Bila dah memiliki anak, sudah tentunya sebagai isteri dan ibu, akan memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, terutamanya yang masih kecil.

Tak dinafikan, ia memang memerlukan masa yang banyak untuk menguruskan anak-anak hingga dalam tak sedar, isteri rupa-rupanya telah meminggirkan suami. Dalam erti kata lain, suami rasa tersisih daripada perhatian dan kasih sayang isteri!

Mungkin isteri tak anggap ini perkara yang patut diperbesarkan oleh suami. Namun malangnya memang ada suami yang ambil kisah hingga melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan rumah tangga iaitu curang!

Bila Isteri TERLEBIH Layan Anak, Suami Jadikan Alasan Cari Teman ‘Curhat’ Lain

Bila Isteri Lebih Fokus Pada Anak

Dah memang tanggungjawab isteri dan ibu, untuk menumpukan perhatian pada anak-anak. Kalau awal kahwin dulu, tentulah seluruh perhatian ditumpukan untuk melayan suami saja. Tapi, semakin ramai anak yang lahir, semakin kurang perhatian untuk suami dan tumpuan isteri tentunya beralih pada anak-anak pula.

Di pihak suami, kenapa agaknya tidak boleh bertolak ansur dan cuba memahami situasi ini? Suami bukan dengan sengaja meminggirkan dirinya, tapi dek kerana sibuk menguruskan anak-anak dan rumah tangga, isteri kadangkala ‘terlupa’ nak layan suami seperti awal kahwin.

Tapi tak sepatutnyalah suami menggunakan alasan dirinya rasa terpinggir dan seolah-olah kurang kasih sayang serta perhatian isteri, membuatkan dia mencari teman ‘curhat’ (curahan hati) di luar sana. Atau bahasa mudahnya; skandal di luar!

Bila Hancurnya Hati Isteri…

Bayangkan, apa perasaan isteri kalau suami sanggup melakuka hal sedemikian? Puncanya konon isteri dah kurang beri perhatian pada dirinya. Dia rasa ‘sunyi’ bila berada di rumah sendiri. Isteri pula sibuk uruskan anak. Suami nak bermanja pun tak sempat. Lantas, demi nak hilangkan kesunyian, dia mencari teman tapi mesra di luar.

Bila terbongkar rahsia, boleh pula beri alasan dia suka-suka saja. Tak sampai nak berkahwin lain. Masih ingat anak isteri katanya. Wah, mudahnya berkata ye. Hati isteri yang dah hancur itu macam mana pula?

Selama ini isteri tak kisah dan tak pernah berkira walau dia penat dan terkejar-kejar nak uruskan anak-anak. Nak buat kerja rumah lagi, belum masuk kalau yang berkarier juga. Tapi semuanya dilakukan dengan rela hati kerana sedar itu adalah tanggungjawab. Tapi suami pula buat ‘alasan bodoh’, rasa sunyi bila isteri fokus pada anak-anak. Kecil hati isteri tau. Dengan anak pun nak berkira ke?

Isteri bukannya sibuk kejar pangkat dalam karier hingga lupa rumah tangga. Tapi isteri sibuk fokus pada rumah tangga. Kenapa suami sanggup curang dengan alasan kurang perhatian isteri? Itulah lelaki, kalau nak curang macam-macam alasan dicipta.

Baca lagi artikel lain di sini:

Pasangan Pernah Curang, Macam Mana Nak Kembalikan Kepercayaan Yang Hilang?

Mulanya HANYA Kongsi Masalah, Beri Nasihat Kemudian Ambil Berat, Begitulah MODUS Operandi Pencurang

Ikuti Mingguan Wanita di instagram

Bila Rasa Pengorbanan Tak Dihargai

Terdetik di hati isteri, kenapa suami sanggup curang padanya sedangkan dia telah cuba sedaya upaya menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Waktu inilah, akan terbit rasa ‘penat’ dan ‘lelah’ dengan kelakuan suami yang tak menghargai pengorbanan yang isteri lakukan.

Ada Yang Faham, Ada Yang Buat Tak Faham

Suami tentunya faham, situasi dah tak sama seperti ketika tiada anak atau ketika anak hanya seorang. Tapi janganlah sampai perhatian langsung tiada lagi untuknya dengan alasan anak. Bahkan ,bila suami minta layanan di bilik tidur pun isteri menolak dengan alasan penat urus anak. Belum lagi bab isteri tidur dengan anak-anak hingga suami pula kena tidur sendirian.

Ada masanya suami ingin berbual-bual dengan isteri sebelum tidur. Tapi kalau isteri sibuk itu dan ini dengan anak, akhirnya suami tertidur.  Kalau berterusan, itu yang mungkin jadi alasan dia cari teman curhat lain sebab isteri tak ada masa nak berbual dengannya.

‘Wake up Call’ Untuk Isteri Juga..

“Awak ni mengada lah! Takkan dengan anak sendiri pun nak cemburu. Saya sibuk jaga anak-anak awak juga, bukan layan lelaki lain.”

Jika suami termasuk dalam kategori lelaki sebegini, bermakna dia seorang yang masih memerlukan belaian isteri. Dia suka dimanja isteri walau pun sudah lama berkahwin dan umur pun makin meningkat. Ya, memang ada lelaki yang jenis macam ini. Sebab itu, bila dia rasa isteri kurang beri perhatian pada dirinya, mulalah dia buat perangai.

Oleh itu, isteri juga kena ambil perhatian. Memang tak patut suami gunakan alasan isteri lebihkan anak-anak untuk curang. Namun dalam masa yang sama, isteri juga kena terima andai itu alasan yang suami beri. Maksudnya, kena berubah. Mungkin selama ini dirasakan suami tak kisah kalau isteri dah jarang buatkan air minuman untuk suami, jarang temankan suami makan namun kini isteri kena berubah. Kata orang, cegah sebelum ia makin membarah. Jangan beri ruang untuk suami buat alasan lagi.

Oleh itu isteri kena bijak main peranan. Sudah pasti sebagai isteri, kita ‘kenal’ bagaimana sikap suami kita sendiri. Mungkin ada suami tak berapa kisah, tapi ada suami memang ambil kisah walau pun dalam hal yang kita rasa remeh saja.

Apa pun, jangan sesekali ambil mudah perasaan suami ye para isteri!

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI