
Zahnita akui lepaskan hak penjagaan anak demi masa depan, kini sudah bertunang.
Pelakon dan model Zahnita Wilson mengakui keputusan menyerahkan hak penjagaan keempat-empat cahaya matanya kepada bekas suami bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Namun, demi memastikan anak-anak membesar dalam keadaan lebih terjamin, beliau memilih untuk mengetepikan perasaan sendiri.
Menurut Zahnita, keputusan itu dibuat secara sukarela selepas mempertimbangkan keadaan semasa, termasuk kestabilan kewangan bekas suaminya yang disifatkan lebih mampu menyediakan keperluan anak-anak ketika ini.
“Saya serahkan hak penjagaan anak kepada bekas suami dengan rela hati kerana saya percaya dia mampu menjaga mereka dengan baik.
“Saya sudah melepaskan apa yang berlaku pada masa lalu dan saya juga sudah memaafkannya.
Zahnita Akui Lepaskan Hak Penjagaan Anak Demi Masa Depan

“Saya merasakan dia lebih berkemampuan daripada segi kewangan, manakala saya pula belum mempunyai pendapatan yang benar-benar stabil. Semua ini saya lakukan demi masa depan anak-anak,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada Kuala Lumpur Fashion Week 2026.
Walaupun tidak lagi memegang hak penjagaan, Zahnita berkata hubungan dengan keempat-empat anaknya kekal baik dan beliau masih boleh bertemu mereka pada bila-bila masa.
Beliau turut mengakui perpisahan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima sebagai seorang ibu.
“Sudah tentu saya sedih. Ibu mana yang tidak sayangkan anak-anak?
“Tetapi saya percaya masa depan mereka lebih terjamin bersama bapa mereka. Saya terpaksa mengetepikan ego demi kebahagiaan mereka.
“Ada masanya saya menangis kerana terlalu rindukan mereka. Namun, saya sedang belajar menerima kehidupan baharu dan menghargai masa untuk diri sendiri,” ujarnya.

Zahnita berkata, meskipun komunikasi bersama bekas suami tidak terlalu kerap, segala urusan berkaitan anak-anak tetap akan dibincangkan apabila perlu.
Kini Temui Bahagia Bersama Tunang
Dalam perkembangan lain, Zahnita turut berkongsi berita gembira apabila mengesahkan dirinya sudah mengikat tali pertunangan dengan seorang lelaki yang bukan daripada kalangan penggiat seni.
Bagaimanapun, pelakon berusia 41 tahun itu memilih untuk merahsiakan identiti bakal suaminya dan hanya mendedahkan nama lelaki berkenaan bermula dengan huruf “F”.
Anda mungkin berminat dengan
Menurut Zahnita, bakal suaminya yang juga seorang duda tanpa anak berjaya menambat hati kerana sifat penyayang, mudah berkomunikasi serta sentiasa memahami dirinya.
“Ya, saya sudah bertunang. Alhamdulillah, saya kini berada dalam fasa bahagia.
“Buat masa ini, saya belum bersedia memperkenalkan siapa dia kepada umum. Dia bukan orang industri. Cukuplah saya beritahu nama pangkalnya ialah ‘F’,” katanya.
Beliau berkata, keserasian dalam komunikasi menjadi antara faktor utama yang memberikan keyakinan untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan.
Untuk rekod, Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Doroty Hussein Wilson mendirikan rumah tangga dengan Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor pada tahun 2005 sebelum bercerai pada Ogos 2025. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Zahrafeena, 19, Zasharayna Ghouse, 14, Zahlia Syawwal, 9 dan Abd Zayden Ghouse, 5 tahun.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

