Ya Allah, bukan galakkan buang bayi tapi nak selamatkan nyawa insan tak berdosa ini. Jiwa saya sentiasa diruntun setiap kali membaca berita mahupun mendengar cerita mengenai penemuan bayi. Ada yang ditemui masih hidup dan banyak juga bayi-bayi yang meninggal dunia.
Sedihnya melihat mayat-mayat bayi yang dibuang di longkang di hutan dan merata tempat yang tidak sepatutnya. Mudah air mata ini mengalir melihat insan-insan yang tidak berdosa ini. Apa tidaknya, ada bayi yang ditemui dalam keadaan yang sangat menyayat hati…dihurung semut dan ada yang dimakan binatang. Ya Allah…bagaimana menderitanya insan-insan kecil ini sebelum menemui ajal. Apa salah mereka sehingga diperlaku sedemikian rupa?
Jangan HUKUM, Bagi PELUANG BERUBAH
Adakah insan yang mengandungkan bayi-bayi ini tidak mempunyai hati? Tidakkah mereka mempunyai ihsan, empati, simpati dan kasih sayang sehingga sanggup berlaku zalim terhadap darah daging sendiri.
Berzina sudah tentulah berdosa tapi Allah masih memberi kemaafan jika kita benar-benar bertaubat. Untuk ibu bapa atau keluarga di luar sana, jika ada ahli keluarga atau kenalan rapat yang mengandungkan anak luar nikah. Berilah bimbingan dan bantu mereka kembali ke pangkal jalan. Jangan memaki hamun, jangan menghina dan jangan sekali memulaukan golongan ini.
Benar mereka tersilap langkah, berilah peluang untuk mereka berubah. Jangan menghukum golongan ini, bimbing mereka menjadi hamba Allah yang taat. Insya-Allah dengan bantuan dan ihsan kita golongan ini tidak melakukan dosa besar dengan membuang dan membunuh zuriat.
Golongan ini ada yang hatinya mati sehingga tidak dapat melihat kebenaran. Mereka melakukan maksiat dan membuang bayi tanpa rasa bersalah. Asalkan diri terlepas daripada pandangan serong masyarakat.
Tapi bukan semua insan yang terlanjur ini hatinya mati. Ada yang sangat tertekan dan terdesak sehingga mereka melakukan perbuatan di luar jangkaan…Mereka menjadi insan yang tidak berperi kemanusiaan kerana mahu menjaga maruah keluarga…kerana malu dan kerana takut atas segala kesilapan yang dilakukan. Sebab itu mereka mahu menghapuskan segala bukti dengan cara membuang bayi.
Jangan dibunuh BAYI TAK BERDOSA
Ya Allah, tiada sekelumit langsung niat di hati ini untuk menggalakkan maksiat. Cuma saya pernah terfikir berkali-kali, sekiranya ada insan yang sangat-sangat terdesak selepas melakukan dosa dan melahirkan anak luar nikah. Jangan dibuang, jangan dibunuh insan kecil yang tidak berdosa ini. Renung mata anak yang dilahirkan…Kasihanilah dia. Anak ini berhak untuk hidup di muka bumi Allah.
Ads
Ramai insan di luar sana berhabis wang puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan zuriat. Berilah anak-anak ini kepada golongan yang mahukan zuriat. Jangan dibuang anak ke longkang ke hutan dan sebagainya.
Kini banyak rumah kebajikan yang membantu wanita yang mengandung anak luar nikah antaranya Pusat Kebajikan ORPHANCARE. Beri anak kepada orang jika tidak mampu menjaganya. Doakan agar anak-anak ini menjadi anak syurga.
Maaf jika kenyataan saya tidak disetujui oleh pembaca di luar sana. Saya bukan mahu menggalakkan perbuatan yang tidak baik tetapi saya mahu menyelamatkan nyawa-nyawa insan kecil yang tidak berdosa. Semoga coretan ini membuka mata kita agar menjadi masyarakat yang penyayang dan mengambil berat bukannya masyarakat yang menghukum dan menghina orang.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Menerusi perkongsian di Facebook, Puan Nor Azlinda Abdul Kader seorang ibu yang tabah tidak bersetuju jika ada yang menyatakan anak autisme adalah punca penceraian ibu bapa.
Bagi dirinya jodoh, ajal maut itu ketentuan Allah. Malah dikurniakan seorang anak Autisme yang bernama Danish, bukanlah satu bebanan buat dirinya. Sememangnya anak merupakan harta dunia akhirat.
Bercerita pengalaman hidupnya, Nor Azlinda dan bekas suami hanyalah manusia biasa dan mereka menerima takdir berpisah walaupun sudah 20 tahun mendirikan mahligai perkahwinan.
Azlinda bersama anak kesayangannya Danish.
Nor Azlinda Akui Walaupun Masalah Dengan Suami, Danish Dilayan Dengan Baik
“Kalau ada yang menyatakan anak autisme adalah punca penceraian ibu bapa, saya tak bersetuju. Dah di nyatakan jodoh, ajal maut itu ketentuan Allah.
“Saya dan bekas suami hanya manusia biasa yang sememangnya tidak pernah lari dari melakukan kesalahan. Semasa dalam permasalahan saya dengan bekas suami, Danish tak pernah kurang kasih sayang dari kami.
“Walaupun kami tak bertegur sapa di dalam rumah yang sama, Danish kami layan dengan baik. Kebanyakannya urusan menjaga dan mendidik Danish dirumah, saya yang uruskan.
“Tapi bahagian terapi dan ulang alik hospital, kebanyakannya diuruskan oleh babanya. Kadang bila nak tidur malam, Danish boleh buat pilihan, nak tidur dengan Umie atau dengan baba. Danish rapat kedua-duanya.
“Bila kami bergaduh, pertama sekali yang kami rebutkan adalah Danish. Ikutlah siapa yang dapat ambil Danish dulu. Kalau babanya dapat, dia akan bawak Danish keluar jalan-jalan.
“Kalau saya yang dapat, saya akan bawak Danish masuk bilik duduk dengan saya. Pernah juga sewaktu raya Danish tak nak ikut saya balik kampung saya, disebabkan babanya tak ikut sekali. Saya biarkan dia balik beraya bersama babanya.
Reda Jodoh Tak Panjang
“Perkara diatas berlaku kami masih lagi bergelar suami isteri. Tapi apakan daya, kami hanya mampu bertahan hanya 20 tahun. Sampai takat itu sahaja jodoh kami dan kami redha.
“Semasa bekas suami jatuhkan talak, Danish juga ada didalam mahkamah tersebut. Semuanya berjalan dengan baik dan tak ada tuntutan apa-apa yang saya buat, saya hanya minta hak penjagaan Danish sepenuhnya pada saya. Sebab saya tahu takkan ada yang memahami Danish selain dari saya.
Sampai ke saat ini perhubungan saya dengan bekas suami baik. Dia pun sudah berkeluarga. Duit nafkah Danish dia tak pernah abaikan dari pertama kali talak dijatuhkan. Itu sudah cukup baik buat saya dan Danish.
“Kita merancang, tapi Allah lah sebaik-baik perancang. Allah tak pernah menzalimi hambanya. Tapi hambanya yang menzalimi dirinya sendiri.
Pandai-Pandailah Buat Pengasingan Masalah
“Seburuk apapun permasalahan perhubungan kita suami isteri, pandai-pandai buat pengasingan masalah. Jangan sampai anak yang tak tahu apa-apa menjadi mangsa.
“Suami atau isteri kita boleh tukar ganti, tapi anak selamanya berbin bapa semasa hidup, dan berbin mak semasa mati. Anak tak boleh ditukar ganti.. anak harta dunia akhirat,” akhiri Nor Azlinda.
Isteri itu sifatnya penuh emosi. Baik ketika menguruskan anak-anak mahupun menguruskan keperluan suami, isteri akan uruskan dengan perasaan. Sebab itu kadangkala ada merungut sikit, menegur sikit, luahan hati sikit. Kalau suami yang tak faham dikatakan isteri membebel. Walhal itulah kasih sayang isteri yang prihatin.
Tugasan isteri ini mencabar sebenarnya. Baik yang bekerja mahupun yang duduk rumah sepenuh masa. Sampai 24 jam tak berhenti dan rehatnya cuma sekejap saja.
Balik kerja pun masih nak kena sediakan makan minum suami dan anak-anak. Isteri yang baik, dia tak merungut. Buat saja, tapi keletihannya kalau tak dibalas dengan rasa cinta suami memang boleh makan dalam.
5 Rutin Ini Bila Suami Buat Dengan IKHLAS, Kasih Sayang Isteri Makin Mendalam
PERTAMA : Tolong Basuh Baju Dan Sidai
Kalaulah dari kecil mak tak ajar suami memasak, cubalah ajar diri jadi tukang cuci keluarga yang hebat. Belajarlah sabun mana yang perlu diguna, punat mana yang perlu ditekan nak bagi baju bersih ikut standard keluarga.
Lakukan sampai isteri anda kata ‘Tak tahulah nak guna mesin basuh tu macam mana, sebab selama ini abang yang buat’.
KEDUA : Belanja Pelukan Dari Belakang
Masa isteri tengah penat memotong bawang ke, basuh pinggan mangkuk ke, peluklah isteri dari belakang. Penuh kasih agar pelukan kasih sayang itu dapat meredakan rasa lelah isteri.
Sesekali buat kejutan begini memang membahagiakan. Nanti bila gaduh-gaduh kecil, isteri akan kenang tindakan simple yang lagi membahagiakan ini. Bila rasa nak merajuk lama-lama pun tak jadi.
KETIGA : Imamkan Solat
Kalau tak dapat buat setiap 5 waktu, dapat buat waktu maghrib setiap hari pun dah seronok sangat. Isteri dan anak-anak akan rasa kedekatan di hati anda. Lagi bagus, waktu berdoa kuatkan bacaan dan doakan untuk anak isteri.
Biar mereka dengar pengharapan anda. Jangan lupa beri tazkirah dan harapan anda sebagai suami dan ayah. Aura positif dari tindakan ini memang lain dari yang lain.
KEEMPAT : Bawa Isteri Jalan-jalan.. Ini Penting!
Walaupun isteri anda berdikari orangnya. Tapi bawalah dia berjalan ke tempat yang dia suka. Pegang tangannya masa berjalan. Haish! Masa bercinta yang dilarang tulah nak buat, dah halal tau pulak segan.
Jangan sampai hubungan cinta renggang, suburkan seiring dengan usia perkahwinan itu. Makin lama, cinta makin dalam.
KEEMPAT : Beli Barang Dapur Setiap Bulan
Beli yang asas; beras, gula, susu, sayur, ikan. Yang lain-lain boleh tong-tong dengan isteri. Jangan sampai isteri fikir ‘asyik-asyik duit kita yang keluar’. Bahaya betul pemikiran sebegini.
Boleh buat hubungan jadi makan dalam, bernanah dan akhirnya berdarah.Bahagikanlah siapa yang bayar bil, rumah atau kereta.
Kalau anda mampu tak perlu bebankan isteri. Duit isteri bekerja biarlah dia nak buat apa pun. Percayalah isteri yang baik dia akan tahu bahagikan kepada simpanan anak-anak, simpanan kecemasan dan masa depan.
Jangan segan berkongsi masalah kewangan dengan isteri. Bila anda tak pernah berkira dengan isteri, ketika anda susah, simpanan isteri itulah yang akan dikongsi dengan anda tanpa perlu memulangkannya semula.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya ingin berkongsi kisah saya yang ingin dimadukan oleh suami dengan alasan saya kurang pandai bergaya.
Serba Sedikit Tentang Saya
Saya seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemaninya keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Perubahan
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja. Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
WhatsApp Misteri
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Pengakuan
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya. Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak.
Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami, yang berterus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja!
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
SARANAN KAUNSELOR
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Namun, Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Mampu ke…?
Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua. Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lain, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih.
Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya. Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua, puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Pilihan
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami. Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka.
Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, sentiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Saja Cari Alasan
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Alih Fokus
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang.
Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat. Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan.
Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...