Ads

Azmi Saat Sebak Anak Disahkan Autisme, “Menitik Juga Air Mata Saya Dan Isteri…”

azmi saat

Azmi Saat sebak anak disahkan autisme, “menitik juga air mata saya dan isteri…

Selepas  menunggu kepastian mengenai perkembangan anak perempuannya, penyanyi Azmi Saat berkongsi bahawa Khalisa Insyirah yang kini berusia dua tahun 10 bulan disahkan berada dalam spektrum autisme.

Menerusi perkongsian di media sosialnya, Azmi berkata dia dan isteri sebenarnya sudah lama bersedia dengan segala kemungkinan selepas menyedari beberapa perkembangan Khalisa agak perlahan berbanding kanak-kanak seusianya terutama dari segi komunikasi.

Namun persediaan dari segi mental tidak bermakna mereka mampu menahan emosi apabila pengesahan tersebut akhirnya diberikan doktor.

“Sebenarnya kami berdua dah agak bersedia untuk mendengar jawapan itu. Kami dah membaca, bertanya dan cuba memahami tentang autisme.

“Kami juga sedar Khalisa mempunyai beberapa ciri yang berkaitan dengannya. Tapi rupanya, bersedia dengan fikiran tidak semestinya membuatkan hati terus kebal.

“Bila doktor mengesahkannya, menitik juga air mata kami berdua. Bukan kerana kami tidak boleh menerima Khalisa. Dia tetap Khalisa yang sama sebelum dan selepas kami keluar dari bilik doktor itu.

“Cuma sebagai ibu bapa, macam-macam perkara tentang masa depannya bermain dalam fikiran,” kongsinya.

azmi saat
Selepas sekian lama mencari jawapan, Khalisa akhirnya disahkan berada dalam spektrum autisme. Azmi dan isteri akan meneruskan terapi serta mendapatkan sokongan yang sesuai bagi membantu perkembangan anak kesayangan mereka.

Sedar Sejak Usia Setahun Setengah

Menurut Azmi, dia dan isteri mula menyedari ada sesuatu yang berbeza pada perkembangan Khalisa sejak anak mereka berusia kira-kira setahun setengah.

Ads

Isterinya yang memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak turut merasakan perkembangan Khalisa perlu diberikan perhatian meskipun ketika itu belum ada sebarang diagnosis.

Pasangan berkenaan kemudian mengambil langkah awal dengan membawa Khalisa menjalani terapi cara kerja selain mengikuti Early Intervention Programme (EIP).

“Dalam hati, tentulah kami sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk Khalisa. Dalam masa yang sama, kami juga sedar perkembangan dia agak perlahan berbanding kanak-kanak lain seusianya, terutama sekali dari segi komunikasi,” katanya.

Dalam perkongsian sama, Azmi turut mengakui sebagai pasangan yang kedua-duanya berdepan kekangan penglihatan, dia dan isteri pernah membayangkan perjalanan membesarkan anak yang mungkin lebih mudah.

Namun, Azmi berkata dia dan isteri percaya perjalanan yang ditentukan Allah buat keluarga mereka mempunyai hikmah tersendiri.

“Kami berdua sendiri tidak dapat melihat. Tentulah jauh di sudut hati, kami pernah membayangkan perjalanan membesarkan anak yang mungkin lebih mudah.

Ads

“Tetapi Allah menentukan perjalanan yang lain buat kami. Dan sebagai hamba, kami percaya apa yang Allah tentukan pasti ada hikmahnya. Walaupun hari ini kami belum mampu melihat keseluruhan hikmah itu.

“Kami manusia biasa. Ada masa kami kuat. Ada masa kami risau. Ada masa kami tertanya-tanya bagaimana perjalanan ini nanti. Mungkin inilah salah satu ujian yang Allah amanahkan kepada kami,” luahnya.

azmi saat
Azmi Saat bersama isteri, Nazira Muhammad dan anak mereka, Khalisa Insyirah yang kini berusia dua tahun 10 bulan. Pasangan itu mula menyedari perkembangan Khalisa berbeza sejak berusia kira-kira setahun setengah.

 

Teruskan Terapi, Urus Pendaftaran OKU

Biarpun pelbagai persoalan mengenai masa depan Khalisa bermain di fikiran, Azmi bersyukur diagnosis tersebut memberikan arah lebih jelas buat mereka dalam menentukan bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan anaknya.

Selepas ini, terapi akan diteruskan selain pasangan itu mahu mendapatkan sebanyak mungkin ilmu dan bantuan yang bersesuaian serta menguruskan pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) untuk Khalisa.

Ads

Azmi pada masa sama menegaskan perkongsian tersebut bukan bertujuan meminta simpati, sebaliknya berharap pengalaman mereka dapat membantu ibu bapa lain yang mungkin sedang melalui situasi sama.

Anda mungkin berminat dengan

“Kadang-kadang kita terlalu mahu anak kita menjadi seperti apa yang kita bayangkan, sampai terlupa untuk mengenali siapa sebenarnya anak yang Allah amanahkan kepada kita.

“Setiap anak ada kemampuan, kekurangan, kelebihan dan waktunya sendiri. Tugas kita bukan memaksa mereka menjadi seperti orang lain.

“Tugas kita ialah cuba memahami sejauh mana kemampuan mereka, membantu mereka berkembang sebaik mungkin dan meraikan setiap kemajuan, walaupun bagi orang lain ia kelihatan kecil. Kerana itu juga hak mereka sebagai anak,” katanya.

Bagi Azmi, pengesahan tersebut tidak sedikit pun mengubah siapa Khalisa di mata mereka, sebaliknya dia dan isteri kini perlu belajar lebih banyak untuk memahami dunia anak kesayangan mereka.

“Hari ini, Khalisa masih Khalisa yang sama. Cuma ibu dan ayah sekarang perlu belajar lebih banyak untuk masuk ke dalam dunianya.

“Insya-Allah, kita belajar sama-sama, ya sayang. Doakan perjalanan kami dipermudahkan,” katanya.

Untuk rekod, Khalisa yang dilahirkan pada 6 November 2023 merupakan cahaya mata kedua Azmi bersama isterinya, Nazira Muhammad.

Pasangan itu sebelum ini dikurniakan anak sulung, Allahyarham Khairul Afnan yang meninggal dunia tiga hari selepas dilahirkan pada September 2021.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Cerita Lain

Fikry Ibrahim

Fikry Ibrahim Sahkan Sudah Berpisah Dengan Isteri Sejak 173 Hari Lalu

Fikry Ibrahim akhirnya mengesahkan sudah berpisah dengan Siti Khalizah Alihan sejak 173 hari lalu. Dia turut menitipkan doa buat bekas isterinya.