
Ketika anak meragam ibu dan ayah kena belajar erti sabar. Ingat. jangan cepat menjerit apatah lagi naik tangan. Fahami cara untuk ibu dan ayah kawal emosi yang sedang marah. Ikuti teknik didik hati agar kekal bersabar ini.
1. Kuasa pelukan
Peluk dan usap kepala anak-anak secara perlahan-lahan bagi memberikan maksud sayang dan kasih kepada mereka. Ketika peluk, terangkan kepada mereka apa yang telah berlaku dan mengapa tidak boleh buat. Wujudkan perhubungan erat antara ibu bapa dan anak-anak. Komunikasi berkesan mudah dicapai apabila hubungan kekeluargaan itu rapat.
2. Jadi teman kepada anak-anak
Anak-anak perlu diberi peluang mengutarakan idea mereka dan perasaan. Kadangkala ibu bapa tak selesa jika anak-anak meluahkan perasaan tak puas hati atau mengkritik atau komen kepada mereka. Cuba dengar dulu apa yang ingin disuarakan itu dan beri tumpuan yang serius dengan luahan itu. Tunjukkan minat anda untuk mendengar penjelasan mereka.
3. Dekati mereka dengan penuh kasih sayang
Meskipun mereka menguji kesabaran anda. Berusaha memujuk hati mereka dan bercakap secara harmoni dengan mereka. Ketahuilah bahawa anak-anak memerlukan perhatian anda. Sesetengah mereka rasa nyaman dan tenang jika anda tetap memujuk mereka.
4. Berkongsi hobi dan minat
Perkongsian membolehkan anak-anak berasa selesa untuk berdamping dengan ibu bapa. Segala permasalahan dibincangkan bersama dan mengikut peraturan dalam keluarga.
5. ‘Top up’ ilmu dan kemahiran keibubapaan
Pelajari dengan lebih mendalam menerusi sumber yang pelbagai sama ada secara lisan mahupun bukan lisan. Persekitaran yang positif mampu membangkitkan emosi yang sihat dan progresif. Maka pelajarilah ilmu keibubapaan dengan ikhlas dan tanpa jemu.
6. Pujuk anak-anak dengan intonasi
Pujuklah anak-anak dengan intonasi suara dan perkataan yang bersesuaian. Tegur kesilapan secara berhemah dan menghormati privasi anak-anak. Elakkan daripada memarahi atau menegur anak-anak di hadapan rakan-rakannya atau orang lain. Tindakan tersebut mungkin menyebabkan anak-anak hilang yakin diri serta malu dengan mereka yang lain.
7. Perbincangan keluarga
Biasakan mengadakan perbincangan keluarga dalam suasana santai dan harmoni. Pilih waktu sesuai untuk berbincang tentang perkara-perkara melibatkan keluarga. Biasakan anak-anak dengan kaedah ini bagi membentuk disiplin diri serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Impian Mak Ayah Nak Anak Belajar Bidang Kejuruteraan, Anak Minat Kulinari

Isi Kandungan
ToggleImpian mak ayah dan anak-anak, kadangkala tak sama. Tapi, janganlah mak ayah cuba penuhi impian sediri hingga anak-anak terpaksa melepaskan impian mereka pula. Ikuti luahan rasa seorang ibu berkenaan dengan harapannya pada anaknya. Kaunselor, puan Hajah Maimunah Haji Mohamad telah memberikan pandangannya.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya mempunyai tiga orang anak yang kini sudah meningkat remaja. Dua perempuan dan seorang lelaki (bongsu). Saya bekerja sebagai akauntan dan suami pula seorang jurutera cari gali. Alhamdulillah kehidupan kami selesa dan kami mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.
Namun saya dan suami bukan daripada keluarga senang. Kami berdua berasal daripada kampung dan sama-sama memasuki universiti. Ketika itu kami berjumpa dan jodoh kami berkekalan hingga kini.
Impian Anak Turut Jejak Langkah
Anak sulung saya perempuan, kini berusia 31 tahun, sudah bekerja sebagai seorang pensyarah. Masih bujang kerana fokus pada kerjaya. Anak kedua, lelaki, berusia 29 tahun, bekerja di sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak ternama. Saya bersyukur kerana kedua anak saya itu mampu berjaya di bidang masing-masing. Dari kecil saya dan suami sangat menitikberatkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka bekerja sebagai tenaga profesional walau pun mungkin tak mengikut jejak langkah kami berdua.
Kerisauan kami adalah kepada anak bongsu kami yang bakal menduduki SPM. Dia pelajar cemerlang dan belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya dan suami memasang impian untuk melihatnya belajar di luar negara. Yang merisaukan kami, dia seolah-olah tidak berminat dan berkata ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.
Suasana Kerja
Bukan saya hendak menidakkan profesi yang berkaitan dengan bidang kulinari, malah saya tahu ramai yang berjaya dalam bidang ini termasuk menjadi chef selebriti. Namun saya dan suami ada pendapat kami sendiri. Sebolehnya kami ingin dia bekerja di bidang profesional, sama macam kami dan abang serta kakaknya.
Saya yakin keputusan SPMnya cemerlang dan saya masih lagi dalam usaha memujuknya. Lagipun dia anak perempuan. Bagi saya, bekerja di bidang kulinari lebih sesuai untuk lelaki kerana tugas memasak seperti di hotel dan sebagainya bukan mudah. Apatah lagi jika sudah berkeluarga kelak.
Anak bongsu saya ini keras kepala dan sejak kecil dia akan lakukan apa yang dia rasakan betul. Pening kepala saya dan suami memikirkannya. Bagaimana kami dapat memujuknya untuk memilih bidang yang lebih sesuai sebagai wanita?
– Ummi risau –
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anaknya berjaya. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Sejak kecil anak-anak akan diberi penekanan pembelajaran di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen. Usia 7 tahun telah dihantar mengikuti tuisyen sama ada selepas persekolahan atau sebelah malam. Malah, “home tution ” disediakan untuk anak dengan bayaran yang tinggi bagi mereka yang mampu.
Sehinggakan kadang-kadang anak terlalu dibebankan dengan akademik yang berorientasikan peperiksaan hingga menyebabkan anak-anak tiada masa untuk meneroka minat dan kerjaya yang mereka minati. Kejayaan ini kadang-kadang menjadi satu pertandingan atau persaingan di kalangan ibu bapa. Anak siapa yang hebat…Terdapat juga ibu bapa yang mahukan kerjaya anak mereka mengikut acuan yang mereka bentuk. Satu segi adalah baik kerana kadang-kadang anak kurang mengetahui apa yang patut diberi keutamaan dan yang terbaik untuk
Impian Diri Sendiri
Namun kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa terbaik itu sebenarnya adalah untuk ibu bapa sendiri. Ada ibu bapa yang mahu anak mengambil bidang kedoktoran, bidang guaman. Profesion yang menjadi kemegahan mana-mana ibu bapa. Ada juga ibu bapa yang tidak dapat merealisasikan impiannya dulu untuk bidang yang dipohon menyebabkan hasrat itu “dijelmakan” dalam diri anak dan mengharapkan anak meneruskan cita-citanya.
Ada anak-anak yang menurut sahaja kemahuan ibu ayah untuk mengikuti jurusan yang ibu bapa cadangkan. Namun saya pernah mendengar ada anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran tetapi apabila menerima scroll, menyerahkan scroll itu buat ibu ayah.
Lagi artikel menarik di sini:
Akidah Anak Perlu Dipasak Dari Awal, Mak Ayah Jangan Ambil Mudah!
Mak Ayah Nak Kahwin Lagi, Anak Tak Patut Halang Tapi TOLONG Bincang
Ikuti MW di instagram kami:
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Impian Tertangguh
Bagi anak, dia sudah memenuhi impian ibu ayahnya. Impiannya ditangguhkan dan kini tiba masa untuknya mencari keinginan dan minat kerjayanya. Ada juga anak yang boleh menerima bidang itu setelah meneroka ilmu yang terdapat di dalamnya dan meneruskan kerjaya mengikut perancangan ibu atau ayah.
Setiap anak ada kelebihannya. Pandangan kita sebagai ibu atau bapa memanglah akan memilih yang terbaik buat anak. Puan berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang baik, saya pasti cadangan puan itu adalah terbaik untuk anak bongsu seperti yang puan rancang bersama suami.
Mungkin Bukan Terbaik Untuk Anak
Namun, yang baik buat puan tidak semestinya yang betul buat anak. Dalam teori pemilihan kerja seperti VPI (Vocational Preference Inventori) menyatakan seseorang itu akan lebih gembira dan bertenaga apabila minat kerjayanya adalah selari dengan bidang kerjaya yang dipilih.
Tidak kira bidang kerjaya apa yang dipilih oleh anak, sebagai ibu dan bapa, puan dan suami boleh mencadangkan dan memberi gambaran realistiknya bidang itu, kebaikannya, peluang kerja dan ilmu yang diperoleh. Walau bagaimanapun jika anak menolak, maka tentu ada justifikasinya.
Buat Kajian
Minta dia beri alasan kenapa berminat dengan bidang itu. Minta dia buat sedikit kajian tentang bidang tersebut dan prospeknya. Jika anak puan punya minat yang mendalam, dia pasti tahu prospek kerjaya tersebut. Tidak kiralah bagaimana kaedah yang bakal dibuat untuk mencapainya, sebagai ibu, puan boleh memainkan peranan membantu dia bagaimana untuk mencapai cita-cita tersebut. Contohnya beri dia beberapa menu pilihan yang boleh dia ceburi.
Anak mungkin tidak nampak, tetapi puan boleh memberi pilihan-pilihan untuknya seperti menjadi tenaga pengajar, membuka perniagaan sendiri atau kaedah yang lebih canggih yang boleh dia ceburi. Minta dia lakarkan. Jika dia masih mahu, puan boleh meletakkan syarat yang dirasakan munasabah, realistik, boleh dicapai dan ada “time frame’ bagaimana dia mahu capai.
Adakan Perbincangan
Jadi “coach” atau jurulatih kepada anak dengan sering adakan perbincangan. Anak akan rasa disokong, ada kebersamaan dan akan menjalani kehidupan yang lebih ceria dan bersemangat. Elakkan berkata anak “degil” kerana itu adalah doa dari seorang ibu. Setiap perkataan dari ibu atau ayah adalah doa sebenarnya yang kadang-kadang kita tidak perasan keluar dari mulut kita.
Sebenarnya dia bukan degil. Dia ada prinsip dan ketegasan pada diri. Kalau kita perhatikan, apa yang dia miliki dan bertingkah laku itu adalah daripada acuan kita ibu bapanya. Kita juga ada sifat tu, kalau tidak bagaimana anak mewarisi sifat itu. Hanya ibu bapa kita yang tahu kita ini bagaimana…maka sifat itu anak akan warisi.
Ukuran Kejayaan
Kejayaan seorang anak sebenarnya bukan diukur dari segi kejayaan akademik dan profesion yang disandangnya. Memiliki ilmu agama yang tinggi, boleh membaca al-Quran dengan baik, solat tidak tinggal, sering membantu ibu bapa, akhlak yang baik, ada kehidupannya yang tersendiri adalah antara perkara-perkara yang kita sebagai ibu bapa perlu titik beratkan dan beri didikan hingga dia mampu menjadi anak yang boleh menjadi peneman kita di dunia dan memberi syafaat semasa di alam barzakh nanti…yang akan mendoakan untuk puan dan suami apabila telah tiada di dunia.
Itulah kejayaan sebenar untuk kita sebagai ibu bapa yang tiada bandingan. Biar lah dia menjadi penjual buah atau bekerja yang pada pandangan kita “lekeh’ tetapi dia adalah anak yang mampu menjaga kita di usia tua. Mampu mendoakan dan membaca al-Quran serta sedekahkan untuk puan dan suami al-Fatihah dan bacaan al-Quran ketika di alam barzakh nanti. Berdoalah agar anak puan menjadi insan soleh.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ada Masalah, Tak Perlu Cari Pakar, Diri Sendiri Adalah Penyelesai Terbaik!

Isi Kandungan
ToggleAnda hanya memerlukan sedikit keberanian untuk berfikir secara luar biasa apabila diterjah satu-satu masalah.
Dengan berfikir begitu, anda akan mampu menyelesaikan hampir semua masalah selagi ia dalam lingkungan kuasa dan kehidupan anda sendiri. Malah, jika lebih berani, anda boleh menyelesaikan masalah orang lain pula tanpa perlu lebih dahulu keluar universiti.
Minta Orang Lain Tolong Selesaikan
Inilah yang ramai orang tidak mengetahuinya. Apabila diuji masalah, mereka mencari orang lain untuk tolong menyelesaikan masalah itu. Selalunya mereka akan merujuk pakar, paling tidak, yang mempunyai gelaran-gelaran tertentu di hadapan nama masing-masing misalnya; Dr., Prof., Datuk, Ir., dan lain-lain.
Sebenarnya semua masalah peribadi berkaitan kejiwaan dapat diselesaikan sendiri oleh tuan punya diri. Lain halnya masalah yang membabitkan pihak lain dan ia adalah berkaitan kebendaan, yang ini memang perlukan campur tangan pihak lain.
Tetapi selagi ia adalah masalah yang mencetus dari dalam diri sendiri, maka diri sendiri adalah kaunselor terbaik buatnya.
Misalnya, dia ada masalah dengan rakan sekerja, menanyakannya kepada pakar dia akan mendapat jawapan umum, setara dan sekata. Tentu dia akan merasakan jawapan itu tidak menjurus pada penyelesaian masalahnya secara khusus, lantas dia akan menambah soalan.
Diri Sendiri Lebih Arif
Sudah tentulah, sebab yang sebenar-benarnya tahu situasi sebenar apa yang sedang dihadapi adalah tuan punya diri. Dia tahu siapa orang di sekeliling, bagaimana perangai orang yang bermasalah dengannya.
Pendek kata dia tahu macam-macam lagi, sudah tentulah jawapan terbaik adalah daripada dirinya sendiri.
Pakar yang mendengar, meskipun dia memiliki sepuluh Ph.D dalam bidang kaunseling, jawapan daripadanya mungkin tidak menepati kehendak dan sasaran, sebab dia berpandukan ilmu di universiti bukan pengalaman mengalami.
Jangan Bergantung Dengan Orang
Maka, dengan sedikit keberanian untuk berkreatif dalam merumus jawapan kepada masalah yang dihadapi adalah langkah yang patut dilakukan terlebih dahulu sebelum bergantung pada pihak lain.
Setakat masalah suami kurang memberikan perhatian apabila isteri bercakap misalnya, boleh difikirkan sendiri jalan penyelesaiannya. Perhatilah, semak dan fahamilah perangainya yang lain dan fikirkanlah sesuatu langkah untuk menyelesaikannya, insya-Allah akan ada jalannya. Berhubung selalu dengan Allah SWT secara kerap berdoa moga-moga diberikan panduan yang terbaik.
Bertanyakan pakar, anda kena bersedia dengan kisah panjang yang terpaksa diceritakan. Kalau cerita sikit-sikit atau tebok-tebok anda akan mendapat jawapan yang kurang menyenggat atau sekadar saranan-saranan umum yang boleh diambil daripada orang biasa pun.
Lebih Baik
Hujungnya anda akan dapati jawapan yang anda rumuskan itu jauh lebih baik daripada apa yang disarankan oleh pakar. Lalu, anda akan kondem pakar berkenaan kalaupun tidak hilang kepercayaan.
Sebenarnya, anda sendiri harus faham, pakar itu juga serabut dengan masalahnya. Benarkah dia seorang yang bebas masalah hingga boleh menyelesaikan masalah anda yang dia hanya mendengar tidak mengalami? Sejauh mana seseorang itu dapat menghayati atau memahami dengan hanya mendengar cerita?
Secara jujur, saya pernah dihubungi oleh para kaunselor bertauliah bagaimana hendak menyelesaikan masalah-masalahnya. Mahu tidak mahu, saya mendengarlah, lalu mendapati masalah mereka bukanlah teruk sangat hingga tidak boleh diselesaikan sendiri.
Jika didalami, mungkin banyak lagi masalah yang bukan-bukan sedang melanda hidupnya dan dia masih tercari-cari jawapan untuknya, tetapi dialah yang masyarakat cari untuk menyelesaikan masalah-masalah mereka pula.
Apabila berdepan dengan masalah, tenangkanlah diri, paling tidak dengan air biasa banyak-banyak. Oleh bertenang, semua masalah lebih mudah dihadapi serta dicairkan penyelesaiannya. Sebijak mana pun seseorang itu kreativiti adalah yang diperlukan untuk lebih unggul dan anggun.
Artikel ini telah dikongsikan oleh Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj, motivator dan penulis tetap ruangan Motivasi di dalam majalah Mingguan Wanita.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Akan Rela Keluar Duit Bila Suami Tak Kedekut Belanja Keluarga

Isi Kandungan
ToggleIsteri akan dengan rela hati mengeluarkan duitnya bagi membantu keluarga bila mana suami pun tidak kedekut belanja keluarga. Isteri akan lebih menghargai, silap-silap isteri pula nak balas kebaikan suami, belanja suami makan makanan sedap pula. Lagi-lagi bila suami tiada duit tunai di tangan.
Isteri Akan Rela Keluar Duit Bila Suami Tak Kedekut Belanja Keluarga
Macam BroOhsem, Akhtar Syamir ini. Suatu ketika dulu, pernah tak ambil kisah pun pasal kewangan isteri. Tak nak ambil tahu isteri ada duit atau tak. Dia juga tak peduli sama ada isteri dapat beli apa yang dia idamkan atau tak.
Sampailah datang kesedaran, tak kedekut dengan isteri. Barulah dia nampak, murah rezekinya selepas itu. Makin berganda-ganda.
Kebetulan Saya Memang Tak Ada Tunai
“Sayang teringin nak makan kek Indulgence kat Secret Recipe. Tolong belikan boleh? Untuk anak-anak sekali, kakak suka Chocolate Fudge. I belanja, I bagi kad ye”. Kebetulab saya memang tiada tunai. Sekarang dah jarang sangat bawa duit tunai. Semua pakai e wallet.
Bila nak masuk parking tu, ternampak ada kedai bakeri baru bukak. Sementara diorang tunggu dalam kereta, saya ke kedai bakeri tu dulu.
Kebetulan saya belum makan tengahari lagi, diorang dah makan kat rumah ipar tadi. Kedai bakeri tu ada ayam grill. Tengah offer pulak sebab baru bukak. Roti, egg tart dan donut pun tengah offer. Dengan senang hatinya saya pakai kad bank dia kat situ.
Lepas tu baru pergi beli kek kat Secret Recipe dekat je dengan kedai bakeri tu. Siap je beli kek, bila bukak je pintu kereta untuk masuk, saya terus tergelak besar sambil cakap “hahaha… Bestnya belanja pakai kad orang lain”. Muka bangga semacam. Perasaan dia lain betul. Seronok semacam.
Isteri Balas Kebaikan, Bila Suami Tak Kedekut
Menjerit orang tu kena scam. “Padan mukeee” kata saya. Selalu saya je yang kena scam. “Takpelah abang, sayang ikhlas” katanya. Tapi muka dia macam tak ikhlas je?
Tapi bila pikir-pikir balik, syukurnya rasa. Dulu isteri saya sampai terlupa nak guna ATM macam mana. Punyalah lama akaun dia takde duit. Memang sedih betul bila terkenangkan.
Saya tak malu mengaku, dulu kurang kesedaran. Saya letak benda sebegini di tangga terbawah keperluan dalam keluarga. Kalau ada, adalah.
Sebenarnya janganlah buat macam tu. Letak kepentingan dia di atas. Barulah selesaikan yang lain. Sebabnya, bila kita bagi pada isteri, kita akan dapat berkali-kali ganda lagi. Dulu letak di bawah sebab takut duit tak cukup. Tapi bila letak keperluan dia di atas, cukup pula nak buat semua benda. Magik kan?
Inilah namanya, dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain terutamanya isteri kita. Jangan kedekut dengan isteri. Bila kita tak kedekut, rezeki tu akan datang dengan lebih banyak lagi.
Bila dah sampai kat rumah, saya pun masukkan semula duit yang digunakan tadi. Jadi, isteri saya dapat, saya pun dapat. Best kan?
Sekadar perkongsian kegembiraan. Semoga mendetikkan sesuatu. Kongsikan untuk manfaat semua.
Sumber: Akhtar Syamir
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI