Kes tertelan duit ini bukan baru ya, memang selalu berlaku pada anak-anak yang suka masukkan benda ke mulut.
Anak kecil ini bukan tahu apa-apa pun, jadi mak ayah WAJIB pantau anak dan keadaan rumah. Kalau nampak benda kecil-kecil seperti duit atau guli, tolonglah ambil simpan dan letak tempat yang tinggi.
Apa yang ditakuti mak ayah, berlaku kepada salah seorang anak buah saudari Arwina Mohammed, tapi alhamdulillah dia dapat keluarkan duit yang sangkut di tekak anak kecil itu selepas percubaan kali ketiga. Ikuti perkongsian penuhnya…
Bismillahirahmanirrahim… pertama kali wina ingin share kejadian yang baru berlaku 45 minit yang lalu. (semalam) Alhamdulillah anak buah wina masih diberi peluang hidup! Tanpa diduga berlaku kejadian hari ini di mana anak kecil ini tertelan duit syiling 0.50$.
Masa itu wina duduk d ruang tamu bersama 3 orang budak kecil, baru lepas berapa minit tiba-tiba anak buah yang berumur 2tahun lari dan tepuk bahu wina dari belakang dengan keadaan nya yang sudah ternganga dan berair mata (kesakitan) dengan rasa panic wina pegang dan terus panggil mama budak itu. Apabila di cek betul-betul rupanya anak ini sedang berperang menahan sakit kerna tersangkut duit syiling dalam tekak.
Hampir Putus Asa
Kejadian berlaku dengan pantas! Hampir sudah wina berputus asa sebab 2 kali percubaan untuk mengambil syiling itu gagal!
Dan akhirnya wina dan mama budak ini tetap tidak berputus asa dan cuba keluarkan juga sampai dapat. Alhamdulillah syukur kepada Allah! Percubaan yang ke-3 berjaya.
Untuk pengetahuan, anak ini tadi muka nya sudah biru dan tidak bernafas… Allah!
Hampir 3minit juga baru syiling itu terkeluar. Sambil masukkan jari untuk tarik syiling tu sambil wina berdoa dan istighfar xhenti-henti! Dengan kuasa Allah swt masih selamat nyawa budak ini.
Pesan wina untuk semua ibubapa diluar sana, jika kejadian ini berlaku sama pada anak anda tolong jangan panik sebaiknya cepat-cepat bertindak dan berdoa agar diberi kemudahan secepatnya.
Cara Keluarkan Syiling
Kalau tertelan syiling atau benda lain pastikan JANGAN SESEKALI BARINGKAN ANAK ITU TAPI TUNGGANG KAN KEPALA DIBAWAH & KAKI DI ATAS SUPAYA BENDA ITU TIDAK TERUS MASUK DALAM PERUT DAN MEMUDAHKAN ANDA UNTUK TARIK KELUAR DENGAN CEPAT.
Jangan panik! Itu lah kunci utama… ya wina mengaku walaupun bukan anak sendiri tapi wina sendiri sudah bergegar 1 badan melihat anak itu. Jantung terhenti sekejap.
Sentiasa pantau anak anda dimana jua berada. Benda begini kita tidak minta tapi harus waspada.
Nota:
Hati masih ngilu mengenangkan kejadian tadi. Pertama kali wina kurik tekak budak dalam-dalam. Rasa kesian, takut yang amat sangat fuhhh! Kalau tiada keberanian mungkin wina tak dapat tarik benda tu tadi.
#StillTraumagkungan 30-an dan kejadian pada 7.30 malam.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wariskan Sifat Kehambaan Pada Allah Dalam Diri Anak
Wariskan sifat kehambaan pada Allah SWT dalam diri anak kita. Itu tugas kita sebagai ibu bapa. Apabila melihat bayi kecil yang tidak mengerti apa-apa dan tidak berdaya untuk melakukan apa-apa, mengimbau keadaan diri kita yang sememangnya faqir dan lemah yang harus berpegang kepada sesuatu yang Maha kuat dan Maha kaya, itulah Allah yang sememangnya amat mengasihani dan menyayangi hamba-Nya.
Lebih kuat rasa kehambaan dalam diri dengan penuh faqir dan kelemahan, lebih hebat lagi limpahan kasih sayang-Nya yang bakal kita rasakan. Persis bayi kecil, lebih kuat dia menangis menagih perhatian dan kefahaman lebih lagi rasa empati menerjah diri ibu bapa dan penjaganya. Sungguh kalam Allah itu benar, tiada satupun yang Allah jadikan sia-sia. Setiap inci penciptaan-Nya apabila direnungkan memberi inspirasi dan motivasi diri untuk kekal menjadi hamba-Nya. Maha hebat Allah!
Apa Yang Allah Ingin Didik Kita?
Rakan penjaga yang dikasihi, betapa banyak daripada peristiwa harian kita bersama anak-anak yang benar-benar kita tekuni dan kita tanyakan pada diri, apakah sebenarnya yang Allah ingin didikku melalui peristiwa ini?
Saya percaya, jika soalan ini kerap menerjah pemikiran kita rentetan daripada peristiwa-peristiwa bersama anak yang kita lalui saban hari, pasti akan bertambah rasa kehambaan kita kepada-Nya. Benar anak itu adalah amanah. Namun sejauh mana kita mengimani kata-kata itu dan sejauh mana kita terjemahkannya dalam kehidupan kita bersamanya.
Sudah menjaga amanahkah kita jika keperluan fizikalnya dipenuhi? Sudah jaga amanahkah kita jika material untuk kelangsungan hidupnya sudah tersedia? Apakah sudah cukup amanah jika dia di mata kita sudah cukup berjaya?
Anak-Anak Indikatornya
Ia berbalik kepada apakah takrifan cukup dan amanah yang kita fahami. Jika ianya disandarkan kepada kefahaman al-Quran maka indikatornya anak-anak ini kenal akan Tuhannya, cinta akan Rasulnya dan menjadikan Islam sebagai cara kehidupan dan pandangan alamnya.
Masya-Allah, dalam keadaan semasa kehidupan kita, cabarannya amat kuat. Mehnahnya hebat.Memerlukan kekuatan dalaman yang kuat untuk kekal dalam arus iman dan takwa. Hakikatnya, kita tidak berdaya mengharunginya sendirian apatah lagi dengan membawa beban amanah. Jadi kembalilah mengadu dan merengek di hadapan Allah Yang mempunyai kekuatan dan Allah yang mempunyai perbendaharaan. Pasti kita akan dibantu-Nya.
Persiapkan Diri Dengan Sifat Hamba
Justeru, persiapkan diri kita untuk benar-benar menjadi hamba kepada-Nya. Hamba yang memiliki sifat hamba, tidak akan pernah merasakan dirinya lebih daripada orang lain hatta dengan anaknya sendiri. Hamba yang memiliki sifat hamba, tidak akan pernah meletakkan apa yang diperkatakan adalah mutlak.
Hamba yang memiliki sifat hamba memiliki sifat tawadhuk yang membenarkan dirinya untuk menghormati dan bertolak ansur dengan yang lain. Dan yang paling penting, hamba yang memiliki sifat hamba akan sentiasa mencari jalan untuk mengagungkan pemiliknya bahkan mengajak orang disekelilingnya untuk melakukan hal yang sama. Begitulah serba sedikit indikator yang boleh kita renungkan dalam diri, melihat kembali, perteguh dan perbaiki. Kerana tiada seorang pun daripada kita yang sempurna.
Baca lagi artikel menarik di sini:
Walau Tak Kaya, Anak Sihat Dan Suami Bertanggungjawab Juga REZEKI
Bila Isteri TERLEBIH Layan Anak, Suami Jadikan Alasan Cari Teman ‘Curhat’ Lain
Jangan lupa follow Mingguan Wanita di instagram
Contohi Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S
Kisah ini harus dijadikan contoh. Betapa Nabi Ibrahim memastikan dirinya mengekalkan rasa kehambaan dalam diri sehingga apa sahaja yang diperintahkan Allah kepadanya dilakukan tanpa gagal hatta perintah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail.
Rasa kehambaan yang baginda miliki bukan sahaja diterjemahkan melalui perlaksanaan setiap perintah Allah malah manifestasi sifat hamba tadi menyebabkan baginda bertindak untuk bertanyakan pandangan anaknya Ismail ketika ingin melaksanakan perintah tersebut.
Ia bukan bermakna baginda ingin mengelak daripada melaksanakan perintah malah sebagai tanda hormat dan kasih sayangnya kepada anak. Dua keadaan ini menjelaskan bagaimana hakikat sifat hamba termanifestasi dalam diri kita selaku ibu bapa. Jawapan Nabi Ismail ketika itu pula mengukuhkan tarbiah ibunya untuk sentiasa menjadi hamba kepada Allah dalam setiap keadaan dan peristiwa kehidupan.
Tidak Bermakna Di Sisi Allah
Itulah hakikat kehidupan kita yang harus kita benar-benar tahu dan faham. Kita bukan sesiapa di dunia ini walau mempunyai jawatan yang tinggi, harta yang banyak, ilmu yang tinggi mahupun kuasa yang besar. Ia tidak bermakna apa pun di sisi Allah. Bahkan yang termahal di sisi-Nya adalah rasa kehambaan yang mutlak daripada hamba-Nya. Masya-Allah!
Jadi, rasa itulah yang harus kita miliki dan diwariskan kepada anak-anak kita. Percayalah rasa kehambaan kepada Yang Berhak menidakkan rasa dimiliki dan ditakluki sesama makhluk. Yang ada hanyalah rasa kasih sayang dan hormat sesama insan atas arahan dan perintah daripada-Nya. Allahuallam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad (USIM)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Waspada Trend ‘Child Shaming’, Buka Aib Malukan Anak Di Media Sosial!
Bukan semua perkara boleh dikongsikan di media sosial. Akhir-akhir ini, terdapat segelintir mak ayah yang gemar berkongsi video atau gambar kesilapan anak serta hukuman yang diberikan pada mereka disiarkan di media sosial. Ia dilakukan atas alasan untuk mendidik mereka!
Tanpa sedar fenomena ‘Child Shaming’ ini sebenarnya membuka aib, menjatuhkan maruah dan harga diri anak.Walaupun anak masih kecil, kesannya cukup mendalam dan memberi kesan pada mereka.
Jemput baca perkongsian oleh Puan Noor Afidah Abu Bakar dari Parent Connect Consultancy mengenai perkara ini sebagai panduan.
MENGHUKUM ANAK ‘ONLINE’.
Antara mendidik dan meraih populariti.
Dunia sekarang semakin aneh.
Di kala ramai ibubapa menggunakan platform media sosial untuk memuatnaik gambar dan video anak-anak yang bijak, keletah, kreatif, inovatif, cergas, tangkas, kritis, dan positif, ada juga ibubapa yang memuatnaik gambar dan video yang membuka aib anak dan menjatuhkan maruah dan harga diri anak kononnya kerana hendak mendidik anak.
Seorang ibu dari Alaska yang dikenali sebagai ‘hot sauce mom’ telah dibawa ke muka pengadilan kerana telah memuat naik video dirinya yang sedang menuangkan sos pedas ke dalam mulut anak sebagai hukuman kepada anak yang berbohong kepadanya. Dia juga memuat naik video menghukum anak dengan memaksa anak berdiri di bawah pancutan (shower) air sejuk. Tindakannya memalukan anak dengan mempertontonkannya kepada umum telah menerima kecaman yang hebat.
Adakah kaedah menghukum dan menyiarkan (punish and broadcast) ini efektif dalam mengubah tingkah laku anak?
Apakah benar semua ini dilakukan atas nama disiplin dan kasih sayang ataupun adakah ia dilakukan kerana ayah atau ibu tersebut inginkan perhatian?
Fenomena ‘Child Shaming’
Fenomena ‘child shaming’ atau membuka aib anak ini ternyata semakin mendapat perhatian. Terdapat lebih 30 000 klip video yang memaparkan bagaimana kanak-kanak dimalukan di media sosial oleh ibubapa sendiri atas nama disiplin. Saya lihat ‘trend’ ini juga sudah menular di kalangan ibubapa di negara kita. ‘Trend’ baru ini hangat diperdebatkan kerana ia melibatkan jiwa anak-anak yang masih memerlukan bimbingan dan perlindungan daripada orang dewasa terutamanya ibubapa.
Kesilapan, kenakalan dan kedegilan anak adalah aibnya. Tidak ada manusia yang waras mahu aibnya disebarkan. Cara untuk membimbing kesilapan anak bukanlah dengan mempertontonkan hukuman ke atas anak kepada orang ramai, sebaliknya dengan nasihatinya dan membimbingnya secara tertutup peringkat demi peringkat sehinggalah dia berupaya untuk memperbaiki dirinya.
Menghakis Kepercayaan Anak
‘Shaming’ meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kanak-kanak. Kaedah ini mungkin berkesan untuk jangkamasa yang pendek selama mana ibubapa masih ‘memegang kuasa’. Walau bagaimanapun luka yang dipendam anak boleh menghakis kepercayaan anak kepada ibubapa sedikit demi sedikit sehingga terhakisnya hormat.
Ibubapa adalah satu-satunya insan yang dipercayai anak sejak dia lahir. Walaupun satu dunia berpaling tadah, kita tahu ibubapa kita tetap akan mempercayai dan menyokong kita. Jika kepercayaan itu hilang dari dalam jiwa anak disebabkan sikap ibubapa yang gemar membuka aib anak untuk dipertontonkan kepada umum, bagaimanakah rasanya kepercayaan anak itu terhadap nilai dirinya sendiri?
Anak Rasa Terhina
‘Shaming’ bukannya kaedah yang kreatif untuk mendisiplinkan anak, sebaliknya ia merupakan satu kaedah yang destruktif. Anak yang merasa terhina akan memekakkan telinga kepada sebarang perubahan yang diharapkan.
‘Shaming’ menjadi kitaran penderaan (abusive cycle) yang akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi, terutamanya apabila ayah atau ibu yang memalukan anak itu berkata “ Abah lakukan (memalukan kamu) semua ini kerana sayangkan kamu.”
Mak Ayah Patut Lindungi Anak
Hakikatnya, kasih sayang sebenar akan mendorong ibubapa untuk menutup dan menjaga aib dan harga diri anak-anak. Kasih sayang seharusnya menjadikan kita ibubapa yang melindungi anak, bukannya ibubapa yang memberi ruang kepada mereka yang tidak mengetahui duduk perkara sebenar untuk mengecam dan mengeji anak kita.
Walaupun mungkin kaedah membuka aib anak ini menjadi amalan sejak turun temurun tetapi media sosial memberi impak negatif yang lebih besar kepada anak kerana aibnya ditonton oleh ramai orang termasuk yang langsung tidak mengenali si anak.
Kesan memalukan anak di media sosial berbeza dari kesan menceritakan ‘kenakalan’ anak kepada Mak Piah atau Pak Usop sebelah rumah yang kita percayai untuk meminta nasihat. Penceritaan kepada Mak Piah dan Pak Usop mungkin mencapai capaian hingga tangga rumah sahaja tetapi capaian media sosial merentasi hingga hujung benua, dari kutub utara ke kutub selatan.
‘Digital Footprint’ Anak
Di mana anak mahu meletakkan mukanya?
Anak kecil juga mempunyai maruah dan harga diri.
Kawan-kawan mengejek dan orang sekeliling memandang sinis kepadanya.
Aib ini akan timbul kembali dari masa ke semasa seumur hidup anak kerana ia sudahpun menjadi ‘digital footprint’ anak yang tidak akan boleh dipadamkan lagi.
Tidakkah kita kisah?
Kadang-kadang dalam kita beria-ia membuka aib anak, dalam kita teruja memperolehi banyak ‘like’ dan ‘share’ di media sosial, dalam kita berbangga kerana kita dianggap oleh segelintir pihak sebagai ibubapa yang berjaya mendidik anak kerana menghukum anak, kita tidak sedar yang kita sebenarnya membuka aib diri kita sendiri kepada mata dunia.
Jika ibubapa perlu bergantung kepada kaedah membuka aib anak di media sosial supaya diadili oleh orang asing, itu bermakna ibubapa itu sendiri tidak pandai menguruskan anak-anak dan keluarga hingga menyebabkan anak menjadi susah dikawal.
Kenapa harus dipertontonkan aib kita, anak-anak kita dan keluarga kita secara sukarela kepada orang ramai sedangkan Allah SWT sentiasa menutup aib kita.
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dijadikan panduan buat para mak ayah dalam mendidik anak-anak. Bukan semua perkara perlu dikongsikan di media sosial, apatah lagi mengaibkan dan memalukan anak sendiri.
Baca Disini: “Abah Rotan Sebab Nak Cess Faham Erti Maruah Seorang Perempuan..”
Sumber: Parent Connect
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kesetiaan Seorang Suami Dicurangi Isteri “Tegas. Jangan Lemah Sangat Depan Pasangan”
Kesetiaan seorang suami dicurangi isteri. Tular watak lakonan Zamarul Hisham menerusi lakonan hebatnya dalam drama Saat Hilangnya Cintamu gandingan bersama Rita Nadira.
Watak yang dipegang oleh Zamarul membuatkan penonton menitiskan air mata. Dalam drama terbitan Zeel Production itu, Zamarul melakonkan watak suami yang tersakiti kerana isteri curang dengan lelaki lain.
Kesetiaan Seorang Suami Dicurangi Isteri
Zamarul yang melakonkan watak bernama Razil sanggup tinggal dalam sebuah pondok kecil bersebelahan rumah bekas isteri kerana enggan berpisah dengan dua anaknya. Rata-rata penonton memuji kehebatan lakonan Zamarul kerana berjaya merobek hati penonton. Difahamkan, drama tersebut diangkat daripada kisah benar sekaligus membuktikan lelaki setia itu memang benar-benar wujud.
Namun Puan Sharifah Zahidah menerusi perkongsian di akaun Facebooknya mempunyai pandangannya yang tersendiri tentang watak Razil.
Malah Sharifah Zahidah juga turut memberi pendapat tentang pengajaran di dalam penulisannya berdasarkan atas situasi yang dikongsikan. Ikuti pandangan yang banyak memberi pengajaran buat suami dan isteri.
“EDITED: Oh Zamarul ceraikan juga isteri dia. Okey, jadi pandangan ni tak terpakai untuk cerita ini tetapi pengajaran di dalam tulisan ini masih valid berdasarkan situasi yang saya sebutkan di dalam ini.
***
Lalu klip sebuah drama yang dilakonkan semula oleh Zamarul Hisham tentang kesetiaan seorang suami yang dicurangi isteri.
Di saat orang lain memuji-muji kesetiaan Zamarul, saya melihat itu sebagai tindakan yang langsung tidak heroic.
Isteri curangi suami sehingga berzina dengan lelaki lain. Lelaki memaafkan?
YA, MEMAAFKAN KESILAPAN ITU BAIK.
Tetapi.
Memaafkan dalam konteks ‘menerima kembali’ hanya memperlihatkan seoalah dosa dan damage yang dilakukan wanita itu tidaklah begitu besar.
Seperti mana saya melihat begitu jelek dan benci perbuatan suami curangi isteri dan tidak membiarkan isteri mudah-mudah menerima kembali suami – seperti itu juga halnya saya melihat jelek sekali perbuatan yang sama dari seorang isteri.
Zina dari seorang lelaki atau wanita berkahwin adalah jauh jauh lebih berat dan hina dari zina dari seorang lelaki atau wanita bujang. Kerana itu, Islam begitu ’tegas’ menanggapi isu zina pasangan berkahwin sehingga hukuman yang diberikan adalah rejam sampai mati.
Rejam sampai mati – bermakna – tiada lagi ruang untuk mereka berdua. Tiada peluang kedua. Tiada.
Yang ada cuma TAUBAT yang wajib disegerakan sebelum hukuman dilaksanakan.
Itu saja.
Tiada jalan lain untuk mengekang perzinaan pasangan berkahwin.
Tapi.
Apa yang terjadi hari ini.
Kita lebih cenderung memaafkan dan menerima kembali pasangan – kerana takutkan perceraian. Takutkan kehilangan.
Jika saya berada di tempat Zamarul atau sesiapa pun yang sekapal (waliyazubillah) – saya tidak akan beri peluang kedua.
Kenapa?
Kerana saya melihat Islam adalah solusi.
Jika Islam sendiri menawarkan satu bentuk ‘pemulihan’ yang begitu ketat, maka saya teramat yakin bahawa ‘kaedah lain’ yang lebih ringan tidak membawa apa-apa selain kemudaratan yang jauh jauh lebih besar terhadap ummah.
Ramai kan sekarang pasangan ‘memafkan’ pasangan yang curang dan berzina? Kerana menganggap memaafkan itu mulia dan lebih baik.
Tapi, tidaklah dalam konteks sebegini sehingga ‘menerima kembali’ kerana Islam juga tidak menerima mereka kembali kecuali dengan taubat yang dipaksakan dan hukuman yang begitu berat sekali.
Al hasil, apa jadi pada masyarakat kita?
Curang dan zina yang sangat berleluasa.
Wallah, isteri yang mengadu kepada saya tentang kecurangan dan perzinaan suami – 90% adalah dengan isteri orang! Bukan dengan anak dara ataupun janda!
Sehingga saya rasa bingung sekali.
Eh, dulu sondol menyondol dan curang ini dari kalangan orang single. Tapi sekarang, yang sudah berkahwin menjuarai carta zina dan curang!
Maka itulah saya fikirkan.
Di saat fikiran kita dikedepankan melebihi hikmah yang Islam gariskan – maka tiadalah yang lebih merebak melainkan kemudaratan semata-mata.
“Habis, takkan nak bunuh dan rejam pulak pasangan yang berzina tu?”
Tidak. Bukanlah kita ini orang yang begitu dungu sehingga memahami sesebuah hikmah sebegitu.
Yang dimaksudkan adalah,
MAAFKAN. TANPA MENERIMA KEMBALI.
PUT YOUR STANDARD HIGH AS A HUSBAND AND A WIFE. Biar pasangan tahu apa makannya, apa akibatnya mencari pasal dengan seseorang yang tegas berpendirian seperti kita. We value ourselves. We have our own high standards that we dont give a chance for this kind of betrayal.
Bukannya pasangan dah curang berkali-kali, tetap bagi peluang atas alasan – nak selamatkan rumahtangga. Takut anak-anak jadi mangsa dan pelbagai justifikasi lainnya.
Andai benar rumahtangga dan pasangan sebegini layak diselamatkan, pasti Islam pun bagi garis panduan dan kelonggaran pada kita. Tapi hal itu tidak wujud. Makanya, tunduk dan terima ’akibat dan hakikat’ bahawa curang dan zina dalam rumahtangga adalah satu kegilaan yang tak wajar diberi muka walau seinci cuma!
Tegas.
Jangan lemah sangat depan pasangan.
Watak Zamarul, tidaklah hebat di mata saya walau merata-rata menyebut itu sebagai ‘kesetiaan.’
I never wish to have a husband like that.
A man at his full masculinity wil never tolerate that.
Itu bukan kesetiaan bagi saya. Itu adalah kelemahan pada hilangnya rasa dan tegas menentang sebuah kemungkaran dan kelemahan kerana jiwa rapuh yang takutkan sebuah kehilangan.
Bila Islam tegas dalam hal ini. Kita follow the same vibe. Hanya dengan itu ummah dapat diselamatkan. Dan tidaklah terjadi seperti hari ini di saat curang pasangan kelamin kian menjadi-jadi!
Allahualam,” kongsi Sharifah Zahidah.
Baca Disini : “Terima Kasih Wahai Anakku Kerana Kelahiranmu Membuatkan Papa Terasa Semakin Muda” Zamarul Hisham
Sumber : Facebook Sharifah Zahidah
Sumber Foto : TV3
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Daphe Iking rancang semuanya terlebih dahulu supaya senang untuk jaga rambut! Betul juga ya, mak-mak yang sering masak tu mesti hilang selera untuk makan kan?
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI