Mak ayah kena terima, bila anak dah berkeluarga, dia juga perlu utamakan keluarganya sendiri.

Kasih sayang mak ayah kepada anak-anak memang tidak ada sempadan. Namun akan tiba masanya nanti, anak itu bukan lagi hak mutlak keluarganya. Apabila mereka berkahwin, maka keluarga kandung perlu berkorban perasaan apabila anak-anak terpaksa membahagikan perhatian mereka. Bagaimana jika anda baru berkahwin dan dikurniakan keluarga mentua terlalu berat untuk melepaskan anak kesayangan mereka?

Manipulasi Emosi

Cabaran ini sah kerana anak lelaki kesayangan mereka itu sebahagiannya sudah menjadi milik anda. Ada berlaku tarik tali tetapi yang menjadikan keadaan lebih mencabar apabila mentua menggunakan manipulasi emosi. Contoh kata-kata dalam strategi ini adalah seperti berikut:

“Mak tengok Man sejak kahwin ni selalu lebihkan isteri dari mak sendiri!”
“Kalau sayangkan Mak, Man kena balik tiap-tiap minggu tengok Mak”
“Mak dah tua, kalau Man tak boleh jaga Mak, siapa lagi?”

Siapa yang tidak goyang apabila berhadapan dengan strategi ini, betul tak? Walaupun kata-kata ini ditujukan kepada anaknya sendiri yang kebetulannya suami anda, tetapi siapakah yang akan paling kuat terasa bahangnya? Apa yang barangkali boleh anda cuba lakukan? Itulah yang akan saya kongsi dalam Nota Untuk Isteri minggu ini.

Tak Ada Ilmu

Pertama sekali anda perlu sedari bahawa ramai ibu sangat bergantung kepada naluri semula jadi untuk menyayangi anak sendiri.

Namun ramai ibu yang sebenarnya tidak ada ilmu bagaimana untuk menjadi ibu mentua yang baik kepada menantu sendiri. Terutama menantu perempuan. Ya, andalah tu. Sudah pasti anda tidak boleh kata kepada ibu mentua macam ini;

“Mak, Ina rasa elok mak ni masuk kelas jadi untuk belajar cara menjadi ibu mentua yang baik”

IKLAN

Andalah yang perlu ada ilmu bagaimana untuk menjaga emosi anda daripada terkena bahang manipulasi ini. Pertama sekali fahami keseluruhan situasi itu.

Mak Mentua Suka ‘Kontrol’ Suami, Isteri Kena Pandai Pasang StrategiIsteri kena bijak main peranan agar suami tak rasa tersepit.

Tahap

Jangan sekadar melayan makna tajam di sebalik ayat-ayat yang ibu mentua anda sebut itu. Dalam Islam, ibu mentua itu hampir sama tahapnya dengan ibu sendiri. Apatah lagi ibu mentua itu adalah ibu kandung suami anda.

Jika ibu mentua anda tinggal seorang di kampung dan suami adalah anak tunggalnya maka anda mesti cukup matang untuk memahami situasi itu. Ingat bahawa apa yang kita semai maka itulah yang kita tuai suatu hari nanti.

IKLAN

Jika anda terlalu berkira maka suatu hari nanti apakah tidak berlaku keadaan menantu anda akan mengawal ketat anak lelaki anda nanti?

Hak Isteri

Situasi kedua bagaimana jika memang sahih keluarga mentua anda memang menggunakan strategi ini untuk menguasai suami anda sepenuhnya? Kembali kepada asas.

Anda sebagai isteri mempunyai hak-hak yang dijamin dalam agama. Hak ini adalah sempadan mengorbanan anda dan tidak boleh diambil oleh sesiapa sekali pun. Di sinilah seorang isteri perlu ilmu dan ketegasan. Isu ini panjang dan rumit untuk diterangkan dalam ruang singkat ini.

IKLAN

Namun selamat untuk saya sebutkan bahawa tempat terbaik untuk anda mempertahankan hak-hak ini adalah di Jabatan Agama atau di Mahkamah Syariah.

Tanya Soalan

Satu lagi cara yang saya boleh kongsikan ialah dengan bertanya soalan. Seorang isteri yang bijaksana ialah isteri yang bijak bertanya soalan. Bukan isteri yang banyak soalan tau! Lain maksudnya tu!

Sebagai contoh suami anda diarahkan pulang ke kampung tetapi adakah salah jika anda bertanya jika suami boleh menangguhkan dahulu sehingga anak anda sihat?

Bertindak Selepas Cukup Maklumat

Bertanya soalan juga adalah ‘pintu’ untuk mendapatkan maklumat. Seorang isteri yang bijaksana sentiasa membuat keputusan dan tindakan setelah mendapat cukup maklumat.

Cukuplah tiga situasi ini dahulu. Sebab itu, selalu dikatakan mengurus hubungan antara menantu dan mentua adalah lebih mencabar daripada menguruskan hal interaksi antara negara.

** Artikel ini telah dikongsikan oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam Majalah Mingguan Wanita.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI