
Perancangan awal suami isteri ini bukan untuk jual air boba, tetapi tanpa disangka-sangka minuman itu menjadi punca rezekinya sekeluarga.
Bermula Jual Air Boba Di Rumah

Berkongsi kisah awal perniagaannya, suami isteri ini sekadar mengisi masa lapang. Namun akhirnya menjadi satu ktitik permulaan dalam mencari rezeki halal dan meningkat naik sampai tahap ini.
Bermula dengan langkah kecil sejak tahun 2019, air yang dijual di rumah akhirnya berkembang kepada perkhidmatan vendor minuman yang kini dikenali sebagai HULWA.
Bukan Impian Asal Selepas Bergelar Graduan
Ahmd Fuad bin Mohamad Amin merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seremban 3 dan menamatkan pengajian pada tahun 2019.

Membuka perniagaan sendiri bukanlah perancangan asalnya selepas tamat pengajian. Ketika itu, dia hanya mahu mencuba sesuatu yang baharu sementara menunggu peluang pekerjaan.
Dalam tempoh tersebut, dia melihat perniagaan minuman boba sedang mendapat perhatian ramai. Bermula dari situ, timbul rasa ingin mencuba. Menurutnya, dia mula membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri untuk menghasilkan resipi minuman boba, terutamanya Brown Sugar Milk Tea yang ketika itu cukup popular.
Mula bereksperimen dengan resipi, mencuba pelbagai sukatan dan memperbaiki rasa sehingga menemui kombinasi yang berpuas hati. Namun, keputusan untuk menceburi bidang perniagaan ini bukanlah sesuatu yang mendapat persetujuan semua pihak pada awalnya.
Dia juga pernah menerima tentangan daripada keluarga yang lebih mengharapkan bekerja dalam bidang yang bersesuaian dengan kelulusan akademik dan mempunyai laluan kerjaya yang lebih profesional.
Sebagai ibu bapa dan keluarga, sudah tentu mereka mahukan yang terbaik dan mengharapkan anaknya mempunyai pekerjaan yang lebih terjamin selepas tamat pengajian.
Namun lelaki ini tetap mahu memberikan peluang kepada diri sendiri untuk mencuba. Alhamdulillah, seiring dengan perjalanan masa, keluarganya mula memahami keputusannya. Malah, mereka akhirnya memberikan sokongan yang jauh lebih besar daripada apa yang dia bayangkan.
Tanpa disedari, percubaan kecil itu menjadi titik permulaan kepada sebuah perniagaan yang masih diusahakan sehingga hari ini.
Bermula Dari Rumah, Bermodalkan RM700

Pada peringkat awal, dia hanya berniaga dari rumah dan menawarkan minuman kepada rakan-rakan terdekat. Mengingat kembali kenangan awal berniaga, sebenarnya dia agak malu untuk mempromosikan jualan sendiri. Katanya, takut ditolak atau orang tidak berminat.
Namun, sokongan daripada rakan-rakan yang sentiasa memberikan galakan banyak membantu membina keyakinannya. Daripada situ, dia mula berani untuk membawa perniagaan ini ke peringkat seterusnya.
Selepas berjaya mengumpulkan modal sekitar RM700, dia bersama dua orang rakan kongsi mengambil keputusan untuk membuka perniagaan di Arked MARA Port Dickson dengan menggunakan nama PD BOBA.
Bangkit dari bawah, dia cuba memperkenalkan perniagaan melalui Facebook dengan menyasarkan pelanggan di sekitar Port Dickson. Tanpa dijangka, sambutan awal sangat menggalakkan. Ramai yang datang memberikan sokongan dan mencuba minuman yang dijual.
Namun, seperti perniagaan lain, sambutan pelanggan tidak sentiasa konsisten. Semakin lama, jumlah pelanggan mula berkurangan.
Tidak lama kemudian, kedua-dua rakan kongsinya mendapat peluang pekerjaan dan seorang lagi menyambung pengajian. Akhirnya, dia perlu meneruskan perniagaan ini seorang diri.
“Saya percaya antara kelebihan yang membantu saya bertahan dalam perniagaan ialah saya seorang yang suka bergaul dan berkawan. Saya selesa berkomunikasi dengan pelanggan, mendengar pandangan mereka dan membina hubungan baik.”
“Bagi saya, perniagaan bukan sekadar urusan jual beli. Komunikasi dua hala dan hubungan dengan pelanggan juga memainkan peranan penting untuk memastikan sesebuah perniagaan terus mendapat tempat di hati mereka.”
Pernah Dapat Jualan Bawah RM50, Tetapi Tidak Pernah Terfikir Untuk Berhenti

Bercerita tentang cabaran, lelaki ini percaya setiap orang yang berniaga mempunyai kisah dan ujian masing-masing.
Namun, sejak hari pertama memulakan perniagaan, dia sudah meletakkan dalam fikiran bahawa setiap perniagaan mempunyai risiko. Kongsinya,
“Jadi, apabila berdepan situasi seperti itu, saya cuba untuk tidak terlalu cepat mengalah.”
“Persaingan dalam dunia perniagaan juga sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Saya tidak melihat pesaing sebagai musuh, sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran untuk terus memperbaiki produk dan perkhidmatan.”
“Saya sentiasa percaya bahawa apabila kita menyediakan sesuatu dengan ikhlas, menjaga kualiti dan memberikan yang terbaik kepada pelanggan, insya-Allah akan ada rezeki yang datang.”
Pasangan Suami Isteri Kini Terima 30 Tempahan Vendor!
Tahun 2025 menjadi satu fasa perubahan yang agak besar buat pasangan suami isteri ini. Disebabkan jualan merosot secara tiba-tiba, dia mengambil keputusan untuk tidak berniaga di tapak selama tujuh bulan.
Walaupun begitu, jauh di sudut hatinya dia masih sayangkan perniagaan yang sudah dibina sejak tahun 2019. Terlalu banyak masa, tenaga dan kenangan yang telah dilaburkan untuk dia melepaskannya begitu sahaja.
Anda mungkin berminat dengan
Daripada terus menunggu keadaan kembali seperti dahulu, saya mula mencari peluang baharu untuk mengembangkan perniagaan. Akhirnya, dia mendapat idea untuk menawarkan perkhidmatan vendor minuman bagi majlis perkahwinan, pertunangan, kenduri dan pelbagai acara. Dari situlah tercetusnya penggunaan nama HULWA sebagai identiti khas untuk perkhidmatan vendor minuman.
“Saya masih ingat tempahan vendor perkahwinan pertama saya di Dewan Majestic Hall, Port Dickson pada 6 Disember 2025. Lebih manis, majlis tersebut merupakan majlis perkahwinan seorang kawan saya sendiri, Syaza.”
Tempahan pertama itu menjadi satu permulaan baharu yang cukup bermakna. Daripada situ, saya mula memberanikan diri untuk mempromosikan perkhidmatan melalui TikTok, Instagram dan platform media sosial yang lain.
Apa yang pada awalnya sekadar percubaan untuk mencari peluang baharu akhirnya membuka ruang rezeki yang tidak pernah saya jangkakan.
Sehingga kini, HULWA telah menerima lebih daripada 30 tempahan vendor dengan jadual tempahan yang telah diisi sehingga Disember 2026. Angka tersebut bukan sekadar jumlah tempahan. Setiap satunya merupakan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kepada perniagaan yang dibina.

Lebih menggembirakan apabila kebelakangan ini, HULWA turut menerima tempahan daripada beberapa individu yang dikenali di media sosial seperti DR FIE, Farah Fakhira dan Sofiazaha.
Teruja dengan pintu rezeki yang semakin terbuka luas, peluang ini menjadi peluang untuk dia memperkenalkan HULWA kepada lebih ramai orang.
Daripada menjual minuman kepada rakan-rakan di rumah, mengumpul modal RM700, menguruskan perniagaan seorang diri, melalui fasa jualan merosot sehinggalah kembali bangkit melalui perkhidmatan vendor perkahwinan.
Apa yang menarik dalam dunia bisnes, dia belajar untuk tidak terlalu takut untuk memulakan sesuatu yang baharu hanya kerana kita tidak mempunyai perancangan yang sempurna. Kadangkala, peluang terbaik hadir daripada perkara yang langsung tidak pernah kita rancangkan.
Semoga anda yang pernah terduduk kerana terjatuh, tidak takut untuk bangkit semula!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

