
Bertukar nyawa, niat murni seorang abang selamatkan adik daripada dihanyutkan arus deras berakhir dengan tragedi memilukan apabila dia ditemukan lemas dalam kejadian di Taman Ayer Keroh Heights.
Bertukar Nyawa

Takdir Allah, adik Muhammad Loqman Afandy, 12, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Melaka selepas terlibat dalam insiden cemas di sebuah longkang besar berhampiran kediaman mereka.
Menerusi laporan satu portal, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika hujan renyai melanda kawasan berkenaan. Waktu itu, mangsa bersama adiknya, Muhammad Adam Afandi, 10, serta dua rakan sebaya dipercayai sedang bermain air berhampiran longkang itu.
Hasrat Abang Selamatkan Adik Hampir Lemas Bertukar Tragedi

Namun tiba-tiba, adik mangsa dikatakan tergelincir lalu terjatuh ke dalam longkang sebelum dibawa arus deras. Melihat kejadian itu, Muhammad Loqman bersama seorang rakan cuba terjun untuk menyelamatkan mangsa.
Arus yang terlalu kuat menyebabkan ketiga-tiga kanak-kanak itu dihanyutkan. Bagaimanapun, adik mangsa dan rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tebing.
Seeorang lagi rakan mangsa yang berada tidak jauh dari lokasi segera berlari mendapatkan bantuan jiran sebelum panggilan kecemasan dibuat pada jam 5.51 petang.
Ditemui Selepas 20 Minit

Pasukan bomba yang melancarkan operasi pencarian berjaya menemui Muhammad Loqman kira-kira 20 minit kemudian dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) di lokasi kejadian sebelum mangsa dikejarkan ke hospital.
Anda mungkin berminat dengan
Apa yang memilukan, walau usaha menyelamat dilakukan namun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 8.09 malam tadi.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat. Pihak polis buat masa ini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai Mati Mengejut SDR.
Sumber: Info Kemalangan Dan Bencana Malaysia
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

