh membantu.
Pihak ketiga ini sepatutnya mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tentang hubungan menantu-mentua ini. Mungkin jalan yang terbaik adalah bersemuka dengan kedua-dua pihak untuk mencari akar umbi masalah. Bagaimanapun anda harus sedar bahawa tugasnya tidak mudah, bak kata pepatah bagai menarik rambut dalam tepung, ia perlukan ketelitian dan diplomasi.
Kadang-kadang tanpa kita sedar sikap kita yang berlagak pandai ataupun besar kepala membuatkan hubungan jadi tidak sejahtera. Sentiasalah bersikap merendah diri dan mengeluarkan kata-kata yang lembut dan bersopan.
Mengalahlah jika itu satu-satunya jalan yang boleh memulihkan hubungan menantu atau mentua. Biar orang nampak seolah-olah kita kalah tetapi hakikatnya kita menang besar kerana berjaya memenangi hati individu yang selama ini menjadi `duri’ dalam kehidupan kita. Ingatlah selalu bahawa `mengalah bukan bererti kita kalah’!
Baik menantu mahupun mentua sepatutnya apa juga perasaan yang kita rasakan terhadap satu dengan lain seharusnya dipendamkan sahaja. Kita seharusnya sedar bahawa hubungan kita bukan sahaja berkisar antara kita berdua, tetapi juga dengan anak dan cucu. Mereka menyayangi kita (ibu ataupun nenek mereka) tanpa sebarang sempadan.
Lantaran itu kata-kata negatif yang kita keluarkan terhadap menantu mahupun mentua boleh meninggalkan kesan tidak elok. Mereka pasti berasa keliru dan sedih mengapa dua orang yang mereka sayangi saling bermusuhan.
10 CARA MENJADI MENANTU FAVOURITE:
Selalu senyum
Apabila berdepan dengan ibu mertua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mertua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.
Elak masuk campur
Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mertua dan ipar-duai yang lain.
Murah hati
Untuk mengambil hati mertua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mertua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.
Ringan tulang
Ingat, di rumah mertua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mertua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
Selalu minta pandangan
Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mertua anda gembira.
Usah cemburu dengan ibu mertua sendiri
Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mertua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mertua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mertua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!
Jaga air muka suami
Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mertua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mertua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mertua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.
Jaga percakapan
Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa alert apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mertua. Fikir sebelum bercakap!
Dahulukan dia
Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mertua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
Puji suami anda
Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mertua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”
Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
RM175 sebulan belanja barang basah, isteri kongsi tip jimat makan sekeluarga. Di kala ramai yang mengeluh harga barang dapur naik melambung, seorang isteri, Nabila ...