Ramai pelajar terkandas di institut pengajian tinggi masing-masing apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan. Prihatin dengan masalah mereka, pihak kerajaan mengambil jalan tengah dengan memberi bantuan makanan kepada pelajar yang tidak dapat pulang ke rumah masing-masing.

Namun begitu, ada segentir pelajar meluahkan rasa tidak puas hati dengan kualiti makanan yang diberikan. Luahan ini menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat dan melabelkan mereka sebagai tak bersyukur.

Sebaliknya meminta mereka sentiasa bersyukur walau nikmat tak seperti diimpi kerana ada orang lain lebih teruk keadaannya.

Ikuti perkongsian, Dr Midhat Nabil ini:

BERSYUKURLAH…

Saya tertarik dengan satu posting mengenai makanan yang disediakan oleh sebuah universiti kepada pelajar yang tinggal di asrama disebabkan oleh PKP. Posting oleh pelajar tersebut menunjukkan kekecewaannya terhadap kualiti makanan yang telah disediakan kepadanya.

IKLAN

Percayalah, makanan sebegitu bagi saya sudah cukup sempurna sekali. Masih lagi saya teringat ketika saya belajar Diploma Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis bagi tempoh 1998 hingga 2000.

Ketika itu, makanan disediakan bagi setiap pelajar, yang meliputi sarapan pagi, tengahari dan makan malam. Saya rasa sungguh bersyukur sekali, lebih-lebih lagi pinjaman PTPTN hanya disediakan ketika saya berada di semester terakhir pengajian (Semester 6).

Telan Juga Sebab Faktor Kewangan

Saya akui, ada ketikanya menu yang disediakan agak kurang menarik, iaitu ‘ikan jaket’ pada setiap hari Jumaat. Keadaan dewan makan akan menjadi lenggang. Ada pelajar yang makan di gerai makan berbayar di dalam kawasan kampus.

IKLAN

Saya juga ada keinginan untuk makan di gerai tersebut, tetapi disebabkan oleh faktor kewangan yang terhad, saya relakan jua untuk menikmati juadah ‘ikan jaket’ tersebut.

Hendak minta duit dengan ayah saya, rasa seganlah pula, memandangkan adik beradik saya seramai tujuh orang, ada yang sudah berada di universiti dan lain-lain masih lagi bersekolah.

Bagi saya, kita perlulah sentiasa mensyukuri segala nikmat yang telah kita perolehi, walaupun nikmat tersebut mungkin tidak seperti apa yang kita impikan. Ketahuilah, pasti ada di antara kita yang menikmati juadah yang lebih lagi kurang sempurnanya berbanding dengan gambar makanan di dalam posting tersebut pada setiap hari.

Renung-renungkan:

Renung-renungkanlah ayat Al-Quran ini dan sentiasalah menjadi seorang yang selalu bersyukur:

IKLAN

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

P/s: Saya dimaklumkan bahawa pihak universiti terbabit telah menafikan akan dakwaan posting tersebut dan ianya dianggap sebagai satu fitnah semata-mata.

#Syukur
#Nikmat
#Allahtambahnikmatbagiorangbersyukur

Sumber: Dr Midhat Nabil

MW: Bersyukurlah dengan setiap rezeki yang Allah kurniakan. Beringatlah bahawa ada sesetengah orang tak dapat menjamah makanan kerana tiada wang seterusnya terpaksa berlapar. 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI