Sebagai ibu, sesungguhnya apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditelan. Bayangkan 24 jam Masyitoh menguruskan anaknya secara bergilir dengan suami di wad. Sepanjang menerima rawatan di PPUM, mereka sekeluarga tinggal di PPUM. Di sebelah siang, dia menguruskan Aysar yang mengalami talasemia sementara suaminya ke UPM untuk meneruskan tugas hakiki sebagai pelajar.

Manakala di sebelah malam pula, suaminya pula mengambil alih tugas menjaga Aysar. Sementara Masyitoh menjaga Affan iaitu adik Aysar di bilik keluarga yang disediakan. Setiap masa memang fokus utama keluarga ini adalah pada Aysar seorang.

Jadi buat masa sekarang, bukan mudah untuk mereka melupakan segala kenangan bersama Aysar yang terlebih dahulu dijemput Ilahi. Namun begitu Masyitoh sekeluarga reda dengan pemergian Aysar. Tetapi biar beribu batu mereka membawa diri, kenangan bersama Aysar tetap mengusik jiwa.

“Saya bersyukur Allah pinjamkan Aysar selama enam tahun sembilan bulan buat kami sekeluarga, jadi perkara ini buat saya reda dengan ketentuan Allah.

“ Sekarang Aysar sudah tenang di syurga dan gembira di sana. Kami di dunia ini belum tentu dapat jumpa lagi dia di sana. Terlalu banyak kesakitan yang Aysar lalui dan tanggung di dunia, jadi inilah jalan takdirnya.

“Sedih itu biasa, saya pun kadang-kadang terpanggil nama Aysar, memang saya cuba padam segalanya tetapi entah bila semua ini akan berakhir. Lambat atau cepat saya serahkan pada Allah. Jika kami sayangkan Aysar, kasih sayang Allah lebih mengatasi kasih sayang kami.

“Segalanya adalah pinjaman Allah. Fokus kami kini adalah kepada Affan namun kami masih trauma dengan kehilangan Aysar dan belum membuat keputusan apa rawatan seterusnya untuk Affan,” katanya lagi yang kini menjalani rutin biasa untuk tranfusi darah buat anak kedua mereka, Affan Mustaqeem.

Aysar Terlalu Banyak Menderita Di dunia, Biarlah Dia Tenang & Tidak Perlu Dicucuk
Segalanya tinggal kenangan, Aysar akhirnya pergi jua.

Pemeriksaan Darah

Sesungguhnya hati ibu tidak keruan setiap kali melihat anak yang masih kecil menjalani rutin yang sama saban bulan. Bayangkan lengan kecil dengan kulit yang putih mulus dicucuk berkali-kali untuk pemindahan darah.

Sekuat mana pun hati seorang ibu, pasti akhirnya menangis melihat anak yang dikandung sembilan bulan yang tidak tahu apa-apa perlu melalui situasi getir hingga akhir hayatnya. Sejujurnya, wanita ini dan suami sememangnya tidak mengetahui bahawa mereka kedua-duanya pembawa talasemia.

Ads

Sehinggalah ketika anak sulungnya, Aysar Muhaimin Abdul Halim, tumbuh ruam di seluruh badan. Pada fikiran seorang ibu, barangkali ianya sekadar ruam atau alergi.

Namun setelah mendapat rawatan doktor, mereka diminta untuk membawa Aysar Muhaimin atau panggilan manjanya Aysar untuk menjalani pemeriksaan darah untuk mengetahui apakah punca sebenar.

Biar pun buat masa itu, Masyitoh Yusoff, 35, dan suaminya, Abdul Halim Haji Ismail, 35, agak terkejut tetapi keduanya akur, siapa sangka daripada situlah kenyataan sebenar terbongkar.

Aysar Terlalu Banyak Menderita Di dunia, Biarlah Dia Tenang & Tidak Perlu Dicucuk
Kini Affan meneruskan tranfusi darah seperti biasa, buat masa sekarang inilah langkah yang terbaik buat keluarga kecil ini.

Dicucuk Berkali-kali

Pada mulanya, melalui ujian darah biasa, Masyitoh bukanlah pembawa, tetapi setelah menjalani ujian DNA, barulah persoalan sebenar dapat diungkai.  Akhirnya setelah keputusan diterima, kedua-duanya merupakan pembawa talasemia.

“Pada ketika itu juga, barulah kami tahu bahawa kedua-dua anak kami merupakan pengidap talasemia kerana kami keduanya merupakan pembawa. Kedua-dia anak saya merupakan pengidap beta talasemia major.

“Saya pula sebelum ini tidak pernah mengalami apa-apa tanda, cuma seingat saya ketika awal-awal mengandung HB saya rendah. Jadi saya memang mengalami sedikit anemia, tetapi lama-kelamaan akan bertambah baik.

Ads

“Tetapi waktu itu saya tidak terfikir pula saya pembawa. Tetapi bila mengetahui bahawa anak-anak positif talasemia, bermula tahun 2017 anak-anak mula jalani tranfusi darah pada setiap bulan. Bayangkan setiap empat minggu akan dicucuk untuk pemindahan darah.

“Rawatan mereka tidak terhenti di situ sahaja, mereka juga perlu mengambil ubatan seperti asid folik. Paling membimbangkan jika tranfusi darah ini dilakukan dalam jangka panjang akan memberi kesan tak baik kepada organ dalaman anak saya seperti limpa, buah pinggang dan hati kerana berlaku pertambahan zat besi ketika proses pemindahan darah berlangsung.

“Ketika itu biarlah pedih melihat anak saya berkali-kali dicucuk, tetapi saya perlu kuatkan hati kerana ianya merupakan satu-satunya alternatif yang kami ada buat masa itu.

“Jika kami tidak melakukan sebarang rawatan, ia akan beri kesan buruk pada anak saya sama ada berat badan tak bertambah, tidak berkembang seperti kanak-kanak sebaya dan paling buruk seperti Aysar kerana kami lambat kesan, hatinya telah membengkak 3 sentimeter,” ungkap Masyitoh satu-persatu.

Pemindahan Sumsum Tulang

Setelah menjalani tranfusi darah beberapa kali di Hospital Sultanah Bahiyah , Alor Star, Kedah, Masyitoh dan suaminya banyak menyertai kumpulan sokongan talasemia seperti Kelab Talasemia Kedah.

Ads

Dalam masa yang sama mereka juga banyak membaca, menyertai seminar dan berkongsi pendapat dengan orang berpengalaman tentang penyakit talasemia. Salah satu perkongsian dari seorang doktor adalah tentang  pemindahan sumsum tulang.

Dari situlah menggerakkan hati pasangan ini untuk melakukan rawatan ini buat mengubati Aysar. Setelah tekad untuk melakukannya, pasangan ini mencuba untuk berbincang dengan doktor dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Syukur pada Allah apabila pihak hospital bersetuju untuk merawat Aysar.

Walaupun tika itu masih kelam apakah yang bakal dilalui oleh Aysar, namun buat Masyitoh dan pasangan, inilah satu-satunya cahaya atau jalan yang mereka ada selain bergantung pada tranfusi darah setiap bulan.

“Saya memang tidak sanggup lihat anak-anak saya setiap bulan kena cucuk. Jadi bulan Oktober tahun lalu, kami mula berjumpa doktor di PPUM. Kami berempat sekali lagi jalani ujian darah untuk lihat siapa paling serasi dan akhirnya suami yang paling match (separa matching) untuk kedua anak kami.

“Bulan Mac 2019, kami lalui pemeriksaan lengkap. 12 Mac lalui pembedahan untuk masukkan tiub dan proses seterusnya. Sememangnya rawatan ini bukan sesuatu yang mudah dan Aysar terpaksa lalui bermacam-macam kesan. Sebagai ibu memang rasa sedih tetapi saya dan suami hanya fikirkan masa depan dia yang masih panjang.

“Kami ingin lakukan yang terbaik buat Aysar dan mungkin rawatan ini menjadi alternatif terbaik buat Aysar. Jika tidak, Aysar perlu tranfusi darah setiap bulan buat sepanjang hayatnya. Sekiranya berjaya, kami akan teruskan perawatan ini untuk adiknya pula.

“ Walau bagaimana pun, kita hanya mampu merancang dan berusaha, Allah juga yang menentukan segala-galanya. Setelah melalui tiga kali pemindahan sumsum tulang dan beberapa komplikasi, akhirnya anak saya, Aysar, kembali kepada sang pencipta pada 20 Jun 2019,” ungkapnya sebak.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI