Sebagai seorang isteri, rasanya kita sudah sepenuh hati dan berusaha sedaya upaya untuk menjaga hati suami. Mungkin, kadang-kadang seorang isteri terlepas pandang kerana perkara yang kecil, suami menganggap ia isu besar. Itulah yang membuatkan suami menjauh diri.
Bagaimana pula dengan suami yang tidak menjaga hati isteri? Adilkah bila hanya isteri sahaja yang perlu menjaga hati suami. Sedangkan suami tidak pula. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan dengan keadaan sekarang, isteri lebih berani dan boleh dikatakan langsung mengabaikan tanggungjawab seorang isteri.
Apatah lagi, bila ditakdirkan bertemu jodoh dengan lelaki yang kaya dan segala makan pakai yang harus dilakukan seorang isteri telah diambil alih oleh pembantu rumah. Sedangkan seorang suami tentunya mahukan air tangan seorang isteri.
Inilah perkongsian daripada Shauqi Hasan tentang seorang jutawan yang meninggal dunia tetapi langsung tidak mewasiatkan harta kekayaan pada isterinya. Semuanya ada sebab lebih-lebih lagi jika langsung tidak menjaga hati seorang suami.
Kematian Mengejut
Kira-kira 15 hari yang lalu, seorang hamba Allah, telah pun kembali ke Rahmatullah secara mengejut akibat sakit jantung. Allahyarham merupakan seorang yang amat dihormati dan disegani di kampungnya.
Semasa jenazah Allahyarham diletakkan di ruang tamu rumahnya sementara menunggu untuk diuruskan oleh saudara mara dan sahabat handai, isteri Allahyarham tidak berhenti-henti meratapi jenazahnya sambil merungut-rungut.
Ramai yang merasa amat hairan dengan sikap balu arwah. Si balu sepatutnya membaca al-quran untuk dihadiahkan kepada arwah. Kira-kira 10 minit kemudian, kakak ipar arwah (kakak balunya) pun sampai.
Hairan dengan sikap adiknya yang meratapi dan merungut itu, Si Abang pun bangun melarang adiknya berbuat demikian sambil bertanya akan sebabnya.
Ads
Merungut
Semua yang berada di situ merasa amat terkejut apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh balu Allahyarham itu.
Antara jawapannya ialah,
Suaminya tidak membuat surat wasiat (yang sebenarnya ada). Tanah pusaka milik suaminya tidak sempat ditukarkan ke nama beliau dan anak-anaknya. Suaminya tidak sempat memindahkan saham syarikat suaminya bersama-sama adik-adiknya kepada beliau (Allahyarham memegang saham sebanyak 50% dan 5 orang adik-adiknya memegang 10% setiap seorang).
Arwah ni adalah seorang yang agak berjaya dalam perniagaannya. Syarikat yang diuruskan oleh arwah sangat maju. Di samping itu, arwah memiliki kira-kira 12 ekar tanah dipinggir Putrajaya dan kira-kira 50 ekar di sekitar kawasan Sepang / Dengkil.
Kandungan Wasiat
Setelah seminggu arwah dikebumikan, peguam arwah memanggil waris-warisnya untuk dibacakan surat wasiat arwah. Penulis juga turut dipanggil tanpa mengetahui akan sebabnya. Allahyarham mempunyai 4 orang anak, yang sulung masih lagi bersekolah di tingkatan 4 manakala yang bongsunya berusia 6 tahun.
Antara kandungan surat wasiat Allahyarham ialah: 30% syer perniagaannya diserahkan kepada anak saudara perempuannya yang juga ahli perniagaan dan 20% lagi diagihkan sama rata kepada anak-anaknya dengan anak saudara perempuannya sebagai pemegang amanah.
Tanah pusakanya seluas 10 ekar di pinggir Putrajaya dibahagikan sama rata kepada anak-anak perempuannya (2 orang) dan 2 ekar untuk anak saudara lelakinya yang juga pemegang amanah untuk anak-anak perempuannya.
Ads
Anak-anak lelakinya yang berumur 14 dan 10 tahun, diberikan tanah 15 ekar seorang dengan saudara lelakinya sebagai pemegang amanah. Saham-sahamnya diserahkan kepada anak-anaknya dan dibahagikan mengikut hukum syarak, dan diuruskan oleh saudara perempuannya yang diberi 20%.
Wang tunainya di bank persendirian diamanahkan kepada kakaknya untuk menampung pembiayaan anak-anaknya jika isterinya tidak berkahwin lagi.
Jika isterinya berkahwin lagi, beliau meminta peguamnya meminta mahkamah memberikan hak penjagaan anak-anaknya kepada kakaknya.
Rumah dan tapak rumahnya diwakafkan untuk anak-anak yatim Islam dan sebuah surau, dan hendaklah diserahkan kepada Majlis Agama Islam.
Harta-hartanya yang lain iaitu 2 buah kereta diberikan kepada adik lelakinya yang ketiga dan kelima, manakala baki tanah 20 ekar dibahagikan sama rata kepada adik-adik dan kakaknya.
Ads
Isteri Membantah
Setelah selesai wasiat tersebut dibaca, isterinya membantah keras kerana tiada satu pun harta yang diserahkan kepadanya melainkan sebuah Proton Saga yang tidak dimasukkan dalam wasiat tersebut (yang memang digunakan oleh isterinya).
Belum sempat isterinya terus membantah, peguam Allahyarham membacakan satu kenyataan mengenai isterinya yang terkandung dalam wasiat itu.
KISAH SYURGA YANG TERBONGKAR!
“Isteriku tidak akan kuberikan apa-apa kecuali pengampunan. Terlalu banyak dosanya kepadaku. Maka pengampunan adalah hadiah yang paling berharga.”
“Tidak pernah aku merasa masakannya sejak mula berkahwin walaupun pernah aku suarakan. Tiada belas kasihan terhadap aku, baik semasa sakit apatah lagi jika aku sihat.”
“Herdik dan tengking kepada aku dan anak-anak adalah lumrah. Keluar rumah tidak pernah meminta kebenaran daripada aku. Makan dan minum anak-anak adalah tanggungjawab bibik (pembantu rumah). Kain bajuku tidak pernah diuruskan, dan yang paling menyedihkan, tiada mahunya dia mendengar pandangan dan nasihatku untuk kesejahteraan rumahtangga.”
“Kebahagiaan aku selama ini hanya dengan amalanku, tugas seharianku, anak-anakku dan adik-beradikku, terutama kakakku (yang sebagai pengganti ibu).”
Peguam Allahyarham membacakan kenyataan itu, barulah semua faham mengapa balu Allahyarham begitu meratap dan merungut semasa berada disisi jenazahnya.
Senang Nak Jaga Hati Suami
Orang perempuan ni nak jaga hati suami sebenarnya senang saja.
Jaga mulut atasnya. Maksudnya jaga makan minumnya.
Jaga mulut bawahnya. Maksudnya jagalah kemahuan seksnya.
Jagalah minatnya. Maksudnya ialah belajarlah untuk menyukai dan berkongsikan minat suami.
Ambillah pelajaran dari kematian Allahyarham dan kisah hidup isterinya yang dah menyesal pun dah tak guna. Bila suami dah meninggal dunia, nak berbakti dan laksanakan semula tanggungjawab yang dah terlepas semuanya sudah terlambat.
Soal izin dan salam tu sangat penting dalam hubungan suami isteri. IZIN ADALAH HAQ SUAMI yang ramai isteri terlepas pandang. Nampak mudah tapi payah nak buat.
Semoga kita semua dijauhi dari menjadi fitnah kepada sebuah kebahagiaan rumah tangga.
MW: Kadang isteri merasakan semua yang dilakukan itu dah cukup. Tapi sebenarnya ada perkara yang membuatkan suami terasa dan dipendamkan sahaja. Kita tidak tahu.
Semua orang tahu, bila dedah aurat, hukumnya apa? Mulalah ada cakap, mereka yang bertudung pun ada yang buat dosa. Alahai…Hati setiap orang tak sama.
Aurat bukan hanya dengan memakai tudung tapi aurat bagi seorang wanita muslimah baligh adalah seluruh tubuhnya termasuklah dalam kita berpakaian.
Bagi sesetengah daripada kita, merasakan selesa dengan memakai seluar jeans dan tak kurang juga dedah aurat dengan memakai seluar ketat sehingga menampakan bentuk badan.
Bukan nak berlagak baik, tapi adalah peringatan kita bersama sebagai seorang muslimah. Moga dengan perkongsian daripada Farid Rashidi ini dapat memberi kesedaran buat kita sebagai muslimah yang diredhai. Insya Allah.
Sekarang ni bukan kata anak gadis saja, mak-mak, isteri orang pun sama dah terbiasa sangat pakai seluar jeans ketat nipis (stretch jeans), seluar fit atau skinny tu.
Ingat ya, bila mana perempuan pakai seluar macam tu dekat khalayak ramai (juga gambar dan video) ia termasuk mendedahkan aurat sebab bentuk badannya jelas. Dan hukumnya jelas dan terang berdosa dan haram berpakaian seperti itu.
Ia termasuk peringatan dalam hadis Nabi SAW, bahawa terdapat dua kategori penghuni neraka yang belum pernah Nabi SAW melihatnya.
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Ada dua kelompok manusia penghuni Neraka yang belum pernah aku lihat: kaum laki-laki yang membawa cambuk seperti bontut sapi mereka memukul manusia dengannya, dan kaum perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, selalu melakukan kemaksiatan dan mengajarkan kemaksiatannya kepada orang lain, kepala-kepala mereka bagaikan punuk unta yang miring, mereka tidak akan masuk ke dalam Syurga dan tidak akan mendapatkan wanginya, padahal wangi Syurga itu tercium dari jarak sekian dan sekian.”
– [Riwayat Muslim no. 2128]
Paling mengecewakan bila si bapa, suami atau saudara lelakinya tak pernah langsung ambil tahu apa lagi tegur anak gadisnya, isterinya atau saudara perempuannya untuk elak berpakaian mendedah aurat semacam itu. Astaghfirullahal Azim.
Sedih kawan.
Semua itu akan dipertanggungjawabkan kelak. Isteri dan anak gadis, jika tak mahu diri berdosa dan bapa atau suamimu berdosa sama janganlah pakai pakaian begitu.
Dalam hadis sebut lagi, bukan kata tak masuk syurga, cium pun tak jika berpakaian tapi telanjang. Allahu Rabbi.
Simpanlah sikit rasa malu tu dalam diri ya. Tak salah nak berseluar apapun, tapi longgarkan, jangan ketat dan nipis. Atau nak sangat pakai seluar jeans ketat sampai senak tu, pakailah dalam rumah tayang untuk suami saja. Itu tak ada masalah.
Apapun, sama-sama bermuhasabah, sebab usia kita terus berganjak laju tak tunggu kita pun.
Mingguan Wanita : Moga dapat dijadikan peringatan, teguran dan muhasabah untuk diri sendiri.
Lumrah manusia, tidak mahu diperlekehkan apabila melibatkan sesuatu yang di luar pengetahuan atau ilmunya. Sebenarnya tidak salah kita mengaku tidak tahu daripada berpura-pura segalanya mak,ayah.
Sesungguhnya kita adalah manusia, bukan Profesor Serba Tahu, ilmu juga sangat terbatas jadi mengaku saja tak tahu. Tentu sahaja dipandang mulia bila kita mengakui kelemahan diri.
Sebaiknya, jika ada perkara di luar pengetahuan mak ayah, lebih baik diam sahaja dan tak perlu tunjuk hebat. Ikuti perkongsian Ustaz Khairul Anuar Basri ini dan hadam baik-baik iya:
Kadang-kadang kita ini bila bercakap, macam serba-serbi kita tahu. Padahal kita tak tahu pun.
Bila kita share something dekat whatsapp group, macam kita yakin benda yang kita share itu benda yang betul. Padahal tak tahu hujung pangkal pun.
Manusia Bukan Profesor Serba Tahu
Ada orang yang bila ditanya tentang sesuatu, mesti dia akan ulas dan komen. Padahal dia tak mahir pun tentang isu tu.
Jangan begitu kawan-kawan.
Kita ni bukan Profesor Serba Tahu. Ilmu dan maklumat kita sangat terbatas. Tak semua benda kita tahu.
Ada benda yang kita tahu, kita bolehlah bercakap. Macam sesetengah benda yang dalam bidang kita. Memang kita berhak untuk bercakap.
Tapi tak kan semua benda bidang kita. Sampai setiap benda kita nak masuk campur.
Kawan-kawan… biasakan diri untuk kata “aku tak tahu”. Selamat kita dunia akhirat.
Para malaikat bila ditanya oleh Allah SWT dan mereka tak tahu, mereka akan jawab :
“Maha suci Engkau ya Allah, kami tiada ilmu kecuali apa yang Engkau ajar kepada kami. Engkaulah yang maha tahu lagi maha bijaksana”.
Para sahabat Rasulullah SWT bila ditanya soalan oleh Nabi SAW, cepat-cepat mereka jawab :
“Allah dan RasulNya lebih mengetahui”.
Itu para Malaikat yang tidak buat dosa dan maksiat. Itu para sahabat, yang hidup di keliling Nabi SAW. Mereka masih lagi cakap mereka tak tahu.
Diam Saja Tak Perlu Tunjuk Hebat
Kita?
Macam semua benda kita tahu. Apa salahnya kita cakap kita tak tahu. Atau kita diam saja. Itu tidak sedikit pun mengurangkan kehebatan kita. Bahkan kita akan dipandang mulia oleh manusia.
Ke kita takut tak hebat kalau kita cakap kita tak tahu?
Jom kita tengok apa yang diriwayatkan tentang Imam Malik iaitu pengasas Mazhab Maliki : سُئِلَ عَنْ ثَمَانِيَةٍ وَأَرْبَعِينَ مَسْأَلَةً فَقَالَ فِي ثِنْتَيْنِ وَثَلَاثِينَ مِنْهَا: لَا أَدْرِي Ditanya (kepada Imam Malik) 48 persoalan, maka jawab (Imam Malik) 32 daripadanya dengan “aku tidak tahu””.
[Lihat: Syarah al-Zurqani ‘ala al-Muwatta’, 1/54]
Bercakap Hanya Benda Yang Kita Tahu Saja
Kawan-kawan… Jom ambil pengajaran.
unBercakap hanya benda yang kita tahu sahaja. Jangan bercakap benda yang kita tak tahu. Lazimkan diri untuk menyebut “Wallahu a’lam” (Allah lebih tahu) bila kita tidak tahu atau tahu separuh-separuh.
Selamat pagi semua. Semoga ceria-ceria selalu. #KAB
MW: Apa salahnya kita berterus-terang atau tidak nampak hebat di mata orang lain. Sebaliknya biarlah kita Nampak hebat di mata Allah. Iya tak???
Ujian kehilangan, satu perkara yang cukup pedih dan sedih bagi sesiapa yang melaluinya. Air mata bercucuran atau keluar air mata darah sekalipun tak akan dapat kembalikan seperti dulu.
Begitulah sakitnya saat kehilangan orang yang kita sayang. Sayang bukan sesama kita tapi boleh jadi kepada binatang peliharaan atau barang kesayangan.
Walau bagaimana pun, kehilangan orang yang kita sayang adalah cukup perit. Sebagai orang yang waras, kita tak perlulah menangis berterusan, sebaliknya sedekahkan Alfatihah atau aya-ayat suci dan kena terima takdir Allah ini.
Kehilangan akan mengajar kita ketabahan dan sentiasa ingat dengan apa yang kita ada. Hargailah sebelum terlambat.
Perkongsian daripada Ju Wan ini mengajar kita untuk terima kehilangan, semua yang berlaku ini ada hikmahnya.
Kehilangan buat kita belajar untuk menerima dan mensyukuri dengan apa yang masih kita miliki. Inilah salah satu cara untuk kita belajar ikhlas tanpa batas.
Kadang-kadang manusia harus sampai kepada titik kehilangan untuk mengerti erti sebuah kehadiran, kasih sayang dan kesetiaan.
Allah memberikan ujian berupa kehilangan pada kita untuk mengajarkan hikmah di dalamnya.
Kadang, kita harus kehilangan seseorang sebelum akhirnya kita sedari betapa bermaknanya dia dalam hidup kita.
Jangan sesekali apa yang telah hilang, selama kita masih mampu bersyukur pada Allah, kita tak hilang apa pun.
Sedari dan hargailah apa yang kita masih ada di keliling kita, kerana itu adalah bentuk rasa syukur dan menghargai diri kita sendiri.
“Terima kasih kerana sebelumnya telah banyak memberi kebahagiaan.” Kini sedar, salah satu bentuk dari mencintai adalah merelakan ia pergi.
Terkadang, ketika kamu hilang seseorang yang kamu sayangi, kamu akhirnya menemukan dirimu kembali.
Maka,
Sesiapa yang masih diberi pinjam, hargailah mereka selagi ada. Hamparkan kebaikan buat mereka, jangan berkira-kira. Kelak kamu akan terasa setelah mereka tiada.
Mingguan Wanita : Masa ada biarkan tapi bila sudah tiada barulah terasa kehilangan yang tiada ganti. Hargailah. Menyesal sekali pun tidak akan kembali lagi.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
RM175 sebulan belanja barang basah, isteri kongsi tip jimat makan sekeluarga. Di kala ramai yang mengeluh harga barang dapur naik melambung, seorang isteri, Nabila ...