Belasah isteri ketiga hingga koma, bekas suami Jahidah diperintah bela diri. Pasti ramai masih mengingati kes seorang kakitangan kerajaan, Jahidah yang dibelasah oleh suami hingga koma.
Penderitaan dilaluinya tidak mudah di mana dalam keadaan koma, dirinya mengandung anak sulung hasil perkahwinannya itu. Bahkan hingga ke hari dirinya tak mampu pun memeluk anaknya walau sesaat kerana masih terlantar koma.
Belasah Isteri Ketiga Hingga Koma
Sekian lama menunggu apa bentuk hukuman ke atas bekas suami yang mencederakannya, semalam Mahkamah Sesyen memerintahkan Rosmaini Abd Raof yang juga seorang peniaga untuk membela diri atas pertuduhan mencederakan isteri pada 2021 selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan adanya prima facie terhadap tertuduh.
Memetik laporan Berita Harian, Hakim Mahkamah Sesyen, Fatimah Zahari membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tertuduh, Rosmaini Abd Raof, 41, di akhir kes pendakwaan.
Pasangan itu kini sudah berpisah selepas Mahkamah Rendah Syariah Seremban pada 15 Mac tahun dilapor membenarkan permohonan fasakh yang difailkan keluarga Jahidah pada 1 Februari sebelumnya terhadap Rosmaini.
“Selepas meneliti keterangan saksi pendakwaan, termasuk dokumen, ekshibit serta hujahan bertulis pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
“Oleh itu, tertuduh diperintahkan untuk membela diri mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” kata Fatimah.
Rosmaini diperintah membela diri selepas wujud prima facie atas pertuduhan membelasah isteri hingga koma. Gambar:- Harian Metro
Bekas Suami Jahidah Diperintah Bela Diri
Rosmaini diberi tiga pilihan untuk membela diri iaitu pertama, boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan; kedua, boleh memberi kenyataan tidak bersumpah dari tempat saksi; dan ketiga, boleh memberi keterangan secara bersumpah.
Ads
Tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah ketika membela diri. Mahkamah kemudian menetapkan 24 Januari ini untuk sebutan semula bagi menetapkan tarikh perbicaraan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bariah Jalil, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, TC Lim.
Muhammad Hazeem Mohd Norizan sebagai peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa, Jahidah Nordin@Sylvester, 46, turut hadir mengikuti prosiding berkenaan.
Terdahulu, keluarga Jahidah membabitkan bapanya, Nordin Kasim, 70, bersama dua adik mangsa, Fauziah dan Fazariah Nordin, hadir seawal jam 8 pagi di pekarangan mahkamah untuk mengikuti prosiding berkenaan.
Pada 17 Jun 2021, Rosmaini dilaporkan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isteri ketiganya itu.
Ads
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan mangsa yang masih isterinya ketika itu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin, kira-kira jam 6 pagi 4 Mei 2021, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Seksyen 325 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara bagi tempoh dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, kes Jahidah itu menggemparkan negara berikutan wanita berkenaan dilaporkan hamil ketika dipukul sehingga parah dan koma.
Jahidah yang juga bekas kakitangan sebuah jabatan kerajaan itu kemudian dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Ads
Beliau selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail, secara pembedahan dan masih koma pada 30 November 2021.
Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban dilapor membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.
Poligami; Suami Happy, Isteri dan Anak Yang Depresi
Poligami. Seronok bagi lelaki, derita bagi anak dan isteri. Faktanya, isteri yang dipoligamikan mudah mengalami depresi dan anak-anak alami “childhood trauma”. – Kaunselor Haji Hushim Haji Salleh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isterinya tak pernah menghidap apa-apa penyakit dan sebarang alahan sepanjang mengandung anak ketiga mereka kali ini. Jadi suami terkilan hilang isteri dan anak dalam kandungan.
Memang sedih apatah kehilangan keduanya sekali serentak. Team MW merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Umaisarah Azmi. Al-Fatihah.
Suami Terkilan Hilang Isteri & Anak Dalam Kandungan
“Saya minta orang ramai jagalah prosedur operasi standard (SOP) kerana saya sudah kehilangan isteri dan anak kerana Covid-19.
“Kasihanilah anak, isteri dan suami masing-masing serta duduklah di rumah kerana boleh alami nasib sama seperti saya,” kata Mohd Fadli Abd Wahab, 35.
Menurutnya, isterinya, Umaisarah Azmi, 25, yang hamil tujuh bulan disahkan meninggal dunia semalam pada 1.25 tengah hari selepas dijangkiti Covid-19, malah anak dalam kandungannya juga gagal diselamatkan.
Tambah Mohd Fadli, isterinya yang tidak bekerja menghembuskan nafas terakhir ketika dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, selepas mengadu sesak nafas dan sakit kepala yang teruk.
“Isteri saya tidak pernah menghidap penyakit atau mengalami alahan sejak mengandung anak ketiga mereka.
“Bagaimanapun, dia mengejutkan saya kira-kira 4 pagi semalam selepas mengadu tidak boleh bernafas, kaki dan tangannya menjadi lemah.
“Saya terus membawanya ke HSAH kerana bimbang melihat keadaannya yang semakin lemah sebelum dia dimasukkan ke Zon Merah HSAH.
“Tidak lama kemudian doktor mengesahkan dia meninggal dunia akibat Covid-19,” katanya.
Petanda Akan Pergi
Mohd Fadli yang menetap di Kampung Pokok Asam di sini, tidak menyangka perubahan sikap isterinya yang tidak sabar untuk menyambut kelahiran bayi mereka adalah petanda dia akan pergi buat selamanya.
Katanya, ketika mengandungkan anak sulung mereka, Muhamad Adam, 3, persiapan yang dilakukannya hanya biasa-biasa tetapi kali ini dibelikan barang yang mahal.
“Saya sentiasa menemani isteri di rumah kerana tidak dapat bekerja disebabkan tempat kerja ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Saya agak terkilan kerana tak sempat bersama di sisinya ketika dia menghembuskan nafas terakhir dan hanya melihat tubuhnya kaku ketika doktor panggil untuk tujuan pengesahan,” katanya.
Reda Dengan Pemergian Isteri
Mohd Fadli yang bekerja di sebuah pusat menjual kereta di Padang Temusu di sini, reda dengan pemergian isterinya itu dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Asam pada 4 petang hari ini.
Jelasnya, dia bersama dua anaknya dan ibu mentua juga menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini dan diarahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kuarantin hingga 26 Julai ini.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo ketika dihubungi mengesahkan berlaku kematian seorang ibu hamil di HSAH kerana Covid-19 dan keluarga mangsa juga diarahkan untuk dikuarantinkan.
MW: Semoga keluarga ini tabah berdepan dengan ujian ini. Sentiasa beringat menjaga keselamatan diri dan keluarga, kerana Covid-19 tidak mengenal sesiapapun.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral. Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini. Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Buat Aneka Kuih Frozen. Confirm sedap, laku keras. Dibuka pada 24 Julai 2021. Peserta diberi tunjuk ajar menyediakan beberapa jenis makanan sejuk beku yang laris di pasraan seperti donut, samosa, pizza dan banyak lagi. Sila klik pautan ini untuk pendaftaran //toko.ideaktiv.com/product/buat-aneka-kuih-frozen-confirm-sedap-laku-keras/
Chef Wan minta maaf isu hina pakaian Aishwarya Rai di Festival Cannes, “tiada niat rasis atau hina agama. Nama Chef Wan menjadi sorotan kecaman warga maya apabila memberi komen terhadap pakaian dikenakan bintang Bollywood, Aishwarya Rai di Festival Filem Cannes.
Chef Wan Minta Maaf Isu Hina Pakaian Aishwarya Rai Di Festival Cannes
Dalam komen tersebut, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail secara berseloroh berkata, gaun yang dipakai bekas ratu cantik di karpet merah di Festival Filem Cannes itu seperti membawa kavadi ke upacara Thaipusam di Batu Caves.
Tulisnya, “She carrying Kavadi on herself heading to Batu Cave Thaipusam ceremony.” Ekoran hal ini, ada laporan polis dibuat terhadap dirinya. Masa yang masa, polis mengesahkan Chef selebriti terkenal ini sedang disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Tiada Niat Rasis Atau Hina Agama”
Ekoran namanya terus panas, di instagram peribadinya @_chefwan58 yang kini sedang bercuti di Greece secara peribadi meminta maaf di atas kenyataan komen dikeluarkannya.
”Saya rasa tiba masanya untuk saya tampil dan berterus-terang dengan sejujurnya berkenaan komen yang saya buat baru-baru ini di Instagram Namaste Bollywood yang memaparkan gambar Aishwarya Rai di Festival Cannes dengan pakaiannya yang mendapat reaksi daripada seluruh dunia.
“Saya selalu mempercayai kejujuran dan niat sebenar di hati ketika membuat komen tersebut… niat itu penting! Ketika pertama kali saya melihat kapsyen yang bertanya kepada pengikut “First thought that goes to mind” (sila fahami maksud kapsyen ini dengan betul), fikiran saya serta-merta memikirkan bahan yang digunakan oleh pereka untuk pakaian tersebut. Saya sering melihat bahan seperti itu digunakan dalam Kavadi agama pada perayaan Thaipusam di Batu Caves.
“Kerana ramai pengikut juga komen di situ mengatakan ia kelihatan seperti burung merak, maka fikiran saya terlintas… Ya, betul, semasa perayaan Thaipusam memang banyak Kavadi dibawa menggunakan banyak bulu merak. Saya selalu berfikir bahawa bulu merak itu cantik.
“Oleh kerana kapsyen tersebut meminta fikiran pertama kita melihat pakaian itu, serta-merta saya menaip dan berkata, “She carrying Kavadi on herself heading to Batu Cave Thaipusam ceremony.” Omg, tidak pernah terlintas dalam sejuta tahun niat sebenar saya untuk menjadi rasis atau menghina agama!
“Berdosa jika ada yang ingat dan menuduh saya buat sedemikian sedangkan niat hati saya adalah untuk hanya mengaitkan perayaan tersebut kerana ia adalah perayaan terkenal di negara kita. Sejujurnya, itu adalah niat sebenar saya. Bukan untuk mengejeknya kecuali saya tahu saya juga bergurau untuk membuat orang ketawa kerana pakaian itu begitu besar dan memang kelihatan seperti merak.
Dalam pada itu, Chef Wan berkata, dari sudut hatinya dirinya meminta maaf di atas segala yang terjadi dan tiada niat untuk menghina agama atau bersikap rasis.
Tambah Chef Wan lagi, dirinya telah merakam beberapa episod rancangan perjalanan dirinya rakaman luar negara yang dihoskan oleh selebriti chef TV lain semasa Thaipusam beberapa tahun yang lalu.
“Bahan yang mereka gunakan adalah sama dalam banyak Kavadi kerana ia begitu berkilauan dan berwarna-warni.
Tambahnya lagi, dirinya tidak pasti jika penggunaan bahasa Inggerisnya tidak tepat sekaligus membuat ramai bangsa India salah faham dengan apa cuba disampaikannya.
“Bukan niat saya untuk menjadi rasis atau memburukkan agama Hindu kerana sebagai seorang selebriti chef, saya amat menyayangi dan menghormati semua budaya dan agama di dunia.
“Saya menyayangi semua orang di dunia dan rakyat Malaysia dari semua budaya. Saya minta maaf jika ada tersakiti dengan kenyataan tersebut, tulisnya.
Apabila mak ayah semakin meningkat usia dan mulai jatuh sakit, menjadi tanggungjawab anak-anak untuk memberi tumpuan dan menjaga segala keperluan mereka. Memang bukan mudah, apatah lagi terpaksa mengenepikan kerjaya seketika, namun demi berbakti kepada mereka, ia perlu menjadi keutamaan.
Menjaga mak sakit bukan pengorbanan tapi satu tanggungjawab itulah pendirian buat pelakon lelaki versatil, Azhan Rani,47 yang berkongsi pengalaman menjaga ibunya yang sedang sakit di hospital baru-baru ini.
Beri Perhatian Jaga Ibu Sakit
Biarpun sibuk dengan urusan kerjaya dan jadual padat saban hari, pelakon Azhan Rani mengakui terpaksa mengetepikan beberapa tawaran yang datang kerana perlu memberi perhatian kepada ibunya yang sedang sakit.
Menurut Azhan, sejak lebih dua minggu lalu, ibunya, Salmah Budin, 77, dimasukkan ke hospital dan memerlukan pemantauan rapi selepas beberapa kali tidak sedarkan diri di rumah.
Mengambil tanggungjawab untuk menjaga ibu bersama adik-beradiknya, pelakon yang popular dengan drama Nur itu lega apabila keadaan wanita itu beransur baik dan kini sedang menjalani rawatan fisioterapi serta pemulihan.
“Sudah hampir sebulan saya tidak terikat dengan urusan kerja kerana mahu memberikan tumpuan menjaga ibu yang sedang terlantar di hospital. Dia kini hanya terbaring, tidak mampu untuk duduk dan berdiri.
“Ibu juga memakai pampers 24 jam, jadi anak-anak perlu menjaga dan menguruskan segala keperluannya. Buat masa ini saya bergilir-gilir dengan adik.
“Apa-apa pun saya bersyukur melihat ibu menunjukkan perkembangan positif. Mungkin sukar sembuh sepenuhnya kerana faktor usia, tetapi sekurang-kurangnya ibu dalam keadaan yang baik,” katanya.
Jaga Mak Ayah Sakit Satu Tanggungjawab
Dalam pada itu, Azhan mengingatkan anak-anak di luar sana agar tidak berasa susah atau terbeban menjaga ibu bapa yang sedang sakit kerana itu adalah tanggungjawab mereka.
“Saya akui menguruskan orang tua yang sakit sememangnya tidak mudah. Apatah lagi jika anak lelaki yang kena menjaga dan menguruskan ibu. Bagaimanapun kita kena buang perasaan malu, kotor atau geli nak bersihkan najis dan sebagainya.
“Saya harap bila orang tua kita sakit, anak-anak janganlah datang untuk melawat sahaja. Mereka tak perlukan pelawat tapi penjaga.
“Saya tidak melihat menjaga ibu bapa ini sebagai satu pengorbanan, tetapi tanggungjawab seorang anak,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaharu Astro yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.
Jadual Kerja Kembali Sibuk Bulan September
Berkongsi perkembangan terkini, Azhan berkata, jadual kerjanya kembali sibuk bermula September ini apabila terlibat dengan penggambaran drama dan telefilem yang sudah dipersetujui.
“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya akan memulakan penggambaran drama dan telefilem bulan depan termasuk menjalani penggambaran di Makkah. Kalau ada rezeki juga saya juga akan mengerjakan ibadah umrah pada Oktober ini.
“Selain itu, saya juga dalam persiapan untuk misi pendakian terbaharu di Nepal yang dijangka bermula tahun hadapan. Jadi pada Ogos ini, saya perlu mengikuti beberapa sesi latihan pendakian di Gunung Kinabalu.
“Bagaimanapun saya kena tengok juga perkembangan terkini kesihatan ibu dan mungkin perancangan akan berubah berdasarkan keadaannya,” katanya.
Ramai Mendoakan Kesembuhan
Ramai yang turut mendoakan kesembuhan bagi ibu Azhan Rani ini.
Azhan juga mengucapkan terima kasih di atas doa-doa semua pihak.Tidak lupa juga penghargaan buat seluruh team doktor, jururawat dan staf hospital KKB dan unit paliatif hospital selayang yang banyak berkorban menguruskan dan beri tunjuk ajar padanya.
“Terima kasih atas doa semua. Mak self rehab di rumah setelah 18 hari warded. jutaan penghargaan buat seluruh team doktor, nurse dan staf hospital kkb dan unit paliatif hospital selayang yang banyak berkorban menguruskan dan beri tunjuk ajar.”
“Semoga Allah bukakan seluas-luasnya pintu rahmat, rezeki dan kesihatan yang baik buat anda semua. terima kasih juga yang memahami dan memberi ruang privacy buat kami. in shaallah doa yang baik-baik sentiasa buat kalian juga,” ujarnya.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah, tahniah buat Azhan Rani menunaikan tanggungjawab sebagai anak, berbakti menjaga ibu yang sakit. Semoga diberi kesembuhan buat ibu tersayang.
Naim Daniel mengaku tidak bersalah kes amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan 17 tahun. Penyanyi dan pelakon Naim Daniel mengaku tidak bersalah di Mahkamah...