Bukan Semua Wanita Hamil Dan Menyusu Dikenakan Fidyah, Fahamkan Penjelasan Ustaz

Ustaz Hamka Idris terangkan siapa individu yang dikenakan fidyah apabila membatalkan puasa di bulan Ramadan. Dan mengapa penting untuk seseorang itu melunaskan bayaran fidyah. Anda pun kenalah maklum, siapa golongan yang dikenakan fidyah ini.

Bagaimana kiraan fidyah itu. Penjelasan ustaz ini mudah untuk difahami. Semoga semakin bertambahlah kesedaran kepada kita betapa pentingnya bayar fidyah dan ganti puasa.

 

 

Kecil Bagi Kita, Besar Buat Mereka

Antara aktiviti saya sekitar Ramadan. Ini gambar tahun lalu. Ada jemaah yang meminta saya bantu mereka memberikan fidyah kepada golongan yang memerlukan.

Saya akan bantu membeli barangan keperluan harian. Untuk kelangsungan hidup golongan yang berkelayakkan.

InsyaAllah, untuk tahun ini pada minggu hadapan (ketika status ini dimuatnaik pada awal Ramadan) saya akan bantu beberapa jemaah untuk urusan ini. Ada beberapa sumbangan daripada para jemaah sekalian.

Bila masuk sahaja Rejab dan Syaaban, soalan para jemaah adalah berkisarkan fidyah puasa.

Ibu mengandung @ menyusukan anak, orang yang sakit tiada harapan untuk sembuh dan lain-lain keadaan.

 

Bukan Semua Wanita Hamil Dan Menyusu Dikenakan Fidyah, Fahamkan Penjelasan Ustaz

 

Adakah Fidyah Berganda Sama Macam Puasa Berganda?

Persoalan yang sering juga ditanya adalah fidyah ni berganda sama macam puasa berganda juga ke?
Baik, saya kongsikan keadaan ini.

1. Pertama. Orang yang musafir atau sakit.


Jika berada dalam keadaan pertama ini, kita hanya perlu ganti puasa sahaja mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Tidak boleh bertangguh. Tidak perlu fidyah.

Namun, akan dikenakan fidyah apabila hari yang ditinggalkan itu tidak diganti sehingga bertemu dengan Ramadhan akan datang.

2. Kedua. Orang yang sakit tiada harapan untuk sembuh atau orang yang terlalu tua dan tidak mampu untuk berpuasa.

Golongan kedua ini hanya diganti puasa yang ditinggalkan itu dengan fidyah.

3. Ketiga. Ibu mengandung dan ibu menyusukan anak.

Situasi pertama apabila berbuka puasa kerana diri sendiri tidak mampu berpuasa. Risaukan keadaan diri sendiri. Maka, perlu diganti puasa sahaja. Tidak perlu fidyah. Fidyah akan diwajibkan apabila tidak diganti puasa sehingga datang Ramadhan tahun hadapan.

Situasi kedua apabila berbuka puasa disebabkan risau anak dalam kandungan atau anak yang sedang disusukan itu. Maka perlu diganti puasa dan fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Puasa tidak akan bertambah dengan bertambahnya tahun. Jika ditinggalkan 4 hari, maka 4 hari sahaja yang perlu diganti.

Fidyah akan bertambah dengan bertambahnya tahun. Bermaksud, fidyah akan berganda dengan bertangguhnya puasa yang tidak diganti.

 

Bukan Semua Wanita Hamil Dan Menyusu Dikenakan Fidyah, Fahamkan Penjelasan Ustaz

Contoh Kiraan Bayaran Fidyah

Fidyah adalah 600g makanan asasi bersamaan RM1.85.

Sebagai contoh.
Kamal tidak berpuasa selama 6 hari pada tahun 2015. Dia tidak menggantikan puasanya sehingga Ramadhan tahun 2019. Ini bermakna Kamal telah bertangguh sehingga 4 tahun.

Bilangan Hari x Bilangan Tahun x Kadar Fidyah = Jumlah yang perlu dibayar.

6 x 4 x RM1.85 = RM44.40

Fidyah perlu diberikan kepada fakir miskin. Melalui amil zakat.

Share dengan seramai mungkin agar ramai yang faham bab fidyah dan ganti puasa.

Sumber/Foto : Ustaz Hamka Idris, Taman Cahaya Masai, 10 Ramadhan 1440H. Beliau juga berkongsi tip dan nota percuma Ringkas Ramadan.