Asliza Kuatkan Semangat Harungi Dugaan & Cabaran Teruskan Hidup Sebagai Ibu Tunggal

Tahun 2018 mengubah hidup Asliza binti Md Asrar. Rumah tangga yang dibina tidak mampu bertahan lama. Tidak pernah dia mahukan perpisahan tetapi jika itulah jalan terbaik yang mampu dicapai, walau perit perlu diterima.

Ujar ibu kepada lima orang cahaya mata ini, walaupun agak sukar pada mulanya untuk menghadapi kenyataan diri bergelar ibu tunggal, namun hidup perlu diteruskan juga.

Tidak mudah untuk jadi ibu tunggal ini. Banyak cabaran perlu dihadapi. Cabaran utama bergelar ibu tunggal ini ialah apabila semuanya saya kena uruskan sendiri. Saya perlu fikir bagaimana hendak mencari nafkah dan pada masa sama bagaimana untuk menjaga anak-anak.

“Bermula saat bergelar ibu tunggal juga menyebabkan banyak perkara terpaksa saya fikir.  Ini termasuklah bagaimana hendak menguruskan pengangkutan sekolah anak, bagaimana hendak meninggalkan anak sewaktu saya mencari rezeki.

“Selain itu saya juga perlu memikirkan apa cara atau apa jenis pekerjaan yang perlu saya ceburi untuk memudahkan dan menyeimbangkan keperluan anak sekaligus tidak menganggu kerja saya.

“Walau berat dugaan dan cabaran yang dihadapi, saya kuatkan semangat untuk mengharunginya setakat mana yang mampu.”

Asliza Kuatkan Semangat Harungi Dugaan & Cabaran Teruskan Hidup Sebagai Ibu Tunggal
Asliza Md Asrar

Tidak Pernah Putuskan Kasih Anak Dan Bapa 

Dari segi mendidik dan membesarkan anak-anak, Asliza bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang memahami apa yang berlaku dalam keluarga mereka.

IKLAN

Pendidikan anak-anak tidak ada masalah bagi saya. Walaupun hubungan antara saya dan bekas suami tidak panjang, tetapi saya tidak pernah memutuskan hubungan anak-anak dengan bapanya.

“Jadi kami sama-sama mendidik dan sentiasa memberi sokongan pada anak-anak. Pada saya emosi anak sangat perlu dijaga. Buktinya anak pertama dan kedua saya sudah pun tamat belajar dan masing-masing memiliki Diploma dan Ijazah. Dan sekarang mereka sudah hidup bersama keluarga masing-masing.”

Dari segi menyara kehidupan keluarga, Asliza bernasib baik kerana memiliki pendapatan sendiri. Dia juga tidak bergantung pada satu pekerjaan sahaja. Sejak tahun 2014 dia melakukan kerja menjual kereta baru dan recon. Pada masa yang sama dia turut melakukan kerja menjual produk-produk kecantikan secara atas talian atau online.

Melakukan beberapa kerja pada masa yang sama memang memenatkan, namun demi mencari rezeki untuk keluarga, Asliza tabah melakukannya.

IKLAN

Nasihatnya kepada wanita yang bergelar ibu tunggal adalah sentiasa berusaha mencari kerja yang halal demi meneruskan kelangsungan hidup.Tidak kiralah kerja makan gaji mahupun menceburi dunia bisnes secara kecil-kecilan, berusahalah untuk berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Presiden WATIM

Semenjak bergelar ibu tunggal juga hidup Asliza sentiasa sibuk. Seharian masanya dipenuhkan dengan melakukan pekerjaan dan bisnes yang diceburi, menguruskan anak serta aktif dalam persatuan.

Jelas Asliza apabila dirinya sibuk menguruskan kehidupan seharian membuatkan dirinya tidak mempunyai masa untuk memikirkan pandangan negatif masyarakat terhadap dirinya sebagai ibu tunggal.

IKLAN
Asliza Kuatkan Semangat Harungi Dugaan & Cabaran Teruskan Hidup Sebagai Ibu Tunggal
Aktif lakukan aktiviti WATIM

Bercerita mengenai persatuan ibu tunggal yang diceburinya, Asliza menerangkan sudah tiga tahun dia terlibat dengan persatuan yang diberi nama Persatuan Wanita Tunggal Malaysia atau WATIM. Asliza merupakan Presiden persatuan ini.

Asliza mengesyorkan agar wanita yang bergelar ibu tunggal untuk menyertai persatuan kerana banyak kebaikan yang boleh mereka peroleh.

Sebagai contohnya jika anda menyertai persatuan wanita tunggal ini, persatuan akan sentiasa memberi kemudahan platform-platform perniagaan. Kami juga akan memberi bantuan-bantuan seperti kepada ahli-ahli yang memerlukan.

“Selain itu persatuan ini aktif mengikuti majlis-majlis yang dijalankan oleh pihak Kelab Usahawan Wanita Tegar di mana kelab menyediakan platform perniagaan dengan menganjurkan karnival-karnival di mana membolehkan kami usahawan di bawah persatuan dan kelab berniaga.”

MW: Ibu Tunggal Berjaya antara ruangan yang terdapat di dalam majalah Mingguan Wanita. Jika ada wanita bergelar ibu tunggal yang berminat berkongsi cerita bolehlah menghubungi penulis.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI