Jodoh adalah rahsia Allah. Kita tak tahu siapakah jodoh kita. Kadangkala, jodoh itu dengan individu yang usianya lebih separuh daripada usia kita sendiri!
Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang telah bertemu jodoh dengan lelaki yang berusia 22 tahun lebih muda daripada dirinya dan mendapat tentangan hebat daripada keluarga si lelaki terutama mak mentua. Ikuti pengakuannya kepada Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan juga penulis tetap ruangan YA TUHAN di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah sentiasa. Sukar untuk saya kongsikan kisah peribadi saya ini namun saya gagahi jua untuk berkongsi agar menjadi panduan untuk wanita di luar sana yang mungkin menghadapi masalah yang sama dengan saya. Setahun lepas, saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang 22 tahun lebih muda dan ini menimbulkan konflik apabila saya tak diterima oleh keluarga mentua terutama maknya.
Saya berusia 47 tahun dan memiliki sepasang cahaya mata yang kini berusia 23 dan 21 tahun. Saya memiliki perniagaan sendiri dan syukur, ia melebihi daripada mencukupi untuk menampung kehidupan saya dan anak-anak.
Warisan Suami
Saya balu kematian suami, sebelum bertemu jodoh dengan suami sekarang. Perniagaan yang saya miliki juga sebenarnya adalah perniagaan yang saya bangunkan bersama arwah suami dahulu. Kini salah seorang anak saya turut serta dalam mengendalikan syarikat tersebut.
Sepuluh tahun lalu, suami meninggal dunia secara tiba-tiba akibat penyakit jantung dan ia tamparan hebat buat diri saya kerana kami sangat rapat. Ke mana saja berdua. Nasib baik ada anak-anak yang menjadi kekuatan untuk saya teruskan hidup. Selepas kematian arwah suami, fokus saya pada bisnes dan anak-anak.
Bukan sedikit lelaki yang cuba mendampingi namun saya tolak mentah-mentah. Mana taknya, kebanyakan mereka bergelar suami orang dan prinsip diri saya, takkan sesekali mengambil hak orang atau berkongsi kasih dengan wanita lain.
Apabila anak-anak semakin dewasa dan perniagaan pun stabil, saya mula ada masa untuk libatkan diri dalam aktiviti yang saya suka. Antaranya, saya kembali aktif membuat aktiviti lasak iaitu hiking. Mulanya anak kedua (lelaki) yang kenalkan saya dengan hobi ini bila saya sibuk nak buat aktiviti sihat.
Perkenalan
Saat itulah juga saya kenal dengan seorang pemuda, M, yang merupakan rakan hiking anak. Dia bekerja di sektor awam. Pada mulanya dia memanggil saya ‘auntie’ kerana saya mak kepada rakannya (anak saya) namun saya tak tahu sejak bila, panggilan itu bertukar menjadi ‘awak’ dan ‘saya’. Katanya saya tak nampak tua malah kali pertama bersua, dia ingatkan saya ini kakak kepada anak saya.
Sikap M yang sangat ambil berat dan penyayang membuatkan saya selesa bersamanya. Namun saya tetap ‘sedar diri’ akan jarak usia kami dan pendamkan saja rasa suka yang mula bercambah. Saya rasa tak layak untuk dirinya yang baru berusia 25 tahun, lebih kurang sebaya anak saya!
Ternyata takdir tersurat, dia juga sukakan saya dalam diam dan telah luahkan isi hatinya saat kami sama-sama hiking menawan Gunung Ledang. Waktu itu, saya seakan tak percaya dan minta dia beri saya masa.
Ads
Terima
Berbulan juga saya berfikir dan buat solat istikharah. Akhirnya pintu hati saya terbuka untuk menerima dirinya walau saya sedar macam-macam rintangan akan datang. Namun, saya bersyukur kerana anak-anak dapat terima kehadiran papa baru mereka dan itu juga alasan utama saya terima M.
Masalah paling perit apabila keluarga M terutama maknya tak dapat terima saya sebagai menantu sehingga kami tekad berkahwin diam-diam di utara tanah air. Kini, selepas setahun, maknya masih tidak dapat terima saya. Hanya ayah dan adik beradik M (M anak sulung) sudah mula terima. Sebab itu juga saya tak pernah balik ke rumah M tapi saya sentiasa galakkan M balik dan jalankan tanggungjawab sebagai anak.
Saya sedar bukan mudah mak mentua saya nak terima janda berusia seperti saya sebagai menantu untuk anak bujangnya. Apatah lagi kami sebenarnya sebaya. Namun, saya tak dapat putarkan masa dan sayangkan M. Saya nak rumah tangga ini berkekalan. Apa pandangan puan untuk saya mengambil hati ibu mentua saya?
Puan K, Setiawangsa.
Jawapan:
Dengan Nama Alllah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah… tua, muda, cantik, kurang cantik, kurus, gemuk, hitam, putih, semuanya tidak terbatas apabila jodoh telah sampai dengan ketentuan Allah. Kadang-kadang ada orang tidak menjangka jodohnya dengan seseorang yang jauh beza umurnya.
Jadi Bualan
Jika lelaki lebih tua berbanding wanita, itu mungkin biasa. Namun jika sebaliknya iaitu wanita lebih jauh berusia dari lelaki, ianya akan jadi bualan orang. Pada hal, nabi sendiri berkahwin dengan Siti Khadijah yang jauh lebih berusia daripadanya dan isteri yang paling dicintai nabi.
Puan yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan siapa sahaja yang bergelar ibu bapa mahukan jodoh yang terbaik untuk anaknya. Tidak kira anak lelaki mahupun perempuan, majoriti ibu bapa mahukan kebahagiaan bukan sahaja untuk anak mereka, tetapi “bahagia” di mata mereka.
Ads
Erti Bahagia
Mungkin bahagia pada mereka tidak sama dengan bahagia buat anak. Malah mereka cukup mengambil kira pandangan orang terhadap menantu yang bakal dipilih oleh anaknya. Bagaimana rupanya, akhlaknya, kedudukannya, harta yang dimilikinya, latar belakang diri dan keluarganya, semuanya dilihat sebagai kayu pengukur kepuasan atau kebahagiaan ibu bapa.
Kriteria Pilihan
Jika pilihan anaknya menghampiri kriteria idaman ibu bapa, maka tidaklah berlaku krisis antara anak dan menantu. Namun jika sebaliknya, maka keadaan itu boleh jadi berpanjangan yang memerlukan kebijaksanaan pihak anak dan menantu untuk menguruskan keadaan.
Jika dilihat dalam perspektif yang lebih jauh, pastinya seorang ibu mahukan zuriat daripada anaknya sendiri, iaitu cucu dari darah dagingnya. Ini adalah antara kemuncak kebahagiaan seorang ibu dan bapa apabila dapat bergelar nenek dan datuk.
Letak Diri
Jika puan dapat meletakkan diri puan dalam situasi ibu mentua puan, pastinya puan dapat merasakan betapa kecewanya hati seorang ibu. Jika puan dapat membayangkan ini terjadi kepada puan, bagaimana andai ditakdirkan anak puan yang lelaki berusia 23 tahun mendapat jodoh yang berusia lewat 40-an. Bagaimana perasaan puan?
Bagaimana puan dapat memberitahu orang lain bahawa menantu puan adalah wanita yang hampir sebaya dengan puan? Bolehkah puan menerima hakikat itu. Rasa saya siapa sahaja yang bergelar ibu berkemungkinan mengalami kekecewaan.
Faham Situasi
Jika puan dapat memahami situasi yang saya paparkan di atas, maka puan boleh menerima hakikat bahawa mentua puan masih belum menerima puan. Sekurang-kurangnya ini boleh memberi kelegaan kepada diri puan.
Untuk memenangi hati mentua bukan sesuatu yang mudah. Namun, sekurang-kurangnya puan bersyukur kerana ramai yang telah dapat menerima puan – bapa mertua dan adik beradik suami, malah anak-anak puan telah dapat menerima pilihan puan.
Ads
Tak Mudah
Seperti yang saya sebutkan, bukan mudah untuk memenangi hati ibu mentua puan, namun beberapa pendekatan boleh puan gunakan bukan untuk memenangi hatinya, tetapi puan melakukan yang terbaik untuk ibu mentua.
Mungkin puan ada melakukan ini, namun, berterusanlah berbuat baik dengannya. Pertama selalu belikan hadiah di hari ulang tahunnya, ulang tahun perkahwinan, Hari Ibu, Hari Wanita, menyambut Ramadan dan menyambut Syawal.
Hadiahkan melalui suami jika puan merasakan dia masih belum menerima kehadiran puan. Jika hadiah puan tidak sudi diterimanya, jangan mudah putus asa, anggapkan puan telah bersedekah untuk mertua. Pahala bersedekah tetap mengalir. Teruskan berbuat baik dan mengambil berat tentangnya melalui suami. Jika keadaan mengizinkan barulah puan menziarahinya.
Mohon Pertolongan Allah SWT
Kedua, banyakkan solat malam dan memohon pertolongan Allah agar dilembutkan hatinya untuk menerima kehadiran puan. Banyakkan zikir Ya Latiff dan niat agar Allah lembutkan hatinya untuk menerima puan.
Ingat, kita tidak mampu mengubah hati manusia dengan usaha yang kita lakukan, namun, Allah sahaja yang boleh melembutkan hati manusia. Ketiga, selalu ingat setiap yang Allah takdirkan dalam hidup kita ada hikmahnya yang kita tidak tahu. Allah hantar orang yang paling dekat dalam hidup kita tetapi tidak menyukai kita. Apa hikmahnya?
Tingkatkan Keimanan
Ya, Allah mahu kita berusaha berbuat baik walaupun orang tidak menyukai kita kerana Allah mahu meningkatkan keimanan kita. Allah mahu kita akan sentiasa berdoa dan mendekati-Nya memohon pertolongan. Sebab itu Allah bagi banyak ujian kepada Nabi dan kepada orang-orang terpilih kerana Allah mahu mengujinya.
Jika kita sebagai hamba menerima ujian itu dengan berlapang dada, selalu bermunajat dengan Allah untuk atasi masalah hubungan dengan orang itu, maka usaha kita mendekati Allah itulah hikmah yang kita tidak nampak. Bayangkan jika tiada ujian ini dalam hidup.
Tak Bersungguh-sungguh
Mungkin kita tidak bersungguh-sungguh berdoa , solat malam dan melakukan malan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah bukan? Lazimnya begitulah…. Jika tiada ujian dalam hidup kita, mungkin kita akan leka dengan kehidupan dunia, menjalani hidup yang biasa-biasa sahaja tanpa menyelami erti kehidupan yang sebenar.
Rajin-rajin mengikuti kuliah agama, bersedekah dan mendekati orang-orang miskin dan kurang upaya. Maka kita akan dapati Allah hanya menguji kita sedikit sahaja berbanding orang lain yang lebih jauh melalui kesukaran dan kesusahan dalam hidup.
Jika Allah izinkan, Dia akan lembutkan hati ibu mertua puan untuk menerima puan. Jika belum masanya, maka teruskan berdoa dan berbuat baik terhadapnya. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sangat penting untuk mengatur perbelanjaan keluarga. Tapi bagaimana pula jika si isteri seorang yang boros?
Setiap bulan suami akan serahkan sejumlah wang kepadanya untuk menguruskan segala perihal rumah tangga. Itu belum lagi nafkah untuk dirinya sendiri. Tapi pasti tidak berbaki malah kadangkala dia akan meminta tambahan lagi kerana sudah ‘terguna’ wang untuk urusan rumah tangga. Tentu anda bengang bukan?
Tak bermaksud suami hendak berkira dengan isteri sendiri, tapi kalau kewangan tak dirancang betul-betul, boleh menjadi satu masalah besar di kemudian hari.
Sifat boros memang sulit untuk dihilangkan, tetapi tidak boleh dibiarkan begitu saja. Ada langkah-langkah yang boleh diusahakan untuk menghilangkan sifat boros daripada isteri anda.
Bicara Dari Hati
Langkah pertama yang sangat penting dan harus dilakukan adalah membicarakan permasalahan yang terjadi. Kadangkala isteri tidak sedar bahawa dia tidak mengamalkan sikap berjimat cermat saat berbelanja. Kadangkala alasan yang diberi; dia bukan beli untuk dirinya sendiri tapi untuk anak misalnya. Tapi kalau setiap minggu nak shopping baju anak, boleh botak kepala suami dibuatnya!
Memang memberi nafkah isteri adalah kewajiban seorang suami, tetapi jika sudah pada tahap yang berlebihan harus dihentikan. Bicaralah secara terbuka dengan isteri agar dia menyedari kesalahannya dan akhirnya bersedia untuk mula mengatasi permasalahan tersebut. Jika isteri tidak mengetahui apa kesalahannya, masalah tidak akan dapat diatasi sampai bila-bila.
Tunjukkan Jumlah Belanja Bulanan
Anda boleh ajak isteri bersama-sama untuk mengira perbelanjaan bulanan keluarga. Mungkin selama ini dia tak perasan kerana setiap kali minta duit, anda akan berikan saja. Dia tidak sedar kebiasaan itu sebenarnya membebankan anda sebagai suami. Apatah lagi jika dia suka membeli sesuatu yang bukan keperluan. Setelah menyedari jumlah perbelanjaan bulanan, mungkin baru isteri akan menyedarinya.
Rancang Kewangan
Membuat perancangan kewangan untuk jangka masa panjang sangat berkesan untuk mengubah mindset seseorang. Mungkin ketika ini isteri berbelanja dengan boros kerana tidak menyedari keperluan wang itu pada masa hadapan. Mungkin kerana anak-anak masih kecil dan ahli keluarga belum ramai. Bayangkan jika anak-anak semakin ramai dan semakin besar. Perbelanjaan pasti semakin tinggi diperlukan terutama untuk pelajaran mereka. Jadi, ajak isteri untuk duduk dan rancang kewangan keluarga agar dia tahu kedudukan kewangan keluarga.
Jangan Beri Sekali Gus
Sekiranya isteri anda seorang yang suka menghabiskan wang belanja bulanan secara sekali gus, anda mungkin boleh ubah taktik dengan memberikannya secara sedikit demi sedikit. Misalnya memberinya secara mingguan. Mungkin jika memberikan sekali gus di awal bulan, isteri berasakan wang yang dimilikinya banyak dan boleh berbelanja dengan mudah sedangkan wang itu adalah untuk sebulan!
Komitmen Bersama
Ajak isteri membuat komitmen bersama. Misalnya isteri gemar Melancong. Jadi boleh pujuk isteri untuk sama-sama menabung dan menjaga bajet keluarga sekiranya di hujung tahun ingin bercuti sekeluarga ke tempat yang diidamkannya, misalnya ke luar negara. Dengan cara ini dapat mendidik isteri untuk bersama-sama menjaga bajet keluarga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak sedikit orang sibuk suruh tambah dan bila anak ramai pun orang banyak bunyi kata nanti anak tak terdidik.
Sudahnya ada mak-amak yang sentap. Yang merasa mendidik anak-anak tu siapa sebenarnya? Dan salah ke kalau orang tua ambil peduli tentang kehidupan anak-anaknya?
Cuba renungkan cerita bahagia ibu anak sembilan ini, Puan Juriah Halimatun, positif dan boleh dijadikan inspirasi.
Cara Besarkan Anak Ramai
Waktu anak nakal-nakal, tak sedar diri mummy nya ni membebel. Bertekak kadang-kadang dengan anak-anak sebab balik sekolah selalu “membuta” dan menonton tv.
Selalu dipesan, pagi-pagi sebelum ke sekolah, bawak plastik sampah ke depan rumah. Kalau makan tu, jangan lupa bawa pinggan dan cuci di sinki. Dan macam-macam lagilah halnya.
Begitulah, anak-anak, kalau dah ramai, macam-macam ujian dan cabaran. Itu tak kena, ini lagi serba serabut.
Perbelanjaan lagi yang perlu diuruskan dengan kemas. Iyelah, anak kan main capai saja apa yang berkenan di hati. Yang besar masih ok sebab sudah memahami. Yang kecil-kecil ni.
Sudahlah tu, separuh kat semenanjung, separuh di sini. Kan banyak halnya tu yang memeningkan kepala.
Itu belum lagi dikira sekiranya anak sakit, serba serbinya menjadi tak kena. Makan minum serba tak kenyang, tidur pun terjaga-jaga. Huhu… akhirnya merasalah juga mummynya ni mata panda.
Disebalik Kepenatan Tersembunyi Hikmatnya
Bila dipandang dengan mata hati, walau banyak ujian dan dugaan dengan kehadiran anak-anak, mereka sengaja Allah hadirkan untuk kita merasa bersyukur.
Banyak kebaikan dan keindahan yang Allah persembahkan dengan kehadiran mereka.
Bayangkan diwaktu kesusahan begini, bukankah anak-anak juga yang diperlukan untuk membantu?
Di alam kubur nanti kita juga yang perlukan doa mereka?
Syukur dengan sepenuh jiwa, insyaAllah Allah tambahkan lagi rezeki yang sentiasa mencukupi. Yakin dengan Allah, kerana rezeki mereka memang Allah dah tetapkan sejak azali.
InsyaAllah, pasti ada hikmahnya bila Allah dah tetapkan mama fatim beranak ramai.
Penat Kejap Besarkan Sekali Gus, Nanti Bahagia
Waktu mereka kecil , memang rasa semput dan susah nak ‘bernafas’ sebab penat, tunggulah nanti, dah besar, mummy nak berjalan ‘bersopping-sopping’ dan dating dengan ayah travel sana sini. Hahaha!..
Sekurang-kurangnya, walau mungkin “faedah” atau “pulangannya”nya tak lah banyak mana, tapi sekiranya mama fatim banyak bersabar dengan segala-galanya, Allah pasti nak bagi mama fatim PAHALA SABAR dengan pulangan yang lebih besar iaitu SYURGA .
Insyaallah. Aaminn.
Moga kita sebagai mak-mak banyak bersabar dengan ujian dan cabaran dari anak-anak. Kentalkan hati, kuatkan semangat.. mak-mak pasti boleh!
Caiyyok! Kihkih!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
‘Mak ayah pergi gathering.’ Lima hari, tinggalkan bayi tidak ‘bernyawa’ di rumah dek kerana terlalu marahkan anaknya yang menangis dan tidak mahu duduk diam.
Di manakah hilangnya nilai perikemanusian hingga sanggup membunuh anak dengan tangan sendiri dan membiarkan anak yang dikandung membusuk tanpa rasa bersalah. Tergamak sungguh!
Sesungguhnya, kehadiran cahaya mata didambakan setiap pasangan yang berkahwin. Namun, tergamaknya sepasang suami isteri di negara jiran ini apabila sanggup meninggalkan jasad bayi mereka.
Mak Ayah Pergi Gathering
Menurut Tribunnews,mayat bayi lelaki itu dibiarkan membusuk di sebuah rumah di Wonocolo, Surabaya manakala si ibu ditetapkan sebagai suspek utama.
Lebih menyedihkan, selepas bayi itu tidak lagi bernyawa, si ibu dan bapa tergamak meninggalkan jasad bayi itu begitu sahaja untuk menghadiri sebuah acara di Jogjakarta.
Pesuruhjaya Polis Surabaya, Roycke Hendrik Fransisco mendedahkan suspek yang berusia 26 tahun disyaki melakukan keganasan terhadap mangsa.
Sejumlah kesan lebam pada beberapa bahagian badan mangsa bermula dari belakang kepala ke belakang menimbulkan keraguan.
Lima Hari
Penemuan ini dikukuhkan lagi dengan keputusan bedah siasat.
“Bukan hanya sekali (kekerasan), tetapi sudah berkali-kali sebelumnya,” katanya.
Hasil bedah siasat telah dipadankan dengan hasil siasatan polis mendapati mangsa meninggal dunia sejak Selasa lalu.
Ia bermakna mangsameninggal dunia lima hari sebelum kematiannya dilaporkan oleh ibu suspek (nenek mangsa) iaitu pada malam Sabtu.
Roycke berkata, suspek mencampakkan mayat kecil mangsa ke belakang dari tepi ke tengah tilam di tingkat dua rumahnya.
Perlakuan kasar itu difahamkan berlaku sebanyak dua kali. Merasakan bayi itu masih tidak diam, suspek dikatakan memusingkannya supaya meniarap dan kemudian memukul bahagian belakang menggunakan tapak tangan.
“Suspek berpusing dan memukul mangsa dan akhirnya dia kaku. Suspek kemudian meninggalkan rumah dan mengamanahkan bayi itu kepada neneknya,” jelasnya.
Berkenaan status perkahwinan suspek, Roycke mendedahkan bahawa suspek telah berkahwin dengan suaminya dengan lima tahun lalu.
Dalam tempoh itu, pasangan berkenaan telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Walau bagaimanapun, status perkahwinan antara pasangan itu adalah dirahsiakan.
Tidak ‘Bernyawa’ Di Rumah
Malah bapa mangsa tidak mengetahui tindakan keganasan yang dilakukan suspek terhadap anak mereka.
“Kes ini boleh membawa kepada hukuman penjara 15 hingga 20 tahun,” katanya.
Nenek Bermalam Dengan Mayat Bayi
Lebih memilukan, lapor Tribunnews, nenek bayi berkenaan pasrah untuk tidur bersama jasad bayi berkenaan selama lima hari kerana bimbang dibunuh anaknya.
Nenek mangsa diugut bunuh oleh anaknya sendiri sebelum wanita berkenaan meninggalkan jasad bayi berkenaan ke Jogjakarta.
Namun selepas beberapa hari, jasad si cucu semakin membusuk dan bertukar kehitaman. Malah haiwan parasit juga mula hadir menyebabkan warga emas itu nekad melaporkan kepada polis pada hari kelima.
Mingguan Wanita : Semoga kisah ini menjadi iktibar buat mak-mak di luar sana. Entah ke mana hilangnya sifat pengasih ibu ini sehingga tergamak membiarkan jasad bayi lima bulan yang tidak bernyawa untuk menghadiri gathering.
Ibu ayah risau keselamatan di sekolah. Susulan kejadian pagi tadi tiada siapa menyangka hari persekolahan biasa itu akan berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa...