Setiap kesalahan pasti mendapat hukuman yang setimpal. Patuhilah setiap peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Bawa kereta dengan berhati-hati, demi keselamatan diri dan orang lain di jalan raya.
Terkini, pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan Sabtu lalu, dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah.
Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan berkenaan selepas Nur Fatin Nazrah Suhaimi, 23, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan itu.
Mengaku Bersalah Atas Pertuduhan
Suhaila turut memerintahkan Nur Fatin untuk membayar denda berjumlah RM3,300 atas tiga lagi kesalahan iaitu tidak mempunyai lesen memandu, memandu kereta yang tiada cukai jalan serta insurans, selepas dia turut mengaku bersalah atas ketiga-tiga kesalahan berkenaan.
Nur Fatin kini turut sedang menjalani prosiding atas pertuduhan kelima iaitu kesalahan memasukkan dadah di dalam badan.
Anggota Tentera Maut
Dalam kejadian Sabtu lalu, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, disahkan maut di lokasi kejadian selepas terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi.
Pemandu Myvi wanita berusia 23 tahun itu ditahan dan dipercayai tidak mempunyai lesen memandu kenderaan, selain cukai jalan sudah tamat tempoh dan saringan awal air kencing mendapati pemandu berkenaan positif dadah.
Kemalangan pada 9 pagi itu membabitkan kereta Perodua Myvi dipandu wanita berkenaan dengan kereta Honda Accord dan Proton Iswara.
MW: Semoga yang setiap yang berlaku memberi pengajaran juga buat kita, agar mematuhi setiap peraturan jalan raya. Perlu ingat setiap kesalahan yang dilakukan takkan terlepas dari hukuman undang-undang. Jalan raya perlu dikongsi bersama, fikirkan juga keselamatan untuk diri sendiri dan orang lain yang tidak bersalah.
Sumber: Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Mulanya Sekadar Bertukar Makanan, Wanita Ini Akhirnya Jatuh Cinta Dengan Jiran Sebelah!
Berbuat baik dengan jiran tetangga sangat digalakkan. Tapi kena tahu batasan, jangan sampai terjadinya skandal dan jatuh cinta dengan jiran sendiri!
Puan Hajah Maimunah Haji Muhamad, kaunselor dan penulis bebas serta kolumnis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, menjawab permasalahan daripada seorang wanita yang terjebak dalam hubungan cinta terlarang dengan jiran sebelah rumahnya sendiri.
Seorang Isteri Dan Ibu
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Bekerja sebagai seorang guru dan begitu juga dengan suami. Tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota.
Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran surau atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Gemar Masak
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran. Di sebelah kiri rumah saya tinggal keluarga berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya sering ke rumah. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Rapat
Pasangan jiran saya itu, isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M pula yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita, saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsApp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi tentang masalah masing-masing seperti masalah kerja, dan anak-anak. Dan tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Bahkan tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Isteri Berdosa.
Jawapan:
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya, antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini? Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya.
Nafsu
Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar?
Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup. Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat, maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi. Tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Sukar Dikawal
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata ia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya.
Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti. Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal. Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta.
Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah. Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya
Dosa Dan Pahala
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala? Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk?
Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan? Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya?
Puan tahu kan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah… Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu, tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak, namun usaha puan mesti berlipatkali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Elakkan
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar no telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan…itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni. Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik.
Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain. Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Mangsa Asid Bertemu Jodoh Ketika Dapatkan Rawatan Di Hospital
Jodoh merupakan ketentuan tuhan. Walaupun mungkin kelihatan ‘tidak sempurna’ dari segi rupa dan fizikal, namun takdir hidup berpasangan dari yang maha esa tiada siapa yang mampu menghalangnya.
Kisah cinta luar biasa. Selepas menderita hampir sedekad, seorang mangsa serangan asid di India menemui sinar baharu hidupnya apabila bertemu jodoh dengan lelaki yang menerima diri seadanya. Malah siapa sangka, hospital yang menjadi tempat mendatkan rawatan juga menjadi tempat pertemuan jodoh mereka.
Memetik laporan The Sun, Pramodini Roul, 28, selamat disatukan dengan pasangannya, Saroj Sahoo, 29, di kampung halamannya, Jagatsinhpur, Odisha, 1 Mac lalu selepas mengikat pertunangan pada 2018.
Bertemu Di Hospital
Menariknya, mereka jatuh cinta selepas Saroj kerap mengunjungi rakannya yang juga jururawat hospital tempat mangsa mendapatkan rawatan.
Majlis Perkahwinan Meriah
Pramodini berkata, peristiwa hitam yang merosakkan wajah serta penglihatannya tidak menjejaskan kemeriahan majlis perkahwinannya itu yang dihadiri 1,000 tetamu termasuk mangsa serangan asid lain.
“Saya rasa sangat gembira dapat berkahwin dengan Saroj. Dia menyayangi saya seadanya dan selalu memberi semangat untuk saya teruskan hidup dengan bahagia.
“Kali pertama saya dapat melihat wajahnya, pada September lalu, selepas saya menjalani pembedahan pertama pada mata kiri. Ia membuatkan saya jatuh hati dengan kebaikannya,” katanya.
Pasangan itu aktif menabur bakti bersama Yayasan Chaanv dalam pemulihan mangsa serangan asid di Odisha.Pramodini menjadi mangsa serangan asid pada usianya 15 tahun selepas menolak peminangan perkahwinan seorang lelaki.
Baca Lagi DiSini:
PERCAYA Jodoh Kehidupan Lampau, Adik Beradik KEMBAR 5 Tahun ‘Dikahwinkan’
Ziela Jalil Akui Sudah Bernikah, Isteri Kedua “Saya Anggap Ia Adalah Takdir Dan Jodoh”
MW: Tahniah buat pasangan pengantin ini. Ternyata kesempurnaan rupa dan fizikal bukanlah halangan dalam mendirikan rumahtangga untuk kecapi bahagia.
Sumber: Hmetro, Daily Mail
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
3 Sebab Tidur Berbantalkan Lengan Suami Lebih Tenang Dan Lena Diulit Mimpi
Tidur berbantalkan lengan suami lebih tenang dan lena? Betul ke? Fasa pertama perkahwinan iaitu 5 tahun pertama, tak mustahil nak tidur berbantalkan lengan suami. Mood bulan madu masih hangat, dakapan mesra masih menjadi satu kenikmatan.
Melepasi fasa pertama perkahwinan, berapa ramai pasangan suami isteri masih bertahan. Dengan tidur berbantalkan lengan suami? Rimas, ketiak suami bau masam.. hmm itu dah jadi satu kemestian isu berbangkit.
Jangan tak tahu, tidur berbantalkan lengan suami ada banyak kelebihan yang dalam tak sedar akan anda peroleh manfaatnya.
Bau Phero (pheromone) Itu Senjata Ketenangan Wanita
Statement ini bukan melampau. Tapi dah pun dibuktikan secara kajiannya, pada ketiak suami ada sejenis bau yang dipanggil phero. Fungsinya ia boleh mengaktifkan hormon isteri sehingga membuatkan mereka tenang dan lebih selesa.
Tapi pastikanlah suami anda mandi dulu malam sebelum tidur ya. Kalau tidak bukan phero yang keluar… pengsan lagi ada.
Tanda Isteri Memerlukan Suami Sebagai Pelindungnya
Suami yang membenarkan isterinya tidur di atas lengannya dari malam sampai ke pagi tanpa merungut letih, memang suami yang hebat. Terserlah sifat pelindung dan penyayangnya terhadap isteri.
Suami anda lebih hebat andai tidak merungut malah merelakan lengannya dijadikan bantal walaupun sudah berkahwin lebih 15 tahun. Dia bukan sekadar romantis malah suami yang sukar anda temui di mana-mana. Jadi, jagalah baik-baik ya wahai isteri. Jangan sampai terlepas!
Hindari Konflik Suami Isteri
Anda yang tidur mendakap suami dan berbantalkan lengannya, berbahagialah sebagai pasangan suami isteri. Selain tidur yang lebih lena, hubungan kemesraan itu sebenarnya telah terikat dengan rapi.
Biarpun konflik melanda, anda sudah memahami pasangan dan tahu bagaimana mahu selesaikannya. Suami juga lebih selesa dengan sikap isteri yang lebih setia dan taat padanya. Bukankah mudah sebenarnya mahu menenangkan hati suami mahupun isteri yang sedang merajuk. Dakap saja pasangan dan tidurlah dalam posisi yang disarankan ini.
Jangan sesekali meletakkan usia perkahwinan sebagai halangan. Seharusnya semakin lama hidup bersama, semakin romantis pasangan suami isteri itu. Jika belum jumpa… carilah jalan perdamaian agar CINTA sentiasa subur dalam rumah tangga kalian. Melalui posisi tidur berbantalkan lengan suami ini pun boleh jadi langkah permulaan yang baik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI