
Suami “tunggang agama” demi nak poligami, guna nasihat Ustaz seberang kena kahwin lain kalau nak bisnes maju.
Tindakan seorang suami memperalatkan nama agama serta menjadikan “nasihat ustaz” dari negara seberang sebagai alasan untuk berpoligami bukan sahaja gagal menyelamatkan perniagaannya malah menghancurkan hidup isteri pertama yang terpaksa menanggung derita emosi dan beban hutang jutaan ringgit.

Kisah menyayat hati itu dikongsikan oleh Perunding Keluarga Islam yang juga Peguam Syarie, Puan Suzana Ghazali yang mendedahkan sikap manipulatif segelintir lelaki apabila tergamak menunggang agama demi memenuhi keinginan diri sendiri.
Menurut penceritaan kliennya, segalanya bermula apabila si suami menghadapi masalah dalam perniagaan apabila setiap usaha yang dilakukan sering gagal dan dilanda pelbagai rintangan.
Dalam usaha mencari jalan penyelesaian, suami berkenaan memaklumkan dirinya telah merujuk kepada seorang individu bergelar “Ustaz” dari seberang yang mempunyai tiga orang isteri. Namun, jawapan yang diterima langsung tidak masuk akal apabila ustaz tersebut menasihatinya supaya berkahwin lagi satu sekiranya mahu perniagaan maju serta mengembalikan keharmonian dalam rumah tangga.
Poligami Kononnya Boleh Majukan Bisnes, Hutang Melonjak Lebih RM1 Juta
Menggunakan nasihat agama ini, si suami meneruskan niatnya untuk menduakan isteri. Bagi meyakinkan isteri pertama, dia turut menabur janji bahawa wanita kedua tersebut akan diceraikan sekiranya perniagaannya masih menemui jalan buntu.
Namun, selepas enam bulan berpoligami, keadaan bukan sahaja tidak pulih. Malah bertukar menjadi mimpi ngeri. Hutang perniagaan yang sebelum ini hanya sekitar RM300,000 kini melonjak mendadak melebihi RM1 juta sehingga menyebabkan lelaki itu diburu oleh para pemiutang.

Lebih meremukkan hati, isteri pertama menjadi mangsa keadaan apabila wang simpanannya habis dan barang kemas bernilai ratusan ribu ringgit turut tergadai demi menampung kesempitan hidup akibat keputusan suaminya itu.
Anda mungkin berminat dengan
Apabila isteri pertama menuntut janji lama agar perkahwinan kedua dibubarkan memandangkan keadaan kewangan semakin meruncing, si suami tanpa rasa bersalah memutar belit keadaan dengan memberikan alasan baharu dengan memaklumkan isteri keduanya kini sedang sarat mengandung.
Perkongsian dari peguam syarie ini sekali gus membuka mata masyarakat tentang bahaya golongan yang sewenang-wenangnya menyalahgunakan nasihat agama dan institusi perkahwinan sebagai ‘jalan pintas’ atau perisai bagi menutup kelemahan diri dalam urusan perniagaan sehingga akhirnya menzalimi pasangan yang setia berkorban.

download sekarang!
