Ini kisah benar yang berlaku pada seorang isteri yang asalnya dikurniakan wajah yang cantik. Hairannya, asal menjelang maghrib je mukanya sakit jadi gatal-gatal. Itu belum dikira naik jerawat teruk.
Tak tahan dengan sakit yang dialami, suaminya beri saranan bertemu Ustaz Mujahidin Al Banjari (Pusat Perubatan Islam Al-Mujahidin). Akhirnya isteri mengalah demi mencari penawar dan punca penyakit misterinya itu.
Habis muka dia keluar jerawat besar-besar. Dah puas buat rawatan jerawat tak hilang juga. Wanita ini cantik sebenarnya. Semenjak kena jerawat yang teruk, muka dia jadi teruk. Bila masuk waktu maghrib, muka jadi gatal-gatal. Bila malam mimpi bukan-bukan, susah nak tidur gelisah tanpa sebab.
Di sebabkan itu beliau jadi hilang keyakinan diri, malu nak kerja, malu nak berhadapan dengan orang luar.
Di atas nasihat suami beliau datang buat rawatan, ketika di rawat beliau menjerit.
“Sakit… Sakit… Sakittttttt… Gatal… Gatal…”
Ads
Sambil mengaru muka sendiri. Tiba-tiba terus beliau bercakap. “Puas Hati Aku! Puas hati Aku! Sebelum ini dalam FB asyik muka dia dengan suami dia yang keluar. Pergi sana sini nak tunjuk, pergi makan nak tunjuk, beli jam nak tunjuk, beli kereta nak tunjuk. Asyik muka dia je tang lalu di Fb aku. Aku sakit hati tahu tak? Sakit hati tahu tak?”
Dia Dah Sakit.. Puas Hati Aku
Saya : Sakit hati tak payah tengok?
Pesakit : Hahahaha.. padan muka dia. Sekarang dah tak cantik. Hari-hari gaduh dengan suami dan anak-anak. Puas hati aku. Aku yang buat diorang bergaduh. Asyik nak menunjuk je. Sakit hati aku. Sekarang aku dah puas. Dia dah sakit. Puas hati aku.. (terus dia mengilai)
Tanpa buang masa saya sambung Ruqyah beliau. Dengan izin Allah dapat dikeluarkan Jin yang menumpang dalam tubuh isteri tersebut.
Selepas wanita itu sedar beliau lemah sangat. Suami beliau cerita apa yang berlaku padanya. Selesai mendengar apa yang suami cerita terus beliau peluk suami dan menangis.
Ads
Saya sendiri sedih melihat keadaan mereka ketika itu.
Niatnya Cuma Nak Kongsi Kegembiraan Saja
Wanita itu rasa menyesal sangat. Katanya, niat nya bukan nak menunjuk, tapi nak kongsikan kegembiraan beliau pada orang lain. Tak sangka disebabkan perkongsian itu, menjadi orang sakit dan cemburu dengan diri beliau.
Dia akui kesilapan itu.
Ads
Dulu beliau susah. Sejak beliau dah makin senang sebab itu lah dia nak kongsi apa yang di rasa. Tak sangka sebaliknya berlaku. Beliau cerita detik beliau ketika terkena gangguan. Jadi sukar tidur malam, kerap berdebar-debar fikir nak mati, kerap bergaduh dengan suami walaupun perkara kecil, kerap nak marah pada anak-anak.
Kerap sakit belakang belikat dan tengkuk belakang rasa berat, kerap sakit seluruh sendi badan, kerap mimpi budak, mimpi ular, mimpi suami curang,badan banyak angin. Selalu sendawa, jadi malas nak kerja, kerap mengantuk di siang hari dan yang paling teruk badan dan muka jadi gatal bila setiap kali masuk maghrib.
Biarlah Cuma Famili Kita Saja Yang Tahu..
Syukur selepas rawatan sakit beliau kini semakin berkurang. Sebelum ini beliau juga langsung tak percaya tentang rawatan Islam. Bila dah terkena batang hidumg sendiri baru la nak percaya.
Pengajaran dari cerita ini, benar la kata orang jangan lah menunjuk sangat apa yang kita ada. Tak semua orang suka kita.
Apa yang kita ada cukup diri kita dan family sahaja yang tahu. Apa yang penting kita family bahagia. Kisah begini memberi pengajaran buat kita semua.
Moga Allah lindungi diri kita dan family dari dengki khianat sesama manusia Aamiin Ya Allah.
Kejadian tak disangka-sangka ini dialami sendiri oleh Marina Ahmad. Ketika memasuki Jeli, dia telah tertidur dalam kenderaan yang dipandu suaminya. Tanpa disedari mereka telah tertinggal ibunya di stesen minyak, Petronas dekat Parit Panjang, Sik, Kedah pada awal pagi.
Akibat keletihan yang teramat, dia dan suami, Ramlan Mohd tidak menyedari yang ibunya turun dari kenderaan untuk ke tandas. Syukurlah dalam situasi cemas itu, ibunya bertemu dengan pasangan suami isteri yang baik hatinya.
Kongsi Marina dalam facebooknya,
Selalu baca kisah orang tertinggal anak tapi aku tertinggal mak.
Allahuakbar! aku tak tahu nak gelak ke nak nangis tadi. Kejadian lebih kurang pukul 4am tadi (ketika status dimuatnaik). Demi Allah tak sedar sungguh yang mak tak dok dalam kereta tadi. Sampai kami tiba kat umah pun memang tak perasan mak tak dok dalam kereta.
Lepas parking kat umah tadi tetiba ada kerete mai parking depan rumah.
Terkejut seposen sapa la mai awal-awal morning pukul 4am ni. Pastu dia bagitahu “antar mak ni“. Aku duk terfikir adalah mak angkat kami yang nampak kereta kami duk follow sampai ke rumah.
Tup-tup nampak mak keluar dari kereta tu. Aku pelik dah awat mak naik kereta orang tu.
Nak recall pun tak dapat sebab aku tidur dari Jeli last terjaga kat Hentian Perah then sampai kat depan rumah tersedar balik. Rupanya berbelas missed call. Aku kebetulan tak pegang HP malam tadi. Selalunya HP kat tangan sokmo… nak dijadikan citer sungguh la.
Rupanya mak pi tandas masa Ramlan Mohd berenti tidur kat Stesen petronas Parit Panjang, Sik nun. Dia dah tanya mak nak pi tandas dak mak tak jawab so dia terus tidur.
Selalunya kat petronas situ kalau mak nak pi tandas memang akan parking betul-betul depan tandas. So, gamaknya bila mak terjaga nampk Petronas dia turun pi tandas. Dia ni memang pantang nampak stesen minyak sebab kerap pi tandas.
Selalunya suami akan tanya “semua dah cukup” sebelum drive semula tapi malam tadi maybe dia terlupa sebab masing-masing tidur keletihan.
Kuar tandas tengok kereta kami tak dak. Gabra la dia… apa taknya pukul 3 am time tu. Dia pi kat sebuah kerete tu tanya nampak dak kereta putih anak dia. Bila tak dak dia minta suruh call no phone aku. Memang tak dapat call.
Suami orang tu pun cuak mulanya sebab awal-awal pagi orang minta tolong, bertongkat lak tu… aishh fikir 10x jugak nak tolong noo. Nasib baik isteri orang tu kenal mak.
Dia kata tu macam patient dia. Dia bagitahu husband dia. Nama Patimahkan? dia tanya mak. Memang betul tu la Dr yang selalu mak balik rumah citer kat aku. Dr tu baik bla bla bla. Sokmo-sokmo citer pasal Dr tu.
Allahuakbar ! Allah hantar bantuan Dia tepat pada masanya. Syukur sgt Allah pelihara mak bertemu dengan orang yang baik. Akhirnya bertemu jugak aku dengan Dr yang mak selalu citer kebaikan dia pada mak. Memang mak follow up kat KK Jln Datuk Kumbar.
Terima kasih yang tak terhingga buat Dr Amirah ke Umairah (saya tak perasan nama sebenar) dan suami yang tolong hantar mak dari Parit Panjang, Sik ke Alor Setar. Semoga Allah jua balas kebaikan Dr sekeluarga. Kesian menyempit dalam kereta tadi. Inshaallah kita jumpa lagi nanti.
Balik rumah mak nangis-nangis tak percaya dia selamat tadi. Aku kata dun wori mak esok ada la org post kat fb, mak sapa tertinggal kat stesen Petronas ni.. sila hubungi bla bla bla.
Satu pengalaman lagi di tahun baru ni. Inshallah ada hikmah atas semua yang terjadi.
MW : Syukurlah masih ada insan baik hatinya di luar sana.
Beratnya ujian tuhan untuk wanita ini, Norlia Ismail. Bukan saja dirinya alami Anxiety Disorder (gangguan kebimbangan), malah anaknya pula didiagnos Mild Autisme. Lebih mengundang debar, ibunya pula disahkan Bipolar Disorder (gangguan bipolar / emosi berubah-ubah antara kemurungan dan mania).
Sejak itu, Norlia mula berkongsi kisah. Memberi kesedaran akan penyakit yang melibatkan mental melalui penulisan di ruangan facebooknya.
Hadamkan perkongsian ilmu yang sedikit sebanyak menjadi panduan untuk kita faham betapa tak mudahnya ujian sakit sebegini. Mohon kita bertoleransi.
RAHSIA.
Assalamualaikum..
Izinkan saya menceritakan secebis dari keseluruhan perjalanan hidup saya.
Anak sulung saya, namanya Naim. Kini berusia 6 tahun.
Anak saya ini, didiagnosis sebagai Mild Autisme pada 23 April 2019 yang lepas. Namun begitu, saya telah diberitahu tentang keadaan anak saya (Autisme) oleh Pakar Kanak-kanak semasa umurnya 4 tahun, iaitu pada 2 tahun lepas.
[Saya mohon tiada sesiapa yang bersikap ‘judgemental’ di sini.]
Saya ingin kongsikan keadaan anak saya yang memang bila difikirkan, ketara benar kelainannya sejak dia masih bayi lagi. Petanda awal memang nampak jelas seawal selepas saya berpantang melahirkannya.
Anak saya ketika bayi, sangat jarang menangis. Ramai yang kata anak saya pasti senang dijaga kerana tidak banyak merengek dan meragam waima ketika demam atau tidak menyusu lama sekalipun. Ketika sakit, dia lebih banyak diam dari menangis.
Malahan, anak saya tidak menunjukkan minat terhadap mainan yang biasa dimain oleh budak lain. Andai diberi kereta, diterbalikkan. Dia sangat teruja melihat benda yang berpusing dan bergerak tidak henti-henti seperti kipas, lif dan papan tanda elektronik di kedai. Andai dilambakkan berbagai jenis mainan, dicampak-campak. ‘Keterujaannya’ melihat mainan tidak begitu terserlah..
Ketika bertambah usianya, satu yang saya sedar tentang anak saya ialah dia tidak mahu bercampur dengan kanak-kanak lain. Dia lebih memilih untuk mengasingkan diri. Andai ramai orang datang ke rumah, sekejap sahaja dia hilang. Rupanya dia lari masuk ke dalam bilik. Bukan sekali, tetapi setiap kali.
Mulanya saya fikir dia tidak biasa memandangkan saya yang menjaganya selama ini (anak saya tidak pernah dihantar ke rumah pengasuh), rupanya itu adalah salah satu petanda. Dia juga sangat sukar menumpukan perhatian, fokusnya tiada, hubungan mata apatah lagi. Naim juga tersangat jarang menoleh apabila dilaungkan namanya.
Pernah suatu ketika dahulu anak saya ini menghantukkan kepalanya ke dinding dan kelihatan ‘enjoy’ pula melakukannya.
Sebenarnya ada banyak lagi tanda-tanda Autisme yang jelas kelihatan sebelum umurnya 4 tahun, tetapi saya ringkaskan di sini sahaja.
Antaranya:
1- Tidak menunjukkan minat kepada mainan. 2- Tidak tahu bermain olok-olok. 3- Ketawa berdekah-dekah tidak sesuai dengan keadaan. 4- Tidak bermain dengan rakan sebaya. 5- Tiada hubungan mata. 6- Suka memutar objek. 7- Menunjukkan keinginannya dengan tangan orang dewasa. 8- Perbuatan berulang contohnya mengibaskan tangan. 9- Tidak bercakap sehinggalah umurnya 3 tahun 9 bulan.
Walaupun begitu, anak saya telah menunjukkan beberapa kemajuan dalam beberapa tahun ini. Progresnya pantas!
Boleh juga saya simpulkan beberapa kemajuan Naim di sini iaitu:
1- Dari tidak boleh bercakap, sudah boleh bercakap dan Naim juga sudah boleh membaca semasa umurnya 4 tahun (tanpa paksaan). 2- Dari pakai pampers, sekarang sudah tidak pakai pampers (latihan selama hampir 4 minggu dengan berpuluh kali kencing merata dan berak di ruang tamu). 3- Dari lemah pegang pensel dan selalu menulis atas angin (tiada tekanan dan menulis seperti tiada tulisan pada kertas), sekarang Naim sudah boleh menulis dengan lebih baik dari sebelumnya. 4- Dari suka bersendiri, sekarang dia sudah boleh menyertai kumpulan. 5- Boleh menguruskan diri sendiri. 6- Sudah pandai mengayuh basikal. Yeay!
Dan ada beberapa lagi kemajuan lain.
Ramai dari kita yang hanya nampak hasilnya, tetapi tidak mengambil kira usaha yang telah dikerah.
“Alahai, anak kau kan Mild. Bukan susah sangat nak jaga, bukan susah sangat nak ajar. Dia kan cuma mild.”
Sejujurnya, saya sedikit marah bila mana mendengar kata-kata ini. Kerana apa? Kerana bagi saya, golongan yang mengecam ini diibaratkan seperti orang yang sedang melihat sekeping gambar, mereka hanya mampu melihat apa yang terpapar di kertas, tanpa mengetahui cerita di sebalik gambar.
Mild, Severe atau apa sahaja, persekitaran kita dalam menghadapi dugaan mungkin berbeza. Mungkin kalian menerima sokongan yang baik, yang lain pula sebaliknya. Mungkin anda berduit dan punya banyak masa, tidak di pihak yang lainnya.
Perasaan anak saya, kini dapat saya rasakan walau mungkin hanya sedikit. Pesakit Anxiety Disorder, luarannya nampak elok dan baik-baik sahaja tetapi sakitnya tidak terlihat. Perjuangannya dengan anxiety yang dialami, kadangkala tidak difahami dan dianggap remeh. Kadangkala dianggap cuma mainan perasaan, dianggap lemah iman, dianggap tidak pandai menguruskan tekanan, tidak pandai jaga diri, lemah, lembik dan paling menyedihkan, dianggapnya kami ini ‘tiada apa-apa’.
Kawan-kawan,
Senyuman di wajah, mampu menutupi beribu rasa. Mengaburi mata. Adakah senyuman ini benar menunjukkan kebahagiaan?
Sebenarnya, ada satu lagi perkara yang tidak pernah saya beritahu kepada orang lain, hanya ahli keluarga, 2-3 orang rakan dan saudara rapat saya sahaja yang tahu.
Mak saya, didiagnosis sebagai Bipolar Disorder. Buat pengetahuan, kami tidak pernah menghebahkan kepada orang luar berkenaan penyakit mak saya. Selama ini, kami tadahkan telinga mendengar ‘cakap-cakap belakang orang’ bila mak saya sakit.
Sakit mak saya, bermusim-musim. Mak tidak boleh banyak berfikir. Sepanjang hidup saya, macam-macam mulut orang yang saya dengar dan dari situ saya mula tersedar yang kita ini tidak boleh berharap kepada manusia, tetapi perlu menyandarkan pengharapan kepada Allah kerana hati manusia ini berbolak-balik. Sekejap baik, sekejap bermuka-muka. Tetapi begitu jugalah saya, kerana saya juga manusia..
Sampailah satu hari saya katakan pada ayah saya (mak dan ayah saya tinggal bersama saya), “Ayah, tak apalah kita cakap mak ada Bipolar Disorder. Barulah orang lain faham kenapa mak jadi sekian sekian. Tak adalah orang lain nak pelik sangat bila tengok mak mula jadi lain.”
Hal berkenaan mak saya juga mula membuka hati saya untuk terbuka berkongsi cerita mengenai Autisme dan Anxiety Disorder.
Saya tahu tidak semua faham dan mahu memahami. Tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab saya, meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan Autisme dan penyakit mental.
Semoga lebih ramai yang cakna.
Kawan-kawan, Andai ada kelakuan dari anak saya yang mungkin disalahertikan, ini bukan silap saya, tetapi silap orang lain yang tidak mahu memahami apa itu Autisme. Saya sudah sebarkan kesedaran, walau mungkin hanya sedikit, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan sedikit tanggungjawab dengan memberi semampu penjelasan sebelumnya.
Akhir kata, saya mohon tiada mana-mana individu yang membandingkan anak saya, Naim dengan anak- anak tipikal kalian. Naim ini Autisme, tolong faham ya?
Mohon maaf juga andai ada kesilapan dari pihak saya.. Saya hanya berkongsi rasa, semoga perkongsian ini mampu menambahkan pahala buat diri saya yang banyak lompong kehidupannya.
Kawan-kawan, Simpati. Empati. Ramai yang hanya tahu menyebutnya, tetapi tidak tahu makna. Ramai yang nampak, tetapi dengan sengaja menjadi buta.
MW : Sebenarnya ramai lagi di luar sana yang masih berahsia. Simpan sorang-sorang sakit emosi yang mereka alami. Jika anda kenal, bantulah mereka untuk mendapatkan rawatan segera.
Pengorbanan seorang ibu itu tidak ternilai, biarlah nyawa dipertaruhkan dan sanggup bertahan demi anak kesayangan. Selain kecanggihan teknologi perubatan yang digunakan dan kuasa tuhan, sebenarnya ‘semangat juang’ seorang ibu yang telah disahkan mati otak selama empat bulan, yang mampu beri kehidupan dan menyelamatkan nyawa bayinya didalam kandungan.
Seorang bayi sihat dan selamat dilahirkan di Prague, Republik Czech oleh wanita yang mati otak selama hampir empat bulan. Proses kelahiran bayi perempuan itu dibuat menerusi prosedur pembedahan caesarean pada usia kehamilan 34 minggu pada bulan lalu, 117 hari selepas ibunya disahkan mati otak.
Ketua pakar bius, Roman Gal di Hospital Universiti di bandar Brno memaklumkan bayi seberat 2.13 kilogram itu adalah salah seorang bayi paling berat dan paling matang dilahirkan wanita yang berada dalam keadaan sedemikian.
Ibu bayi berkenaan disahkan mati otak selepas mengalami pendarahan pada April lalu ketika kandungannya berusia 16 minggu.
Doktor memastikan jantung, paru-paru, buah pinggang dan organ lain wanita itu terus berfungsi sambil memantau janin.
“Jururawat turut ‘berkomunikasi’ dengan fetus tersebut manakala neneknya sering membacakan kisah dongeng. Ahli terapi turut membantu menggerakkan kaki wanita itu untuk simulasi berjalan,” ujar Gal.
Difahamkan, sistem sokongan hayat wanita itu dimatikan sejurus anaknya dilahirkan. Bayi tersebut diberi ‘susu ibu’ oleh ibu saudaranya yang juga mempunyai anak.
Pada 2016, seorang bayi lelaki dilahirkan di Portugal oleh ibu yang mengalami keadaan sama.
MW: Kasihnya ibu tiada tandingannya. Sanggup bertahan dan berkorban nyawa demi anak kesayangan kekal hidup.