Kids Corner ini memang bear-benar wujud. Dan ianya terdapat di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kelantan. Atas usaha kerjasama antara Imam, AJK Masjid dan Pertubuhan IKRAM Malaysia, kawasan Kubang Kerian.
Sebagaimana yang dikongsikan oleh Nurul Hanan Arifin, CEO Tadika NALURI Kreatif merangkap ahli IKRAM, “Imam masjid Kubang Kerian, Tuan Imam Sabri sendiri mahu sudut ini dikekalkan hatta selepas Ramadan agar anak-anak kecil terus datang ke masjid dengan gembira bersama ibu bapa mereka.”
Bagi merealisasikan penubuhan Kids Corner ini kerjasama dengan Tadika NALURI Kreatif turut dilakukan. Terutama untuk sumbangan idea susunatur letak dan peralatan. Komuniti staf USM turut memberi sokongan.
Ads
Sebaik dilancarkan pada Ramadan baru ini, ruang ini terus dupenuhi kanak-kanak dan mereka ceria ke masjid. Secara tak langsung menyuburkan keindahan Islam di mata anak-anak.
Beliau berharap, dengan adanya projek sebegini ia akan merintis lebih banyak kerjasama dengan masjid tunggak masyarakat.
“Saya menyeru NGO, NGI, AJK surau dan masjid mengambil peluang Ramadan ini utk mewujudkan ruang mesra kanak-kanak. Sesungguhnya ia pelaburan generasi masa hadapan untuk agama yang indah ini.”
“Tiba masanya untuk kita mengira bahawa kanak-kanak sebagai anggota masyarakat yang perlu di santuni keberadaannya dalam masyarakat masjid.” Rayu Nurul Hanan.
Ads
Apa Yang Ada Di Ruang Ini
Ruang Kids Corner ini letaknya antara ruang rehat lelaki dan wanita. Agar ibu bapa dapat melihat anak-anak dengan pantauan minima. Ia membantu ibu ayah ketika mahu beribadah, membaca Al Quran mahu pun solat fardhu dan solat terawih terutamanya.
“Anak-anak kurang berlari-larian kerana mempunyai ruang untuk beraktiviti.” Ruang ini dilengkapi dengan alat permainan anak-anak berusia 1-8 tahun.
“Ketika ini kami dalam proses mendapatkan sumbangan buku-buku yang bersesuaian dengan anak-anak.”
Ads
Maklumnya lagi, pembiayaan untuk penubuhan ruang ini adalah dari peruntukan yang diberikan oleh Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian dan peralatan permainan serta buku kanak-kanak adalah sumbangan dari ahli IKRAM Kubang Kerian.
Memandangkan usaha ini adalah satu usaha yang baik, pihak Tadika NALURI juga membuka ruang pertanyaan kepada NGO, NGI, individu mahu pun AJK surau atau Masjid yang mahukan perincian penubuhannya.
“Prosesnya cukup mudah, dan memerlukan masa yang singkat sahaja dengan keazaman yang tinggi.” Akhiri Nurul Hanan
Kekurangan diri yang terdapat padanya sejak dari lahir lagi sedikitpun tidak dijadikan alasan untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Meskipun keadaan fizikal yang memerlukan Samrul Anuar, 35 menggunakan kerusi roda untuk bergerak, langsung tidak membataskannya untuk mencapai kejayaan dalam bidang jualan yang baru sahaja disertainya sejak dua tahun yang lalu.
Lebih dikenali dengan nama Anuar dikalangan keluarga dan teman-teman, berasal dari Pahang dan merupakan anak pertama daripada enam orang adik-beradik ini tidak sama sekali membebankan keluarga dalam meneruskan kehidupan. Malah Anuar yang kini merupakan Pengurus Jualan bagi sebuah jenama penapis air dari Korea ini lebih suka berdikari dan tidak menyusahkan ahli keluarga dan rakan terdekat.
“Saya memang dilahirkan tidak sempurna. Tapi saya tak jadikan itu semua penghalang untuk saya teruskan kehidupan. kalau ikutkan memang saya banyak kekurangan, dengan keadaan fizikal tidak normal membuatkan saya tidak dapat bersekolah. Struktur tulang yang tidak kuat membataskan pergerakan saya, kalau tersalah langkah boleh menyebabkan tulang saya patah. Jadi saya banyak belajar dengan arwah ibu saya dan adik-beradik yang lain untuk mengenal huruf dan sebagainya.
“Sepanjang usia saya, saya memang dengan keluarga sahaja di Jengka. Hanya pada tahun 2005 barulah saya keluar daripada kampung dan tinggal berjauhan dengan keluarga. Itupun kerana saya ingin memajukan diri dan mula belajar di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi, Selangor. Dua tahun saya belajar kemahiran di sana sehingga tahun 2006. Sejak itu saya mula berdikari dan mencari pekerjaan yang sesuai,” ujar Anuar tentang kehidupannya.
Ke bidang jualan
Sebelum memulakan karier dalam bidang jualan, Anuar pernah berkhidmat dengan Persatuan Kebajikan Anak Yatim Malaysia, di Pos Malaysia bahagian Pengurusan Wakaf di Putra Heights. Malah menurutnya lagi, dua minggu sebelum memulakan kerjaya sebagai ejen jualan, dia turut mendapat tawaran kerja lain. Tapi oleh kerana keadaan yang tidak mengizinkan, tawaran kerja tersebut terpaksa di tolak.
“Sebelum saya berhenti daripada kerja lama, dua minggu sebelum itu saya dapat tiga tawaran kerja. Dua kerja dalam bidang pengurusan yang memerlukan saya berada di pejabat dan satu dalam bahagian jualan. Tawaran kerja di pejabat membataskan pergerakan saya kerana berada di tingkat atas bangunan dan tidak mempunyai lif, jadi sukar untuk saya bergerak, maka saya terima sahaja kerja dalam bahagian jualan.
“ Selepas ditemuramah oleh bos saya, Encik Muiz, dia ada bertanya betul ke saya nak masuk dalam bidang ini? Saya jawab ya saya nak tapi saya tak berani nak target jualan yang tinggi macam orang lain. Sejujurnya pada awalnya memang saya ada terfikir, boleh ke saya nak yakinkan orang untuk dapatkan produk saya dengan keadaan saya yang berkerusi roda, nak bersaing dengan rakan lain yang sempurna.
“Saya fikir semasak-masaknya, dan saya kuatkan semangat serta mahu beri peluang kepada diri sendiri untuk mencuba sesuatu yang tak pernah saya buat dalam hidup. Jadi saya teruskan dan bertekad. Dari situ saya tak pandang belakang lagi dan Alhamdullilah saya berjaya sampai ke tahap ini,”cerita Anuar tentang penglibatannya dalam bidang jualan.
Pengurus Jualan
Dua tahun dalam bidang jualan, dari seorang ejen biasa Anuar kini sudah melangkah setapak ke hadapan apabila berjaya meletakkan dirinya sebagai pengurus jualan untuk jenama tersebut. Malah Anuar juga mempunyai rancangan untuk mempunyai booth jualannya sendiri tidak lama lagi.
“Alhamdulilah dua tahun saya menjadi ejen, saya dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Jualan. Dalam team, hanya saya seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
“Nak bersaing dengan orang normal itu memang agak mencabar untuk saya. Jika rakan yang lain perlu berusaha untuk mencapai target yang telah ditetapkan dengan mudah, saya pula perlu berusaha dua kali ganda daripada mereka. Kalau mereka kerja enam jam, saya kena kerja 12 jam. Saya masih ingat hari pertama bertugas, 12 jam berkempen barulah saya mendapat pelanggan pertama saya. Tapi itu semua tidak buat saya putus asa, malah saya terus belajar untuk memperbaiki hasil jualan saya setiap hari. Masa saya mula-mula masuk dalam bidang ini, ketua saya Encik Muiz banyak membantu. Dialah yang ajar saya daripada tentang pengetahuan tentang dan sebagainya.
“Cabaran lain yang saya hadapi pada permulaan karier adalah tanggapan rakan-rakan sepasukan sendiri. Melihat kepada keadaan fizikal saya yang serba kekurangan membuatkan mereka mungkin tertanya-tanya dalam hati adakah orang seperti saya boleh berjaya dalam bidang jualan yang mencabar ini? Tapi bagi saya, saya juga boleh berjaya seperti individu normal yang lain walaupun punya kekurangan daripada aspek fizikal khususnya. Jadi saya bersaing secara sihat.
“Usaha lebih, datang awal, dapatkan ilmu tentang produk yang saya jual. Saya belajar dan samakan diri dengan orang lain. Sebulan lebih saya ambil masa untuk belajar semua itu barulah saya rasa saya dapat bersaing dengan rakan-rakan lain. Syukur usaha saya itu membuahkan hasil, dan Alhamdullilah kini saya melangkah ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar Anuar penuh bersemangat.
Kekurangan yang ada ditambah dengan menggunakan kerusi roda untuk bergerak tidak membataskan pergerakan Anuar dalam urusan seharian. Menurut Anuar dengan adanya perkhidmatan seperti Grab memudahkan dirinya untuk bergerak dari rumah ke destinasi yang lain.
“Bila kerja dengan Cuckoo sampai sekarang saya banyak gunakan perkhidmatan Grab untuk ke Brand Store di USJ, kadang ke ofis di Kuala Lumpur dan untuk temujanji dengan pelanggan.Memang ia sangat membantu orang seperti saya.
Sentiasa bersemangat.
Tidak menafikan ada ketikanya diri terasa kerdil apabila berada di samping individu normal yang lain, namun Anuar ada cara tersendiri untuk kembalikan semangatnya.
“Tipulah kalau saya kata tak pernah rasa rendah diri dengan keadaan saya. Tapi biasanya kalau saya rasa down, saya akan cari kawan baik saya yang juga OKU. Kami berkawan sejak belajar di ILPP, sejak itu kami menjadi kawan baik. Kepada dialah saya selalu bercerita jika punya masalah dan begitu juga sebaliknya.
“Kawan-kawan yang lain juga memang banyak membantu, terutamanya kawan-kawan dalam bidang jualan. Tapi saya punya prinsip sendiri. Selagi mampu saya akan cuba lakukan sendiri tanpa meminta bantuan orang lain. Kalau betul-betul memerlukan atau terbatas barulah saya minta bantuan rakan-rakan.”
Ingin terus mencipta kejayaan dalam hidupnya meskipun diri tidak sesempurna insan lain, semangat dan tekad Anuar seharusnya menjadi contoh buat OKU lain untuk meneruskan kehidupan.
“Kalau boleh saya mahu lebih berjaya dalam kehidupan walaupun fizikal saya tidak sesempurna orang lain. Itu sedikitpun tidak menghalang saya untuk berusaha seperti orang lain. Saya tengah mencari ejen baru, terutamanya dari kalangan OKU seperti saya. Saya nak buktikan bahawa orang seperti kami juga boleh berjaya seperti individu normal yang lain. Paling penting rajin berusaha dan tanamkan minat dalam apa yang diceburi,”akhiri Anuar menamatkan perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Setiap hari ibu bayi ibu 17 bulan yang pernah hilang diculik warga Nepal ini akan berkongsi perkembangan terkini anaknya, Nur Aisyah Hasmizan. Lagi-lagi seluruh tubuhnya masih belum pulih kesan dari gigitan serangga ketika ditinggalkan bersendirian di dalam semak samun dekat pencawang elektrik di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap, Muar, Johor.
Terkini, maklum ibunya, Noorfadila Yusofe, 30 setiap hari sebaik terjaga dari tidur Aisyah mesti menangis. Barangkali trauma masih bersisa kesan kekejaman yang dilakukan ke atas diri si kecil ini. Cuma nak ayahnya saja, Hasmizan Othman, 35. “Tapi tidur tetap nak peluk mama. Kalau dah nangis susah tau nak pujuk. Manja sangat ni. Aisyah memang manja dengan papa. Siap tak nak tengok mama lagi.”
“Aisyah kuat lawan sikit ya trauma tu. InsyaAllah Aisyah cantik macam dulu.” Doa Noorfadila pada anaknya yang masih lagi trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya itu.
Dari sehari ke sehari, facebook ibu ini tidak putus-putus dengan kiriman doa dari rakyat Malaysia yang prihatin dan jatuh kasih selepas mengetahui kisah anak kecil ini.
Kongsi Noorfadila lagi, semalam anak perempuannya itu alami demam. Dan dia mohon warga Malaysia mendoakan anaknya itu.
“Ya Allah terlalu ramai sayangkan Aisyah. Mama tak sangka sangat-sangat. Ramai tunggu perkembangan terkini Aisyah. Ramai sangat-sangat pm sehingga tak terbalas. Mana sempat saya balas ya.
“Ramai sangat nak bagi Aisyah macam-macam. Rezeki Aisyah. Aisyah pembawa rezeki kepada kami juga. Banyak sumbangan saya dapat. terima kasih semua. Saya tidak mampu membalas budi baik anda dengan harta tapi saya berdoa moga Allah membalas segala kebaikan anda semua.”
Dalam diuji anak sakit ini, Noorfadila sebenarnya perlu juga menyelesaikan urusan niaga yang telah dilakukan sebelum ini. Dia tetap berusaha untuk melunaskan setiap tanggungjawabnya.
“Kepada pelanggan-pelanggan saya. Saya kehilangan data anda semua. Jika anda terbaca post ini, saya mengalami pelbagai dugaan 2 hari ini. Saya harap anda semua faham.
“Jika barang anda belum sampai itu kerana keadaan pos nak raya terlalu pack tapi saya memang dah pos.”
Ujarnya lagi, kepada pelanggannya yang dia tak dapat ingati nombor tracking atau mempunyai masalah boleh menghubungi talian whatsappnya : 014 712 4248.
“Saya cuba ingat siapa anda dan cari detail tentang anda. Saya tak lupa tentang barangan anda. Saya memang dah pos segalanya. Terima kasih masih sudi percayakan saya.”
Sememangnya selepas kejadian tempoh hari telefon bimbit Noorfadila masih gagal ditemui.
Sambung ibu ini lagi, “Anak pembaca rezeki. Dalam awak diduga, sakit, merana tapi awak tetap anak pembawa rezeki kepada keluargamu. Ramai sangat sayangkan Aisyah. Banyak sangat kami dapat daripada anda semua.
√ Kepada staf-staf hospital yang bagi Aisyah duit dan kata-kata semangat pada mama Aisyah
√ Pada sumbangan-sumbangan dari semua penyumbang di dalam fb, mama hampir tak kenal semua tapi mereka gigih nak sumbangkan Aisyah ubat, hadiah dan duit pada Aisyah. Terima kasih semua.
√ Pada akak kita Ainny Midie Akleema Aqeel yang menggantikan hp kita yang telah dicuri. Terima kasih sangat-sangat kak.
√ Pada YB PAS DUN Jorak, Haji Najib atas sumbangan duit dan hamper.
√ Kepada Ada BC Mary Kay bagi hamper sampai 2.
√ Pada BFF kita Siti AMinah Ahmad bagi surprise bouquet coklat/bunga pada kita, runner siap tambah patung untuk Aisyah.
√ Pada Chena Ezan bagi KFC dan mainan pada Aisyah
√ Pada Hafiz Minan bagi makanan
Terima kasih buat semua kerana sudi datang dan bagi macam-macam. Kebaikan anda semua saya tak mampu balas dengan wang ringgit tapi saya doakan kamu semua dimurahkan rezeki dan diberi ganjaran suatu hari nanti.
‘Ditembak secara tidak sengaja’. Itulah alasan mudah yang diberikan oleh tentera rejim zionis atas atas pembunuhan sukarelawan perubatan Palestin,Razan Al Najjar baru-baru ini. Kematian wanita ini mendapat liputan yang meluas apabila ramai yang mengecam tindakan kejam yang dilakukan tentera zionis serta menimbulkan kemarahan umat Islam kerana paramedik tidak seharusnya menjadi sasaran perang.Ribuan orang turut menghadiri majlis pengebumian Razan di Gaza pada Sabtu lalu.
Tentera Israel, semalam berkata siasatan awal mengenai pembunuhan sukarelawan Palestin ketika bantahan di sempadan Gaza menunjukkan mangsa ditembak secara tidak sengaja.
Pegawai kesihatan Gaza dan saksi berkata, tentera rejim Zionis menembak mati Razan al-Najjar, 21, sukarelawan perubatan, ketika beliau berlari ke arah pagar sempadan di bandar Khan Younis dalam usaha menyelamatkan penunjuk perasaan Jumaat lalu.
Tentera rejim berkata, pejuang Palestin menyerang anggotanya di sepanjang sempadan dengan tembakan dan bom tangan.
“Siasatan awal berhubung kejadian itu sebilangan kecil peluru dilepaskan dan tiada tembakan sengaja disasarkan secara terus ke arahnya,” menurut sebahagian kenyataan ringkas dikeluarkan tentera Israel.
Siasatan diteruskan, menurut kenyataan, dan hasilnya akan diteliti komander kanan dan diserahkan kepada pendakwa raya tentera untuk pertimbangan.
Ribuan menghadiri majlis pengebumian al-Najr di Gaza Sabtu lalu, termasuk sebahagian yang pernah dirawatnya ketika cedera pada bantahan sebelum itu.
Pasukan perubatan Gaza berkata, tentera Israel membunuh 120 penduduk Palestin ketika bantahan setiap Jumaat dilancarkan pada 30 Mac lalu di Semenanjung Gaza.
Damailah Razan Al Najjar, pergimu pada bulan Ramadan yang mulia dengan niat ikhlas membantu rakyat Palestin. Semoga wanita berani ini ditempatkan dikalangan para syuhada’ dan golongan salehin.
Dilihat semakin bahagia, pempengaruh dan usahawan, Maryam Younarae menyorot perhatian apabila berkongsi momen dirinya yang diajukan soalan mengenai Islam oleh rakannya dari Korea.