Bekas Kandang Kambing Itulah Rumah 7 Beranak Ini - Thirdforce Raja Shamri

Ketika kita enak menikmati bermacam juadah berbuka puasa, makan sahur dengan sepinggan nasi berlaukkan udang dan ayam, ada sebuah keluarga yang melalui kesusahan hidup. Bekas kandang kambing menjadi tempat berteduh dari panas dan hujan. Malah kemudahan asas pun tidak lengkap. Ini bukan saja ujian mereka, malah ujian untuk kita juga.

Kerana tidak berdosakah kita, membiarkan ada sebuah keluarga yang melalui kesusahan sebegini terus menjadi miskin. Perkongsian daripada Mastura Hatta (Kak Tuya), sukarelawan Thirdforce Gua Musang yang mana pengasasnya, Raja Shamri Raja Husin ini benar-benar terkesan di hati.

 

Rumah Di Kandang Kambing, Tak Berdosakah Kita?

Wanita ini, Rasidah ditinggalkan suami bersama 6 orang anak tanpa dibenarkan tinggal di rumah yang diduduki sebelumnya. Kerana perpisahan itu, kak Rasidah terpaksa mencari tempat tinggal baru.

Bukan tak boleh menumpang di rumah mak atau keluarga lain, tapi rasa segan terbit dalam diri kak Rasidah memandangkan anak-anaknya ramai. Lagi selesa tinggal di rumah sendiri walau keluasannya tak sampai pun 10 kaki panjang.

Rumah berdindingkan zink ini asalnya dari kandang kambing di belakang rumah asal yang pernah diduduki bersama bekas suami. Lihat saja keluasan rumah yang memang tak luas. Di sudut itulah tempat tidur, di penjuru itu jugalah dapur dan tempat makan.

 

IKLAN

Anak-anak Cerdik, Tapi Kemiskinan Halang Mereka Sambung Belajar

Tinggal bersama 4 anak yang masih kecil manakala 2 lagi sudahpun bekerja selepas SPM. SPM mereka ok tapi kemiskinan menghalang mereka untuk sambung belajar. Cerdik dalam pelajaran namun tak mampu untuk diteruskan maka bekerja adalah pilihan agar dapat sedikit sebanyak membantu keluarga.

Kak Rasidah bekerja sebagai penoreh getah. Menoreh pula getah orang. Maknanya hasil yang tak seberapa itu harus dibahagi dua.

Tadi semasa kunjungan wakil Thirdforce, beliau baru sahaja balik dari menoreh. Malu nak salam dengan kami sebab katanya tangan berbau. Cepat-cepat pergi basuh tangan dekat belakang rumah jiran.

Beliau menumpang mandi pun di rumah sebelah. Tandasnya di depan rumah. Bila diperhatikan, tiada sambungan wayar eletrik ke rumah beliau.

 

IKLAN

Asalnya Kandang Kambing, Itulah Rumah 7 Beranak Ini – Raja Shamri

Cuma Cahaya Lilin Temani Tidur Malam Mereka

Hati terdetik ingin tahu lalu kami bertanya. Jawapannya sangat mengejutkan. Empat beranak ini tidur dengan bertemankan cahaya lilin. Semestinya tidur mereka tanpa kipas. Tak seperti kita di musim panas. Tidak merenggekkah anak kecil Itu?

Kak Tuya minta izin kak Rasidah untuk ambil gambar di dalam rumah. Namun kak Tuya tak mampu nak melangkah lebih ke dalam kerana bimbang lantainya akan jatuh. Beralaskan hanya kayu bulat dan lantai jarang.

Dari pintu terus nampak dapur mereka. Di sebelah kanan tempat tidur. Perhatikan gambar tempat tidur yang tidak bertilam itu. Rak pakaian yang juga tiada.

IKLAN

Menitis hiba si air mata melihat senyum tabah anak-anaknya. Tak berdosakah kita membiarkan mereka begini. Yang pasti mereka tak jadi begini overnight … Apa kita nak jawab dengan Allah nanti.

Dan kita berada di tahun 2018..

Pek ramadhan sumbangan rakyat Malaysia disambut penuh syukur oleh kak Rasidah. Terima kasih rakyat Malaysia. Di sini tempat di mana sumbangan anda diagihkan. Tepat ke sasaran.

Terima kasih kerana terus bersama abangraja dan kami semua sukarelawan thirdfofce. Bersama kita mampu menelusuri lebih banyak kehidupan marhaen seperti ini.

Sekiranya pembaca mahu memberikan sumbangan, anda boleh terus menghubungi Thirdforce : 017 867 8767

Sumber/Foto : Raja Shamri

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI