Suatu pagi yang hening, pintu rumah Mak Minah diketuk oleh satu panggilan yang cukup dikenali. Kedengaran suara Junainah memberikan salam dari luar rumah. Seperti yang dijangka Mak Minah pasti ada kematian yang perlu diuruskan olehnya. Tekaan Mak Minah ternyata tepat, Junainah meminta Mak Minah datang ke rumah makciknya yang terletak tidak jauh dari situ untuk menguruskan jenazah sepupunya yang dikenali sebagai Baiti.

Kemalangan

Mak Minah memang cukup dikenali di kampungnya kerana sering menguruskan jenazah-jenazah wanita di situ. Pagi hari tersebut cukup nyaman dengan cuaca yang agak dingin dan mendung. Setelah bersiap Mak Minah melangkah ke rumah ibu arwah Baiti. Menurut Junainah sepupunya itu meninggal dunia pagi tadi kerana kemalangan ketika hendak ke tempat kerja.

Mak Minah kurang mengenali Baiti, selepas tamat sekolah, Baiti melanjutkan pelajaran dan hanya baru-baru ini sahaja dia tinggal di kampung kerana sudah tamat belajar dan mendapat kerja yang berdekatan dengan kampung mereka.

Ibunya, Faridah memang cukup dikenali kerana kebaikan dan juga sikap ramahnya.

Sampai sahaja di rumah Faridah, jenazah Baiti sudah tersedia di tempat yang dikhaskan untuk memandikan jenazah. Ketika Mak Minah dan yang lain menyingkap kain yang menutup wajah arwah Baiti, mereka melihat wajahnya yang tersenyum dan cerah seakan-akan dia sedang tidur. Tiada sedikit pun cacat cela pada badan Baiti, Cuma sedikit calar di kaki mungkin kerana luka yang didapati dalam kemalangan yang menimpanya.

Lancar

Proses memandikan jenazah berjalan Dengan lancar. Ketika semuanya selesai dan jenazah hendak diangkat ke proses seterusnya, keluar sesuatu yang berwarna putih memenuhi ruangan tersebut. Yang lebih memeranjatkan benda tersebut bertukar menjadi bauan yang wangi seharum Kasturi.

Semua yang ada di situ saling berpandangan antara satu sama lain. Mak Minah memecahkan keheningan dengan lafaz “Subhanallah” dan membuatkan yang lain juga turut tersentak dan tersedar. Benar itu adalah bauan Kasturi, semua yang ada di situ terus berzikir dan bertasbih kepada Allah.

Taat kepada ibu bapa dan kewajipan kepada Allah

Selesai semuanya, Mak Minah mendekati Junainah bertanyakan tentang sepupunya itu ketika hayatnya. Maklum sahaja dia kurang mengenali Baiti. Menurut Junainah, sepupunya itu anak yang baik dan tidak pernah meninggalkan kewajipan terhadap Allah dan ibu bapanya setelah usianya baligh.

“Arwah ni memang sepupu saya yang paling baik Mak Minah. Seingat saya selepas dia baligh, dia tak pernah tinggal puasa sunat Isnin dan Khamis kecuali ketika haid. Dia juga anak yang taat kepada ibu bapa dan tak pernah berkata tidak kepada kedua orang tuanya. Dia tak kisah dengan dunia, televisyen tak tengok, tak layan lagu-lagu mahupun drama-drama dan sebagainya.

“Hidup dia memang didedikasikan untuk berjasa kepada orang tuanya dan juga kewajipan terhadap Allah. Saya pun hairan macam mana gadis sepertinya yang masih lagi muda boleh tahan dengan godaan dunia. Saya memang rapat dengan dia. Saya ingat lagi minggu lepas dia ada cerita dekat saya nak ikuti kursus pengurusan jenazah dekat masjid di pekan, tak sangka pula dia dulu yang dimandikan dan dikafankan,” cerita Junainah penuh sayu mengenai arwah sepupunya.

Mak Minah mengangguk faham mendengar cerita Junainah, memang sudah banyak perkara yang dialami sepanjang menguruskan jenazah tapi kali ini cukup berbeza. Semuanya dipermudahkan malah cuaca juga seakan menangisi pemergian wanita sebaik Baiti.

Benarlah janji Allah itu pasti, siapa sahaja yang berbuat kebaikan dan juga menjaga hubungan dengan Allah dan berbuat baik dengan orang tua pasti beroleh kebaikan dan dipermudahkan segalanya di dunia dan juga akhirat.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI