Kalau mak ayah ada masak hantar dan ambil anak dari sekolah, curilah masa untuk berdialog dengan anak. Cuma dari perbualan sebenarnya memang banyak didikan yang mak ayah boleh selit sambil berbual kosong.
Macam mana yangUstazah Sharifah Zahidahpernah kongsikan tentang curi masa untuk berbual dengan anak sebelum ini, mungkin mak ayah sudah berjaya ikut.
Dan kali ini, Ustzah panjangkan perkongsiannya untuk mak ayah terus pupuk budaya berbual dengan anak dengan lebih jauh. Jom semak.
Buang Sikap Pentingkan Diri Sendiri Dalam Diri Anak
Sebelum ini saya nyatakan bahawa kebanyakan masalah dan gejala buruk yang berlaku baik dalam rumahtangga, di sekolah mahupun di tempat kerja atau di mana jua – kesemuanya pasti ada kaitan dengan masalah empati yang telah keras membatu dalam diri, yang akhirnya menjadikan seseorang itu lebih bersikap egois dan pentingkan diri.
Sifirnya ringkas.
BANYAK MASALAH ATAS DUNIA, boleh diselesaikan apabila sikap egois dan pentingkan diri ini berjaya dihapuskan. Atau saya rephrase, bahawa masalah kecil, yang merupakan punca timbul segala masalah majoriti di dunia ini – TIDAK AKAN wujud pun jika sikap egois dan pentingkan diri ini tidak muncul.
Tak percaya? Semak dalam kehidupan kita, dan masalah di sekeliling kita.
Dan lakukan analisa kasar; berapa banyak darinya terbibit, ATAU sekurang-kurangnya terkait dengan masalah PENTINGKAN DIRI SENDIRI ini sebenarnya?
Konflik antarabangsa; peperangan antara negara juga bahkan sebenarnya tercetus kerana wujud motif-motif yang lahir dari pemikiran egois yang sifar empati.
Jadi, apa kaitannya isu ini dengan MENDIDIK EMPATI DALAM DIRI ANAK-ANAK?
Jawapan ringkasnya, EMPATI ADALAH APA YANG AKAN MENUTUP RUANG KEAKUANMERAJA DALAM DIRI. Keakuan pula adalah pintu yang membuka segala bentuk konflik dan kezaliman.
Cara Nak Didik Empati
Bagaimana empati menutup lubang keakuan dari meraja dalam diri?
Di saat empati itu wujud dalam diri, kehidupan ini tidak lagi semata-mata tentang diri kita dan kita lebih mudah menyelami hakikat bahawa “The world doesn’t revolve around us.”
Hasilnya kita melihat ada orang lain dalam dunia ini, seperti kita. Dunia ini ada kita, dia, mereka, dan semua. Dunia ini bukan cuma ada kita.
Seterusnya, humility – tawaduk dan rendah diri pula akan mudah lahir dalam diri.
Dimensi pemikiran, perasaan dan tindakan kita menjadi luas, menjangkaui apa yang berkaitan dengan diri kita semata, tetapi sentiasa terpusat untuk turut memikirkan akibatnya yang jauh yang meliputi sesiapa saja di sekeliling kita. Bahkan jika cukup jauh – dapat mendidik taqwa yang lebih dalam diri, sehingga Akhirat itu menjadi bayangan yang sangat pasti.
Empati ni, adalah keupayaan jiwa menyelami diri orang lain sehingga tiada lagi perbezaan antara dirinya, dengan diri insan yang sedang diselaminya. Dia melihat dirinya dalam diri orang lain. Dan dia melihat diri orang lain, dalam dirinya!
Atau bahasa ringkasnya, PEOPLE UNITE. AND WE BECOME ONE.
Kita menjadi manusia yang sangat menjiwai watak dan kesusahan orang lain. Sehingga hati ini terpenuh dengan sikap mengambil berat, ambil tahu, ambil pusing dan ambil tanggungjawab tentang diri dan orang di sekeliling kita dalam kapisiti terbesar kita.
Anda tentu faham kan, betapa besar maknanya apabila semangat KEBERSAMAAN “WE ARE ONE” ini terbit dalam diri menghapuskan semangat keakuan diri?
Dari mana lahirnya kualiti hebat sebegini?
Kualiti diri yang sentiasa melihat dirinya dalam diri orang lain di saat seseorang itu sedang dalam ujian dan dilanda kesusahan?
Semuanya bermula dengan EMPATI.
Makna Empati
Empati ini adalah asas sebelum terbentuknya ITSAAR – sebuah kualiti yang tinggi dalam hubungan persaudaraan sesama Islam. Ini kita sentuh lain kali. Sekadar pengetahuan cetek saya sehingga hari ini, hanya agama Islam yang mewujudkan konsep itsar ini dan menekankannya dalam diri para penganutnya.
Empati ini BUKAN BAKAT.
Empati ini adalah nilai yang boleh disemai, atau nilai yang boleh diabai. Bergantung kepada proses pendidikan dan persekitaran yang wujud.
Dan masa yang paling baik untuk menyemai empati ini, adalah sejak usia dini. Lagi awal, lagi baik. Dan inilah, tujuan bab ini ditulis dan dikongsikan di sini.
Memadai untuk bab teori.
Kita sembang pula bab praktikal tentang bagaimana kita boleh mendidik empati dalam jiwa anak-anak kita.
Curi Masa Berdialog Dengan Anak
Kita boleh mula dengan seringkas acara.
Ads
Cukup sekadar berbual ringkas dalam kereta, ketika ambil anak pulang dari sekolahnya – pun sudah memadai. Bahkan saya lihat, BERBUAL DALAM KERETA INI SANGAT BAIK KESANNYA pada pengukuhan perhubungan ibubapa – anak, dan berupaya menjadi saluran pendidikan yang ringan tetapi berkesan.
Dengan syarat, ianya dilakukan dengan betul berdasarkan 3 prinsip ini.
1. Mewujudkan topik dengan betul. 2. Bertanyakan soalan yang betul. 3. Merangsang jawapan dengan betul.
InshaALLAH, kupasan yang detail tentang bab ini ada dalam buku saya, 1-2-3 Oh Mudahnya Parenting, (jika ALLAH izin ianya diterbitkan.)
Di sini, saya nak kongsikan perkara lain, iaitu jenis-jenis soalan kita boleh tanya pada anak untuk perkenalkan elemen empati dalam dirinya.
Antara soalan yang kita kerap tanya anak, adalah,
“Hari ni Kakak makan dengan siapa?” “Kakak belajar apa tadi dalam kelas Matematik? Tambah? Tolak? Bahagi?” “Siapa nama kawan baru Kakak?”
Dan soalan-soalan yang basic yang sifatnya superficial, atau luaran.
Soalan-soalan sebegini adalah bagus, untuk tujuan bonding dan masuk ke dalam dunia anak-anak. Tetapi ada soalan-soalan lain yang boleh kita manipulasi untuk galakkan anak-anak berfikir tentang orang lain dan sentiasa merasakan berbuat baik itu adalah satu prioriti untuk dirinya.
Kaitkan Dengan Orang Sekeliling Anak
Daripada terus mengulang bertanya soalan-soalan di atas setiap hari, mulakan bertanya soalan kepada anak kita SEPUTAR KEHIDUPAN ORANG LAIN, bukan semata tentang dirinya lagi.
Contoh,
Daripada bertanya, hari ini Kakak makan dengan siapa?
Cuba tanya, “Hari ni Aisyah makan dengan siapa? Ada orang teman makan Aisyah?”
Kemudian, baru kembalikan soalan itu kepada dirinya, “Kakak pula makan dengan siapa?”
Jawapan anak kita, mungkin seputar 3 perkara.
1. Aisyah makan dengan kawannya yang lain. 2. Aisyah makan dengan anak kita. 3. Anak kita tidak tahu Aisyah makan dengan siapa, atau Aisyah tidak hadir ke sekolah, atau anak tidak nampak Aisyah di sekolah hari ini dan tidak pasti tentang Aisyah.
Jika jawapan anak kita adalah nombor 1, boleh suarakan;
“Alhamdulillah, hari ni ada orang teman Aisyah makan. Taklah Aisyah sunyi kan makan seorang diri. Kakak pula, siapa jadi teman makan kakak hari ini?”
Lihat, ayat “TAKLAH AISYAH SUNYI MAKAN SEORANG DIRI” adalah ayat yang meletak diri dalam watak sebagai orang lain. Ayat yang berfikir tentang keadaan dan kebajikan orang lain.
Bertanya Pun Ada Seninya
Ini seninya bertanya pada anak tentang soalan-soalan basic, tetapi yang MENDIDIK JIWA EMPATI DALAM DIRINYA.
Kemudian, baru kita tanyakan soalan kepada dirinya, dengan siapa dia makan ketika rehat tadi.
Ads
Tak susah kan?
Selalunya kita bermula terus dengan bertanya tentang anak kita, hari ini, kita cuba ubah sedikit saja lagi.
Katakan, jawapan anak kita adalah nombor 2 pula.
“Wah, Kakak makan dengan Aisyah hari ni. Aisyah mesti happy sebab kakak temankan dia. Kakak happy tak makan dengan Aisyah tadi?”
Kemudian, terus beri galakan atas tindakan baiknya dengan mengucapkan tahniah.
“Tahniah Kakak, Sebab hari ni kakak dah gembirakan orang lain. Nanti mesti ALLAH akan gembirakan kakak pula, inshaALLAH,”
Atau mungkin soalan lain,
“Aisyah makan kenyang tak tadi Kakak, bekal dia cukup ke? Kotlah masa buka bekal tadi, makanan dia terjatuh. Kalau tak cukup, Kakak boleh kongsi bekal kakak dengan Aisyah, kakak sikit, Aisyah sikit.
Ibu suka kalau anak Ibu suka kongsi makanan dengan orang lain. Ada banyak kita kongsi. Ada sikit, kita kongsi juga. KAKAK KASIHAN TAK KALAU ORANG TAK CUKUP MAKANAN?”
Logiknya, manalah ada Ibu yang bekalkan anak dengan makanan tidak cukup ke sekolah. Tapi soalan sebegini adalah untuk melahirkan jiwa yang sentiasa memerhatikan keperluan orang lain.
Panjangkan Dengan Mendidik Hati Dan Sikap Anak
Di saat kita bertanya soalan pada anak,
“KASIHAN TAK KALAU ORANG TAK CUKUP MAKANAN,”– Panjangkan lagi pada dialog lain. Beritahu dia beruntung memiliki segalanya. Maka harus BUKTIKAN syukur kepada ALLAH. Dan bukti syukur itu melalui jalan beramal, bersedekah, berakhlak baik, berkongsi dan sebagainya.
Di lain-lain masa atau kelapangan, tunjukkan gambar dan video YouTube anak-anak kebuluran, tidak cukup makan dan perlindungan, tidak mendapat pendidikan dan sebagainya.
Kemudian, tanyakan kepada anak,
“BAGAIMANA KAKAK RASA, KAKAK BOLEH BANTU DIA?”
Ya, mendidik empati bukan sekadar ajarkan anak sekadar BERFIKIR tentang orang lain dan menjiwai watak mereka – tetapi tidak berbuat apa-apa! Rangsang jiwa dan minda anak, untuk turut berfikir BAGAIMANA DIA BOLEH BERPERANAN, MEMBANTU DAN MEMBERI SUMBANGAN.
Saat ini, sebagai contoh, boleh ajarkan tentang KUASA DOA kepada anak-anak. Bahawa doa juga dapat membantu insan lain.
Boleh juga ajarkan tentang kepentingan TIDAK MEMBAZIR makanan, kerana pembaziran itu akan menyedihkan ramai pihak yang sangat menginginkkannya, sedangkan kita membuang makanan tanpa rasa berdosa.
Setelah mendidik anak melihat KEPAYAHAN ORANG LAIN, pandulah pemikiran tersebut untuk dia melihat APA PULA TINDAKAN, AKHLAK DAN PERANANYA TERHADAP ORANG LAIN.
Ads
Dan dalam konteks soalan,
“Kasihan tak kalau orang tak cukup makanan,” –
Ini adalah bentuk soalan yang turut merangsang anak untuk turut MELUAHKAN rasa empatinya terhadap insan lain. Anak-anak SEBAIKNYA diajar untuk belajar meluahkan kesusahan yang dia rasai tentang orang lain – agar jiwanya sentiasa menjadi senstif dengan kesusahan orang lain.
Sekaligus membentuk idea bahawa memerhatikan orang yang memerlukan (people in need) di sisinya – adalah suatu urusan yang dianggap besar dan serious olehnya, dan ianya WAJAR DISEBUT/DIBINCANGKAN. Ianya bukan soal enteng dan picisan.
Jika jawapan anak kita adalah jawapan yang ketiga pula, iaitu anak kita tiada sebarang kepastian tentang status Aisyah, antara perbualan yang boleh kita tanyakan adalah seputar, MEMBUAT TELAHAN YANG MENGAMBIL BERAT.
“Aisyah demam ke? Kakak tengok semalam Aisyah ada batuk-batuk ke di sekolah? Macam ada tanda-tanda orang nak demam?”
Atau, boleh juga bertanya,
“Aisyah ada bekal tak? Entah-entah Aisyah tak rehat hari ini sebab terlupa bawa bekal atau tertinggal duit belanja tak?”
Atau, sekadar soalan biasa,
“Kakak risau tak, tak nampak Aisyah tadi?”
Ibu-ibu, bapa-bapa sekalian.
Ketahuilah, ini CUMA SOALAN UNTUK MENIMBULKAN PERBUALAN DAN MENGGERAKKAN HATI NURANI ANAK-ANAK agar terpandu melihat diri orang lain dari kaca mata rahmah dan ambil berat.
Soalan-soalan yang ‘kelihatan’ remeh di atas, tidak MEMERLUKAN JAWAPAN YANG TEPAT DARI ANAK.
Biarkan apa jua jawapan anak. Asalkan ianya menunjukkan ada bibit empati lahir dalam dirinya. Gunakan jawapan anak, untuk kita cipta lebih banyak soalan yang mendidik jiwanya, sehingga perbualan antara kita dan dia itu menjadi satu perbualan yang MEMATANGKAN MINDA DAN EMOSINYA.
Soalan dan perbualan yang membina EQ, atau kepintaran emosinya.
Saya mohon agar jangan sekali diajar anak atau membiarkan anak sehingga terbit darinya pemikiran sebegini,
Sungguh, ianya suatu petanda yang buruk apabila ANAK LANGSUNG MALAS MENJAWAB DAN TIDAK MENUNJUKKAN MINAT UNTUK BERDIALOG DENGAN KITA SEPERTI DI ATAS, kerana dialog itu adalah seputar kebajikan insan lain, dan bukan tentang game Mobile Legendanya, bukan tentang artis pujaannya, bukan tentang koleksi Smigglenya yang dia nak beli, bukan tentang dirinya atau kepentingannya.
Ya, saya jumpa dengan kanak-kanak yang sudah pandai berkata seperti di atas apabila perbualan yang tercetus adalah BUKAN TENTANG KEPENTINGAN DIRI DAN NAFSUNYA lagi. Anak-anak ini tidak bersalah. Anak ini adalah produk dari sikap ibubapa yang memandang enteng ilmu keibubapaan dan selesa membesarkan anak-anak dalam kejahilan.
Selagi jawapan anak-anak menunjukkan respond yang baik, teruskanlah menghidupkan perbualan-perbualan yang membangunkan jiwa anak-anak kita.
Adakalanya, kita bual kosong dengan anak-anak.
Tentang, kenapa dia pilih kertas warna merah, bukan warna biru.
Macam mana nak asah pensel kalau dalam kelas.
Atau kat tepi bilik darjah ada longkang tak.
Apa sahaja.
Ini bagus. Berbual kosong ini adalah untuk bonding.
Tapi, dalam masa yang sama, JANGAN KOSONGKAN SEMUA PERBUALAN. Jadikan ianya sebagai MEDAN PENDIDIKAN untuk jiwa anak-anak. Letakkan matlamat dalam perbualan kita. Matlamat pendidikan. Menyemai karakter dan akhlak nubuwwah dalam dirinya. Usahlah setiap masa berbual kosong. Pandai-pandailah selitkan nilai pendidikan dalam kesempatan masa yang ada.
InshaALLAH, all the best.
ALLAHUA’LAM.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Masa kecil, kita sering dibekalkan dengan makanan yang mak kita masak. Seronok bukan main lagi, pulak tu mak pula yang masak. Bangga. Bukan itu sahaja, duit belanja bolehlah simpan. Kalau boleh tiap-tiap hari nak mak bekalkan makanan untuk kita bawa ke sekolah.
Bila besar dan punyai pekerjaan tetap, bekalan tetap bawa. Tak kira masa masih bujang dan tinggal bersama mak atau sudah berkahwin, isteri pula yang bekalkan makanan. Bukan nak berjimat, tapi itulah air tangan orang yang kita sayang. Tiada langsung perasaan malu, malah rasa bangga lagi.
Betullah apa yang dikongsikan oleh Khairul Hakimin Muhammad tentang apa yang dikatakan iaitu bungkusan yang mak atau isteri sediakan adalah bungkusan hatinya untuk kita bawa bersama dan ingat.
Jika emak kita bungkuskan makanan setiap hari untuk kita pergi sekolah, pergi kerja, ketahuilah dia sedang bungkus hatinya juga bersama.
Begitu juga bila isteri kita siapkan makanan dan pakaian untuk kita setiap hari, ketahuilah dia juga siapkan hati dia untuk kita keluar berusaha.
Jika ayah kita keluar dari rumah cari rezeki untuk keluarga, kena tahu yang dia keluar itu dengan tinggalkan hatinya di rumah. Suruh isterinya jaga baik-baik supaya pulang nanti isterinya sambut dan pulangkan semula hatinya.
Letak baik-baik di dadanya, perlahan-lahan penuh santun dan lemah lembut.
Tetapi apabila kita keluar rumah tanpa siapa pun bekalkan makanan, tanpa siapapun kita tinggalkan di rumah, kena tahu juga yang emak ayah jauh di kampung itu sentiasa melihat pintu dan jendela. Setiap pagi tak pernah jemu memandang anak-anak yang pernah berlari membesar melalui pintu tersebut.
Jika kita dah bawa bungkusan hati itu hari-hari, nanti bawalah pulang kepada emak kepada ayah kepada isteri kepada suami kepada anak kepada semua sebuah baik budi.
Sungguhnya yang dah beri hati menanti mahu lihat kita pulang. Tidaklah kita sampai di pintu rumah dengan dahi penuh kerut, mulut masam selori mangga muda, mata merah seiras udang yang dimasak digoreng garing.
Resahlah hati yang dipulangkan. Diberi dihulur sambil darah menitik-nitik. Hendak ubat tak pandai hendak rawat tak reti.
Ditanya kena marah, ditegur kena herdik. Lalu diamkan sahaja.
Lalu emak, ayah, isteri, suami, anak, diam sahaja. Ajak makan sama-sama, diam belaka di meja yang pagi tadi kita duduk sama-sama. Hati yang dibungkus awal subuh tadi kemas-kemas disimpan dalam peti.
Sampai sejuk, sampai beku. Pagi esok keluarkan lagi. Panaskan dan beri bekal lagi hari-hari. Sampailah satu hari kita sedar yang bekal makanan itu adalah hati yang kita sayang-sayang.
Rindu Mak Ayah
Terus rasa nak pulang. Rasa mahu balik awal, mahu lihat wajah itu semula. Mahu serah balik hati yang diberi, dengan salam, dengan sentuh, dengan cium. Selagi ada nyawa, baliklah. Pulanglah.
Hati yang kita dapat setiap hari kena dihantar semula. Bukan hati kita. Kita hanya dipinjamkan sahaja buat teman takut lupa diri, takut tinggi diri takut-takut jadi sombong jadi bodoh jadi jahat jadi hina.
Itulah pendinding itu juga yang bawa berkat. Suruh rezeki datang mendekat dan sentiasa iring rapat-rapat. Suruh banyak bersyukur dapat pinjaman banyaknya hati setiap pagi. Supaya balik petang malam nanti masih pegang dan dapat pulangkan hati tersebut sampailah kita mati.
Begitulah.
Khairul Hakimin Muhammad,
Bekalkan hati pagi.
MW: Tak perlu malu atau segan dengan bekal yang kita bawa sebab itulah bungkusan hati daripada orang yang kita sayangi.
Dalam rumahtangga amat memerlukan kerjasama diantara suami isteri, baik dalam urusan kerja rumah mahupun anak-anak. Lebih-lebih lagi jika memiliki anak yang ramai dan masih kecil-kecil.Pertolongan dan bantuan daripada suami sendiri amatlah diharapkan.Keletihan dan kepenatan tidak dapat digambarkan buat wanita yang bergelar isteri dan ibu jika terpaksa menguruskannya sendiri seorang diri.
Sesuatu yang perlu di semat dalam fikiran para suami ialah anak ramai bukanlah bukti kelakian. Mohon jangan ‘mendera’ emosi isteri, inginkan anak ramai namun tidak sedikit pun ingin membantu membuat kerja rumah apatah lagi mengupah pembantu. Isteri bukan ‘robot’, bila jiwanya sangat penat mahupun dalam keadaan tekanan dan kemurungan, boleh menyebabkan bertindak diluar batasan.
Semoga perkongsian pengakuan kisah benar ini, memberi pengajaran buat kita.
Anak Ramai Bukan Bukti Kelelakian
Aku nak buat confession mengenai sesuatu yang aku lakukan 3 tahun lepas. Aku tau aku akan dikecam, mungkin ada insan baik hati yang akan bagi kata nasihat, ada insan yang kesian akan doakan yang baik-baik. Tapi aku redha kalau dikecam. Sebab apa aku dah buat memang berdosa tapi aku terpaksa. Confession aku buat sebab viral ada seorang ustaz cakap anak ramai bukti kelakian dan kesuburan wanita. Aku tak setuju sangat.
8 Tahun Berkahwin 6 Anak
Aku buat perkenalan dulu supaya kalian dapat menghakimi aku secara keseluruhan. Aku seorang wanita berumur pertengahan 30an dan beranak 6. Aku dah masuk 8 tahun kahwin. Maksudnya aku beranak 1 tahun sekali.
Dulu aku kerja. Gaji boleh tahan la. Aku dulu sekolah asrama, belajar sampai degree. Dapat anak kedua, suami aku suruh aku berhenti kerja jaga anak. Sebab bayaran pengasuh mahal, katanya. Dia suruh duduk rumah, jaga, susukan anak, banyak dapat jimat duit. Dia mampu. Dia janji akan bagi aku nafkah, apa saja aku nak. Awal-awal memang dia tunaikan janji. Masuk anak keempat, janji mula dilupakan. Bila aku minta duit, macam peminta sedekah. Kena bebel dulu. Baru bagi. Itupun setengah daripada apa yang aku minta.
Baju baru? Baju dalam baru? Kasut baru? Dah lama aku tak bau barang baru. Kulit muka pon menggerutu sebab aku tak ingat bila terkakhir aku buat facial. Dulu masa bergaji aku selalu pergi spa dan facial. Suami aku kerja sendiri. Gaji ikut rezeki. Tak tetap. Tapi dia memang rajin cari duit. Bawak lori, tolong kawan niaga pasar malam, bazar. Tapi akibatnya keluar kerja sebelum matahari naik. Balik kerja bila dah tenggelam.
Suami Tak Tolong Urusan Kerja Rumah
Bab jaga anak, dia boleh diharap. Tapi bab tolong buat kerja rumah, dia memang tak sentuh langsung. Semua aku buat sendiri. Tapi dia tak bising kalau baju berlonggok, rumah sepah. Cuma aku yang sakit mata. Jadi aku gagahkan diri buat. Malam-malam kalau suami dah balik, dia layan anak-anak. masa tu aku ambil untuk uruskan hal rumah.
Kalau mertua dan ipar, mereka dinegeri lain. Mereka tak campur sangat urusan kami sekeluarga. Tapi mereka keluarga besar. Suami ku ada 8 adik beradik. Ibu bapa aku dan meninggal dunia masa aku ada anak 1. Sakit tua. Mula-mula ayah, lepas tu ibu. Aku ada seorang adik lelaki, dia sekarang ambil master. Belum kahwin. Kami tak rapat. Biasa-biasa je.
Mengandung Anak Ketujuh
Aku tak pakai apa-apa penghalang kehamilan. Aku mahu. Tapi suami tak izinkan. Dia suka anak ramai. Meriah, katanya. Lagipun dia rajin layan anak. Aku sungguh penat tapi aku bodoh, ikut kata suami membabi buta. Sampailah takdir, aku mengandung anak ke-7.Tepat anak ke-enam ku 1 tahun 2 bulan. Aku mengandung lagi.
Aku nangis. Aku tak sanggup. Aku letih sangat. Aku baru 30-an tapi aku nampak macam nenek orang. Aku dah beruban. Aku rayu suamiku supaya bagi aku masa untuk diri aku tapi ayat dia ’mak saya dulu boleh je. Besar elok je saya adik beradik. Takde siapa takde urut lah orang dulu-dulu’. Aku stress. Aku rindu kawan-kawan aku yang sekarang dah lost contact. Aku takde orang nak luah. Aku pernah juga luah aku penat kepada suami. Aku minta dia ingat janji-janji dia masa aku berhenti kerja. Dia tuduh aku tak bersyukur. Tak bersyukur dia masih lagi setia, balik rumah setiap malam walaupun selepas penat seharian kerja. Dia kata aku tak reti berterima kasih sebab muka aku tak pernah senyum.
Aku sedih. Aku bagitahu, aku penat. Senyum pun tak larat. Bukan aku tak bersyukur. Tapi tolong la. Aku penat. Dia diam je. Setiap kali lepas gaduh, dia akan diam. Takde penambahbaikan. Naikkan sikit duit rumah pon dia tak buat. Dia tak bagi aku uruskan duit. Barang dapur, dia beli. Yuran tadika anak, dia bayar. Pampers, dia beli. Aku tak ada duit. Aku buat sedikit online bisnes, jadi agent doorship, hasil tu aku buat main kutu, dan simpan sikit-sikit.
Aku mengandung anak ke 7. Aku menangis melihat urine test yang aku curi-curi suruh jiran ahmoi aku beli. Aku kira-kira bila last period, maksudnya baru mengandung 5 minggu. Aku tiba-tiba jadi moody sangat. Dengan anak-anak aku jadi garang sangat. Dengan suami aku dah pandai gaduh lempar barang. Aku tak bagitau aku mengandung. Aku tak bagitau sesiapa aku mengandung. Hari-hari aku lompat bintang, naik turun tangga, tak makan, supaya badan aku lemah dan tak mampu mengandungkan anak ini. Aku jadi benci dengan semua orang. Termasuk diri aku. Aku pernah menangis pukul 2 pagi diluar rumah sambil pukul-pukul perut.
Nekad Gugurkan Kandungan
Selepas 2 minggu. Aku tak tahan. Aku tengok duit simpanan aku ada 3 ribu. Aku simpan diam-diam hasil doorship, kutu. Dengan duit tu aku beli baju dalam baru, spender baru, aku jimat-jimat. Satu hari, aku tekad. Aku nak gugurkan kandungan ini. Aku ada jiran cina yang sosial. Aku panggil dia ahmoi. Aku tahu sebab dia selalu bawa laki lain-lain balik rumah. Dia je manusia yang berborak dengan aku ditaman ni. Wanita-wanita lain semua jenis membawang. Aku taknak kisah hidup aku jadi bahan bawang mereka.
Aku beranikan diri tanya dia pernah gugurkan kandungan tak. Dia tanya kenapa tanya soalan pelik. Aku terus terduduk depan dia, nangis macam orang tak siuman. Aku meraung-raung cakap aku dah taknak anak. Aku tak larat. Aku penat.. Suami aku tak faham. Tau nak anak banyak tapi semua aku yang buat. Dia pujuk aku. Dia bagi aku satu alamat. Dia kesian tengok aku menangis. Dia kata dia tolong.
Aku guna duit simpanan aku upah satu bibik harian untuk seminggu. Kebetulan suami aku ada job bawa lori ke Kelantan. Katanya tak balik 2-3 hari. Lepas tu aku dengan ahmoi pergi klinik tu. Aku berdebar, tapi aku tekad. Doktor tu scan, ada janin berusia 7 minggu, dia pon bagitau prosedur (aku tak nak cerita details) apa dia akan buat. Dan harga. Harga tu aku mampu bayar jadi aku setuju je.
gambar hiasan
Cukuplah kalian tahu aku menangis teruk sambil minta maaf semasa prosedur. Aku cakap aku tak mampu. Ayah dia tak menolong. Aku penat, aku stress. Semua selesai.
Suami aku balik, aku cakap aku period pain. Bibik tu aku pakat dengan dia tipu suami aku cakap tu bibik jiran, bercuti tak bawa bibik. Bagi pinjam seminggu. Suami aku diam je. Tapi dia tak selesa ada bibik kat rumah. Dia keluar dengan kawan pergi memancing (ni sebab dia taknak upahkan aku bibik. Dia tak selesa ada orang asing dalam rumah).
Pakai Alat Pencegah Kehamilan Senyap-Senyap
Seminggu lepas procedur tu, doktor ada suruh datang untuk check betul ke dah takde. Aku angkut semua anak-anak dan ahmoi ke klinik. Anak-anak aku bising dalam klinik, ahmoi tolong jaga sementara aku check dengan doktor. Doktor kata dah takde. Aku nangis lagi. Dia kata dia faham. Bukan kali pertama ada wanita datang kata tak ready pregnant sebab anak kecik, suami tak menolong, atau tak mampu. Aku diam je. Dia suruh aku pakai alat pencegah kehamilan. Aku kira-kira duit aku ada lagi. Aku setuju. Aku pakai alat. Doktor kata tahan 5 tahun.
Hal ni 3 tahun lepas. Sekarang anak-anak aku dah besar sikit. Aku pon boleh simpan duit lebih banyak sebab boleh buat lebih banyak kerja. aku berniaga online. Tak harap suami lagi. Dia tau aku berniaga, lagi lah dia jadi kedekut. Aku dengan suami dingin. Aku bosan dengan dia. Hubungan kami atas katil je. Aku tak risau lagi sebab dah pakai alat. Dia tak berubah langsung. Masih ditampuk lama.
Aku sampai sekarang sedih dengan apa aku buat. Rasa dosa. Tapi kalau aku tak buat, aku yang meroyan. Aku hari-hari minta ampun. Semoga Allah ampunkan aku. Aku sayang anak-anak yang aku ada. Biarlah ayah mereka macam tu. Aku nak didik mereka supaya tak jadi macam ayah mereka.
Anak Ramai Bukan Ukuran Kelakian Atau Kesuburan
Akhir kata, anak ramai bukan ukuran kelakian atau kesuburan. Tapi tanggungjawab. Tanggungjawab bukan hanya bagi sperma. Tapi membesarkan, didik, nafkah. Isteri pon manusia. Kami bukan kilang anak. Lepas tu harap semua kami buat semua. Aku kadang-kadang rasa benci dengan suami. Tapi aku sabarkan diri dengan alasan sekurang-kurangnya dia tak pukul aku dan anak-anak. Tahan je la selagi nyawa dikandung badan. Aku harap wanita diluar sana lebih bijak. suami tak izinkan pakai pencegah kehamilan tu, lantakkan. Bukan badan mereka yang penat. Pakai je senyap-senyap.
Harap kalian tolong doakan dosa aku diampunkan. Suami aku berubah. Anak-anak aku membesar jadi manusia bertanggungjawab.
– Insan Berdosa
Mingguan Wanita mengharapkan semoga para suami,mendapat pengajaran daripada perkongsian ini. Bantulah isteri yang kepenatan, sama-samalah menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Isteri yang berada dalam keadaan sangat kepenatan dan kemurungan mampu bertindak diluar batasan dan akal fikiran. Buat wanita ini, menggugurkan kandungan tetap satu dosa.Apa pun teruslah berdoa dan meminta keampunan daripadaNya.Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dan menguruskan keluarga dan anak-anak.
Rasa bangga dan kagumnya bila kita dengar anak-anak sekarang bercakap dalam bahasa asing, tak lain tak bukan bahasa Inggeris. Bahasa perantaraan untuk semua negara.
Sedihnya, tak semua fahan dan tahu menggunakan bahasa asing ini. Mahunya ternganga-nganga untuk menjawab apa yang ditanya. Bukan setakat anak, orang dewasa pun mungkin ada yang tak berapa nak faham juga.
Mungkin agak pelik, kalau mak ayah yang terkenal atau mempunyai darah kacukan tetapi anak tak berapa nak faham dan reti untuk bercakap dalam bahasa asing. Janganlah terlalu nak ‘judge’ pada orang itu, belum masanya lagi untuk anak itu faham sepenuhnya.
Influencer terkenal dan tidak asing lagi yang dikenali ‘DurianKimchi’ dalam media sosialnya. Pasangan Ryzal Ibrahim dan Maryam yang baru memperolehi seorang cahaya mata bernama Rina.
Isteri adalah warga Korea dan dia sendiri berasal dari Kelantan. Sudah tentu banyak bahasa yang boleh anaknya sendiri belajar dan faham. Beruntung sangat ni.
Namun, apa yang membuatkan influencer ini terasa hati dengan tanggapan orang-orang tertentu yang menggunakan perkataan ‘kesian’ pada anaknya kerana tidak fasih berbahasa inggeris.
Rina ni baru 1 tahun. Dia cakap pun tak fasih. Awak datang tegur babysitter dengan Rina tu saya ucap terima kasih, mungkin awak salah seorang peminat Rina. Tapi cara awak guna perkataan ‘Kesian’ tu salah sama sekali.
Sebagai bapa yang berbangsa Melayu, saya lebih sayangkan Bahasa Kebangsaan kita. Saya berkomunikasi dengan anak menggunakan Bahasa Melayu, Korea dan last sekali barulah English. Rina faham je English, malah saya gunakan British English di rumah bila berkomunikasi. Bukan English terabur “adik, wear your kasut”.
Kadang-kadang saya cakap dialek Kelantan supaya Rina tahu dari mana ayah dia datang.
Jangan Lupa Identiti Bangsa Sendiri
Andai kata Rina tak faham English pun, saya tak malu dan tak kesian. Yang saya kesian kita bangsa Melayu terlalu agungkan bahasa asing sehingga lupa identiti bangsa sendiri. Bangga dengan anak boleh berbahasa Inggeris tapi tidak faham Bahasa Melayu, itu yang malu dan kesian.
Saya saksikan ramai kenalan saya jumpa, anak mereka tidak boleh berbahasa Melayu. That’s a shame of being Malaysian. Satu nasihat Ryzal pada semua. Learn every language you could but don’t lose your identity.
Lagi kesian yang guna English dengan anak tapi terabur macam pasir. “Wear your kasut adik” tu salah. Ramai mummy saleh melayu celup tepung durian belacan ni guna ayat ni.
Dalam konteks ayat mak ayah kepada anak tak sesuai guna “Wear your shoes” tetapi kita guna “Keep your shoes on” atau “Put your shoes on”
.
Mingguan Wanita : Paling sedih, bila tinggal di luar negara, balik Malaysia ala-ala pelatnya tak boleh nak bawa bincang. Sabar ajelah.
Sebagai seorang wanita pada realitinya banyak pengorbanan yang perlu dilalui termasuklah dalam mengharungi dunia percintaan. Begitu juga dengan watak Radwa yang mengajar kita bahawa...