Luangkan masa dengan anak-anak bukanlah hanya pada hujung minggu.Sebenarnya, mak ayah boleh luangkan masa dengan anak-anak setiap hari dengan mengikut 9 cara yang disarankan oleh Natural Learning Initiatives ini.
Berikut antara perkongsiannya;
“Masa kita terhadap bersama anak, sayang sekiranya dibiarkan walaupun masa yang ada itu sedikit. Seringkali kita terngadah, lalu menyesal kerana tersasar memarahi, menengking, tidak berlembut, tidak meberi nasihat, tidak berjenaka. Contohnya kita hanya mempunyai masa antara jam 6petang hingga 8malam sahaja, waktu selepas anak pulang sekolah dan kita pulang kerja, kemudian sebelum mereka tidur semula.
Waktu pagi pula, antara jam 6 hingga 8 pagi, dari bangun tidur dan bersiap hendak ke kerja dan sekolah.
Bagaimana memanfaatkan masa yang pendek agar bermanfaat? Bermanfaat untuk psikologi anak, untuk kepuasan ibu ayah memenuhi tanggungjawab, untuk kestabilan keluarga.
1. Fokus
Fokus kepada anak. Simpan gangguan lain. Terutamanya handphone. Kalau perlu, sorokkan handphone. Ingat, sekejap lagi mereka nak sekolah dan tidur. Sekejap sahaja masa diperlukan untuk mereka.
IKLAN
2. Pesan Kepada Diri
Pesan kepada diri, saya mahu guna masa ini dengan baik untuk anak, sebentar lagi mereka ke sekolah, mereka ke nursery, saya pergi kerja, saya mesti beri waktu berharga untuk anak-anak. Biar mereka ingat kita yang seronok, bukan yang marah.
3. Komunikasi Lisan
Komunikasi lisan adalah salah satu pintu sinaran kasih sayang kepada semua ahli keluarga. Untuk pasangan dan anak-anak. Latih komunikasi positif, suara rendah, ayat mendorong, ayat meminta kerjasama dengan tenang, jangan keluar kan suara di padang. Berlatih. Guna kata nama anak umi sayang, sayang kakak, sayang adik.
4. Bahasa Badan
Peluk, cium, pegang badannya, belai rambutnya. Lihat mata anak ketika bercakap, beri giliran yang adil untuk bercakap.
5. Jenaka
Buat jenaka tahap anak-anak, ciptalah apa sahaja, mereka akan sukainya. Anak 1 tahun pun dah pandai main sembunyi-sembunyi. Anak 4 tahun dah boleh acah2 main teka teki. Waktu tunggu makanan boleh buat teka teki. Boleh main kuiz. 5 minit anak terasa indah hatta jenaka kanak-kanak cuma.
IKLAN
6. Nasihat dan Pujian
Berikan nasihat santai kehidupan, bicara tentang Allah, syurga, neraka, akhlaq. Guna waktu makan, dalam kereta, sebelum tidur. Yang pasti apabila dah kenyang. Nasihat bukan utk kesalahan shj, tetapi untuk memupuk potensi kebaikan, positive reinforcement. Puji juga kebaikan dan kekuatan anak, jangan kedekut pujian. Bina rasa yakin dalam diri anak.
7. Bersedia Fizikal
Pastikan kita telah siap rancangan aktiviti. Mahu makan apa, di rumah atau di kedai. Selepas itu apa, komunikasikan dengan keluarga. Lebih semua orang faham, lebih terarah dan produktif masa.
8. Dorong jati diri rutin
Bantu anak bina jatidiri, dengan melatih mereka siapkan beg sendiri, cari stokin, isi botol air, ambil air ketika dinner dan sarapan, angkat beg, kemas baju kotor, tuala dan katil. Arahan ringkas dan tenang. Suara rendah, jgn tinggi. Elok buat rutin bertulis, mudah mereka rujuk. Anak saya suka begitu.
IKLAN
9. Wujudkan peraturan umum
Peraturan umum keluarga perlu ada bagi melatih nilai dan pengurusan keluarga yang produktif. Contoh peraturan, solat berjemaah, makan di meja, buang dan kutip sampah yang dilihat, basuh pinggan sendiri, bercakap ikut giliran, semua makanan perlu dikongsi. Semuanya disebut-sebut dan diberi penekanan sewajarnya.
Begitulah halnya dengan masa yang pendek yang kita ada setiap hari. Kadang-kadang kita selalu fikir, hujung minggu adalah masa keluarga, sehingga kita lupa setiap detik yang berlalu setiap hari juga perlu diraikan.
Jangan rasa berat. Guna point 1-5 dahulu, ini lebih nampak mudah. Kita mulakan bersama. Isu ini isu asas, semua keluarga merasainya. Jangan biarkan saat berharga hilang begitu sahana. Masa bersama keluarga wajar dimanfaatkan, bukan dengan wang ringgit tetapi dengan mewarnai perhubungan. Suami isteri mahukan pasangan yang memahami dan mampu berkomunikasi, anak-anak rindukan ibu ayah yang lembut dan tenang.
Anak-anak kecil, sekali sahaja. Sampai masa ia membesar dan terus berdikari. Memori bagaimana yang dibawanya?
Dari isu pengasuh terus bersambung kepada mak-mak patut bekerja atau berhenti kerja. Ya, luluh hati mak ayah yang dengar berita kematian bayi kecil lelaki, Adam Rayqal sejak awal pagi tadi.
Apa yang lebih mengguriskan hati lagi, segala kenyataan yang dibuat sebelum ini DIREKA! Malahan mayat Adam Raykal dijumpai dalam rumah pengasuh tu sendiri. Padahal anak yang dilahirkan dan diasuh itu semuanya amanah Allah, apa puncanya sampai pengasuh sanggup bertindak demikian masih dalam siasatan.
Atas ujian ini, ramai mak-mak yang mula meninggalkan komen dan paling sebak ada segelintir kaum ibu mula menuliskan pandangan ‘lebih eloklah jaga anak sendiri..’.
Eh, betul ke ini semua salah mak-mak bekerja yang tak jaga anak itu sendiri dan pernah tak kita masuk dalam ‘kotak kasut’ orang lain? Mungkin ada sesetengah mak-mak dapat rezeki jaga anak sendiri, tapi kalau yang terpaksa keluar bekerja macam mana ya?
Patutnya golongan ini berfikir secara waras sebelum mendabik dada. Nah, lebih mudah jemput renungkan perkongsian ibu anak empat, Puan Salwa Mohd Saleh dari sudut mak-mak bekerja dan tak bekerja…
Adam Rayqal – Dilema – Redha
Tentunya ramai terjentik emosi sejak dari malam semalam apabila mendengar berita tidak enak dan sangat mengejutkan seperti ini. Walaupun bukanlah pertama kali kes seumpamanya berlaku, ianya tetap umpama sembilu menghiris hati kita kerana mangsa adalah bayi yang tidak tahu apa-apa.
Rata-rata di whatsapp group yang saya lihat, keluhan dan kesalan para ibu yang semakin trauma untuk menghantar anak ke pusat jagaan dan pengasuh. Ya, sudah tentulah ianya meninggalkan kesan.
Namun, janganlah pula kegusaran dan kesedihan mereka ini ditambah garam ke atas luka, dengan ada yang menceritakan, kerana itulah mereka sendiri yang menjaga anak di rumah dan sanggup berhenti kerja.
Benar, itu tindakan terpuji. Cuma bukan semua mampu berbuat yang demikian. Ada ibu yang penuh tanggungjawab fardu kifayah, ada yang perlu bekerja, ada yang tinggal seorang diri menyara keluarga, ada yang tersepit bertahun lamanya.
Berhenti Kerja Atau Bekerja
Berhenti kerja atau bekerja dari rumah juga bukan perkara mudah. Cabarannya tak kurang dasyat dengan ibu bekerjaya. Saya dapat confirm kan ini kerana sudah berada di kedua-dua kasut. Tidak ada istilah siapa paling menderita atau paling susah atau paling letih. Sama-sama ada cabaran dan kelebihan.
Berdoalah sebanyaknya untuk pilihan dan laluan terbaik.
Dikala kita telah memilih pengasuh, biarlah setelah istikarah dan kerja memilih yang teliti dan benar-benar dipercayai.
Bilamana tidak dapat terbit lansung rasa percaya, dan tangan sendiri yang mahu menjaga, doalah pula urusan dipermudahkan untuk berada di rumah yang penuh cabaran. Dan redha atas apa yang ditentukan.
Bangun dan pujuklah sesama kita, bukan menjatuhkan dan mendabik dada.
Selepas suami meninggal, anak kecilnya langsung tak boleh berenggang dengannya. Tak boleh langsung hilang dari pandangan anak. Nanti anaknya akan menangis ketakutan. Awalnya, ibu ini sangka itu perasaan biasa yang anak lalui selepas kehilangan ayah tercinta.
Tapi anaknya mula menunjukkan 5 perubahan sikap ini. Setiap perubahan itu menunjukkan tanda-tanda ke arah ‘separation anxiety’ . Sudahnya ibu ini, Zureiny Zulkafly sukar untuk membuat rutin harian disebabkan anak yang tak boleh berenggang.
Perubahan Sikap Anak Dan Tanda ‘Separation Anxiety’
“Ibu”. Telinga saya menangkap laungan Aina. Nyaring dari dalam bilik tidur.
Berkerut juga dahi. Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun. Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.
Saya diam sahaja. Tidak menyahut walau sepatah. Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.
“Ibu!” Laungannya semakin kuat. Darah saya mula menyirap. Hati saya mula hendak marah. Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik. Mulut saya mula membebel.
Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik. Saya terkedu. Wajah Aina basah dengan air mata. Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh. Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.
“Kenapa ni dik?” tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.
“Adik nak ibu,” balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus. Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.
“Ibu ada. Ibu tak ke mana pun.” Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat. Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat. Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.
Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby. Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.
Sejak itu, saya mula memahami tentang ‘separation anxiety’ ataupun perpisahan sementara. Saya sangkakan ia perkara biasa. Fikir saya, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya. Malah saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa.
Salah saya. Saya ambil mudah perkara ini. Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina. Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.
‘Separation anxiety’ ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun. Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.
Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina. Pada saya simptomnya seperti ‘separation anxiety’ tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.
SUKAR BERENGGANG
Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Anak saya cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan. Seterusnya, dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya. Si kecil saya ini takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang.
Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya. Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya. Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.
Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.
RASA TIDAK PERCAYA
Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya. Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya. Pergerakan saya seperti diawasi. Tindak tanduk saya diperhati. Mujurnya, saya bekerja di rumah. Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.
Dia sentiasa curiga dengan sikap saya. Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu. Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.
TAKUT PADA ORANG LAIN
Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka. Namun, ketakutan Aina sangat ketara. Sukar untuk sesiapa mendekatinya.
Aina bersikap pemerhati. Dia tidak akan memulakan perbualan. Jauh sekali menegur orang di sekeliling. Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.
KERAP MENJERIT
Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya. Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun. Dia sukar memahami apa yang terjadi. Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya.
Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti. Aina menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa. Malah dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik. Anak kecil saya ini pernah minta saya ‘bertukar’ tempat dengan hubby. Ini kerana, dia mahukan ayahnya kembali.
Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak. Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya. Allahu Akbar. Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.
SUKA MENANGIS DAN MERAJUK
Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena. Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk. Tidak tentu arah saya dibuatnya.
Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga. Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby. Saya pun masih di dalam ‘iddah dan berkabung. Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu. Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.
Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal. Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia. Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil. Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman. Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.
Setiap ujian ada hikmah. Setiap yang payah ada yang mudah. Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.
Dengan 5 Cara Ini Ibunya Atasi ‘Separation Anxiety’ Anak
‘Separation anxiety’ yang dialami oleh Aina sebenarnya normal. Setiap anak kecil akan merasa cemas atau takut jika dia terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaganya. Cuma keadaan Aina agak keterlaluan sehingga dia seperti tidak mampu berdikari.
Aktiviti seharian saya agak kacau bilau kerana saya terpaksa memberi tumpuan padanya bila dia mencari saya. Kalau tidak, dia akan menjerit dan merajuk. Rajuk yang sukar dipujuk. Aina juga tidak dapat menikmati masa dia bermain kerana dia terlalu risau saya tinggalkan dia.
Jadi, saya luangkan masa membaca ilmu ‘parenting’ berkenaan isu ini. Banyak saya perolehi di blog dan artikel juga daripada pengalaman orang lain. Sedikit sebanyak membuatkan saya faham keadaan Aina.
VISUAL DIRI SEBAIK MUNGKIN
Anak kecil belajar daripada pemerhatian dan dia akan mengikut apa yang orang dewasa lakukan. Setiap perkara yang dilihat akan disimpan dalam memori. Jadi, saya visualkan diri saya sebaik mungkin. Bukan berlakon atau berpura-pura tetapi saya menjadi seorang ibu yang baik di matanya.
Setiap kali dia panggil, saya akan muncul di hadapannya. Saya ketawa dan mengacah Aina. Itulah yang membuatkan dia gembira. Saya tidak sekali-kali menyakat Aina dengan menyorok atau melarikan diri kerana sikap itu menakutkan Aina.
Sekiranya saya di dalam bilik air, saya akan mengetuk pintu dari dalam. Fahamlah Aina saya memang ada di sekitarnya. Visual-visual diri yang baik dan positif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Aina terhadap saya.
TIDAK BERBOHONG
Saya tidak akan menyelinap untuk keluar rumah. Kalau mampu saya bawa, saya akan bawa sekali. Jika tidak, saya akan minta ibu atau adik perempuan saya menjaganya. Saya akan jelaskan tujuan saya keluar sama ada dia faham atau tidak.
Saya tidak berbohong tentang ayahnya. Dari awal memang saya memberitahu bahawa ayahnya telah tiada. Ayahnya tidak akan pulang ke rumah. Walaupun sedih melihat anak berduka dan memberontak tetapi itulah jalan terbaik. Kejujuran penting dalam membentuk peribadi anak yang positif.
Cara saya ini banyak membantu Aina memahami apa yang sedang dilalui kerana semua perkara adalah nyata. Dia harus belajar tentang reality kehidupan meskipun dia masih kecil.
Saya tidak menipu. Saya tidak berbohong. Lama-kelamaan Aina belajar bagaimana untuk mempercayai orang sekelilingnya. Lebih-lebih lagi mempercayai dirinya sendiri.
PENGGANTI YANG BAIK
Maksud pengganti ialah seseorang yang boleh mengambilalih sementara tugas saya untuk menjaga Aina sekiranya saya perlu keluar atas satu-satu urusan penting. ‘Yang baik’ bukan bermaksud sentiasa beralah dan mengikut kehendak Aina tetapi lebih kepada memahami situasi Aina .
Setakat ini, pengganti terbaik adalah ibu dan adik perempuan saya. Sikap mereka yang seakan-akan sikap saya membuatkan Aina rasa selamat dan dilindungi. Walaupun cemas juga sewaktu ditinggalkan tetapi Aina boleh sesuaikan diri.
TIDAK MEMAKSA
Untuk anak yang berhadapan dengan ‘separation anxiety’ ini selalunya sukar untuk menerima dan berinteraksi dengan orang lain. Kelihatan seperti pemalu atau takut-takut tetapi sebenarnya mereka tidak yakin dengan orang sekeliling.
Salah satu cara saya ialah tidak mendesak atau memaksa Aina untuk memulakan kontek dengan orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang asing baginya. Aina selalu anggap orang lain akan mengambilnya daripada saya. Itu sebab dia mengelak. Rasa tidak percaya itu yang membuatkan Aina menolak untuk dihampiri.
Pada awal-awal dulu, saya akan maklumkan juga situasi Aina agar tiada yang terasa hati dengan sikap Aina. Namun, seiring dengan masa, saya tetap mendidik Aina agar menghormati orang sekeliling terutamanya orang tua. Saya tidak mahu anak saya dianggap kurang adab kerana takut untuk bersalam.
KUKUHKAN HUBUNGAN
Antara semua usaha yang saya lakukan, inilah yang paling utama. Saya kukuhkan hubungan saya dengan Allah kerana hati anak tetap bukan milik saya. Hidayah milik Allah. Saya ikhtiar mengikut batas kemampuan dan ilmu yang saya ada.
Bersama Afrina dan Aina, saya kukuhkan lagi hubungan ibu-anak. Afrina yang sudah berusia 14 tahun saya jadikan sahabat baik saya. Dialah tempat saya bercerita pelbagai kisah. Saya ambil tahu minatnya dan berkongsi apa yang dia suka.
Saya manjakan Aina kerana dia masih kecil. Pelukan dan ciuman dari seorang ibu akan mengalirkan aura positif dan selamat dalam diri si anak. Kata-kata yang baik dan gurau senda sentiasa melingkari hidup kami.
Setiap perkara yang sukar selalunya ada hikmah di sebaliknya. Saya pun banyak belajar daripada perubahan emosi dan sikap anak-anak selepas pemergian hubby. Dalam usaha saya memberi kehidupan yang baik buat mereka, Allah berikan saya kekuatan dan ketenangan untuk melalui takdir hidup saya.
Bila sudah berumah tangga, kaum isteri automatik akan berkhidmat untuk family sepenuhnya. Isteri bekerja atau tidak, tetapi kaum ibu tetap pastikan rumah kemas. Istilah penat akan terkambus dengan kepuasan melihat orang tersayang selesa dan bahagia dengan pengorbanan kita sebagai mak-mak sibuk.
Kadang sedikit cemburu tengok kehidupan mak-mak yang mampu uruskan rumah secara teratur dan dalam masa yang sama duit poket masuk.
Namun jika digali jadual kehidupan seorang ibu muda, Puan Nurulbadiah Lai, mak-mak boleh dapat jawapan kenapa orangnya cantik dan rumahnya juga kemas teratur. Tengoklah jadual padat yang disusun dan diamalkan dalam rutin hariannya.
Jadual Harian Seorang Isteri
Sebab ramai sangat yang tanya Puan Nurul macam mana dia uruskan rutin hariannya setiap hari, jadi dia kongsi sedikit sebanyak jadual yang mana itulah yang mudahkan urusan hariannya.
Nampak agak padat tetapi nak tak nak, sebagai seorang mak-mak kena disiplinkan diri follow jadual supaya hidup tak kelam kabut.
6am-8am
– Bangun dan solat
– Ready kan anak-anak (kejutkan, mandikan, pakaikan baju, get ready pergi sekolah)
– Kejutkan suami dan sedia pakaian suami utk pergi kerja
– Prepare breakfast (suami just perlukan secawan coffea/teh/milo je) (anak just ambil sebotol susu as breakfast )
– Hantar suami kat pintu sebelum pergi kerja.
– Bergegas hantar anak pergi sekolah
9am- 10.30am
– Breakfast (kadang-kadang skip)
– Singgah market beli barang basah
– Laundry
– Kemas rumah
– Mop lantai, basuh toilet dan sebagainya
10.30-1pm
– Working
1.pm-2pm
– Prepare lunch (masak)
3pm
– Pick up anak dekat sekolah
– Prepare makanan untuk anak lepas diorang balik sekolah
– Bagi anak buat aktiviti, monitor sekejap pastu tinggal
4-5.30pm
– Continue working
5.30-7pm
– Prepare untuk dinner (masak)
– Berkebun, siram pokok etc (waktu utk kemas-kemas halaman rumah adalah petang)
– Siapkan anak-anak, mandi, pakai baju dan sebagainya.
– Mandi, persiapkan diri lawa-lawa sebab husband biasanya around 6.30 akan balik dari kerja
7-8.30pm
– Solat
– Ajar anak-anak benda simple-simple, reading dan sebagainya.
– Dinner
9.pm
– Teman suami tgk tv, sembang-sembang dengan suami anak-anak
– Kalau suami main game, so pergi buat kerja lain (lipat baju dan sebagainya.)
10.pm
– Handle online business pula. Reply whatsap dan sebagainya. Packing barang dan sebagainya.
11.pm
– Tidurkan anak-anak kat bilik diorang.
– Bila diorang tidur, start kemaskan bilik diorang.
12.pm
– Biasanya suami dah nak masuk tidur mase ni, so teman suami tidur.
– Kalau dia main game, masa ini kat sebelah saya main internet, buka ig, buka fb, reply DM and mesej dari followers dan sebagainya.
– Teman sampai suami tidur.
1.30am
– Bila suami dah tidur, cepat-cepat bangun setelkan kerja rumah yang tertunggak.
– Setelkan pinggan kat sinki
– Setelkan ruang tamu kalau ada mainan anak dan sebagainya.
– Sapu rumah, lap-lap apa yang patut
2-2.30am
– Tidur.
Walaupun macam octopus, rasa puas hati dapat berkhidmat untuk family. Suami memang tak pandai buat kerja rumah, boleh katakan saya yang buat semua, tapi still saya bersyukur sebab suami saya bagus dari segi lain.
Saya cuba jadi isteri yang terbaik ibu yang terbaik. Sebolehnya saya mahu lakukan tanpa merungut dan ikhlas walau penat sampaikan tertidur sambil duduk.
In return
Suami izinkan saya pergi spa sebulan skali, izinkan saya pergi class fitness, izinkan saya keluar window shopping sorang-sorang sambil dia jaga anak.
Suami selalu bawa saya jalan-jalan pergi pantai dan sebagainya bila weekend.
Weekend adalah waktu suami pulak berkhidmat untuk saya dan waktu itu saya lebih relax, tugas-tugas lain suami ambil alih.
Itulah kehidupan dan perkahwinan, tak sempurna tapi saling melengkapi, bukan setiap hari adalah hari yang terbaik tapi cukuplah ada ketenangan dalam rumahtangga utk meneruskan kelangsungan hidup.
Keledek goreng memang sedap dinikmati sebagai kudapan petang. Selalunya kita hanya beli gerai-gerai tepi jalan. Memang sedap tapi kalau nak puas makan, eloklah kalau kita buat sendiri sahaja.