
Jika berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu sekali pun sudah cukup menjadi pengalaman yang sukar dilupakan, bayangkan apabila kejayaan itu diulang bukan dua atau tiga kali tetapi sehingga 106 kali.
Itulah pencapaian luar biasa Amanda Omeychua yang sekali lagi berjaya menawan puncak tertinggi di Malaysia hari ini, sekali gus melengkapkan pendakian kali ke-106 dalam perjalanan hidupnya di usia 32 tahun.

Bagi kebanyakan orang, Gunung Kinabalu mungkin menjadi impian yang mahu ditawan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Namun buat Amanda, setiap pendakian membawa cerita, cabaran dan kepuasan tersendiri. Keupayaannya untuk terus kembali mendaki sehingga mencatat angka tiga digit tentunya bukan sesuatu yang mampu dilakukan tanpa stamina, disiplin dan kecintaan yang cukup besar terhadap aktiviti pendakian.
Berkongsi kenangan menawan Gunung Kinabalu kali ke-106 hari ini, jelas Amanda, minggu hadapan dirinya sekali lagi akan kembali ke Kinabalu bagi melengkapkan pendakian kali ke-107.

“Hari ini hujan, sedikit banjir di atas. Hari ini saya bersama 23 pendaki wanita dari Grup Pendaki Wanita. Berusia antara 14 hingga 60 tahun dan kesemuanya berjaya ke puncak.
“Dahulu saya hanya terfikir mahu buat 100 kali saja tapi ramai yang minta saya jadi penunjuk arah mereka. Lagi pun saya minat, jadi dari 100 sudah jadi 106 dan seterusnya,” katanya yang baru sahaja turun dari puncak ketika Mingguan Wanita menghubunginya.


Cerita perjalanan pendakian Amanda juga bukan biasa-biasa. Memulakan pendakian pada usia 20 tahun untuk mencabar diri sendiri, perjalanan itu kemudiannya diuji dengan masalah kesihatan sehingga memaksanya menjalani penggantian injap jantung plastik. Namun Amanda tidak pernah menjadikan masalah kesihatan itu sebagai alasan untuk berhenti melakukan aktiviti yang diminatinya.
“Janji fit, minat dan apa jua kesukaran kita akan tempuhi,” katanya berkongsi tip buat mereka yang ingin mendaki ke puncak Kinabalu.
Jelasnya, mendaki gunung memerlukan ketahanan mental yang kuat, tubuh badan yang fit serta latihan intensif. Sepanjang pengalamannya membawa pendaki, Amanda berkata dia pernah berdepan peserta lelaki yang gagal sampai ke puncak kerana terlalu penat.
“Ramai peserta wanita berjaya tawan. Kalau kata berat jadi ukuran, itu tak benar. Pernah ada peserta berat 45 kg gagal ke puncak, sebaliknya berat 140 kg berjaya sampai.
“Persediaan latihan biasanya setahun bagi yang baru berjinak-jinak dalam dunia hiking,” katanya.
Sebagai jurupandu gunung, Amanda mengakui pelbagai pengalaman ditempuh sepanjang mengendalikan peserta dengan tahap kecergasan dan kemampuan yang berbeza.
“Saya biasa akan bersama peserta yang pacenya paling perlahan. Sebab saya akan jaga mereka sampai ke puncak.
“Di permulaan pendakian bermula dari Panalaban Rest Camp, masa paling lama kita akan bagi jam 3.30 pagi. Kalau mereka tak boleh sampai, kita akan minta mereka turun semula sebab peserta perlu sampai ke Sayat-Sayat sekurang-kurangnya jam 5.30 pagi.
“Kalau lebih dari waktu ini juga kita akan minta mereka turun kerana pendakian berisiko tinggi,” katanya.
Di sebalik kejayaan melengkapkan pendakian kali ke-106, Amanda berkata aktiviti mendaki kini turut menjadi antara sumber rezekinya.
“Biasa kalau kumpulan kecil sekitar lima hingga enam orang, upah tiga hari dua malam pendakian mencecah RM300 hingga RM400. Kalau lebih besar, boleh mencecah antara RM3,000. Inilah antara rezeki saya,” katanya yang turut memaklumkan sudah 10 kali melakukan pendakian ke Annapurna selain empat kali ke Everest Base Camp.
Anda mungkin berminat dengan
Berkongsi pengalaman sepanjang mengendalikan pendaki, kata Amanda, sekiranya ada peserta terlalu penat dan perlu dibawa turun menggunakan pengusung dan meminta bantuan Malim Gunung, kosnya boleh mencecah RM800 bagi setiap satu kilometer. Kena turun sekurangnya 6 KM ke bawah. Itu kena bayar sendiri sebab tak libatkan insuran pendakian. Bayaran mengusung ni tengok pada berat. RM800 satu kilometer tu bagi berat 80 kg ke bawah, kalau atas misalannya 90 kg, satu KM jadi RM900.
“Insuran pendakian yang disediakan pihak Gunung Kinabalu biasanya lihat pada kecederaan apa kita alami. Bergantung pada keadaan.
Biarpun sudah menawan Gunung Kinabalu sebanyak 106 kali, melakukan 10 pendakian ke Annapurna dan empat kali ke Everest Base Camp, Amanda sebenarnya menyimpan impian lebih besar iaitu mendaki Gunung Everest, puncak tertinggi di dunia.


Namun dia sedar masalah kesihatan yang dihadapinya mungkin tidak memungkinkan impian tersebut menjadi kenyataan.
“Bulan 10 ini saya akan ke everest base camp dan Annapurna Base camp, Nepal bawa grup hiking. Ada 5 trip. Kalau tidak ke Kinabalu, setiap minggu saya akan masuk ke gunung berbeza-beza. Minggu sebelum ini saya ke Gunung Tahan k2m selama lapan hari.
“Mendaki gunung bagaikan kepuasan bagi saya. Setiap kali sampai ke puncak, kegembiraan itu tak tergambar dengan kata-kata,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

