Allahu, sayu rasa hati bila mendengar berita melibatkan kemalangan maut melibatkan kaum keluarga tatkala Syawal semakin menghampiri.Apatah lagi segala persiapan dan keperluan barangan raya telah dibeli namun hasrat untuk menyambut lebaran tidak kesampaian apabila ajal dan maut telah menjemput tiba. Lebih memilukan, pasti sedih dan terkilan rasa hati ketika kejadian berlaku didepan mata, namun cubaan untuk menyelamatkan insan tersayang gagal kerana ketidakupayaan kudrat untuk membantu.
Cuba Bantu Ibu Tersepit
“Saya cuba bantu ibu yang ketika itu tersepit akibat besi penghadang jalan menembusi kereta, namun gagal,” kata Mohd Shahrul Ikhram Mazlan, 20, yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan ibu dan tiga adiknya, di Kilometer 161.3, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), dekat Maran, Pahang, pagi semalam, yang mengorbankan ibu dan tiga adik beradiknya.
Beliau berkata, ketika itu dia baru dua minit berbual dengan ibunya sebelum tiba-tiba terdengar seperti bunyi letupan lalu kereta mereka terbabit kemalangan. Mohd Shahrul Ikram berkata, dia yang memandu kenderaan dinaiki mereka sekeluarga terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyelamatkan ahli keluarganya itu. Katanya, sebelum tragedi itu ibu dan adik-adiknya sangat teruja berbelanja sepanjang berada di Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu, sebelum bertolak pulang kira-kira jam 1 pagi hari kejadian.
“Kami sekeluarga tiba di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh kira-kira jam 3 pagi dan sempat bersahur di situ.Selepas bersahur kami semua solat Subuh dan menyambung tidur di dalam kereta sehingga jam 8 pagi. Saya memandu menyambung perjalanan ke Kemaman. Ketika memandu, ibu tiba-tiba terjaga dan bertanya kami di mana dan saya jawab kita di Maran dan ibu kemudiannya menyambung tidur,” katanya.
Kereta Rempuh Penghadang Jalan
Dia yang hanya cedera ringan memandu tidak laju kerana teringat pesanan ibu supaya memandu perlahan dan sebaik tiba di tempat kejadian, kereta tiba-tiba tersasar ke tepi dan sebaik tersedar dia mendapati sudah merempuh penghadang jalan.
“Ketika itu kami semua tersepit di tempat duduk dan ibu serta tiga adik beradik lain ketika itu tidak sedarkan diri sebelum kami semua dikeluarkan orang ramai dan anggota bomba,” katanya.
Kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi semalam itu, mengorbankan ibunya Azian Abdulah, 50, serta tiga adik beradiknya, Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Ardiana Mazlan, 15 dan Mohamad Danish Najmi Mazlan, 10.Seorang lagi adiknya, Fatin Nur Athirah, 19, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Ads
Beli Barang Keperluan Persiapan Syawal
Sementara itu,tiada kata yang dapat menggambarkan kesedihan Mazlan Mohd Rashid, 54, apabila kehilangan isteri dan tiga anak tercinta sekali gus dalam kemalangan di kilometer 161.3, Lebuhraya Pantai Timur dari arah Kuala Lumpur ke Kemaman di sini,selepas kereta Perodua Myvi dinaiki terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan, semalam.
Lebih memilukan kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru, dekat Kemaman, selepas membeli-belah di ibu negara bagi menyambut Aidilfitri.
Ads
Menceritakan saat akhir ketika bersama keluarganya, dia memaklumkan enam beranak itu bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu dan memaklumkan ingin membeli barangan keperluan untuk persiapan sempena Syawal.
“Saya kebiasaan tidak ikut (pergi membeli belah) dan beri keizinan kepada isteri dan anak-anak untuk keluar membeli belah…saya di sini (rumah) menjalankan perniagaan runcit dan tunggu kepulangan mereka sahaja membawa pakaian yang dibeli.
“Kali terakhir isteri telefon jam 11 malam tadi memaklumkan akan bertolak balik ke rumah… saya difahamkan mereka juga ada singgah di kawasan rehat dan rawat (RnR)Temerloh untuk berehat sebelum dimaklumkan pagi ini mereka terbabit dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Jengka, di sini.
Dalam nada sebak Mazlan berkata, dia reda dengan pemergian isteri dan anak mereka pada bulan Ramadan ini dan mengharapkan semua mereka di tempatkan di kalangan orang beriman.
“Anak sulung saya (Fatin Najwa) baharu tamat pengajian di sebuah universiti swasta dalam bidang kejuruteraan dan dia dalam perancangan untuk memulakan kerjaya, namun apakan daya Allah SWT lebih menyayanginya dan menjemput mereka di bulan baik ini.
“Anak bongsu saya (Mohamad Danish Najmi) juga sebelum ke Kuala Lumpur berpesan kepada saya untuk jagakan kucingnya dan memberi makan… kenangan ini yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.
Selamat Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahad
Jenazah empat beranak tersebut telah disolatkan di Surau Ar Ridhuan, Bandar Cheneh Baru pada 10.30 malam dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheneh Baru, Chukai, pada 11.50 malam tadi. Jenazah mereka yang siap dibedah siasat di Bilik Forensik Hospital Jengka, Pahang, dimandi dan dikafankan sebelum dikebumikan dalam satu liang.
Ads
Sementara itu, suami Allahyarham Azian, Mazlan Mohd Rashid, 54, berkata dia bersyukur jenazah isteri dan tiga anaknya dapat dikebumikan dalam satu liang.
“Ramadan kali ini sangat menguji kekuatan dan kesabaran saya menghadapi dugaan Allah yang mengambil isteri serta tiga anak kesayangan sekali gus,” katanya sebak.
Beliau turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua pihak sama ada di Pahang atau di Terengganu yang membantu melicinkan proses tuntutan mayat ahli keluarganya sehingga selesai pengebumian.
Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga ini, semoga roh mereka ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman pada bulan yang mulia. Semoga kita lebih berhati-hati dijalanraya, pandu dengan cermat dan dapat meraikan Syawal bersama-sama keluarga tersayang.
Jangan kata suami sado je boleh buat kerja-kerja buka dan cuci bersih mesin basuh automatik. Sebenarnya, orang perempuan pun boleh buat sendiri tanpa bantuan suami.
Puan Ana Mariana ni tunjukkan langkah demi langkahnya. Cara nak buka mesin basuh automatik untuk dibersihkan dari kotoran. Lagi-lagi bila dikesan baju yang dibasuh tu masih kotor dan lekat sabun.
Katanya beliau pernah ternampak posting seseorang dalam facebook cara nak bersihkan mesih basuh. Memandangkan suaminya tiada di rumah, dia pun buat sendiri kerja-kerja membuka dan membersih mesin basuh.
“Senang je rupanya. Lama dah guna mesin basuh ni. Patut pun bila basuh baju macam tak berapa nak cuci je. Sabun pula duk lekat kat baju lagi.”
Nanti bila mak-mak dah buka, akan nampak betapa kotor dalam mesin basuh tu. Selepas buka, kenalah cuci semua kotor-kotor dalamnya. Selesai cuci, akan rasa macam guna mesin basuh baru.
Rujuk Panduan Bergambar Untuk Buka Dan Cuci Bersih Mesin Basuh
Ini sebelum buka.
Buka skru 4 biji ini. Dekat tudung atas ini pun boleh nampak kotoran bahagian ini ya.
Buka klip tepi.
Cabut bahagian tengah ini ya. Klip gitu je.
Buka skru dalam ni.
Cabut plastik yang warna biru ini.
Cabut 4 biji skru ini pula. Nak cabut skru ini kena pakai kasih sayang sikit. Takut patah. Biasanya skru ini dah karah sebab kena air sokmo kan.
Kemudian baru boleh bawa keluar benda alah ini. Tengoklah betapa kotor dalamnya. Bertahun daki-daki ini duk kipung dalam ni. Nak bersih macam mana baju yang kita basuh tu.
Ni bahagian bawah.
Bersihkan juga bahagian ini.
Bersihkan pakai berus, Guna air sabun baru mudah nak tanggalkan kotoran.
Ini selepas dibersihkan.
Dah bersih pasang semula.
Baru kilat.
Siap.. orang perempuan pun boleh buatkan.
Nota : Maklum beliau lagi, ini cara yang digunakan untuk mesin basuh model di atas. Model lain mungkin cara bukanya berbeza.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Siti Sarah selamat bersalin bayi lelaki, namun setakat ini dia belum sedarkan diri.
Ternyata berat ujian buat Siti Sarah dan suaminya, Shuib, dijangkiti Covid-19 ketika hamil adalah sesuatu yang sukar diterima oleh sesiapapun apatah lagi apabila kesihatan makin merosot.
Selamat Lahirkan Bayi Lelaki
Penyanyi Siti Sarah Raisuddin selamat melahirkan anak ke-empat yang juga bayi lelaki secara pembedahan kira-kira jam 5 petang tadi.
Menurut pengurus Sarah, Nana Mohd Rom, keadaan penyanyi itu bagaimanapun masih sama dan belum sedarkan diri.
Siti Sarah Masih Belum Sedarkan Diri
“Untuk makluman Siti Sarah telah selamat melahirkan bayi lelaki kira-kira pukul 5 petang tadi. Bagaimanapun keadaan Sarah masih belum sedar.
“Mohon doa semua untuk dipermudahkan segala urusan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
“Bella kena ada kat sebelah…, Anwar Ibrahim sempat usik Syed Saddiq ketika terima baju raya. Nampaknya aura Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq dan Bella yang dikatakan serasi bersama hingga digelar BASS (Bella Astillah & Syed Saddiq) walau keduanya belum mengisytihar apa-apa hubungan mereka, turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mungkin mengetahui hubungan mereka berdua melalui media sosial.
Masakan tidak, ketika menerima dua pasang baju Melayu dari jenama fesyen di mana Syed Saddiq dan Bella Astillah menjadi dutanya di Parlimen pagi ini, Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri Ke -10 (PMX) sempat bergurau kepada Ahli Parlimen berusia 32 tahun itu.
“Bella Kena Ada Kat Sebelah…
Saat penyerahan baju Melayu tersebut, sebelum menerimanya, kedengaran Anwar Ibrahim bergurau dengan mengatakan sepatutnya Bella ada di sebelah.
“Bella kena ada kat sebelah,”seloroh Anwar Ibrahim kepada Syed Saddiq.Gurauannya itu serta-merta mencetuskan gelak tawa hadirin yang berada di situ.
Anwar Ibrahim Sempat Usik Syed Saddiq Ketika Terima Baju Raya
Tidak mahu mengalah, Syed Saddiq pantas membalas dengan nada berseloroh, “Jangan kacau Datuk Seri. Itu (Bella Astillah) saya punya. Kasi chance lah.” Reaksi spontan tersebut mengundang lebih banyak ketawa, menunjukkan keakraban di antara kedua-dua pemimpin itu.
Sementara itu, satu lagi momen mencuri perhatian apabila Anwar sempat berbisik sesuatu kepada Syed Saddiq sambil mengangkat dokumen di tangannya, seolah-olah mahu ‘mengusik’ bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Aksi ini menimbulkan tanda tanya di kalangan netizen yang membanjiri ruangan komen dengan spekulasi dan jenaka, seolah mahu tahu apa yang dibisikkan oleh Perdana Menteri yang dilihat bekerja keras untuk negara.
Beberapa individu yang berada di sekeliling mereka turut tersenyum, jelas menggambarkan suasana ketika itu penuh dengan gelak tawa dan kemesraan.
Di media sosial, video tersebut menerima pelbagai reaksi, dengan ramai yang terhibur melihat sisi santai Perdana Menteri ke-10 itu. Ada juga yang berseloroh bahawa Bella Astillah memang sepatutnya hadir untuk ‘menilai’ baju Melayu yang diberikan kepada PMX!
Momen-momen seperti ini menunjukkan bahawa di sebalik tugasan berat sebagai pemimpin negara, masih ada ruang untuk jenaka dan interaksi santai yang mengeratkan hubungan dengan orang di sekeliling.
TONTON VIDEO MENARIK DI SINI :-
“Biarlah hukuman mati itu dikekalkan. Tak ada kekhilafan dalam hukuman sebelum ini. 8 tahun kami sekeluarga menderita menantikan keenam-enam tertuduh melalui detik itu.
Demikian luah Hawa Osman ibu kepada arwah Zulfarhan yang didera kejam ditekap dengan seterika wap sebanyak 90 kali termasuk di kemaluan.
“Penderitaan yang kami tanggung hanya Allah maha mengetahuiNya. Sangat perit. Paling saya kesalkan dan jadi tertanya-tanya siapa yang menekap seterika di kemaluan anak saya. Pertanyaan itu sentiasa bermain-main di fikiran.
“Ada dua keluarga tertuduh datang jumpa saya minta maaf pada saya dan mahu saya lupakan semua dendam tapi itu tak mungkin kerana jauh di sudut hati rasa terkilan itu ada.
“Suami sendiri sanggup tak jalani pembedahan jantung kerana mahu menunggu keputusan dari Mahkamah mengenai kes ini,”luah Hawa ketika dihubungi Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ustazah Asma' difitnah, zahir rasa terkilan 10 malam terakhir Ramadan dicemari. Sejak semalam, tersiar kenyataan di media massa pendakwah Ustazah Asma' Harun yang dikatakan...