Allah S.W.T jika hendak berikan hidayah dengan bermacam cara. Tidak kira masa, tempat dan waktu. Jika masanya tiba dan berserah diri kepada Allah, maka cepat lah kita untuk menuju ke arah kebaikan.
Disini Mingguan Wanita kongsikan kisah seorang wanita yang bernama Syarifah Furaiha tentang penghijrahannya. Dari seorang gadis litar dan kini dia berniqab. Ikuti kisah yang mampu menjadikan inspirasi dan panduan untuk wanita di luar sana.
Luah Syarifah Furaiha;
“Like I said, it’s always about where we end not about the beginning. Fara terpanggil nak share pengalaman Fara berniqab dengan semua.
“Fara tak pernah cerita ini ke public. Mungkin, ada pengajaran yang boleh diambil. Ambillah.
“Family Fara memang suka sukan bermotor, so memang selalu ke track race dari kami kecil. Sebab itu Fara pun pernah pegang payung tepi track. Bila dah berpayung tepi tu, ramailah lelaki yang mintak bergambar.
“Selepas SPM, waktu cuti tengah tunggu result itulah first time Fara start pakai purdah. Saja cuba-cuba. Sebab inspired nak jadi baik dan tutup aurat. Padahal waktu tu tak tutup aurat pun lagi.
“Tapi keinginan tu ada. Itu fitrah manusia, walaupun jahat macam mana sekalipun, deep down inside, mesti dia akan ada rasa cinta kepada kebaikan walaupun cuma sekelumit.
“Sebelum tu takpayah cerita. Zaman muda-muda dulu Fara buat freelance modelling. Rambut pun takyah cerita, macam-macam warna pun pernah. Sebab dulu tak kisah halal ke haram, sah wuduk ke tak. Kuku pun macam-macam warna.
Pernah Dilabel ‘Sesat’
“Baju pun takyah ceritalah, semua jenis ada. So bila Fara berubah drastik dari segala jenis pakaian mini-mini kepada tudung labuh, lengkap dengan abaya dan niqab. Tambah full black pulak tu, pasti semua orang tak boleh brain lantas ku dilabel sesat.
“But it’s okay. Mesti ada penyebab yang kukuh kan kenapa jadi macamtu. Bila Allah dah nak bagi hidayah.
“Fara ingat lagi dulu, bila nak start pakai tudung tapi cari dalam almari tak ada tudung. Terpaksalah cari tudung-tudung zaman dulu nenek punya. Fara pernah tak keluar rumah 2-3 bulan because I don’t have a proper covered outfit kalau nak keluar rumah. Kang dapat dosa pula tak memasal.
Ads
Pernah Gunting Tudung Hitam, Nak Dijadikan Purdah
“Fara ingat lagi dulu pernah gunting satu tudung hitam dan jahit sendiri nak dijadikan purdah. Sebab nak sangat pakai purdah tapi nak beli kat kedai atau online tak semudah sekarang.
“Fara masih ingat beberapa tahun lepas, Fara pm dan mesej merayu sorang-sorang photographer yang pernah shoot gambar Fara untuk padam semua gambar Fara freehair ni website, fb, laptop dan semua medium.
“Tapi tak berhasil, bahkan dorang siap gelakkan dan block terus. Fuh bukan mudah ya ujian nak jadi baik.
“Hidup ini memang proses. Mula-mula dari seluar, tukar pakai tudung bawal dengan baju kurung. Then start pakai handsock, lepastu pakai stokin. Kemudian labuhkan tudung tutup dada. Dari baju kurung kemudian tukar pakai abaya (jubah). Then start pakai tudung labuh.
Struggle Nak Kekalkan Pemakaian
“Then cuba pakai purdah (nampak kening), kemudian last sekali baru pakai niqab (nampak mata je). Benda ni susah tau sebab perempuan fitrah dia memang suka tunjuk dia cantik walaupun dia cantik ke tak tu soal no dua hahaha.
Ads
“Dari pakai warna warni, then Fara pakai fully black. Plain. Tapi I never say that this is the best outfit, and other than this semua tak elok.
“Lepas SPM, Fara struggle nak kekalkan pemakaian ini sebab Fara sambung belajar ke Moscow, Russia. Dari hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan hinggalah hampir setahun.
“It was one of my biggest struggles waktu tu. Dia macam takkan la aku nak u-turn balik pakai macam dulu (pakai up to date dan sexy). Tapi inilah waktunya nak enjoy, muda lagi kan, belajar kat europe pulak tu. Bukan Malaysia.
“And Rusia tu adalah salah satu negara yang super bebas tau. Macam-macam pengalaman dapat selama berada kat sana. Tapi disebabkan lifestyle dan pemakaian plus pergaulan kat sana Fara rasa dah tak masuk dengan jiwa so Fara decide nak berhenti dan sambung belajar ke Mesir. Nak cari Islam katanya.
Rupanya Hanya Luaran Yang Berubah
“Long story short, bila ke Mesir finally Fara jumpa pertama yang selama ini Fara cari. Baru sedar, dulu rupanya hanya luaran aku je yang berubah. Hati masih sangat kotor dan jijik. Bila kita merasa diri kita baik dan orang lain buruk, itu adalah sifat syaitan yang perlu kita tinggalkan.
“Dulu Fara silap. Fara ingatkan pakai niqab tu dah cukup baik. Tapi Fara lupa, hati, adab dan akhlak perlu selari dengan pakaian. Orang yang baik, bahasa dia baik. Apa yang dari hati, akan keluar ke mulut.
“Dulu disebabkan pakaian kita bagus, kita rasa orang lain yang tak sama macam kita ni pasti ke neraka. Tapi kalau fokus pakaian je bagus, bertutup litup, tapi mulut puaka, mulut jahat, hati tak bersih pun bahaya juga.
Ads
”Mengata orang, mengumpat orang, dengki dengan orang adalah perkara yang tak sepatutnya dilakukan sesiapa pun walau apa pun pakaian kita. Bila Fara ke Mesir, Fara jumpa dengan Syeikh Fara yang betul-betul mengubah diri dan dalaman Fara.
“Syeikhlah orang yang ajar Fara tentang hati. Tentang tasawwuf (penyucian diri), tentang bahawa pakaian ini Allah tak pandang pun melainkan hati kita. Beberapa tahun dengan Syeikh memang betul-betul mengubah cara fikir dan cara pandang Fara.
“Fara dulu dan sekarang dah tak sama lagi. Dulu Fara kasar (masih kasar tapi dulu lagi teruk), baran, suka marah, tak sabar, degil dan rasa diri bagus tapi sekarang adalah lebih baik daripada dulu walaupun masih lagi teruk.
“Kalau dulu orang cuit-cuit dan cari pasal dengan kita mesti Fara tak lepaskan tapi sekarang Fara senyum je. Kita faham yang menggerakkan manusia itu Allah, dan Allahlah disebalik apa yang berlaku dalam hidup ini.
“Kita muhasabah dan perbaiki. Apa yang kurang. Kalau ramai perasan Fara memang berkawan dengan semua orang tak kisahlah dia suka make up ke, freehair ke seksi ke. Fara sangat welcome dorang.
“So tak perlulah dm dan pm Fara marah-marah kenapa itu ini sebab siapalah kita nak judge siapa-siapa. Fara dulu lagi teruk dari itu so who am I to judge? Suka menghukum inilah perkara pertama yang Syeikh cantas dari Fara.
“So leave it tentang hukum menghukum ini kepada Allah. Kita bukan Tuhan so tak perlu buat kerja Tuhan.
Kita Cuba Jadi Baik
“Anyway I’m so happy dan sebak dengan perubahan Neelofa dan Fara sangat faham apa yang Lofa buat ini cukup besar sebab Lofa sanggup tinggalkan dunia walaupun pada ketika dia berada dikemuncak kejayaan.
“Moga Allah rahmati dan kuatkan Neelofa and for those who are reading, I wish you all the best too. Mohon doakan Fara juga.
“Sunnah pakaian ni mudah kita nak ikut tapi sunnah menjaga dan membersihkan hati ini level paling payah kita nak jaga. Kita ni tak baik. Tapi kita cuba jadi baik dengan improve diri kita walaupun sekecil 1% sehari. Dengan izin Allah, share jika bermanfaat,” kongsi Syarifah Furaiha.
Kenapa anda tidak subur? Masalah ini sering menimpa pasangan suami-isteri yang tidak menimang cahaya mata walaupun sudah lama berkahwin.
Bagi kebanyakan pasangan, ketidaksuburan merupakan satu krisis. Masalah kesuburan selalu menimbulkan perasaan bersalah atau kekurangan dalam diri. Tetapi diagnosis ketidaksuburan tidak semestinya penyebab kemandulan. Nak tahu lagi jelas soal ketidaksuburan, baca nota ini…
Penyebab Masalah Kesuburan Wanita
1. Masalah utama ketidaksuburan pada wanita adalah tiada ovulasi, atau kekurangan ovulasi (pengeluaran telur daripada ovari). Penyebab utama tiada ovulasi adalah keadaan yang dikenali sebagai penyakit polisistik ovari atau PCOS.
2. Sebab lain bagi ketidaksuburan wanita adalah ketidakbolehan tiub fallopia untuk membawa telur-telur daripada ovari ke uterus, biasanya berikutan dengan tisu berparut yang boleh diakibatkan daripada jangkitan terdahulu atau daripada keadaan yang dikenali sebagai endometriosis.
3. Amat jarang, dalam uterus, pertumbuhan fibroid, endometriosis, tumor, masalah serviks, atau bentuk uterine tidak tetap boleh memastikan telur daripada mengimplan dalam uterus. Penyuburan tidak akan berlaku jika mukus serviks merosakkan sperma atau menghalang ia terus berjalan dengan baik.
4.Usia juga adalah faktor utama dalam ketidaksuburan wanita. Kesuburan berkurang selepas wanita berusia 35 tahun. Hamil selepas usia 45 adalah amat jarang sekali berlaku. Wanita yang terlebih berat atau terlalu kurus juga boleh menimbulkan masalah untuk hamil.
Mitos VS Fakta
1. Mitos: Ketidaksuburan adalah masalah wanita
Fakta: Wanita dan lelaki memikul tanggungjawab yang sama apabila ia berkaitan dengan ketidaksuburan. Adalah penting untuk kedua-dua pasangan menjalani penilaian perubatan dan jika perlu menjalani rawatan untuk mengetahui masalah berkaitan ketidaksuburan.
2. Mitos: Semua orang mudah untuk hamil
Fakta: Secara normalnya, pasangan yang subur mempunyai kira-kira 25 peratus peluang untuk hamil setiap bulan.
3. Mitos: Tenang dan anda akan hamil
Fakta: Ketidaksuburan adalah penyakit pada sistem reproduktif. Walaupun kadangkala stres boleh memberi kesan pada tahap hormon dan ovulasi, emosi tidak dapat mengelakkan anda daripada hamil. Stres dan emosi tertekan yang anda rasa adalah kesan daripada ketidaksuburan, bukanlah penyebabnya.
4. Mitos: Bersabar dan bila tiba masanya anda akan hamil
Fakta: Ketidaksuburan adalah masalah perubatan yang biasanya memerlukan rawatan. Sekurang-kurangnya 50 peratus mereka yang menghabiskan penilaian ketidaksuburan akan memberi tindak balas pada rawatan dan berjaya hamil.
5. Mitos: Ambil anak angkat dan anda akan hamil
Fakta: Malangnya, mitos berterusan ini amat menyakitkan untuk didengar oleh individu dan pasangan, kerana ia mencadangkan bahawa pengambilan anak angkat adalah rawatan untuk ketidaksuburan. Kenyataan ini tidak benar. Kajian mendedahkan bahawa kadar kehamilan pasangan selepas mengambil anak angkat adalah sama seperti pasangan yang tidak mengambil anak angkat.
6. Mitos: Mungkin anda salah ketika ‘melakukannya’
Fakta: Ketidaksuburan adalah masalah perubatan bukannya penyakit seksual.
7. Mitos: Pasangan anda akan meninggalkan anda kerana ketidaksuburan
Fakta: Ganjaran pada perhubungan intim memerlukan kerja keras dan kesungguhan bagi setiap pasangan. Tanpa disangkal, ketidaksuburan akan memberi krisis besar dan akan memberi kesan pada perkahwinan. Namun begitu, banyak pasangan berjaya melalui krisis ini dan mereka belajar cara baru yang dapat menguatkan lagi perhubungan dan kasih sayang.
8. Mitos: Mungkin anda tidak ditakdirkan untuk menjadi ibu bapa
Fakta: Apabila berkahwin, sudah pasti anda dan pasangan telah membuat keputusan untuk menjadi ibu bapa kerana anda tahu betapa banyak kasih sayang dan sokongan yang anda mampu berikan kepada anak yang dilahirkan. Mempunyai masalah kesihatan yang membuatkan anda sukar untuk hamil dan melahirkan anak bukanlah tanda daripada Tuhan atau masyarakat atau sesiapa sahaja untuk menentukan sama ada anda sesuai atau tidak untuk membesarkan anak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tak sangka ada amalan minum air kencing sendiri atau lebih dikenali sebagai ‘Urine Theraphy’. Mungkin ramai yang rasa pelik dan jijik dengan amalan ini namun pengamalnya percaya ia mampu beri kesan positif pada kesihatan, kekal bertenaga, awet muda malah boleh menurunkan berat badan.Rasa macam tak logik, tapi itulah yang digembar-gemburkan oleh pengamalnya. Bahkan lebih membimbangkan trend ini semakin meningkat.
Disebabkan peningkatan ini, orang ramai digesa untuk berhenti minum air kencing mereka sendiri atas nasihat doktor yang menghalang pengambilannya. Walaupun ia nampak pelik bagi kebanyakan kita, air kencing adalah sesuatu yang asli dan pengamalnya mendakwa terdapat manfaat kesihatan di sebalik amalan ini.
Guna Untuk Minum & Mencuci
Mereka menggunakan air kencing sendiri sebagai sebahagian daripada rutin harian, seperti untuk mencuci, menjadikannya minuman dan ada yang melakukan untuk kedua-duanya.Individu yang mengamalkannya melaporkan kulit mereka lebih licin, turun berat badan dan pelbagai kesan positif lain yang diperolehi.
1. Kieran Hughes
Kieran ‘Raw Gong’ Hughes adalah salah seorang daripada mereka yang menjadikannnya satu amalan.Dia hanya makan buah-buahan, minum air kencingnya dan sesekali menggunakannya sebagai toner muka yang dikatakan ‘mempunyai kesan pelembab luar biasa untuk awet muda’.
Kieran memberitahu Metro.co.uk:
“Saya mula melakukannya kerana saya sukakan miliki tahap tenaga yang tinggi. Jadi selama empat tahun lalu, saya telah menganalisis kesan setiap minuman dan makanan yang saya ambil. Ini secara automatik mendorong saya untuk mengamalkan diet buah-buahan dan minum air kencing sendiri sebagai air utama”.
Untuk memulakan perjalanan terapi kencingnya, Kieran membaca buku berjudul ‘Secrets To An Alkaline Body’ (Rahsia Untuk Tubuh Beralkali) oleh Dr David Jubb. Dari situ, dia mula menghirupnya sedikit demi sedikit danminum dengan lebih banyak, yang mana dia berkata dapat merasakan dirinya menjadi bertambah baik.
Menurutnya, manfaat untuk dirinya termasuklah dia rasa lebih hidrasi, tenaga meningkat dan seluruh tubuh berfungsi dengan lebih baik.
Minum Banyak Ketika Bangun Tidur
The UK wellness YouTuber ini berkata dia hanya mengambil sehirup air kencingnya pada waktu petang, tetapi meminumnya lebih banyak ketika bangun tidur.
“Air kencing pagi jauh lebih ‘hebat’ kerana mengandungi melatonin dan boleh menunjukkan kesan yang lebih ketara, jadi saya selalu mengesyorkan air kencing pagi sebagai minuman pertama setiap hari,” ujarnya.
2.Sophie Prana
Sophie Prana pula, yang mengendalikan retret yoga dan mempunyai blog gaya hidupnya sendiri berkata dia memulakan terapi kencing apabila dia mahu berhenti minum kopi.
Dia memberitahu Metro.co.uk bahawa ia adalah ‘cara terbaik’ untuk merawat usus, menyembubkan kulit dan sokongan detoks. Selain minum air kencingnya, Prana juga berpuasa dengan hanya makan setiap 15 jam.Jika dia mempunyai ruam atau jerawat, dia juga akan menggunakan air kencing sebagai toner muka.
Dia berkata cara ini menjadikan dirinya lebih bertenaga, menjadikan anggota badannya saling berhubung dan menjadikan kulit dan penglihatan lebih jelas.
Walaupun manusia bebas untuk melakukan apa yang mereka inginkan terhadap tubuh mereka sendiri, sebilangan doktor tidak bersetuju dengan terapi kencing ini.Walaupun berlaku salah faham terhadap air kencing sebagai steril, ia mungkin dicemari dengan bakteria apabila keluar dari badan.
Tambahan pula, walaupun air kencing terdiri daripada 95 peratus air, sisa lima peratus yang lain mungkin boleh memudaratkan kesihatan jika diambil dalam kuantiti yang banyak.
Mingguan Wanita mengharapkan agar trend ini tidak menular dikalangan masyarakat kita.Jangan kerana nak awet muda, kulit cantik, turun beran badan , sanggup minum air kencing sendiri!
“Akak tak pernah terfikir untuk curang Su, tapi akak juga ada keinginan. Suami akak lepaskan keinginan dia saja, tak pernah ambik tau kehendak akak. Akak tak pernah rasai nikmat berhubungan sampai la akak kenal dengan kekasih akak ni. Tapi sekarang akak dah taubat Su. Akak insaf tak nak buat maksiat lagi.”
Banyak Kes
Klien berusia lebih tiga tahun saja daripada saya itu kemudiannya menangis teresak-esak. Bukan kes pertama, tapi dah banyak kes saya jumpa. Tapi masih ramai juga suami yang tak ambil berat isu ini. Masih pandang ringan kehendak batin isteri.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala?
Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” – hadis riwayat Muslim.
Hak Batin Isteri
Realitinya, Islam tidak menafikan hak tuntutan batin isteri. Ada banyak ayat yang memberikan maksud, isteri juga mempunyai hak yang sama dengan suami di dalam kehidupan berumah tangga. Antaranya;
firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – surah al-Nisa’ ayat 19. Ayat ini membawa pengertian yang maha luas.
Gauli isteri secara baik bererti suami perlu menjaga kebajikan isteri, menjaga makan minumnya, menjaga perasaannya. Gauli isteri secara baik juga memberi erti bahawa isteri perlu dilayani kehendak batin mereka menepati selera mereka.
Saya yakin, ramai yang sedia maklum, terdapat perbezaan yang ketara antara kehendak batin suami dan kehendak batin isteri. Kebanyakan suami mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu inginkan kehendak batinnya dipenuhi.
Berbeza dengan isteri, kehendak batin isteri boleh ditoleransi. Jika penat, sedih atau mood yang tak menentu, isteri tak mengharapkan layanan untuk kehendak batin mereka. Biarpun mempunyai mood tertentu, kehendak batin isteri tetap perlu dipenuhi ketika si isteri membutuhkan anda berbuat demikian.
Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” – hadis riwayat al-Suyuthi.
Hadis ini meminta agar para suami menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai kepuasan.
Kegagalan Suami
Perkara ini amat penting dan tidak boleh dipandang ringan. Kegagalan suami memenuhi kehendak batin isteri boleh menimbulkan kesan negatif seperti isteri membenci suaminya, melalaikan perintahnya ataupun menolak apabila diajak untuk berjimak dan sekiranya bersetuju pun ia tidak dilakukan dengan sepenuh kerelaan hati.
Paling ditakuti, isteri ‘makan luar’. Kes-kes sebegini bukan lagi kes yang pelik atau luar biasa, nauzubillah!!
Perlu diingat, tahap kepuasan sesuatu hubungan intimasi antara suami dan isteri juga berbeza. Suami lebih cepat sampai ke destinasi berbanding isteri. Masalahnya berapa ramai suami yang endahkan perkara ini? Berapa ramai suami yang mengambil berat dan peduli tentang persoalan: Sudahkah aku memenuhi selera batin isteriku? Mungkin ada suami yang bertanya: Bagaimana nak tahu selera isteri dah dipenuhi atau belum?
Suami Kena Tanya Isteri!
Jawapannya mudah sahaja. Selesai hubungan, tanyalah isteri anda. Isteri juga perlu bertanya kepada suami, bagaimana layanan anda tadi? Ramai yang ambil mudah perkara ini. Dah selesai …. dah laaa… Anda jangan lupa, kejayaan intimasi anda adalah penentu kebahagian rumah tangga anda.
Jangan Lupa Berkomunikasi
Di sinilah pentingnya komunikasi. Bagaimana? Bersenda gurau sebelum intimasi dan mengambil berat kepuasan pasangan anda selepas intimasi; itulah antara bentuk komunikasi yang perlu anda praktikkan.
Paling penting, anda… pasangan perlu bersikap terbuka. Berbincanglah dengan pasangan untuk menjadikan hubungan intimasi anda sesuatu yang paling indah. Jangan jadikan intimasi sebagai satu alasan untuk anda keluar dari gerbang perkahwinan.
Namun, jika masalah intimasi ini menganggu emosi anda, jangan makan luar tetapi carilah penyelesaian terbaik. Islam meletakkan jalan keluar bagi perkahwinan yang menghadapi masalah seperti ini.
Sumber: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie. Beliau juga merupakan penulis tetap ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita.
Pengantin baharu maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi, rempuh Proton Saga. Seorang lelaki yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dilaporkan maut dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berhampiran Bukit Grebar, pagi Rabu.