Orang cakap segala kerja rumah tu adalah tanggungjawab isteri. Jadi, persoalannya, suami buat apa pula kat rumah. Hanya goyang kaki sahaja. Tengok televisyen dan tiba masa makan, mulalah buka tudung saji.
Pernah fikir tak? Isteri bekerja yang sama-sama untuk membantu menambahkan pendapatan keluarga. Kalau ikutkan, suami sahaja yang bekerja. Jadi, di manakal letaknya peranan suami sebagai ayah dan ketua keluarga?
Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat mengupas tentang perkara ini.
Bukan Tugas Isteri Sahaja
Suami tidak boleh berkata ‘ini tugas isteri saya’ dan bukan tugas saya. Seorang suami boleh menggunakan fungsinya untuk membantu isteri tanpa disuruh. Tugasan suami di rumah seperti membantu kerja isteri di rumah, tidak sesekali pun menjatuhkan martabat seorang suami.
IKLAN
Tidak dinafikan seorang suami mempunyai egonya yang tersendiri dan ia sangat berbeza. Ada suami meletakkan batasan dan membahagikan tugasan rumah. Ada sesetengah suami takut jika ada orang lain menganggap dia berada di bawah kawalan isteri dan malu untuk membantu isteri kerana itu bukan tugas suami. Anggapan suami, kerja-kerja rumah adalah kerja isteri. Suami hanya mencari nafkah untuk keluarga sahaja.
Ringankan Tugas Isteri
Seorang suami perlu mengambil langkah yang pro aktif dan tanpa disuruh untuk membantu isteri. Melihat isteri terkial-kial membuat kerja rumah, suami hendaklah segera membantu untuk meringankan kerja isteri.
IKLAN
Seorang isteri apabila tidak tercapai tugasan seharian akan rasa tertekan sehingga boleh menimbulkan leteran atau bebelan. Pertolongan yang diharapkan adalah dengan meringankan kerja isteri yang tidak terbuat. Setiap isteri memang inginkan bantuan suami untuk meringankan kerja isteri di rumah.
Seorang isteri akan lebih menghormati dan menyayangi, jika suami membantu dengan kerja rumah, walaupun dia tahu dan mampu lakukan sendiri. Ada suami yang tidak peduli walaupun dia tahu isterinya banyak tugasan yang harus dilakukan.
IKLAN
Suami yang tidak mahu membantu bukan akan hilang hormat dan kasih sayang dari seorang isteri. Isteri akan merasakan dirinya diperlakukan sebagai orang gaji untuk kesenangan suami dan keluarga.
Tip Untuk Suami
Perlu memberi kerjasama dan saling membantu dalam membuat kerja rumah. Kerja rumah yang dimaksudkan adalah kerja yang dilakukan bersama untuk meringankan tugas isteri. Ini termasuklah mengemop lantai dan menyapu.
Berilah kata-kata membina dan memberangsangkan kepada isteri. Jika ada teguran, pastikan ia bukan teguran yang menyakitkan hati isteri.
Tip Untuk Isteri
Hendaklah bersabar, jika suami tidak membantu atau enggan membantu.
Jangan memaksa suami membuat sesuatu dengan cara mengeluarkan suruhan atau paksaan kerana tidak ada suami yang suka disuruh atau menerima arahan secara paksa.
Jangan sesekali mengungkit, membebel atau menyalahkan suami di hadapan orang lain. Suami akan kurang selesa dan marah dengan tindakan dan kata-kata tersebut.
Berilah ucapan ‘terima kasih’ sebagai tanda penghargaan untuk suami kerana membantu meringankan kerja isteri.
Nasihat Untuk Suami Isteri
Komunikasi, bertolak ansur dan persefahaman dalam membantu kerja rumah adalah perkara yang amat penting untuk hidup harmoni dan bekerjsama.
Suami yang membantu isteri dengan rela hati akan menambahkan kasih sayang antara mereka.
Sekiranya suami menyayangi isteri, cubalah membantu dan meringankan kerja rumah tanpa di suruh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tiba-tiba hati isteri terdetik nak melihat apa yang ada dalam telefon suami. Tup-tup-tup, kena ada kata kunci atau password. Terkedu, marah atau sedih.
Mana tidaknya, bila pasangan mula merahsiakan kata kunci telefon. Bukan untuk ‘menjaga tepi kain suami atau isteri’ tetapi sekali skala ingin melihat apa yang ada dalam telefon bimbit pasangan. Nak tahu pasangan kita curang atau tidak. kita tengok pandangan daripada Prof Madya Ustaz Hj Mohd Nor Mamat ini.
Ada Sebab Rahsiakan Password
Tidak dinafikan, merahsiakan password juga membawa kepada menutup kecurangan dan keburukan, takut terkantoi dengan pasangan dan sebagainya.
Banyak sebab lain pasangan patut elakkan daripada mengakses telefon pasangan. Antaranya:
1.Elak salah faham kerana kadang-kadang perbualan sesama lelaki mudah disalah ertikan oleh isteri dan perbualan sesama perempuan yang menimbulkan marah suami.
2.Ada perkara penting untuk disimpan oleh isteri tetapi kurang disukai oleh suami. Begitu juga sebaliknya. Jadi, masing-masing merasakan adalah lebih baik menjadikan telefon mereka private. Jika ada toleransi dan saling memahami, situasi ini tidak akan timbul.
3.Sebenarnya untuk tujuan keselamatan daripada orang lain, tetapi disalah ertikan oleh pasangan.
4.Dalam keadaan tertentu, memang ada kewajaran sesuatu yang sangat rahsia dan lebih baik tidak diketahui oleh pasangan atas sebab tertentu yang wajar.
Oleh itu, tidak perlulah sampai memaksa untuk pasangan menceritakan segalanya, tanpa memikirkan kesan baik atau buruk.
Cara Terbaik!
Cara yang terbaik adalah pasangan sama-sama memiliki password untuk keselamatan, tetapi juga mesti sama-sama tahu password masing-masing.
Elakkan dari mencuri-curi melihat telefon pasangan kerana ia boleh menyuburkan rasa curiga.
Menetapkan password telefon bukanlah masalah besar, tetapi merahsiakannya daripada pengetahuan pasangan atau bertukar-tukar password untuk mengelirukan pasangan adalah tindakan yang kurang positif.
Jika keadaan ini dilakukan, ia mungkin bermula dengan kecurangan yang dilakukan atau mungkin curiga yang keterlaluan daripada pasangan.
Elakkan daripada kedua-duanya.
Jangan Kerana Password Jejaskan Kerukunan Rumah Tangga
Berahsia bukanlah bermakna tidak jujur atau menipu. Contohnya, isu telefon peribadi tidak sepatutnya menjadi punca curiga dan saling menyiasat antara satu sama lain. Jangan ada sesuatu yang disembunyikan atau mudah menimbulkan salah faham.
Kepercayaan satu sama lain adalah asas kebahagiaan dalam hubungan dan ia menjadi faktor lebih menghargai dan mudah rasa bersalah melakukan kecurangan kepada pasangan kita.
Selalu orang cakap mak-mak atau isteri garang lebih daripada suami. Kalau sebelum berkahwin tak adalah nampak ciri-ciri itu. Tapi bila dah mempunyai anak, mahunya suara pun bertukar jadi tarzan. Orang yang dengar pun boleh kecut perut.
Sebenarnya, boleh dikatakan setiap mak-mak dan isteri boleh ‘bertukar’ selepas ada anak. Anak seorang bolehlah lembut lagi, tapi kalau anak dah berderet-deret dengan peel masing-masing, boleh jadi singa. Ini belum lagi dengan melayan karenah suami pula kan!
Walau bagaimanapun, isteri garang ini memang cekap dalam membuat kerja rumah. Memang tidak dinafikan. Garangnya hanya sekejap sahaja bila dia merasakan ada yang tidak kena pada pandangan matanya.
Lebih-lebih lagi, kalau anak suka bersepah-sepah. Baru saja kemas, tak sampai lima minit dah bersepah balik. Melihat anak-anak yang awalnya bukan main seronok bermain, lepas itu dengarlah salah seorang menangis.
Ini belum lagi mak-mak yang kepenatan uruskan rumah tangga, tak cukup tidur dan rehat. Semua perkara inilah yang membuatkan mak-mak dan isteri garang.
Dalam hal ini, suami kenalah pandai layan isteri garang. Tak susah pun. Ikuti tip-tip yang diberikan oleh Anie Alja dalam melayan isteri garang. Sesuai sangat buat panduan suami di luar sana.
1. Jangan trigger butang merah isteri. Suami kenalah tahu apa butangnya. Nak suruh isteri saja faham suami, sedangkan suami pun tak nak faham isteri.
2. Jangan bagi dia lapar dan mengantuk. Ini memang kepantangan orang garang. Nak-nak badan jenis cepat masuk angin, tangkap kepala.
3. Isteri garang ni, selalunya cekap buat kerja rumah dan masak, multitask. Jadi, anak berana janganlah buat rumah macam hotel tumpang. Bantu isteri tu.
4. Bila isteri letih, anak memekak, bergaduh tarik rambut, suami kena datang to the rescue. Tarik anak pergi mandi, salin baju, pakai bedak, sikat rambut belah tengah. Biar isteri habiskan masak di dapur. Isteri sejuk hati, lepas masak, anak-anak dah siap kemas dan wangi pakai pyjamas.
5. Jangan kacau isteri letih. Biar dia lena sekali lena sebelum nak minta macam-macam.
6. Bagi dia ‘me time’, lepas seharian urus anak dan suami. Jangan kacau kalau dia tengah tengok tv atau main hp.
7. Kongsi bonus, bagi elaun tiap bulan kalau mampu. Bini garang, dia tak gedik dengan lelaki lain, ustaz pun dia tak layan. Rewardlah loyalty tu.
Suami, jagalah isteri garang ini elok-elok, yang pastinya walaupun dia garang tapi dia akan jaga anak elok-elok dan bukan orang yang ‘gedik’.
MW: Rasanya apa yang dikatakan itu betul tentang isteri garang. Suami kena belajar dan ambil tahu ye!
Suami ‘sura rumah’, isteri pula mencari rezeki begitulah tajuk yang begitu hangat diperkatakan. Malah pada hari ini ramai wanita yang mengalami masalah sedemikian.
Menerusi perkongsian Soal Jawab Keluarga Siri 3 dari Ustazah Asma’ Harun yang juga Bekas Perundingcara Rumahtangga, ada yang bertanyatakan soalan tentang suami yang tidak bekerja manakala isteri yang mencari nafkah.
Suami ‘Sura Rumah’, Isteri Cari Nafkah
Penerangan jawapan yang diberikan oleh Ustazah Asma’ menerusi perkongsian di akaun Facebooknya cukup jelas dan boleh menjadi panduan kepada isteri dan ibu yang mengalami masalah yang sama.
“Assalamualaikum ustazah. Saya nak bertanya. Suami saya tidak bekerja. Dia hanya duduk di rumah. Kalau ada kerja pun, tak bertahan lama. Bila tanya kenapa asyik berhenti kerja, jawapannya sebab ada masalah dengan majikan.
Sekarang saya yang tanggung keluarga sepenuhnya. Suami langsung tak ada rasa bersalah biarkan saya kerja seorang diri. Malah dia minta duit dari saya pula. Katanya gaji saya seorang sudah cukup untuk kami semua. Situasi ini menyebabkan kami kerap bergaduh.
Saya betul-betul sedih dan kecewa dengan suami. Sepatutnya dia yang menyara keluarga, bukannya saya. Tapi, bukanlah bermaksud saya berkira dalam perkara ini. Cumanya saya mahu dia sedar tanggungjawab dia. Bantu saya ustazah. Terima kasih,” soal seorang wanita kepada Ustazah Asma’.
JAWAPAN USTAZAH :
“Wa’alaikumussalam. Terima kasih kerana bertanya. Subhanallah, Puan adalah isteri yang kuat kerana mampu bertahan dengan ujian ini. Pastinya berat bebanan yang ditanggung kerana terpaksa menggalas peranan menyara keluarga. Insya-Allah, saya akan menjelaskan isu ini secara umum.
“Fenomena isteri mencari nafkah keluarga semakin menjadi kebiasaan sebahagian masyarakat kita atas faktor tekanan ekonomi. Maka, jika suami pula berperanan sebagai ‘sura rumah’, menjaga anak-anak, memasak dll, ia dikira satu bentuk sefahaman dan toleransi yang menjadi pengimbang kepada kehidupan yang berlawanan dengan fitrah ini. Semoga ihsan isteri membantu mencari rezeki dan kesabaran suami untuk menguruskan rumahtangga keduanya akan mendapat balasan baik daripada Allah.
“Yang menjadi isu ialah, seperti aduan di atas, iaitu bagi suami yang tidak membantu dalam urusan rumahtangga. Dalam situasi ini, pelbagai konflik akan mudah tercetus.
Asasnya, Suami Bertanggungjawab Menjaga Kebajikan Orang-Orang Dalam Jagaannya
“Baiklah. Asasnya, suami berperanan sebagai yang bertanggungjawab menjaga kebajikan orang-orang dalam jagaannya.
Allah SWT berfirman:
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعۡضَهُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٖ وَبِمَآ أَنفَقُواْ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡۚ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”. [ An-Nisa’:34]
Dalam ayat di atas, Allah melebihkan kaum lelaki daripada kaum perempuan dengan beberapa keistimewaan menunjukkan besarnya tanggungjawab seorang lelaki terhadap wanita.
Suami wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak seperti mana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Jabir r.a:
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلأَهْلِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ
شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَىْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا
Maksudnya: “Mulakan nafkah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.” [HR Bukhari & Muslim]
Para ulama mazhab Syafie menetapkan bahawa nafkah yang wajib di beri adalah:
1. Makanan
2. Barang-barang dapur
3. Pakaian
4. Tempat tinggal
5. Alat-alat untuk membersihkan diri
6. Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaan isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).
[Rujukan: Mughni al-Muhtaj]
Selain itu, kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa seperti dinyatakan dalam firman Allah:
وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” [Al-Baqarah:233]
“Merujuk kepada dalil di atas, jelas menyatakan bahawa wajib bagi suami berusaha sebaiknya menafkahi keluarga. Kegagalan menyediakan keperluan keluarga akan merendahkan martabat seorang lelaki, kecuali bagi yang tidak mampu dengan faktor tertentu.
“Seandainya seorang lelaki itu enggan dan tidak berusaha menafkahi keluarga dalam keperluan asas sedangkan beliau mampu, maka selama itu beliau menanggung dosa, maka isteri memiliki hak untuk mohon fasakh (cerai) perkahwinan dan itu tidak termasuk perkara dosa bagi isteri.
Daripada Abi Hurairah r.a, katanya:
فِي الرَّجُلِ لاَ يَجِدُ مَا يُنْفِقُ عَلَى امْرَأَتِهِ قَالَ يُفَرَّقُ بَيْنَهُمَا
Maksudnya: “Nabi bersabda tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai sesuatu untuk diberi nafkah kepada isterinya: “Pisahkan mereka berdua.” [HR Al-Daraqutni]
Allahuakbar, betapa pentingnya perihal nafkah ini sehinggakan Rasulullah SAW mengizinkan isteri memohon fasakh jika pengabaian nafkah terjadi.
Hal ini juga dinyatakan dalam seksyen 52(1(b)) Akta 303 iaitu Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 iaitu seseorang perempuan boleh membubarkan perkahwinan iaitu membuat permohonan fasakh sekiranya suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkah selama tempoh tiga bulan.
“Walau bagaimanapun, jika isteri menafkahi suami dan anak-anaknya, itu dikira sebagai ihsan serta beroleh pahala kerananya. Suami pula janganlah mengambil kesempatan sehingga tugas hakiki beralih kepada isteri. Berazamlah untuk bekerja semampunya dengan kudrat yang ada bagi menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Berikut adalah doa-doa yang boleh diamalkan:
1. Doa memperbaiki urusan:
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ، وَأَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup dan Berdiri Sendiri. Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah segala urusanku. Jangan Engkau serahkan diriku ini kepada diriku sendiri walau sekelip mata.” [HR An-Nasai]
2. Doa diberikan kefahaman agama.
اَللّٰهُمَّ فَقِّهْنَا فِى الدِّ يْنِ وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah, berikan kami kefahaman agama dan ajarkan kepada kami takwil (tafsir al-Quran). [HR Ahmad]
3. Doa menolak keburukan.
اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tidak ada kebaikan kecuali kebaikan yang datang dari-Mu, dan tidak ada nasib baik kecuali nasib baik yang datang dari-Mu, dan tidak ada Tuhan selain-Mu.” [HR Ahmad]
4. Doa keluarga bahagia:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Al-Furqan:74]
Buat para isteri yang dikala ini menggalas tugas mencari rezeki, perbuatan kalian merupakan satu tindakan yang terpuji dan pengorbanan yang wajib dihargai oleh suami” kata Ustazah Asma’ Harun.
Anak syurga berusia 2 hari meninggal, saluran pencernaan bengkak selepas diurut nenek. Tidak semua pandangan orang lama boleh diikuti meskipun ramai mendakwa terlebih dahulu...